AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Warkah Walidani


Kehadapan
Anakanda, Zaid
Yang sangat dicintai dan dirindui
Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
Apa khabarmu nak? Apa khabar imanmu? Bagaimana amalanmu? Bagaimana hubunganmu dengan Allah SWT? Semoga baik-baik saja. Walid dan umi di sini baik-baik sahaja. Jangalah kau khuatiri. Tumpukan sepenuh perhatianmu pada mentelaah ilmu dan pelajaran. Dampingilah orang-orang yang soleh.
Dalam titipan ini ada yang walid dan umi ingin pesankan. Jarak yang jauh bukan penghalang untuk seorang ayah dan ibu mendidik anaknya. Bukankah anak itu adalah amanah Allah. Mendidiknya dengan acuan Islam itukan dituntut agama. Justeru berkisar dari itulah walid dan umi menitipkan pesanan ini.
Wahai anakku dengar dan perhatikan baik-baik pesanan ini.
Jika engkau hendak bersahabat carilah sahabat yang baik akhlak dan peribadinya. Tentu engkau sudah mempelajari hadis Rasulullah SAW yang satu ini.
“Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda: “Seseorang itu adalah menurut agama kekasihnya(sahabatnya). Maka hendaklah seseorang dari kalian itu melihat, meneliti benar-benar orang yang dijadikan kekasihnya itu.”
(Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Tirmizi dengan isnad sahih. Dan Imam Tirmizi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan)

Seorang sahabat itu sangat kuat pengaruhnya. Maka sebab itu Rasulullah SAW menekankan agar kita memilih seorang yang baik untuk dijadikan teman. Kau perhatikanlah baik-baik sabda baginda;
“Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Bahawasanya perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang  buruk itu bagaikan pembawa misik (kasturi) dan peniup api. Maka pembawa misik adakalanya memberi kepadamu, atau kau membeli padanya, atau kau mendapat bau harum daripadanya. Adapun peniup api, kalau tidak membakar pakaianmu maka kau akan mendapat bau busuk daripadanya.”
(Muttafaq ‘alaih)

Wahai anakku,
Jika seandainya kau bersahabat dengan seorang yang baik akhlaknya. Kuat ibadahnya. Teguh pegangannya. Nescaya kau akan mendapat manfaat daripadanya. Jika temamu itu orang berilmu, kau akan mendapat ilmu daripadanya. Jika temanmu itu baik akhlaknya, kau akan terbiasa dengan akhlak yang mulia. Jika ku berteman dengan orang yang kuat ibadahnya, kau pasti terdorong untuk turut sama beribadah kepada Allah. Jika temanmu itu cintakan majlis ilmu, kau juga pastinya turut mengikutinya. Rasulullah SAW sempat meninggalkan pesanannya:
“Sesiapa yang Alllah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnnya.”
Tapi jika kau berteman dengan orang yang jelek akhlaknya. Malas beribadah. Lemah daya juangnya dalam menuntut ilmu. Nescaya kau akan terpengaruh dengan akhlak buruknya. Tidak ada apa-apa yang mendorongmu untuk kuat beribadah. Dan akan luputnya kecintaanmu kepada ilmu. Yang pasti kau berada dijurang kecelakaan. Nauzubillahi min zalik!
Justeru anakku
Perhatikanlah baik-baik siapa yang hendak engkau jadikan sahabat. Sekira-kiranya apa yang disabdakan Rasulullah SAW itu sudah memadai untuk kau renung dan jadikan panduan.  Ada pesan daripada Saidina Umar al-Khattab yang perlu kau ingat. Katanya;
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah dikalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan diwaktu senang dan bekalan di waktu kesusahan.”
Bila kau bersahabat kau mestilah ikhlas, jujur, setia, dan sanggup berkorban demi kebaikan. Bajai persahabat itu dengan cinta dan kasih sayang. Dengan itu akan teguh dan kukuhlah ikatan ukhwah. Rasulullah SAW ada bersabda:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan kasih sayang kerana Allah dan juga marah kerana Allah.”
(Riwayat Imam Ahmad)

