AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Manus-Ia


KAWAN, percayakah jika ku katakan bahawa manusia dijadikan Tuhan dengan begitu istimewa?

Aku berkeyakinan kita adalah makhluk paling ajaib!

Begini biar aku ceritakan. Sewaktu aku berkunjung ke rumah sakit untuk Medical Checkup, aku melihat sebuah kejadian yang istimewa hasil ciptaan Tuhan. Kejadian itu bernama manusia. Ya, sejenis makhluk Tuhan yang ajaib.

Sebelumnya izinkan aku berbahasa ilmiah.

Manusia terdiri dari dua suku kata, iaitu Manus dan Ia. Manus ertinya jiwa, sedang Ia ertinya tubuh atau jasad. Ringkasnya, manusia adalah jasad hidup yang berjiwa.

Kerna itu Ibn Sina lewat dua karya monumentalnya berani mengutarakan teori "al–insan hayawan nathiq", manusia adalah haiwan yang berakal, terjemah mudah. Persis kalimat para Ulama Mantiq pada memberikan definisi manusia sebagai hayawan nathiq. Iaitu makhluk hidup bernyawa yang mampu berbicara. Bermakna kejadian manusia terdiri dari jasad dan jiwa. Kemudian dilengkapi dengan ruh dan nyawa bagi menggerakkan jiwa raga tersebut. Maka manusia dilengkapi dengan empat unsur utama, jasad, ruh, akal dan nafsu. Ku simpulkan kepada dua, jasmani dan ruhani.

Nah, percayakah kau kawan, kita adalah makhluk istimewa?

Jasmani. Jika lapar perlu makan, jika dahaga perlu air, jika sakit tangan, perlu ubat, jika sakit kepala perlu panadol, jika buasir perlu...kau jawab sendiri.

Manusia! Oleh kerna punya akal, bila sakit mereka segera ke hospital bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Ada yang sakit mata, patah kaki, mengandung, demam panas, kanser, patah tangan, digigit nyamuk. Meski harus bersesak dan beratur panjang seumpama semut kecil. Walaupun harus keluar berpagi-pagi atau mesti menunggu berjam-jam lamanya. Mereka tidak pernah kisah, yang penting kebutuhan jasmani mereka dapat dipenuhi. Yang penting sakit mereka dapat dirawati. Lima jam menunggu giliran, lima minit mendapat rawatan. Atau tujuh jam menanggung kesakitan, bila bertemu doktor malah dijawab, “sakit sikit saja ini, saya bagi ubat bla...bla...encik makan, lepas itu baiklah ya.”

Nah, inilah yang ku perhatikan di rumah sakit lewat pagi Rabu yang damai. Rumah sakit dipenuhi hayawan nathiq, makhluk Tuhan yang berakal. Aku mengira jumlah pengunjung hospital tidak kalah ramainya dengan pelanggan kedai-kedai membeli belah seumpama Maydin. Ada yang tua, muda, kanak-kanak, perempuan, lelaki dan pondan. Cuma bezanya di Maydin pengunjungnya berwajah ceria dan gumbira meski harus mengeluarkan uang beringgit-ringgit. Manakala di rumah sakit para pelanggannya berwajah muram kusam (bermuka 00.15 sen) kerna harus membayar bil-bil kesihatan. Yang pastinya penswastaan Rumah Sakit membunuh rakyat!

Itupun belum tentu sihat wal afiat sepenuhnya. Berbaloikah?

Bersambung...


Dhiya’
Kuala Terengganu
23 Rabi’ul Akhir 1433H

Surat Cinta Dari Doktor



MAGHRIB TADI, meski hujan turun terus-terusan dari arah langit, tiada seorang makhluk Tuhan yang mahu bertanya; mengapa hujan tidak keluar dari perut bumi? Maksudnya, keluar dari Tanah. Barangkali itu termasuk pertanyaan yang dikategorikan sebagai soalan remeh. Terpulang.

