AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Kerna Tuhan Masih Sayang Kamu

KUMULAI di sini...

Begini, ada sekumpulan manusia. Mereka ini hamba Tuhan. Kisahnya, mereka ada melakonkan suatu adengan, perbualan di sebuah gerai makan dengan mengutuk-ngutuk orang tertentu. Tidak habis di situ, mereka menyelitkan ungkapan-ungkapan persis menghina wahyu Tuhan. Astagha!

***

Kawan hidup ini ada dua. Wahyu dan nafsu. Kebenaran itu adalah wahyu. Selain dari itu adalah nafsu yang tercela. Siapa mengikuti wahyu, dia benar. Siapa mengikuti hawa nafsu, dia menentang kebenaran. Begini dalil Tuhan, ““Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah di antara manusia dengan keadilan, dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Shaad 38: 26)

Apabila wahyu mengatakan sesuatu itu benar, lawannya adalah nafsu. Apa saja yang mengikut nafsu, automatis bertentangan dengan al-haq. Sekarang cuba kau baca firman-firman Tuhan yang menyebut tentang nafsu, pasti Tuhan mencelanya dan mengutuk pengikutnya. Persis benar dengan kata Ibn Abbas, ‘bila mana Allah menyebut perkataan nafsu ‘al-hawa’ di dalam al-Quran, pasti Dia mencelanya. Dari sini jelaslah maksud kenapa diturunkan syariat iaitu untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut nafsu.”

Kawan, ku bawakan firman Tuhan.

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada nabi Muhammad s.a.w.). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.” (An-Nisa’ 4: 51-52)

Kau tahu kawan apa kata Ibn Taimiyah pada membaca ayat Tuhan ini? Begini katanya, ‘Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu perkara di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang-orang yang beriman. Samalah juga keadaannya sebagaimana sebahagian manusia mengutamakan pendapat ahli falsafah dan kerajaan jahiliyah berbanding orang yang beriman kepada Allah, kitab Allah dan RasulNya. Begitu juga Allah mencela orang yang mengaku beriman dengan seluruh kandungan kitab-kitab Allah tetapi mereka tidak menghukum dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka rela berhukum menurut taghut yang diagungkan selain dari Allah. Demikian jugalah yang terjadi pada golongan yang mengaku Islam tetapi mereka menjalankan undang-undang mengikut pandangan ahli falsafah atau mereka memerintah menurut sistem politik bukan syariat Allah. Apabila diseru kepada mereka: ‘Marilah kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasulnya!’, mereka palingkan muka mereka dengan bersungguh-sungguh.”

Ah sudah, aku tidak mahu berbasah basi. ‘Pilihlah, sama ada mahu menerima syariat Allah ataupun mengikut keinginan orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah diantara syariat yang lurus dan nafsu yang berubah-ubah.’ Kata Syed Qutb. Kemudian beliau lanjutkan ‘Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya bertindak berhukumkan nafsunya. Tiap-tiap sesuatu yang lain dari syariat Allah adalah nafsu yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.’

Nah, seperti kukatakan hidup ini antara wahyu dan nafsu. Jika kau berani menghina hukum Tuhan bermakna kau memilih nafsu sebagai kehidupan. Jika kau turuti ajaran wahyu, kau adalah benar, kau adalah benar. Kawan, fikirkanlah!

Bukan sekali ini manusia mengutuk Tuhan. Bukan baru hari ini manusia menghina ketentuan-Nya. Sudah acap kali manusia mempermainkan hukum-hukum Tuhan. Sudah berapa kali. Bukan Tuhan tidak tahu manusia kecil ini memperolok-olokkan ciptaan-Nya, ketetapan-Nya, titah perintah-Nya. Tuhan tahu. Tapi Tuhan masih memberi waktu. Kerna Tuhan masih sayang kamu. 


Dhiya’
Kuala Terengganu
16 Muharram 1433H

Rujukan:
Al-Quran Al-Karim
Imam Al-Syatibi, al-Muwafaqat, juzu' 6
Imam Ibnu Taimiyah, Majmu' Fatawa, juzu' 12
Syed Qutb, Fi Zilal al-Quran, juzu' 25 

Tuhan Suka Angka Ganjil

MALAM menjengah kelam, larut bersama kegelapan. Sedang aku, asyik menjamah mawaaid pada kitab Qatrul Ghaisiyyah fi Ilmil Sufiyyah. Sepertinya, aku juga telah larut, tapi bersama sinaran hikam. Dan aku harus berterima kasih pada Tuhan kerna mengirimkan aku ke tempat ini. Di sini aku bisa mendalami kitab-kitab tua ini.