Betapa besar ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang bersahabat keranaNya. Maka ikhlaskan dirimu dalam bersahabat. Betulkan niatmu. Cinta dan kasihlah kepada temanmu hanya kerana Allah, semata-mata mencari keredhaanNya. Kelak diakhirat nanti kau akan termasuk dalam golongan manusia yang akan dinaungi oleh arasy Allah SWT dihari perhakiman kelak. Iaitulah orang-orang yang bersahabat dan berkasih-kasihan antara satu sama lain kerana Allah SWT.
Anakku, kau tentu menginginkan bagaimana mengecapi rasa kemanisan iman. Nabi SAW sudah mengajarkan barang siapa yang menyintai seseorang kerana Allah ia dapat merasai kemanisan iman. Sabda baginda:
“ Barangsiapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman. Pertama, jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain. Kedua, jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah. Ketiga, jika ia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.”
Wahai anakku,
Akhirnya ambillah peringatan ini baik-baik. Jadikan pegangan dan panduanmu untuk meniti hidup yang singkat di dunia ini. Semoga dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, dihitung oleh Allah SWT sebagai amal ibadah dan diberikan ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.
Umi ada menitipkan pesanan buatmu. Kata umi
“Zaid anak Umi, Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Ibarat matahari memancarkan cahaya, menerangi kegelapan. Maka berbuat baiklah kepada manusia, nescaya engkau akan dapat menguasai hati-hati mereka.”
Wahai permata hati,
Cukuplah sekadar itu untuk kali ini. Semoga nanti Allah masih sudi memberi kudrat untuk kami menitipkan pesanan untukmu.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, rahmatilah kami, dan masukkanlah kami dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amen.
Fatuba lil ghuraba’!
Wallahu’alam
Dari,
Walidaika

Jumaat. 6 November 2009. 18 Zulkaedah 1430H. 2.58 pagi.

Borneo’s: Tour De’ kipsas



Bersama sebahagian pelajar Borneo di KIPSAS.
Barisan hadapan, empat dari kanan. Hadi, Presiden Persatuan Pelajar Dakwah.
Barisan kedua. hujung sebelah kanan. Andi Syaban, Bendahari MPPKIPSAS 09/10.
Barisan keempat, hujung sebelah kiri. Kasrina, Naib Presiden MPPKIPSAS. 



Jam 12.50 tengah hari, saya baru tiba di kampus sekembali dari menghadiri program bersama adik-adik saya di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). Mereka terdiri daripada pelajar Sabah dan Sarawak. Program ini bagi meraihkan pelajar-pelajar tahun akhir yang bakal meninggalkan bumi KIPSAS nanti.
Saya dijemput untuk turut sama dalam majlis ini disamping memberikan amanat kepada mereka terutama yang bakal graduate. Ia satu penghargaan untuk saya.
Selaku mantan presiden persatuan, saya bisa berbangga dengan perkembangan mutakhir adik-adik saya di sini. Tahniah untuk adik-adik saya yang bakal grad. Juga tahniah kepada yang berjaya dilantik menjadi pemimpin persatuan. Laksanakanlah tugas anda dengan sebaiknya. Tunaikan amanah yang diberikan itu dengan sebaik-baiknya kerna sesungguhnya amanah itu akan dipersoalkan dihari penghakiman kelak.
Kepada adik-adik tahun satu, KIPSAS adalah ruang dan peluang untuk anda mengenal potensi diri terutama dalam medan kepimpinan dan di sana ada ruang untuk anda meraih kecemerlangan dalam pelajaran. Justeru berlumba-lumbalah untuk mendapatkannya.
Dan buat seluruh anak-anak borneo di bumi KIPSAS. Hiduplah anda sebagai manusia berjasa dan berguna. Jika harimau mati meninggalkan belang. Biarlah kita meninggalkan KIPSAS dengan ukiran nama  yang tercatat sebagai orang berjasa dan mulia.
Terima kasih buat semua. Meskipun saya berasa amat letih kerna memandu selama lebih kurang lapan jam pergi dan balik, ditambah dengan rasa mengantuk kerna belum tidur sehari suntuk, saya tetap merasa puas hati dan gembira. Esok saya akan berhadapan dengan paper pertama imtihan nihaie. Doakan semoga Allah mempermudahkan urusan saya!
Ma’at Taufiq Wan Najah Fi Imtihan!
Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM




Study Week



Minit-minit terakhir sungguh mendebarkan.