Maka malam ini aku berkeyakinan manusia penghuni bumi masih melakukan aktiviti harian yang sama. Sementara jika kawan bertandang ke kampusku, begini suasananya; Kafe makanan dikunjungi lelaki perempuan, makan, nonton, sembang...mengumpat?. Students Halls (yang baru siap dibina itu) tentu dipenuhi orang-orang yang kuat studi, ada yang berlima, berempat, bertiga dan paling sadis yang berdua-duaan lelaki perempuan tanpa ikatan sah. Kemudian akan kedengaran bunyi motor yang dibuat-buat untuk menarik perhatian. Di bilik asrama, ada yang sedang menonton filem, mendengar lagu, menyanyi, menulis thesis atau assignment, berusrah, atau ada yang sedang tidur dan...ah, terlalu banyak untuk aku jelaskan di sini. Tapi aku pasti, jika kawan ke sini pasti kau akan tersenyum geli.

Sedang aku, barangkali tidak tergolong dalam kesemua perilaku di atas. Kerna malam ini aku bertugas menggantikan detaktif conan, mencari-cari buku ‘janji temu’ hospital. Hu...

Ku kira malam ini sudah masuk hari kelima aku memburu buku kecil itu. Seandainya detaktif conan wujud, tidak perlulah aku bersusah-susah begini memikul tugas sebagai detaktif. Padahal waktu kecil aku termasuk anak yang paling tidak mahir mencari barang-barang kepunyaan ibu di rumah. Di suruh mencari gunting kain yang dijumpai gunting misai ayah. Mana tidaknya ibu naik geram. Sehingga aku harus menyerah diri pada ketentuan takdir. Dan ku kira malam ini peristiwa lalu berulang lagi, lain yang dicari lain yang ditemui.

Kau tahu apa ceritanya kawan, malam ini aku bertemu dengan kepingan-kepingan kertas kekusutan. tulisannya sedikit pudar. Ku yakin kertas itu bukan buku janjitemu hospital kerna yang tertulis begini, ECHOCARDIOGRAPHY REPORT.

Mengertikah kau kawan maksud aksara berhuruf besar itu. ah, aku sendiri tidak mengerti. Maafkan aku. Tapi yang pasti aku yakin itu adalah ‘surat cinta’ dari rumah sakit.

Ku tatap lalu ku baca dalam hati setiap yang tertulis.

220210

Maaf sekali lagi kawan, aku hanya dapat membaca nombor-nombor itu. Hanya itu yang aku fahami daripada tulisan surat ini. Kau tentu tahu bukan, betapa sukarnya membaca dan memahami tulisan para doktor, lebih sulit dari membaca dan memahami tulisan anak-anak di sekolah tadika.

Tapi sekurang-kurangnya aku mampu tersenyum rindu membaca surat cinta dari doktor itu. Lalu dengan sendirinya perasaanku berubah sayu. Air mataku jatuh.

Ternyata abjad itu benar-benar menyihir. Kawan, meski ianya tampak sebagai nombor-nombor kaku, kau boleh menta’bir apa sahaja samada ianya adalah rumuz matematika atau mungkin kau sangkakan flat kenderaan, juga barangkali kau kira sebagai nombor Toto (nombor ekor) pemberian doktor. Itu menurut perkiraanmu.

Sebetulnya ia bukan hanya nombor-nombor kaku seumpama rumuz matematika atau nombor flat kenderaan atau juga nombor toto, tapi abjad itu adalah ringkasan untuk sebuah tarikh. Tarikh keramat yang tidak akan pernah aku lupakan selama hidup. Kerna bermula saat itulah hidupku telah berubah.

22 Februari 2010

Itulah tarikh mula-mula aku dibawa ke hospital. Itulah waktu pertama aku menghidap sakit. Itulah permulaan sebuah jalan baru dalam umur hidupku. Dan sejak itulah aku harus bertarung untuk hidup hingga ke hari ini. Berjuang demi menghabiskan pengajian. Bertarung untuk hidup menjadi sebagai seorang manusia sihat sepertimu kawan. Meski terlalu banyak cabaran yang harus aku tempuhi, hidup sebagai manusia separa normal. Terkadang aku cemburu kepada manusia-manusia sihat di sekelilingku, mereka bisa bebas berbuat apa. Mereka mampu bergerak pantas dan melakukan banyak perkara. Ketika orang-orang sibuk menyiapkan kerja-kerja, aku sibuk melayan kesihatan. Ketika teman-teman berjuang meningkatkan prestasi, aku harus berjuang melawan rasa sakit. Ya, aku harus berjuang demi melangsungkan sebuah kehidupan, hidup untuk menjadi manusia SIHAT.

Hargai waktu sihatmu kawan!