Tulisan-tulisan ini sangat istimewa. Setiap kali aku membacanya, aku merasakan sebuah keindahan yang tiada taranya. Maaf, aku tidak dapat mengungkapkannya dengan tuntas. Tapi aku merasainya. Padahal dahulu, aku tidak begitu berkenan membaca tulisan melayu arab ini, memeningkan dan membosankan. Bahkan aku sendiri tidak faham. Benci? Nah, mungkin aku sudah termakan dengan petua ini, ‘jangan kalian terlalu cinta sesuatu, nanti jadi benci. Jangan pula terlalu benci, nanti jadi cinta.’ Benarkan, ternyata aku sudah jatuh cinta. Cinta pada kitab-kitab jawi lama. Syukur!

Sempat kubayangkan betapa indahnya ibarat-ibarat yang digunakan dalam gaya penulisan. Sopan dan menyenangkan. Bezanya dengan orang-orang hari ini. Tulisannya kasar dan jelek. Tidak sopan dan tiada susila. Kawan, cubalah baca tulisan kitab jawi lama, akan kau temukan keindahan dan keasyikan. Dan kata-kataku ini adalah benar. Percayalah.

Oh sudah lewat kawan, angka jam sudah berubah, 12.37. Ku letakkan kitab karangan Syeikh Husein al-Banjari itu. Aku mahu bersolat sunat angka ganjil.

Aku selalu ingat pesan Syeikh Termizi, ‘amalkan ilmu agar ianya terus-terusan lekat diingatan’. Kukira ada benarnya dengan petua Imam Ahmad bin Hanbal bahwa setiap hadis yang dihafal, amalkan sekali nanti pasti ingat. Mujurlah beliau mampu menghafal 750 000 hadis kemudian disaring menjadi 40 000 hadis yang termuat dalam Musnadnya. Subhanallah!

Sebentar...

Kawan, jika kau perasaan, orang melayu hanya solat angka ganjil ketika Ramadhan. Itupun kerna ikut imam. Tuhan! jika kita tahu kelebihan solat angka ganjil, kita akan berlumba-lumba melakukannya walaupun harus merangkak. Teliti kata baginda, ‘..sesungghunya Allah ta’ala memberi anugerah atau bantuan kepada kamu berupa satu solat yang lebih baik untuk kamu daripada unta berwarna merah..’

Unta merah? Kau tahu kawan berapa hilainya di zaman itu? Unta merah itu harta yang paling bernilai dikalangan bangsa arab, bahkan orang yang memilikinya hanyalah orang kaya dan punya kuasa. Nah, bagaimana kiranya solat angka ganjil itu lebih baik daripada unta merah? Kau fikirklah.

“...Barangsiapa yang mahu melakukan witir sebanyak lima rakaat maka bolehlah dia melakukannya, barangsiapa yang mahu melakukan tiga rakaat maka bolehlah dia melakukannya, barangsiapa yang mahu melakukan satu rakaat maka bolehlah dia melakukannya.”

INNALLAHA YUHIBBUL WITRI…

Tuhan suka angka ganjil.

Kawan, sunat witir yuk!


Dhiya’
Kuala Terengganu
14 Muharram 1433H

***
Mawaaid – hidangan.
Solat angka ganjil – solat witir
Hukum solat witir – Mazhab Hanafi wajib manakala jumhur sunat muakkadah (dituntut).
Bilangan – Mazhab Syafie sekurang-kurangnya satu rakaat atau sekurang-kurangnya 3 rakaat lebih afdhal menurut pendapat Jumhur manakala 11 rakaat paling banyak.

Mahu jadi bidadari?

KAWAN, jika kau ke sini, ke kafe makanan. Kau akan ku perlihatkan kejadian Tuhan. Indah dan sungguh menawan. Benar aku tidak menipu. Tapi perlu kau tahu. Mungkin saja indah dipandangan, sebenarnya panahan syaitan.

Seperti ku katakan, tempat ini sering dipenuhi perempuan. Berasak-asakan. Maaf kukatakan, kadang menyusahkan kaum adam. Nah, barangkali perlu kusaranakan pada orang atasan, sediakan kafe makanan khusus untuk perempuan. Bisakan?

Aku melirik. Satu, dua, tiga...tidak bisa kukira. Kemudian aku berhenti. Perempuan, wanita, hawa, muslimah, betina...ah, aku jadi hampa.