Jika dalam permainan bola sepak, minit-minit terakhir perlawanan adalah waktu yang paling genting dan mencemaskan. Boleh jadi pemain hampir hilang pertimbangan dan fokus apatah lagi jika keadaan tidak seimbang. Masing-masing berusaha meraih kemenangan. Itu tujuan mutlaknya.

Tapi bicara saya ini bukan bicara pengulas bola. Saya mahu berkata sesuatu yang lain, sesuatu yang lebih besar dan penting dari itu.

‘Peperiksaan Akhir’

Saya sedang melangkah mendekati saat genting yang mendebarkan. Dan sekarang saya sedang melalui minit-minit terakhir yang sungguh mengoncangkan seluruh tubuh saya.

Minit-minit terakhir ini adalah peluang dan ruang untuk meraih kemenangan nanti. Maka usaha perlu digandakan. Kerja keras mesti digiatkan. Daya fikir mesti lebih tajam dan cermat. Strategi mesti lebih mantap. Jangan menggelabah. Jangan hilang pertimbangan.

Maka ruang waktu yang ada ini manfaatkan sebaiknya. Harus kerja keras. Biar susah dahulu. Nanti senang kemudian. Jangan senang dahulu. Nanti susah kemudian.

Gunakan masanya sehabis baik. Peluang hanya datang sekali.

Study Weh!

Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM


Untuk Ini, Maafkan Saya

“Sebelum tido ni bagi sedikit ilmu yang boleh dikongsi.” kata akhir dari Asmar menutup bicara kami malam itu.


Dia seorang sahabat juga teman saya meniti perjuangan ini. Syukur saya dalam-dalam dapat mengetahui khabar baiknya meski perbualan sebentar cuma.

Saya masih dihimpit rasa mengantuk. Kepala terasa berat. Saya cuba mencari-cari sesuatu yang hendak saya kongsikan kepadanya. Menunaikan hajat seseorang itukan dituntut agama. Saya korek ingatan, tidak ketemu jawapan. Saya pandang kitab fiqh al-wajiz. Tiada. Saya belek kitab hadis. Masih kabur. Saya ambil kitab ulum Quran, siapa tahu saya akan menemukan sesuatu yang baik untuk dikongsikan. Namun saya kecewa. Saya tidak dapat berbuat apa lagi. Fikiran saya jadi buntu. Bukan tidak ada idea, cuma saya menginginkan sesuatu yang terbaik untuk diberikan. mungkin kerna sendi-sendi pada kepala seperti sedang bertelaga menyebabkan saya hilang tumpuan. Saya bertarung dengan sakit yang memuncak. Arghh!

Rasa sakit pada kepala membatasi saya untuk menunaikan hajat saudara saya ini. Saya berjanji dalam diri akan melunaskan hutang itu meski timbunan kerja lain belum dilangsaikan.

Hampir seharian ini saya langsung tidak ingat hal semalam. Lewat-lewat saya membuka inbox mesej pada telefon bimbit, saya jadi teringat janji saya itu. Harus dikongsikan ilmu itu. Lalu saya isyaratkan padanya perihal kisah dakwah nabi ke Thaif. Mungki dia sudah membacanya.

“Baca kisah hijrah nabi ke Thaif, semasa baginda bercakap dengan Adas. Di sana terselit cara Rasulullah memikat hati Adas. Contoh dakwah dari Rasulullah.” Balas saya ringkas. Mungkin dek keterbatasan waktu, sekadar itulah yang mampu saya ungkapkan.

"Asmar." Saya terbayangkan wajahnya yang penuh bercahaya itu. Kerut-kerut dahinya kerna terlalu memikirkan tentang dakwah dan agama seakan jelas kelihatan.