Dhiya’
Kampus Gong Badak
20 Rabi’ul Akhir 1433H 

Dan Berilah Sebanyaknya



“Macam mana ustaz tahu orang tidak solat Subuh?” tanya seorang peserta kem.

“Ustaz, tengok muka saya. Solat Subuh tak?” temannya menghangatkan soalan. Mereka kelihatan saling berpandangan, kebingungan?

Ku tatap wajah halus adik-adik peserta kem Imam Muda ini, lalu dengan sendirinya aku tersenyum. Paras rupa mereka benar-benar melucukan. Muka yang dibuat-buat, atau benar-benar kebingungan. Ternyata, mereka benar-benar mahukan jawaban atas persoalan yang diajukan.

Aku mendiam dan hanya menyua seurat senyuman.

Berilah Sebanyaknya...

“Zaid, malam nanti demo kena buat slot muhasabah ye...” ujar Bukhari.

“...slot menangis-nangis...” senda Pengurus masjid Ladang, Encik Amir.

Sebetulnya aku tidak punya persiapan yang cukup dan lengkap untuk mengendalikan slot ini. Yang benar aku terlewat maklum. Salahku mungkin kerna tidak peka dengan program, atau sebenarnya kami punya masalah komunikasi?

Aku cuba berbasah-basi dengan pengarah program, temanku sendiri, akh Bukhari. Memberikan satu dua alasan rasional. Ku nyatakan padanya aku tidak pandai mengendalikan slot ‘menangis-nangis’.

“Kenapa aku?”

Kau tahu kawan, apa dijawab oleh temanku ini yang membuatkan aku mati kutu.

“Hari itu demo bagi kuliah maghrib tentang Rasulullah, orang puang nangis dengar. Aku kabo da ke Datuk. Molek dah tu.”

Tuhan...!

Barangkali ini untuk pertama kalinya aku mengendalikan slot Muhasabah. Ditambah dengan persiapan yang serba kurang bersama kudrat yang sedikit, aku hampir mengalah. Jujur, aku merasa belum mampu membuat orang ‘menangis’. Ditambah dengan keadaan tubuh, petang itu ntah dari mana asal muasalnya dengan tiba-tiba kepala ku menjerit kesakitan, tubuhku lemah tidak berdaya. Fikiranku kosong.

Selepas Asar aku mencuri waktu untuk istirehat, ku gunakan masa singkat itu untuk mengumpul kudrat. Moga-moga dengan rehat yang sedikit ini mampu memulihkan.

Kawan, tidak ku duga ilham datang ibarat titisan hujan, turun dari langit membasahi dan menghangatkan. Ternyata dalam tidur aku dibisiki malaikat pengasih, “Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyakknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyakknya...”

Aku bangkit dengan penuh semangat, bersama ilham malaikat yang tertulis terang ‘hidup untuk memberi’. Aku persiapkan diri, masa ada berbaki sejam lebih. Ku munajat pada Tuhan, ku bisikkan kata-kata azimat, ku yakin Tuhan bersama orang-orang yang ikhlas MEMBERI.

Dan senja itu saat mentari memancar malu, dengan senyuman mekar aku berbisik sendiri, “Dhiya’, terus bersinar ya..!”

Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyakknya.


Dhiya’
Masjid Al-Muktafi Billah Shah
23 Rabi’ul Awwal 1433H

Mevlid-i Åžerif 1433H



UDAH SETAHUN. Ya, udah setahun berlalu. Saban malam sebelum beradu, aku akan bersua dan berbicara dengannya. Dan setiap kali bersamanya aku senang sekali, terkadang aku senyum sendiri-sendiri, ada waktunya mataku sengaja basah, terkadang perasaanku jadi penasaran. Ntah mengapa setiap kali membacanya air mataku menitik rindu. Kerinduan yang tiada terkirakan.

Malam-malam itu ku berusaha untuk mencari. Kuselak helaian demi helaian. Kulirik lembaran-lembaran bercatatan. Kuamati baik-baik setiap patah kata tertulis. Begitulah aku, saban malam sebelum beradu, bersua dan berbicaranya dengannya, melirik, mengamati, merenung dan memikirkan lalu akhirnya timbul kerinduan. Aku berusaha membayangkan namun masih belum bisa mantap menggambarkan wajahnya. Wajah seseorang yang belum pernah dilihat dan ditemui. Ah, sukar sekali.

“...tidak tersangat tinggi dan tidak juga tersangat rendah dan wajahnya tidaklah terlalu putih seumpama air kapur dan tidak pula pula pucat pudar. Rambutnya tidak terlalu lurus dan tidak pula terlalu keriting (seperti orang-orang Negro)...”

“...tidak tersangat tinggi dan tidak juga tersangat rendah tetapi memiliki tubuh badan sebagaimana yang terdapat pada orang-orang yang sederhana. Rambutnya tidak terlampau lurus dan tidak juga terlampau berketak-ketak tetapi berkeadaan berombak-ombak (ikal). Badannya tidak gemuk. Begitu jugalah wajahnya tidak bulat tetapi bujur. Warna wajahnya biasa dengan sedikit kemerah-merahan. Matanya tersangat hitam dan bulu keningnya panjang. Tulang-tulang sendi di badannya tebal (besar – pergelangan tangan, siku dan lutut). Bahagian di antara kedua-dua bahu dipenuhi daging-daging (berisi). Badannya tidak berbulu (tidak ada bulu-bulu seluruh badannya, walau bagaimanapun terdapat suatu barisan bulu daripada dada terus ke pusat. Tangannya yang mulia penuh dengan isi-isi daging. Apabila dia berjalan, akan melangkah ke hadapan dengan kukuhnya, seolah-olah baginda berjalan menuruni tanah curam, menurun daripada tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Apabila baginda menumpukan perhatiannya kepada seseorang, baginda melakukannya dengan menghadap seluruh jasadnya (menoleh seluruh tubuhnya yang mulia dan wajanya yang bercahaya untuk memberikan perhatian)...”

“...wajahnya berseri-seri dan dahinya luas. Keningnya tipis dan melengkung dan tidak bertemu. Di antara keningnya terdapat satu urat yang akan timbul apabila dia murka. Hidungnya yang mulia mancung dan bercahaya. Pada sekali pandang seorang pemerhati akan mendapati hidungnya besar tetapi apabila diperhati secara halus maka dia akan mendapati bahawa hidungnya mancung adalah disebabkan cahaya dan bukanlah sebenarnya besar...”

“...janggutnya yang mulia berkeadaan lebat. Anak matanya tersangat hitam. Pipinya rata (tidak cengkung), berisi tidak kendur. Mulutnya sederhana luas, giginya kecil dan bercahaya (dan tidak besar). Di antara gigi-gigi hadapannya terdapat sedikit jarak dan tidaklah rapat sangat di antara satu sama lain...”

“...lehernya kurus dan cantik untuk dilihat seumpama besi yang tercanai dan warna kulitnya cerah dan menarik seperti perak...apabila dia membuka baju, badannya nampak berkilat dan berkilau...”

“...aku tidak pernah melihat seorang yang wajahnya terlebih tampan dan kacak, sama ada sebelum atau selepasnya...”

Hati ini, masih merindui. Saat aku masih sendiri, sama seperti malam yang sudah-sudah, tanpa ada yang menemani, melainkan hanya sebuah tulisan, Syamaail Muhammadiyah.

Aku akan terus menyelak lebarannya, mengulang membacanya, merenung isinya, memikirkan, membayangkan dan terus mengkhayalkan. Dan malam ini sama seperti malam-malam itu. Aku masih tetap terus mencari.

Tuhan temukan aku dengannya.

Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala alih sayyidina Muhammad.

Assalamu ‘alaika ya Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam.


Mevlid-i Åžerif 1433H

Dhiya’
Kuala Terengganu
13 Rabi’ul Awwal 1433H

Falling In Love...


RASANYA baru seminggu lebih aku bekerja, tapi terasa seperti sudah berbulan-bulan. Kadang timbul rasa, seperti baru kemarin aku bekerja. Kenapa begitu?

Jawaban pertama. Aku mula bekerja pada pertengahan bulan yang lalu. Seingat aku tanggal 19 Januari. Nah, sekarang sudah 29 Januari. Bermakna benar sudah seminggu lebih aku bekerja.

Jawaban kedua. Sesetengah orang bekerja merasa sudah lama dengan tugasnya, padahal belum pun sampai sebulan atau seminggu. Barangkali kerna bosan dan tidak ada hati dengan kerja yang dilakukannya. Sebahagian yang lain merasa bekerja sudah lama, kerna banyaknya kerja dan tugasan yang dilakukan setiap hari walaupun sebenarnya baru beberapa hari dia bekerja. Ada juga orang yang merasa sudah lama bekerja di sesuatu jabatan, kerna memang sebenarnya sudah lama bekerja dan menunggu harinya pencen.

Dan aku termasuk kelompok bahagian kedua, bekerja 10 hari untuk kerja 10 bulan. Al-waajibaat aktsaru minal auqaat, ‘tanggungjawab dan kerja yang dilakukan melebihi waktu yang ada’, kata Imam Al-Banna.

Jawaban ketiga - rasa seperti baru kemarin bekerja - adalah jawaban yang sukar untuk kujelaskan, sukar tahap gaban. Kerna ternyata ia bersangkutan soal hati dan perasaan. Maka kalian harus selami jiwaku untuk menemukan jawaban.Silakan.

Kesimpulannya ku nyatakan,

Kawan, ikhlaskan dirimu melakukan tugas kerna Allah ta’ala. Pasti kau akan merasa senang dengannya.

Fall in love with your job!


Dhiya’
Masjid al-Muktafi Billah Shah
6 Rabi’ul Awwal 1433H   

Sang Maha Karya

KENAPA YA, pada masa kecil-kecil kalau guru menyuruh melukiskan permandangan, selalu begini stailnya; lukis dua bukit bentuk V terbalik, lukis matahari dipenjuru atas kertas lukisan dan antara kedua bukit bersegi separah serta bermata dua dan tersenyum, lukis burung-burung menggunakan huruf M...???

Waktu dibangku sekolah, aku paling mencinta subjek Pendidikan Seni. Dengan hanya mengoperasikan otak kanan, bagiku ianya tidak sulit, tidak sukar dan tidak dependensi. Aku cukup senang mengikuti kelas-kelas lukisan. Aku berani mengaku, yang aku tergolong murid paling rajin hadir ke bilik Seni, tidak pernah mangkir meski sekali. Bangga!

Tapi yang benar, biar aku terus-terang, aku bukanlah seorang superior sebanding Da vinci, sang pelukis Mona Lisa yang terkenal itu. Buktinya sehingga kini aku tidak menjadi seorang artist...tu kan.

Arca Tuhan

Sore itu, di kaki langit matahari menyinar tapi dengan rasa malu kerna ada awan-awan lembut menengkup. Petunjuk hari beransur senja. Gunung dan bukit berjajaran, melatari nuansa alam, membentuk sebuah banjaran. Ya, Banjaran Titiwangsa.

Banjaran yang menganjur kira-kira 500km itu tampak gah mendasari bumi. Dilitupi gumpalan putih yang saling menyatu menjadi tasik kabus, indah dan menggoda.  Kuperhatikan seni arca itu dengan teliti dan saksama. Indah dan memukau. Tenang dan mendamaikan.  Aku jadi terpesona. Maaf, tidak hanya terpesona, aku takjub. Sempat kuberbisik, andainya ia sebuah lukisan, tentulah ianya sebuah karya paling sempurna sekali. Yang tidak akan pernah ada seteru tandingan. Walau ditangan Da Vinci sekalipun, sungguh tidak akan pernah!

Aku merenung tajam, berfikir kemudian aku tenggelam dengan samudera kejadian, langit, awan, bukit, gunung, matahari, kabus, udara,  tasik, tumbuhan...

Ah, kejadian yang seindah ini. Ada yang bercahaya, ada yang berarak, bergerak perlahan, ada yang terpaku kaku. Jingga, biru, putih, hijau. Ada yang terliputi arah dan tempat, di atas, di bawah, timur, barat, utara dan selatan. Reka cipta yang penuh teliti, diatur rapi. Tona warnanya kontras tapi serasi, hidup dan menyegarkan. Seperti lukisan baru siap.   Semuanya kelihatan ajaib. Menyihir. Bikin hatiku terketar takzim. Hebat!


“Oh, siapakah gerangan sang pemeta yang hebat ini?”

“Dan Sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka itu: ‘Siapakah Yang menciptakan langit dan bumi?’ sudah tentu mereka akan menjawab: ‘Allah’...”

Allah!

Sang Maha Karya.


Dhiya’
Kuala Terengganu
24 Safar 1433H

Terima Kasih Tuhan


MUSIM PEPERIKSAAN selalu seperti ini, memenatkan dan meletihkan. Fikiran dan tenaga digunakan sehabisnya. Makan dan tidur? Usah dikira.  Mujur di dewan peperiksaan semua berjalan baik, tenang dan tidak menyulitkan. Empat madah pertama benar-benar menguji.

Tadi, usai madah Falsafah Akhlak aku kecapekan. Empat malam turut-turutan bergadangan. Dan semalaman aku bergadang lagi, menghafal kalimat-kalimat falsafah berbahasa Arab, begitu menyulitkan. Sempat ku ta'bir bahwa peperiksaan sungguh menyeksakan. Ampun!

Malam ini aku mahu menunaikan haknya tubuh. Istirehat. Paper seterusnya akan bersambung Sabtu ini dan berakhir Isnin nanti. Aku masih punya tiga madah; Haqaiq al-Tasawuf, Muqaaranah al-Adyan dan Kemahiran Komunikasi.

Sambil istirehat, menghimpunkan kudrat yang telah tergunakan, sambil menikmati suara ustaz Haji Razdi Kamarul Hailan mengalunan ayat suci al-Quran, kutatap helaian-helaian yang tertulis pada kitab Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan, tulisan al-Arifbillah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathoni.  Kitab ini merupakan syarah kepada Hikam Abi Madyan yang diterjemahkan Syeikh Daud ke bahasa jawi lama.

Ikhlas kukatakan, mentelaah tulisan-tulisan Syeikh Daud al-Fathoni memang menduga. Kuambil contoh  Bughyah al-Thullab dan Furu’ al-Masa’il, perlu tekun dan cermat selain tahu bahasa Arab. Barangkali kerna tona bahasa, meski sulit dimengertikan tapi indah dan mengasyikkan sebenarnya. Syukur juga kerna aku diberi kesempatan bertalaqqi dengan Syeikh Mizi - guru yang sangat aku hormati dan cintai – Kealimannya, sifat waraknya, disiplinnya, rendah hatinya, sungguh benar memikat. Sekurang-kurangnya Allah memberikan kesempatan untuk aku mendalami ilmu. Paling tidak aku bisa merasakan lazatnya ilmu. Kerna antara anugerah besar Allah ta’ala kepada hambanya, diberiNya seseorang kesempatan untuk belajar dan mencari faham agama. Terima kasih Tuhan!

Jujur aku senang berada di sini. Di bumi Terengganu. Lebih-lebih lagi di tanah Kolej Ugama Sulthan Zainal Abidin, KUSZA. Tempat yang telah melahirkan  ramai cendiakawan Islam. Tempat yang dahulunya menjadi rujukan kerna khazanah ilmunya yang terjaga baik. Tanah yang pernah dijejak ‘alim ulamak, mendidik anak-anak bangsa. Tempat ini disimbahi keberkatan. Tanah ini berkat kerna telah diwakafkan untuk ilmu. Ya, semata-mata demi ilmu.

Tapi...

Tapi saat ini aku tidak tahu. Apakah masih ada keberkatan dari Tuhan? Apakah tempat ini masih dinaungi malaikat-malaikat penyayang? Memuji-muji dan beristighfar untuk penghuninya yang sedang menuntut ilmu. Masihkah? Atau rahmat dan keberkatan sudah diangkat ke langit. Atau syaitan-syaitan sedang berkeliar di sana sini.  Atau barangkali para malaikat sudah tidak tega mendoakan, kerna malu melihat tingkah kita. Atau tanah ini sedang menangis mengenang dosa noda kita. Apakah?

Tuhan, semoga tanah dan tempat ini masih seperti dahulu. Semoga keberkahan masih tetap terus tercurahkan. Semoga para malaikat masih sudi melindungkan sayapnya dan mencurah doa. Semoga tanah ini masih sudi berbakti menabur jasa. Kerna di sini masih ada yang ikhlas. Kerna di sini masih ada yang takutkan Tuhan. Kerna di sini masih ada yang sering menangis ditengah malam. Kerna di sini masih ada yang berzikir-zikir membesarkan Tuhan. Kerna di sini masih ada yang tekun mencari dan mengajarkan ilmu. Kerna di sini adanya pemuda, pemudi dan pendidik yang cintakan agama.

Kerna di sini...

Kerna di sini masih ada kami. Yang mencintaiMu dan mencintai agamaMu.

Peliharalah dan kasihani kami, Tuhan!


Dhiya’
Dewan Peperiksaan UniSZA
12 Safar 1433H