Baru ku sedar, akhir-akhir ini kurasakan kelainan. Kafe tidak lagi indah dipandangan. Kelam bikin aku hilang perasaan. Kenapakah Tuhan?

Kuperhatikan perempuan-perempuan. Dan...

Bidadari itu?

Tiba-tiba aku jadi teringat bidadari itu. Sungguh lama aku tidak ketemu. Sudah lama aku tidak melihatnya, bersua atau bertentang mata. Oh, dimanakah bidadari itu yang saat terpandang, teringat Tuhan. Memandangnya, membuat ruh memuji Tuhan.

Tuhan, kemana perginya?

Apakah ini yang telah menghilangkan keindahan, yang membuat kelam hingga aku hilang perasaan. Barangkali bidadari itu sudah diangkat Tuhan. Andai sahaja perempuan-perempuan sinetron menjadi bidadari, akan segera ku pilih menjadi teman hati.

Mahu jadi bidadari?


Dhiya’
Kampus KUSZA
12 Muharram 1433H

Tuhan Sayang Aku

Lewat petang tadi, saat aku membelek-belek dokumen peribadi, aku bertemu sekeping gambar. Gambar itu ku selitkan dalam diari cintaku. Kukeluarkannya, kutatap dan kukucup perlahan. Perasaanku berbahagi dua, cinta dan rindu kemudian bercantum menjadi satu syukur. Maaf aku sendiri tidak pasti tahu teori perasaan bercantum itu. Yang pasti aku bersyukur pada Tuhan diutuskan malaikat-malaikat penyayang seperti mereka. Ibu dan ayah.

“Bagaimana kesihatanmu nak?” sayup-sayup suara sang malaikat penyayang, ibu. Ibu tersedu-sedu. Aku ikut sayu.

“Alhamdulillah. Baik bu...” suaraku balas dengan nada ragu. Jujur aku tipu. Tapi aku mahu jaga hati ibu. Tuhan, semoga malaikat tidak mencatat buruk amalku.

Sihat?

Ah, rasanya lima huruf itu sudah tidak lagi menyebelahi aku. Malah mungkin menjadi musuh. Benar betul kata Rasul bahwa di dunia ini ada dua hal yang selalu dilupai manusia, pertama masa sihat dan kedua masa lapang. Nah, barangkali akulah orangnya. Yang tidak memanfaatkan waktu sihat untuk ibadat. Ampun!

Kawan, beberapa hari lalu aku ditahan lagi di wad. Seharian aku bertarung dengan kesakitan. Nafasku turun naik laju. Aku ketakutan. Sempat kubayangkan Utusan Maut dihantar Tuhan. Oh, mati!

Sebentar...

Mujur Tuhan sayang aku lalu diberiNya aku waktu. Kesihatan masih mahu menjadi teman. Aku bisa kembali seperti kalian. Syukur!

Aku tidak lupa. Moga-moga aku tidak pernah lupa, waktu sihat adalah anugerah.


Dhiya’
Kampus KUSZA
10 Muharram 1433H

Waktu Melambai Pergi



Saat siang mulai mengeluarkan pakaiannya dari lipatan alam,  malam pun melambai pergi. Ada awam gelap berarak-arak perlahan. Bumi terang tapi langit kelam. Tidak lama, kemudian hujan!

Akhir-akhir ini hujan turun tidak menentu. Dua, tiga, empat kali atau sehari-hari. Kadang turun subuh-subuh. Sering juga turun malam-malam. Malah waktunya juga panjang, menyusahkan orang-orang bekerja, bersekolah, berkuliah dan bersolat jemaah. Alasan!

Kuingat waktu kecil dahulu, aku suka pada hujan. Hujan kuanggap teman, bukan sekadar meneman tapi juga pengertian. Aku tidak dapat menjelaskan pengertiannya tapi yang pasti dengan hujan aku dapat bermain air sepuas-puasnya – jika dirumah pasti dimarahi ibu -, - jika sampai banjir – bisa menangkap ikan-ikan, berenang-renang – meski aku tidak pandai berenang waktu itu – dan yang paling mengembirakan, aku bisa mangkir ke sekolah – kerna kerja sekolah tidak siap -. Kerna itu ku katakan hujan adalah teman yang memahami, lalu aku pun jatuh hati.

Kuintai keluar jendela, hujan masih tersisa, kupejamkan mata.

Dulu-dulu...

Seperti baru semalam aku ikut bermain bersama teman-teman di bawah limpahan hujan. Berkejar-kejaran keliling halaman, anak-anak sahut-sahutan keriangan. Hujan!