Saya rindukan dia. bicaranya. gelak tawanya. senyumnya. semua yang ada padanya. Dulu-dulu kami sering berbicara tentang agama, berbincang tentang dakwah, iman dan akhlak. Hari-hari yang kami lalui semua tersimpan 1001 kenangan yang saya tidak bisa lupakan. mungkin kerna jarak dan kesibukan menitip hidup. membatasi setiap tingkah kami dulunya.

Ibarat isi dengan kuku. Seperti itulah perihal kami. Semahunya ukhwah dan persahabatan ini terisi dengan ilmu dan pelajaran. Saling ingat-mengingat, pesan-memesan, nasihat-menasihati. Itukan panduan agama. Dan itu jugalah sebaik-baik pengisian dalam hidup berukhwah.

Dakwah, itu sangat istimewa untuk dibincangkan. Maka saya memilih kisah hijrah nabi ke Thaif itu sebagai materi perbincangan ilmu.

Asmar!


“Semoga anta menemukan kisah indah disebalik dakwah Rasulullah SAW itu.”

p/s: Asmar, maafkan saya kerna tidak bisa membagi masa untuk membajai ukhwah kita seperti dulunya. Doakan semoga Allah mempermudahkan urusan saya.


Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM

Ada Khadijjah Di Hatimu


::: Ada Khadijjah Di Hatimu :::

Budi pekerti yang sempat aku ketahui
Kebaikan serta tingkah laku yang sempat aku rasakan
Kedamaian yang senantiasa engkau pancarkan
Belumlah cukup untuk bisa menyamai keagunganmu sendiri, wahai wanita berakhlak Khadijjah.
Senda guraumu telah menjadikan damai orang-orang disekitarmu
Sepak terajangmu telah menimbulkan semangat insan lain
Untuk senantiasa menjaga kelurusan hati untuk berada di jalanNya
Wahai wanita berakhlak Khadijah,
Seumpama saat ini belahan langit terbuka
Niscaya malaikat penghuni langit dan semua insan bumi
Nampak tengah sibuk mendoakanmu
Mendoakan atas apa yang telah engkau persembahkan kepada siapapun yang ada disekitarmu
Hujan lebat, angin kencang,
Gelombang laut, petir yang menyambar..
Dipastikan tidak akan mampu mengusik
Keimanan di hatimu duhai wanita berakhlak mulia
Yang kutahu..
Yang engkau takutkan hanyalah Dia
Yang menggenggam jiwa setiap makhluk
Yang menimbang baik burut umat meski hanya sebesar zaroh
Ku yakin dihatimu hanya ada Dia
Rabb penentu batas awal dan batas akhir
Penyeimbang antara hidup dan mati makhluk
Salam untukmu wahai wanita pemilik hati selebar langit dan bumi

~bandung, 03 Peb 08/17.16 wib~

­­­­­
Kata-kata ini sememangnya sesuai untukmu. Wahai pemilik hati Khadijah!
“Ya Allah! Engkau berkati dan rahmatilah insan ini
Limpahkan belas dan kasih-Mu kepadanya
Redhailah insan ini serta ampunkan dosa-dosanya…”



Kawan, Jangan Disedihkan Hatimu

Di luar, cuaca kelihatannya terik. Matahari kian menghampiri waktu asar. Waktu-waktu seperti ini biasanya dijadikan selimut hayat untuk mengistirehatkan akal dan minda. Sedang saya masih menatap kitab Wajiz Fi Usul Fiqh, bersantapan dengan perbahasan Al-Ijmak. Lantas teringatlah kala dulu-dulu, kata orang minda sangat berat diwaktu seperti ini. Sukar hendak menerima mesej atau ilmu. Tapi saya? Huu…


“Ini kitab fiqh bukan novel cinta, boleh faham dan terima ke kalau study? Waktu ini tidak sesuai!” saitan membisik ragu.


“Ah! Lantaklah yang penting imtihan 'Open Book' nanti aku bisa menjawab dengan baik” akal cuba membela.


Sudah sejam lebih saya muraja’ah. Fikir saya semakin berat. Minda perlu direhatkan. Saya mencari hidangan lain, sebentar bersama alunan suara Ustaz Munif Hijjaz.


“Kawan.”


“Kawan apalah yang kau kesalkan
Kerna tuhan kau kehilangan kawan
Kerna kebenaran dihina
Jangan kau ragu dalam keimanan
Kadang-kadang kawan jadi lawan
Kadang-kadang lawan jadi kawan
Apalah disedihkan hati
Setipa insan di dalam kekurangan”


“Jangan sedih selalu tersisih
Bukan kau saja ditimpa malang
Ingatlah para rasul mulia
Lebih tersiksa menderita
mereka bahagia dalam derita
Mereka kaya didalam papa
Mereka memadai dengan tuhannya
Itulah kebahagian
Diwaktu sempit seorang diri
Kawan janganlah disedihkan hatimu”


Hati saya gerimis. Kolam mata bah dengan air mata. Lagu ini benar-benar meruntun jiwa saya. Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!


Seakan terdengar Uwais al-Qarni berbicara.


“Oleh kerana aku terlalu mengerjakan amar makruf nahi mungkar aku kehilangan kawan.”


Saya terbayang wajah mereka. Wajah sahabat, kawan, teman dan semua yang saya kenali, saya sayangi, saya rindui, yang ada dihati. Yang jauh dan dekat. Ada di Utara dan Selatan, fi masyrik wa maghrib. Yang mungkin ada disetiap penjuru dunia. Yang selalu menemani dalam doa saya. Mereka adalah du’at, mu’allim, tullab, ustaz, mereka adalah pejuang kebenaran, mereka para ghuraba’. Mereka yang berbai’ah pada Allah:


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar. (Mereka itu ialah): orang-orang Yang bertaubat, Yang beribadat, Yang memuji Allah, Yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), Yang rukuk, Yang sujud, Yang menyuruh berbuat kebaikan dan Yang melarang daripada kejahatan, serta Yang menjaga batas-batas hukum Allah. dan gembirakanlah orang-orang Yang beriman (yang bersifat demikian).
(Surah at-Taubah: 111-112)


Kawan jangan kau kesal!
jika kerna Tuhan kau kehilangan kawan,
kerna kebenaran diinjak.


Kawan jangan kau ragu jika kau beriman!
jika kau disisikan
Dibentak dan digertak.
Dihina dan direndahkan.
Dicaci dan dimaki.
Jangan kau bersedih hati!


Kerna itu sunnah orang berjuang.
Kau ingat, Rasulullah yang mulia
Para Sahabat, Assabiqun al-Awwalun


Mereka lebih tersiksa dan menderita!
Tapi dalam sengsara mereka bahagia
Dalam duka mereka gembira
Dalam papa mereka kaya


Rahsia apa?


“Orang-orang yang apabila dikhuatirkan oleh orang lain dengan mengatakan bahawa ramai orang telah berkumpul untuk menentang kamu dan kamu mestiah takut dan gerun kepada mereka; namun orang-orang yang beriman tersebut (tidak sedikitpun takut) bahkan iman mereka semakin bertambah dan mereka berkata: "Cukuplah Allah sebaga pembantu (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)". (Oleh kerana keyakinan mereka itu) maka mereka sebaliknya mendapat nikmat dan kurnia Allah. Mereka tidak mendapat apa-apa bencana pun. Mereka menurut jalan keredaan Allah. (dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar. Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.”
(Surah Ali Imran: 173-175)




"Cukuplah Allah sebaga pembantu (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya Segala urusan kami)".


Itulah Kebahagian.


Kawan janganlah disedihkan hatimu.


“Janganlah takut dan janganlah bersedih hati. Sesungguhnya Allah bersama kita.”


Selamat Berjuang!


Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM

PRK KIPSAS


Saya dimaklumkan minggu ini adik-adik saya di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) akan mengisi waktu dengan kesibukan berhadapan Pilihanraya Kampus (PRK) bagi merebut tampuk pemerintahan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dan hari ini adalah hari membuang undi. Mungin tempoh masa berkempen yang sekejap cuma akan membantutkan kemeriahan PRK, sama seperti dua tahun sebelumnya. Ditambah dengan sikap segelintir pelajar yang tidak responsive terhadap situasi kampus pastinya akan membenam terus pesta pilihanraya ini.