Memanjat pokok mangga dihalaman sekolah – walaupun digigit serangga -, mencuri buah kedondong milik nyonya tua, lalu risikonya dikejar anjing gila. Lari!

Memacing ikan haruan dikali, melestik burung di hutan, menangkap ketam di sungai– sakitnya jari diketip ketam -, memungut kerang di pantai...

Ulang-alik ke tempat mengaji Quran, walaupun terpaksa – sebetulnya aku malas mengaji waktu kecil – hingga buat ibu marah-marah. Degil!

Sering juga aku menjadi juara dalam pertandingan. Katakan saja pertandingan apa. Terutama main engkek-engkek. Ceh!

Main gambar, main getah, main guli, main congkak, main pondok-pondok, pura-pura jadi anak, mak, ayah atau nenek. Macam-macam.

Hari raya. Hari yang paling bahagia adalah hari raya. Dapat baju raya, duit raya, solat hari raya, makan kuih raya, berziarah dari dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Dari satu kampung ke satu kampung. Tidak tahu rumah siapa. Tidak tahu kampung siapa, semua diterjah dengan tujuan yang sama. Memburu duit raya! Semua itu tidak bisa kulupa. Bagiku hari raya adalah hadiah yang paling bermakna dari Tuhan untuk hamba-Nya. Terima kasih Tuhan!

Hari ini...

Nah, sekarang sudah tahun baru hijri lagi. Padahal baru tahun lalu kita bersua kenal. Bergurau senda. Ikut bermain bersama. Atau berjalan dititian pantai sambil bercerita tentang kita. Tapi semua sudah berubah. Kita sudah dewasa. Usia kecil itu telah pun terisi dengan pelbagai ceritaria suka dan duka. Waktu yang ada ini, waktu kita sedang dewasa. Manfaatkanlah sebelum menjelang hari tua. Kerna waktu tidak pernah menanti, bahkan ianya terus berlalu pergi.

Ya, waktu-waktu melambai pergi.




Dhiya'
Gong Badak
8 Muharram 1433H

Elton John?

AKU MASIH ingat, selain meniru-niru suara Richard Mark, ibu juga selalu mendodoikan aku dengan lagu Sacrifice. Seperti ku katakan, suara ibu lebih sedap dari penyanyi barat itu, kerna huruf R yang sering terdengar keras di atas lidah, sungguh menawan! Malah ibu sungguh-sungguh melagukan lirik inggeris itu walau tanpa iringan muzik. Dan aku masih ingat, ibu tidak pernah menyanyikan lagu sampai habis. Barangkali ibu hanya menghafal sebahagian liriknya atau mungkin kerna aku telah lebih dahulu terlena sebelum lagu selesai dinyanyikan. Yang pasti ibu tidak akan berhenti menyanyi sehingga aku benar-benar lena dalam buaian. Aku sayang ibu!

Lewat petang kemarin, tanpa sengaja, aku terdengar lagu itu, Sacrifice! Aku sangsi namun kemudian aku pasti itu bukan suara ibu, tapi aku jadi rindu. Liriknya, rentaknya..oh aku rindu pada ibu, hanya itu.

Kawan, aku tidak pernah mengenal penyanyi itu. Hanya setelah 20 tahun berlalu, nama penyanyi itu tiba-tiba mengungguli massa lewat konsert julungnya pada 22 November ini di Genting Highlands. Wajah tuanya terlihat di media. Elton John! Ah, baru ku tahu dia punya hubungan sonsang dengan pasangan sejenis. Cis!

Ku kira manusia sudah tidak siuman. Gila tahap gaban. Apakah sebenarnya yang ada dikepala mereka. Otakkah atau batukah? Ampun, aku bukan marah kepada penyanyi itu - aku berdoa semoga penyanyi itu diberikan petunjuk yang benar sebelum Izrail datang mengirimkan undangan dari Tuhan -, tapi aku merasa kurang senang pada mereka yang menghalakan acara seperti ini berlangsung di tanah air kita. Apa kau tidak merasakannya?

Merasakah kau kawan?


Dhiya’
Kuala Terengganu
20 Zulhijjah 1432H


Wajah Itu


HANYA lima kali orang Melayu pergi ke masjid. Saat menikah – itupun ramai yang tak jaga adab -, solat jumaat – itupun masih ada yang mangkir -, solat terawih – itupun awal-awal ramadhan- , pagi lebaran solat eidul fitri dan solat eidul adha.

Ada satu jam lagi solat eidul adha. Rasanya baru kemarin aku melirik ke langit, melihat awan-awan putih berjajaran, pejam celik mata, ‘eidul adha datang lagi, saat aku masih di sini, di bumi orang.

Aku melihat orang-orang memenuhi ruangan solat.  Aku memasuki pintu masjid, mengambil tempat di baris hadapan lalu bersolat sunat.

Laungan takbir sahut-sahutan memecah dinihari. Menusuk ke dalam nubari, menyelinap urat darah dan dalam denyut nadiku, dan perasaanku menjadi dua. Sedih dan bangga. Sedih kerna tidak dapat mengucup tangan ibu dan ayah di pagi yang mulia. Namun terselit rasa bangga, kerna pagi ini aku menyambut eidul adha disisi seorang ulamak yang aku cintai dan dicintai ummah. Aku bangga!

Jam sudah menghampiri angka sembilan. Laungan takbir dihentikan menandakan solat bakal bermula. Aku merinding melihat puluhan orang-orang memenuhi ruang masjid. Beberapa orang melangkah masuk dari pintu hadapan berhampiran mimbar masjid dan...ditengah kelibat orang-orang itu aku melihat beliau. Dengan jubah putih dan serban yang ditata rapi, dia melangkah dengan penuh wibawa, mengambil tempat di hadapan. Bilal pun mengisyarat panggilan sembahyang.

“Allahuakbar!” beliau mengimamkan solat.

Semasa membaca ayat-ayat al-Quran, suaranya terdengar serak dan terbata-bata. Seperti hampir hilang ditelan usia. Aku yang menjadi makmum dibelakangnya tersedu sayu. Suara itu terlalu istimewa buatku. Kerna suara itu telah diwakafkan untuk perjuangan Islam, mendedikasikannya dalam wadah Islam, terutama untuk membangun umat yang dahagakan petunjuk Islam. Suara yang diguna ketika melantunkan pesanan di mimbar Jumaat. Suara yang ditiupkan untuk menghidupkan semangat para pendokong perjuangan. Demi Allah! Suara itu menjadi serak dan terbata-bata kerna setiap masa melaungkan semboyang-semboyang jihad. Suara keramat itu akan terus mengalir dalam saluran darahku dan menjadi nadi yang terus berdenyut menghidupkan ruh jihad. Aku jatuh cinta pada suara itu.

Setelah memberi salam beliau naik ke mimbar dan memulakan khutbahnya. Tidak seperti ketika mengimamkan solat, suaranya padu dan penuh semangat di atas mimbar. Dengan suara lantang beliau membawa para hadirin untuk menghayati satu persatu sirah pengorbanan nabi Ibrahim dan sanak keluarganya. Diselangi ayat-ayat al-Quran dan hadis yang diingat dikepala menjadikan pidatonya tajam dan terkesan.

“Marilah kita menyambut hari raya adha, hari raya korban ini, dengan menjadi orang Islam. Menyerah diri kepada Allah. Menerima syariat Allah. Menerima peraturan Allah. Menerima hukum Allah!” tegas beliau penuh semangat. Aku memerhati beliau di atas mimbar dan mendengar setiap butir ucapannya dengan saksama.

“Dan marilah dimusim hari raya haji ini, kita berjanji sebagaimana orang-orang Madinah berjanji untuk berjuang. Menyerahkan diri, harta dan tanah air mereka untuk didirikan kerajaan yang beramal dengan syariat Allah ta’ala. Itulah makna hari raya korban yang perlu difahami oleh kita semua. Marilah kita fahami betul-betul dan laksanakan dengan ikhlas kerana Allah.” Hadirin jadi terpukau dan tersihir dengan kupasan sirah yang diselaraskan dengan realiti perjuangan.

Usai khutbah Eidul Adha, para hadirin berjajaran mengambil kesempatan menyalami beliau. Aku bergerak perlahan di celah puluhan orang-orang, aku ikut berbarisan. Sampai giliranku tiba, aku mencium tangannya dengan takzim. Tidak seperti orang-orang lain. Aku memberanikan mengangkat kepala di hadapannya. Lalu perlahan ku kucup wajahnya yang suci dan bersih itu dengan penuh cinta dan penghormatan sebagai ganti ibu dan ayah. Wajah seorang manusia mulia, wajah yang dicintai penghuni langit dan bumi. Wajah itu sangat istimewa. Wajah itu.  Wajah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Salam Eidul Adha!


Dhiya’
Kuala Terengganu
13 Zulhijjah 1432H