Suasana PRK di KIPSAS.

Sebenarnya suasana PRK di KIPSAS hanya sekadarnya. Tidak seperti IPT lain yang lebih terkehadapan. Di sini hanya dipertandingkan kerusi MPP. PRK dibahagikan kepada dua kerusi, iaitu kerusi Umum (calon Presiden mewakili lelaki dan calon Naib Presiden mewakili wanita) dan kerusi Jabatan (calon dari setiap jabatan).

Satu penyakit besar yang melanda pelajar tatkala tibanya pilihanraya adalah sentimen ‘ashabiyyah’ atau “department by department”. Ketaranya, dalam pertandingan merebut kerusi Umum, pengundi akan mengundi calon Jabatan masing-masing tanpa memandang dan menilai siapa calon yang bertanding. Baik buruknya, berkelayakan atau tidak itu semua bukan menjadi ukuran. Yang penting memenangkan wakil jabatan.

Sehingga pernah terdengar slogan dalam suatu siri PRK dulu-dulu.

“Undi calon jabatan kita, jika kamu undi calon jabatan lain kamu adalah pengkhianat dan penderhaka!”

Memenangkan jabatan sendiri, itu mulia dan menjadi kebanggaan pelajar dan pensyarah jabatan. Lalu PRK KIPSAS bukan lagi bertujuan mengangkat calon pemimpin tapi mengangkat jabatan masing-masing.

Lain dari itu, PRK sekadar mencukupkan syarat bagi mengisi kelompang atau kekosongan kerusi MPP yang bakal ditinggalkan oleh pimpinan lepas. Hal inilah yang menyebabkan hilangnya kualiti kepimpinan dalam MPPKIPSAS. Awal-awal lagi idealisme mahasiswa sudah dikaramkan. Jadi pimpinan yang lahir tidak lagi membawa idea perubahan yang dicipta dan digagaskan sendiri, bahkan mereka sendiri tidak pasti dan tidak punya arah tujuan yang jelas apabila memegang tampuk kepimpinan.

Atau mungkin ada yang berfikiran, semata-mata untuk menimba pengalaman. Perlu diingat MPP bukan tempat eksperimen untuk anda. MPP bukan tempat anda menambah koleksi sijil-sijil, bukan juga tempat anda meraih popularity. Keberadaan anda dalam MPP lebih besar maknanya dari semua itu.

Mahasiswa yang bertanding perlu ada gagasan idealisma yang hendak diperjuangkan lewat menjadi pimpinan kelak. Justeru seru saya kepada adik-adik yang bertanding, keluar dari tempurung yang sudah sekian lama memerangkap kalian. Pastikan anda bersedia untuk memimpin sejumlah besar pelajar di bumi KIPSAS itu dengan matlamat jelas. Dengan itu berbaloilah segala titik peluh, masa dan tenaga anda meneroka ruang kepimpinan. Dan ganjaran Allah SWT itulah yang lebih berharga!

Maklumat yang sempat saya perolehi, beberapa calon yang akan bertanding, 

1. Jabir, siswa Jabatan Dakwah dan Pengurusan semester III bertanding kerusi Umum (calon Presiden)– pertandingan tiga penjuru (pesaing: dua calon lain dari Jabatan Syariah dan Undang-undang).

2. Kasrina, siswi Jabatan Syariah dan Undang-undang semester III bertanding kerusi Umum (calon Naib Presiden) – pertandingan dua penjuru (pesaing: satu calon lain dari Jabatan Dakwah dan Pengurusan).

3. Syaban, siswa Jabatan Dakwah dan Pengurusan semester III bertanding kerusi Jabatan (calon exco siswa) – pertandingan lima penjuru (pesaing: empat calon lain dari jabatan).

4. Nur Ainul Basyirah, siswi Jabatan Dakwah dan Pengurusan semester III bertanding kerusi Jabatan (calon exco siswi) – pertandingan enam penjuru (pesaing: lima calon lain dari jabatan).

Kepada adik-adik saya yang bertanding, selamat untuk kalian, semoga Allah SWT memberikan anda kemenangan sesuai dengan kelayakan anda.


Akh Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM