AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan

Bertarung Dengan Waktu

MALAM ini aku tidak ke mana. Pengajian bersama penduduk Kampung Banggol terpaksa ditundah. Tubuhku lelah. Aku mahu istirehat sambil menyiapkan tugasan. Esok aku harus pergi. Menghadiri kuliah gantian bersama al-Mukarram. Temuduga kerja di masjid Al-Muktafi Billah Shah. Talaqi Quran bersama Syeikh Abdul Salam.

Sejak seminggu ini jadualku padat. Sebetulnya bukan hanya minggu ini. Hari-hari pun dipenuhi kerja-kerja. Sehingga aku harus memilih mahu menyelesaikan yang mana. Aku kesian pada tubuh. Keletihan tidak terjagakan. Ampun Tuhan!

Malam ini aku harus bertarung lagi dengan waktu. Berhadapan tugasan-tugasan berbaki -menyelesaikan laporan program, mengedit proposal tesis, mengemaskini kertas projek, menterjemah buku, membaca manuskrip tua, menyiapkan modul TQHM Consultant – oh, aku tidak dapat menyenaraikan semuanya. Aku harus memilih.

Diluar jendela suara penghuni flat riuh rendah. Sekali-sekala terdengar bunyi-bunyian filem dan permainan komputer. Dicelah-celah bunyi itu kedengaran nyanyian-nyanyian sumbang. Aku tersenyum mendengarnya, lucu. Nanti tengah malam, pasti suasana akan menjadi sunyi dan tenang.

Malam ini, sementara penghuni flat dibuai keseronokan, aku memilih untuk sedikit susah, bertarung menyiapkan kerja-kerja. Kumulakan dengan menyiapkan laporan. Tugasan ini harus dihantar hujung minggu nanti. Sebelum memulai, aku berwuduk. Semoga apa yang aku lakukan diberkahi Tuhan dan ini adalah pelajaran yang kupetik daripada kisah Imam al-Bukhari. Beliau sebelum menulis hadis yang dihafalnya, terlebih dahulu berwuduk. Kesannya, kitabnya masih dibaca sampai saat ini bahkan sangat bermanfaat untuk umat.

Tengah malam aku selesai menyiapkan laporan. Aku keletihan kerna beberapa jam duduk.  Aku bangkit menyediakan minuman. Suara-suara liar sudah lenyap ditelan malam. Sunyi dan tenteram. Aku putarkan bacaan al-Quran, sambil menghirup kopi susu, aku tenggelam dengan alunan kalam Tuhan, menusuk ke hati, sangat mendamaikan.

Aku kembali meneruskan pekerjaan. Kali ini aku akan belayar bersama lautan kata-kata hikam Syeikh Nafis al-Banjari. Aku harus teliti membaca manuskrip tua tulisan tangan ini. Meski aku merasa tidak sulit mengalihbahasa manuskrip lama ini, aku mesti cermat kerna ada perkataan yang kurang jelas dan sukar difahami maksudnya dengan tepat.

Menjelang tiga pagi aku kelelahan. Mataku terasa berat sekali. Aku menguap beberapa kali. Aku harus menangguhkan dulu kerjaan. Aku bangkit memperbaharui wuduk. Aku mahu bersolat sunat. Usai bersolat mataku kembali segar. Tapi tubuhku sedikit penat. Sejam lagi azan subuh. Aku mahu istirehat sebentar.

***

Usai bersubuh aku berwirid kemudian mengulangi hafalan Quran. Setelah Zuhur nanti aku harus temuduga kerja.

Mataku masih terasa pedih. Semalaman bergadang, aku hanya sempat tidur sejam. Mata mahu terpejam tapi ku lawan. Sengaja aku membuka komputer dan memeriksa e-mel, kalau-kalau ada pesanan dari teman-teman jauh. Tiada. Kubuka laman sosial facebook. Ternyata aku menerima pesanan dari seberang. Perlahan kubaca. Dan tidak terasa mataku basah. Berkali-kali aku memuji Tuhan atas kurnia-Nya. Tuhan sungguh Penyayang. Air mataku seka.

Waktu sudah mengangka hampir 10. Kututup komputer dan bersiap-siap ke kuliah. Sebelum pergi, aku bersolat Dhuha. Mengharapkan bantuan dan bimbingan daripada Tuhan dalam setiap denyut nafas. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.

Ketika aku sampai, al-Mukarram sedang memberikan pengajaran. Perlahan aku melangkah mengambil tempat di hadapan. Tidak sangka aku terlewat. Yang benar, aku kebingungan mencari kelas tadi. Al-Mukarram tenang menyampaikan syarahan.

Manusia yang sedang berdiri di depanku, beliau adalah orang yang sangat aku hormati. Aku masih ingat, waktu pertama kali mendengar pengajiannya di masjid universiti, aku jadi tertarik. Suara dan nada bicaranya mengingatkan aku kepada ayah. Sungguh aku jatuh hati pada suara itu. Lembut, tenang dan menduga. Sejak itu aku mulai mengikuti pengajiannya dan akhirnya aku membuat keputusan untuk berbai’ah atau mendapatkan talqin zikir Tarikat Qadiriah Naqsyabandiah padanya. Sekarang sudah genap setahun aku bersama tarikat ini. Kuperhatikan wajahnya, aku tenang.

Kuliah berakhir lebih awal dari waktunya. aku bergegas keluar dari bilik kuliah. Perut terasa kosong. Sejak semalam aku belum makan apa-apa. Pagi tadi aku hanya bersarapan air kopi susu dan sedikit kek roti. Aku mahu mengalas sedikit makanan.

Zuhur sudah semakin hampir. Habis menjamu makanan, aku bersiap ketempat temuduga. Ku ambil fail yang mengandungi dokumen-dokumen penting lalu memasukkannya ke dalam beg galas berwarna hitam. Sepuluh minit lagi azan akan berkumandang. Ku gapai mushaf al-Quran, aku mengulangi lagi bacaan, biar lebih kukuh hafalan. Tidak lama kemudian, azan pun sahut-sahutan. Aku bingkas, ku masukkan al-Quran dan kad mahasiswa ke dalam saku beg kemudian melangkah pergi.

Aku singgah di masjid universiti untuk solat Zuhur, setelah itu aku terus ke masjid al-Muktafi Billah Shah. Di atas kenderaan aku tiada henti mengulang-ulangi bacaan.

bersambung...


Dhiya’
Kuala Terengganu
19 Muharram 1433H

*Manuskrip bertajuk Sirr al-Asrar karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari QS
*Al-Mukarram Dr Abdul Manam bin Mohamed al-Merbawi (Khalifah Tarikat Qadiriah Naqsyabandiah)

Si Penanggung Dosa

Malam meski kelam, ada bintang-bintang yang bertaburan menghiasai dada langit di sisi bulan yang terang benderang. Suasana sepi, tenang, jernih, disebulungi tompokan-tompokan embun yang tipis yang merangsangkan perasaan sedih, bimbang dan rasa haru yang halus. Pada celah-celah tingkap ada tiupan bayu yang menghembus perlahan bersama panggilan-panggilan cinta,

“Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?”.

Aku bangkit membersihkan diri. Dengan rasa penuh kehinaan perlahan-lahan aku ratakan air ke setiap anggota wuduk. Seperti membasuh kotoran dosa-dosa. Sungguh-sungguh aku basuhi.

Dengan penuh takzim dan rendah hati aku mengangkat takbir, kedua telapak tangan ku benar-benar menghadap kiblat. Aku memasang niat sembari memandang tepat ke tempat sujud.

“Allahu ak...”

Ah, tiba-tiba sekujur tubuh berbaring manja di atas sejadah solatku. Yang hanya dibaluti kain tipis dan telus, dia tersenyum manja.

Astaghfirullah!

Kenapa Syafiqah tiba-tiba...? Mata berkelip seribu. Istighfar merewak pada bibir. Ya Allah, Ya Allah!

Syafiqah kelihatan tersenyum. Jari-jari kecilnya nakal bermain, perlahan-lahan menyelak kain pada tubuhnya. Dia mengoda-goda aku.

“Sayang, marilah. I miss U darling...” Dia menggilai tawa. Astaghfirullah! Aku pejamkan mata.

“Celaka! Berambus...” tegas aku dalam hati. Dia malah galak ketawa malah mengacah-acah aku untuk menidurinya. Aku menangis. Hati aku meraung. Tuhan! Tuhan!

Syafiqah. Sosok wanita muda cantik bertubuh mugil. Dia manusia keji yang telah membawa aku ke lembah nista. Dari satu hotel ke satu hotel yang lain dan dari sebuah bilik ke sebuah bilik kami kunjungi demi memuaskan nafsu serakah.

Aku tidak jadi bersolat. Setiap kali aku bertakbir, bayang Syafiqah datang menganggu-ganggu. Menjadikan aku tenggelam dalam kesedihan. Aku pejamkan mata. Aku menangis lagi. Oh Tuhan, hamba yang hina ini datang kepadaMu. Hamba ingin bertaubat, ya Allah. Air mata keinsafan jatuh berguguran melunturkan bayang-bayang Syafiqah, lenyap.

Aku duduk berpangku di atas sejadah. Dalam tangis yang masih tersisa di pipi, aku menggapai mushaf al-Quran. Aku selak lembaran demi lembaran kemudian membacanya dengan hati khusyuk.

Sewaktu aku sungguh-sungguh menekuni ayat pada surah At-Taubah itu, terbayang aksi-aksi asmara aku bersama Syafiqah. Jantung aku berdegup kencang.

Oh Tuhan, apakah ini? Mohon hentikan. Aku pejamkan mata. Malu dengan perilaku sendiri. Aku menangis lagi. Aku merasa kotor.. Tubuh terasa jijik. Tubuh yang pernah dirangkul dan dicumbu wanita tidak halal.

Aku menangis penyesalan.

Ayat-ayat suci pada mushaf seperti mengkeji-keji, menyumpah serapah aku.

“Maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang Ghaib dan yang Nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Jangan sentuh aku, jiwa kau kotor dan keji...Ah, kitab suci itu membentakku. Aku jadi menggigil ketakutan bersama derai air mata. Aku menangis dan terus menangis. Jika dahulu, aku sering galak ketawa. Puas bersama wanita yang tidak halal. Aku bangga, nekad dan berani melakukan nista. Tapi saat ini, di tengah malam yang pekat ini, hanya air mata ketakutan dan keinsafan bersama. Aku menyesal sesungguh-sungguhnya.

Air mata merambu-rambu. Ingatan pada Syafiqah sesekali hadir menganggu membawa ingatan pada tempat-tempat yang pernah ternoda dengan maksiatnya. Berkali-kali saya mencerca diri, aku merasa jijik dengan diri sendiri. Seluruh hati, ruh dan jiwa terasa kotor kerna dosa maksiat dahulu.

Aku termenung lama. Terkesima dengan apa yang aku alami. Hendak bersolat tidak bisa. Hendak tilawah juga tidak bisa, malah dicerca hina. Dikeji, keji, keji. Allah benar-benar tidak menerimaku, fikir ku. Hina sangatkah aku? Apakah aku sangat keji? Oh Tuhan, Engkau mengetahui bahawa aku hamba yang berdosa, akan kah hamba terus tersesat seperti ini. Aku benar-benar ingin menjadi hambaMu. Ya Allah, hamba bertaubat, hamba bertaubat kepadaMu...

Aku istighfar lagi. Terus-terusan. Ada titis air yang keluar dari mata, gugur berderai, pipi yang dahulunya pernah menjadi cumbuan mesra Syafiqah, bah dengan air mata.

“astaghfirullahal ‘azhim”

Tubuh terasa semakin lemah dan longlai. Nubari jadi keruh, terbenam dalam kegelapan, kesulitan dan kesempitan. Terus meraung menahan sakitnya benturan-benturan penyesalan yang bagaikan hujan lebat terus mendera tubuh. Aku berusaha membujuk diri, namun bisikan-bisikan nista membuatku hilang daya, panca indera gelap tanpa rasa, mata terbuka dan seluruh pemandangan berubah menjadi selubung pekat yang mengerikan, telingaku
mendengar suara-suara namun mendadak bagaikan dihambat dengan ketulian yang kelam, alam pemikiran lumpuh, kedua telapak tangan dan jari jari bergetar, hatiku bagai hangus terbakar oleh gemuruh lahar kerisauan.

Apa yang bisa aku perbuat? Aku tidak tahu, jalan keluar tanpa tertutup rapat. Rintihanku, raunganku, tidak didengar. Nuansa jadi kelam. Seakan aku hidup sendiri di alam ini. Akankah aku berputus asa?

Aku rebah terhenyak, mencampak wajah dikaki bumi. Aku menangis, menangis dan terus menangis. Lalu, ada tiupan bayu yang lembut menyelinap masuk pada celah-celah tingkap. Tiupan bayu rahmat, bisikan kasih, perdampingan yang mesra, timangan-timangan kepada jiwa yang lesu, fikiran yang gelabah dan hati yang menderita. Tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan. Tiba-tiba terdengarlah suara lirih dari Firman Tuhanku,

“Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kau berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ah, aku tersentak seketika. Ada yang sedang memanggil-manggilku. “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri..”

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

“..janganlah kau berputus asa dari rahmat Allah...” muncul harapan di hatiku. Jangan putus asa! Tiba-tiba batiku merintih lagi. Ah, tidak mungkin. Dosaku sangat besar sekali. Aku tertunduk malu..malu..sangat malu..tiba-tiba aku jadi teringat akhir ayat itu, “Sesungguhnya, Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ada rasa tenang yang menusuk-nusuk segenap ruh dan jiwa. Menghubungkan perasaan-perasaan jiwa serta menyarankan kepada hati suatu bentuk hidup yang sedar dan penuh pengharapan.

Maha Suci Engkau Wahai Tuhan, Menyingkap kegelapan malam dan membuatnya terang benderang, beribu hati gelap dan pekat telah pula kau singkapkan kesedihan mereka dengan pengabulan doa hingga hati gelap dan kelam itu berubah menjadi terang benderang dengan kegembiraan dan pengharapan, bahwa Engkau Maha Siap menghulurkan jari-jari takdir kelembutan yang memutus rantai-rantai dosa yang membelenggu dan mencekik diri. Di Pintu KemegahanMu hamba berdoa, bermunajat dan merintih kepadaMu.

“Wahai Allah!
Demi orang orang yang bermunajat meminta keampunanMu,
Demi orang orang yang berhajat memohon keredhaanMu,
Demi berjuta telapak tangan yang telah terangkat bermunajat pada Mu,
Demi doa para Nabi dan RasuluMu yang mustajab,
Demi rintihan para kekasihMu yang dahagakan pengampunan,
Ampunkan aku dari segala dosa-dosa dan kenistaan. Bebaskan aku dari samudera syahwat yang membuatku tenggelam dengan nafsu, yang membuatku ditelan oleh dosa dan merangkak di perut dosa yang penuh dengan kebusukan bangkai kehinaan dalam keadaan lumpuh dari harapan, akulah hamba yang merangkak di perut dosa...ditenggelam ke dasar samudera syahwat.
Di Pintu KemegahanMu, ku memanggil-manggil Nama AgungMu..satu-satunya gerbang harapan bagi para pendosa..
Ampunkanlah aku dari segala dosa-dosa..

Jiwa terus tenggelam bersama rintihan harapan di malam kelam 17 Ramadhan, terasa suatu sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan dan belas kasihan yang menghilingkan sakit derita. Semuanya jelas ternyata dalam ungkapan indah seorang Rasul, Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam;

“...dan (bulan Ramadhan) bulan yang permulaannya Rahmat, pertengahannya Maghfirah (pengampunan) dan pengakhirannya pembebasan dari api neraka...”

Aku bersujud sungguh-sungguh. Dalam pekat malam akhir Ramadhan yang terus berlalu, bersama sebuah pengharapan, sebuah pengampunan untuk seorang penanggung dosa.


al-faaqir!

Dhiya’
Bumi Peladang
17 Ramadhan 1432H

Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku

"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.


Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.


Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.


"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.


Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan nakal ku mencubit lembut hidungnya.


"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.


"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.


Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali.


"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.


"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati. Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan secantik Zahra. Terima kasih Allah!


Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti dia juga turut merasai kebahagiaan ini.


"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.


"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.


Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai. Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang Maha Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk dan tenang sekali. Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.


Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."


Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.


"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."


Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.


Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan cuba dengar dengan saksama.


"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra. Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya."


Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.


"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra berserah kepada Allah perihal jodoh. Kerana Zahra yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"


Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih mahu menyambung kisah nya.


"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki."


Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.


"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.


"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.


"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah, seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya. Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa lelaki yang isteriku cintai ini.


"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.


Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.


"Abang, you are the man that i loved since the first time i met you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband, and i will give all my life to you, in the name of Allah."


Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:


"Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)




"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.




"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.


Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu. Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.


"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)

* Cerpen "Jodoh Dari Tuhan" yang diterbitkan dalam laman iluvislam.com dengan tajuk "Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku"

Go On!


Tidak terasa sudah memasuki pertengahan April. Beberapa hari lagi peperiksaan akhir akan bermula. Menjadikan saya terfokus pada imtihan yang sangat menentukan ini. Saya mengharapkan semester ini natijahnya bisa lebih baik.

“As you sow, so will you reap!”

Seperti apa yang anda tanam, seperti itulah yang akan anda petik.
 
Bulan Mei hingga Julai nanti adalah bulan untuk Latihan Industri. Saya diberitahu bahwa esok saya harus ke kampus untuk perbincangan proposal tesis yang saya ajukan. Saya jadi menulis tentang kitab Al-Durr Al-Nafis karangan Maulana Al-‘Allamah Al-Syeikh Muhammad Nafis bin Idris Al-Banjari rahimahullahu ta’ala.

Saya memang mengkagumi kitab tua itu. Judul lengkapnya adalah Al Durr al Nafis fi Bayan Wahdat al Af’al wa al Asma’ wa al Sifat wa al Zat, Zat al Taqdis, ertinya Mutiara yang Indah yang Menjelaskan Kesatuan Perbuatan, Nama, Sifat dan Zat yang Suci. Kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu Arab yang dicetak berulang-ulang di Timur Tengah dan Nusantara, yang masih dibaca sampai sekarang. Kitab ini termasuk di antara kitab yang telah diharamkan untuk diajarkan di negara ini. Bahkan menurut catatan sejarah, kerajaan Belanda yang menjajah Indonesia telah melarang kitab ini beredar di negara itu. Kerana kononnya, setelah membaca kitab ini orang menjadi tidak takut mati. Hingga ke hari ini isi dari kitab tersebut masih menjadi materi perdebatan kontroversi para ulama, kerna ajaran-ajaran tasawufnya yang dianggap beraliran Wehdatul Wujud. Itu saya kira sangat menarik dan mendorong saya untuk bertekad benar mahu mengkaji tulisan Syeikh Al-Nafis itu.

Pembimbing saya juga telah ditentukan iaitu Dr.Syed Hadzarul Latfi Syed Omar. Salah seorang pensyarah yang menjadi idola saya, pengamal Tarekat Naqyabandiah dan terkenal paling mudah ditemui dan paling senang dengan mahasiswa. Saya akan berusaha menjadi muridnya yang baik sehingga beliau akan mengenal saya dengan baik sebagaimana Syeikh Mizi mengenal saya.

***

Saya membelek-belek diari merah, menata peta hidup setahun ke depan. Saya teliti dan hitung dengan saksama. Target-target dan pencapaiannya. Ada satu target yang masih tidak selesai. Iaitu menikah. Saya mentargetkan setelah selesai ijazah saya harus menikah. Umur saya sudah 25 tahun menginjak 26.

Saya menghitung kemampuan untuk mencari wang. Wang simpanan juga sering sahaja terguna. Setiap kali masuk kedai buku saya tidak boleh menahan diri untuk membeli buku atau kitab. Bagaimana? Apakah akan tetap nekad menikah?

Umur akan terus meningkat. Jika menemukan wanita solehah dan mahu menerima diri saya seadanya dan bersedia hidup berjuang bersama, dalam suka dan duka, maka saya tidak akan menyia-nyiakan kesempatan untuk menyempurnakan separuh agama. Saya nekad selesai kuliah, menikah!

Malam terus menjengah larut. Saya hendak meneruskan bacaan. Ketika hendak menutup diari merah itu tidak sengaja saya terselak muka surat bertulis tulisan tangan, saya baca.

Bidadariku
Wajahmu indahmu tak terlukis
Dalam sketsa mimpi-mimpiku
Indah suaramu tak terakam
Dalam pita batinku
Namun kau hidup mengaliri
Pori-pori cinta dan semangatku
Sebab
Kau adalah hadiah agung
Dari Tuhan
Untukku
Bidadariku...

Seorang wanita solehah yang akan menjadi bidadariku, yang akan aku cintai sepenuh hati dalam hidup dan mati, yang akan aku harapkan jadi teman seperjuangan menyulam masa depan, dan meniti jalan Ilahi, itu siapa? Aku tidak tahu. Ia masih berada dalam alam ghaib yang belum dibukakan oleh Tuhan untukku. Jika waktunya tiba semuanya akan terang. Hadiah agung dari Tuhan itu akan datang.

Saya tergelak kecil membaca tulisan sendiri.

Saya bingkas membersihkan diri. Saya mahu bersolat sunat. Jam sudah menuju pukul 2.53 pagi. Malam ini mahu tidak mahu saya harus sedikit keras pada diri sendiri. Harus kerja overtime muraja’ah madah untuk imtihan.

Malam ini saya akan berlayar di lautan kitab Al-Iqtisad fi Al-Iktikad. Saya harus membaca dengan teliti kata-kata yang disusun Al-Ghazali.


Al-Faaqir Ila Rabbi Al-Qadir

Dhiya’ Al-Qadiry
Jami’ah al-Sulthan Zein al-‘Abidin
17 Jamadilawal 1432H

Futuwwah


Sufi bukannya kain

Fil Makkah da’im bermain

Ilmunya zahir dan batin

Menyembah Allah terlalu rajin

Dia terjaga ketika mendengar kalimat itu membisik di telinga. Dia ingat itu syair Hamzah Fansuri yang sering dibacakannya hingga hafaz. Dia lalu bingkas mengambil wuduk. Dia mahu bersolat sunat.
 
Setiap malam dia habiskan dengan berzikir. Zikir aneh, kadang bunyi zahir. Kadang juga menggumam di dalam dada. Sambil memejamkan mata. 100...400...1000 bahkan melebihi hingga tidak terkira.

Afdhalu zikri La ilaha illallah

ingatkan jangan ghaflah

tashdiqkan ujud Allah
 
Dia tenggelam dengan zikir dan hanya sedar seketika fajar subuh hampir terbit. Dia dapat merasakan lazatnya zikir. Dia merasa dzauk!

Zikrullah jangan kau jemu

maknanya hasil kepada hatimu

Sucikan dahulu makrifat kamu

boleh di sana karam diri kamu
 
Masanya dipenuhkan dengan berzikir dan merenungi hakikat penciptaan. Dia berusaha meneroka ke dalam diri. Sehelai demi sehelai kitab suci dihafaz dan ditadabburkan. Dia diajar agar selalu bertaubat. Dan dipesan supaya bermujahadah menghindarkan diri daripada penyakit hati.

“Enta jagalah nafsu setiap waktu..” gurunya berpesan.

Dia sedang belajar menyucikan hati. Berusaha menjadikan seberkas cahaya yang terlindung dibalik hati bersinar semula. Dia belajar bersahabat dengan Tuhan.

“Dalam diri enta ada seberkas cahaya, tapi tertutup oleh tirai nafsu dan lalai...” Wajah tua tuan guru dengan janggut putih mencacak dan serban putih digulung rapi hadir jelas. Tuan guru merenung tanpa bersuara.

“Ana hanya memilih orang muda macam enta anakku. Entahlah ahli futuwwah sebenar, anak muda penuh etika. Hanya dengan futuwwah dapat diselamatkan dunia Islam sekarang ini...” bibir tuan guru berkumat kamit.

“Allah menggunakan kalimah Fata untuk merujuk kepada golongan pemuda yang berani memusnahkan berhala. Pemuda itu namanya Ibrahim. Jika Ibrahim alaihissalam menghancurkan berhala. Enta, anakku, menghancurkan berhala yang lain...” tuan gurunya tersenyum.

Gurunya seorang pengamal tarekat yang telah berada di makam yang tinggi. Setiap malam dia ikut berzikir. Kadang berlima, sering juga dalam jemaah yang lebih ramai. Pernah gurunya membingungkan orang kerana naik terbang ke udara dalam satu majlis zikir. Aneh!

“Sudah saatnya anakku enta bersedia. Entahlah pemuda yang ditunggu. Hancurkan berhala moden ini. Maruah umat di tangan enta.”

Tuan guru duduk berhadapan dengannya, lutut bertemu lutut. Dia dibai’ah dengan hati tenteram dan tenang. Dia diberi minum air bercampur garam. Air itu tanda makrifat dan kearifan, sedang garam ialah keadilan. Kemudian disarung sarawal sebagai tanda kesopanan dan warak. Dia lalu dipakaikan tali pinggang sebagai tanda keberanian dan kehormatan.

Dia adalah Fata. Pemuda yang mewarisi futuwwah!


Al-Faqir Ila Rabbi Al-Qadir

Dhiya' Al-Qadiri
Jami’ah Al-Sulthan Zain Al-Abidin
24 RabiulAwal 1432H


Catatan: Dalam bahasa Inggeris disebut mystical youth atau spiritual chivalry, manakala dalam bahasa Parsi dikenali sebagai jawanmardi; atau bermaksud etika atau kesatriaan spiritual dengan ciri-ciri tertentu – ilmu futuwwah atau etika adalah sebahagian daripada cabang ilmu sufi.

Aku Mahu Menjadi Khadijah

“Abang jemput minum.” Sapa Zahra’. Dia datang bersama segelas teh susu lalu menghulurkannya kepada saya. Saya rasa sedikit.

“Kenapa tehnya rasanya masin seperti dibubuh garam ya?” kata saya pada Zahra’.

“Be...benarkah?” Zahra’ sedikit terkejut.

“Iya, cuba sayang rasakan!” Zahra’ mengambil gelas dari tangan saya dan merasakannya.

“Ah, manis. Tidak masin,” Katanya.

Saya ambil gelas itu semula dan merasakannya.

“Sayang, masin begini kamu katakan manis. Mungkin bukan gula yang kamu masukkan tapi garam. Cuba Zahra’ rasakan lagi!” Isteri saya kembali merasai. Dia memandang saya dengan sedikit hairan.

“Ini manis abang, tidak masin!”

“Zahra’ sayang ini masin! Cubalah julurkan lidahmu dan masukkan ke dalam minuman ini. Pasti kamu akan merasakan masinnya. Lidahmu mungkin kurang peka.”

Zahra’ menuruti kata-kata saya. Dia menjulurkan lidahnya ke dalam gelas. Sesaat lidahnya seperti mengaduk-aduk teh di dalam gelas itu.

“Tidak abang, tidak masin! Lidah abang yang mati rasa, bukan lidahku.” Suaranya terdengar lebih tegas.

“Benarkah? Cuba!”

“Nih.”

Saya lalu meminumnya tiga teguk.

“Hmm..setelah lidah Zahra’ menyentuhnya dan mengaduk-aduknya, minuman ini jadi manis sekali. Belum pernah abang meminum minuman semanis ini. Memang benar sabda Nabi jika seorang bidadari di syurga meludah ke samudera maka airnya akan jadi tawar rasanya. Dan lidahmu mampu merubah teh yang masin ini menjadi manis, Bidadariku.”

“Ah, abang ne, saja je kenakan aku.” Seru Zahra’ sambil mencubit paha saya manja. Dia tersenyum. Saya tatapi wajah ayunya. Manis, tahi lalat pada bawah bibir kanannya buat dia lebih manis.

Zahra’ lalu menyandarkan kepalanya ke dada saya. Saya bebas membelai-belai rambutnya. Sesekali mengucup kepalanya. Bau rambutnya yang hitam sangat wangi. Saya belum pernah mencium bau seperti rambut Zahra’.

Malam terus menjengah larut. Suara cengkerik mendayu hiba memecah kesunyiaan. Sambil memerhati keindahan malam dengan kerdipan bintang-bintang. Betapa indahnya panorama di waktu malam. Memberi seribu ketenangan dan mengimbau nostalgia indah. Memperingati segala kehidupan yang dahulu, kini dan mendatang.

“Abang?”

“Ye sayang.” balas saya sambil jari-jari kecil membelai-belai lembut rambutnya.

“Mahu dengar ceritanya?”

“Iya, bisa aja.” Balas saya. Zahra’ terdiam seketika. Tangan saya terus bergerak-gerak bermain-main dengan rambutnya sambil menanti berbicaranya.

“Waktu aku kecil, ibu sering kali bisik-bisikkan ke telingaku kisah agung Khadijah Khuwailid. Lalu aku membesar dengan kisah itu. Aku jadi kagum, mencari-cari sejarahnya, meraih semangatnya. Lalu, aku jatuh hati pada pekertinya,” Isteri saya memula bicara.

“Sesungguhnya Ummul Mukminin adalah sebaik-baik wanita. Beliau telah mewakafkan seluruh harta, tenaga dan dirinya ke jalan Allah.”

“Sewaktu mula-mula menikahi Rasulullah, Khadijah pernah berkata, ‘Wahai Muhammad, segala yang menjadi kepunyaanku(diri dan harta benda) ini terpulanglah seluruhnya kepadamu untuk diapakan.”

“Oh, sungguh Khadijah adalah wanita mulia. Meskipun beliau seorang bangsawan, digelar Puteri Quraisy. Dirinya lebih kaya dan berpendidikan tinggi daripada suaminya tapi beliau tidak pernah memegah diri. Bahkan Khadijah sentiasa memuliakan baginda Nabi shallallahu alayhi wa sallam. Bukan setakat itu, seluruh harta kekayaannya diserahkan kepada perjuangan suaminya. Seusia hidupnya telah dia wakafkan demi perjuangan. ”

Saya menganggukkan kepala sambil memerhatikan dengan saksama gerak bibirnya, apa yang diungkapkannya. Saya menatap wajah isteri sembari mendengar bicaranya.

"Ummul Mukminin." Khadijah. mendengar nama itu sungguh menyentuh jiwa. Tidakkah hati tersentuh, kala nama itu disebutkan.

Khadijah! wanita pertama yang beriman kepada Baginda Nabi shallallahu alayhi wa sallam disaat orang lain memungkarinya. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolongnya dengan jiwa, harta dan keluarga. Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.

Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada risalahnya, dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga. Bukankah semasa ketiadaannya baginda Nabi shallallahu alayhi wa sallam sering sahaja menyebut-nyebut namanya dan memuji-mujinya. Betapa mulia wanita ini di sisi Rasulullah shallallahu alayhi wa sallam.

Sesungguhnya Khadijah adalah nikmat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah shallallahu alayhi wa sallam, beliau bersama-sama Rasulullah untuk selama suku abad, mencucuri Baginda dengan belai kasih sayang. Kala Baginda butuh pertolongan, di saat-saat genting dan meruncing, di waktu-waktu kegawatan beliau ada di sisi menyokong dan membantu Baginda, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah ke medan jihad suci, berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya.

Pernah Rasulullah shallallahu alayhi wa sallam menyebut-nyebut kelebihan Khadijah dengan sabdanya;

“Beliau beriman denganku ketika manusia kufur dengan ku, membenarkan daku ketika manusia mendustai daku, berkongsikan daku harta-hartanya ketika manusia lain enggan memberi daku, dan Allah mengurniakan darinya anak-anak dan tidak mengurniakan anak dari yang lain.”
(HR. Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118)

“Malah ketika sedang nazak Khadijah masih sempat lagi menitipkan pesan, ‘Wahai rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini”.

“Aku sangat ingin mencontohi Khadijah supaya aku dikasihi suami sebagaimana nabi shallallahu alayhi wa sallam mengasihinya.”

Saya pandang terus wajahnya. Ada manik jernih membasahi kelopak matanya. Saya seka air mata itu. Saya genggam erat tangannya. Zahra’ malah mencium tangan saya sambil menangis terisak-isak. Saya lalu mengucup ubun-ubunnya.

“Abang,"

“Aku mahu menjadi Khadijah, membawa panji dakwah dan jihad bersama abang, berjihad dan bekerja keras. Berkorban harta, jiwa dan raga. Yang tetap berdiri di belakang suami hingga nafas terakhir. Sungguh aku wakafkan harta, jiwa dan ragaku demi perjuangan ini.” Zahra’. Serius! Air wajahnya mengapung makna-makna kesungguhan, penuh perasaan. Bicara tersimpan penuh makna. Menembus ruh jihad dalam diri. Pipinya dibasahi air mata yang mengalir perlahan. Air matanya terus jatuh. Saya seka air yang bergenangan. Saya tatap wajahnya dan membalas dengan anggukan.

“Aku mencintai abang kerana Allah.” Ungkap Zahra’ dengan penuh kesungguhan.

“Abang juga mencintaimu, bidadariku,” jawab saya sambil perlahan mengucup keningnya penuh cinta. Lantas dia rebahkan tubuhnya ke arah saya. Saya peluk dia erat-erat. Jiwa, perasaan dan roh kami menjadi satu dalam rasa cinta yang tulus. Cinta kerana Allah. Cinta demi sebuah perjuangan panjang menjunjung agamaNya.
“Allahumma anta as-salam waminka as-salam wa ilaika ya’uudu as-salam fahayyina rabbana bi as-salam wa adkhilna al-jannata daar as-salam Tabaa rakta rabbana wa ta’alaita ya dzal jalali wa al-ikraam.”

“Ya Allah, Engkaulah kesejahteraan, dariMu lah asal kesejahteraan dan kepadaMu pula kembali kesejahteraan, maka hidupkanlah aku dengan kesejahteraan dan masukkanlah aku ke dalam syurga kampung kesejahteraan. Maha Mulia Engkau ya Allah yang memiliki kemegahan dan kemuliaan.”

*Catatan: Salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah. Salam juga buatmu wahai Khadijah, Ummul Mukminin. Sesungguhnya aku sangat merindui kalian, izinkan aku bertemu dan bersama kalian di sana.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

"Eid Mubarak. Taqabbalallah minna wa minkum!"

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
9 Zulhijjah 1431H

Jodoh Dari Tuhan


“Abang nak dengar cerita tak?” ujar Zahra kepada saya. Waktu itu saya tengah menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.

Sengaja saya meneruskan bacaan. Seperti tidak mendengar apa-apa.

“Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm…tak pelah.” Dia mencebik muka.
Itulah yang saya tunggu. Saya tutup kitab fiqh dan saya letakkan di atas meja kecil. Saya melangkah mendekati isteri yang sedang duduk bersimpu di atas lantai beralaskan karpet. Saya duduk betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan saya hulurkan kedua tangan, saya pegang pipinya. Saya dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian…tangan nakal saya mencubit lembut hidungnya.

“haa! haa..!” Saya pantas bangkit dan melarikan diri.

“Abang!”

Zahra cukup geram dengan perbuatan saya tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar saya dibelakang. Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Kami seakan anak kecil yang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti kebudak-budakan. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, saya tidak betah untuk terus berlari. Sengaja saya beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuh saya, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali. Saya hampir tidak tahan.

“Sayang! Abang cubit sekali je tadi.” Saya cuba membela diri.

“Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya.” Zahra sehabis mungkin mengenakan saya. Habis tubuh saya dijamah dengan cubitan kecilnya. Dia mengilai riang. Saya tidak bisa berbuat apa, membiarkan dia menang dalam gurauan. Saya perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Seperti keanak-anakan. Saya gembira.

Lalu dengan pantas saya tangkap serangan terakhirnya. Saya pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Saya pandang tepat ke wajahnya. Atas titik air tampak dikelopak matanya. Saya sekat air mata bahagia itu. Perlahan-lahan saya kucup ubun-ubunnya. Kemudian saya rangkul tubuhnya. Saya peluk dia erat-erat. Saya merasa degupan jantungnya. Rasa kami menyatu. Bahagia!

“Abang ni, sampai hati kenakan saya.” Bulat matanya, terpancar dengan rona-rona keceriaan.

“Sekali-sekala bergurau dengan Zahra, seronok juga kan.” Seloroh saya.

Saya ajak Zahra duduk dikerusi berhampiran tingkap, kami benar-benar menghadap pantai. Saya betulkan posisi duduk dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra menyandarkan kepalanya ke dada saya. Saya tarik tubuhnya dan rebahkan ke dada saya. Saya bebas membelai rambutnya dan memeluknya. Hati terasa sejuk dan tenang. Alangkah indahnya nikmat Tuhan. Bermesraan dengan wanita yang halal, ia adalah dikira ibadah. Inilah hikmah perkahwinan, Allah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala. Sambil memerhatikan keindahan langit Zahra memulakan cerita.

“Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Saya begitu kagum dengan seorang pemuda. Saya rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dia pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh saya kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh. Persis akhlak Baginda Nabi SAW.”

“Saya tidak pernah menyangka saya jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh saya tidak pernah menyangka perasaan itu dan saya berkali-kali menafikannya. Namun saya tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Saya tewas dengan perasaan sendiri.”

Wajah saya seakan berubah. Saya benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat saya sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Yang sekarang ini menjadi permaisuri di hati. Saya biarkan Zahra dengan bicara dan saya dengar dengan saksama.

“Namun saya masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Saya tidak tertewas dengan bujukan syaitan yang berkali-kali mengajak saya menerobos ke ruang maksiat. Saya masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk saya menanggalkan pakaian mulia itu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah saya bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari saya. Saya tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana saya telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Saya pendamkan rasa cinta saya pada pemuda itu, kerana saya berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya.”

“Saya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Melazimi solat malam yang kian sebati dalam jiwa. Bulat-bulat saya berserah pada Allah perihal jodoh. Saya yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:
“(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.”
(Surah An-Nuur:26)

“Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Doa saya tidak henti-henti moga saya dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki.”
Tanpa saya sedari Zahra mencuri pandang saya. Dia seperti menangkap perasaan di hati tatkala membaca raut wajah saya.

“Abang cemburu?”

“Love is never without jealousy” katanya lagi.

“Alangkah bertuahnya pemuda itu. Mesti dia seorang pemuda yang hebat, masakan tidak, seorang wanita mulia yang taat beragama seperti Zahra bisa tersentuh hatinya. Siapa pemuda tu sayang?”

“Abang sungguh-sungguh nak tahu siapa pemuda itu?” ujarnya, membuatkan saya sedikit geram dalam penantian.

Dia kemudian membalikkan tubuhnya menghadap saya. Dia pegang tangan saya dan dia cium penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.

“Abang nak tahu pemuda itu adalah orang yang ada dihadapan saya sekarang. Zaid! Ya, pemuda yang sekarang ini halal menjadi suami saya. Dan saya serahkan hidup saya bulat-bulat kepadanya.”

Hati saya gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Saya pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan keelokan wajahnya. Hati saya tenang. Maha benar bicara Nabi SAW:
“Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya.”
(Hadis riwayat Ibn Jabir)
“Sayangku. Wajahmu sangat indah seindah bidadari di Syurga.” Lirih saya.
“Dan abang adalah pemuda terbaik yang pernah saya temui. Abang cinta pertama dan terakhir saya.” Lirihnya.

Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segala kini menyatu. Kami meneruskan ibadah. Mengharapkan lahirnya generasi yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam.
“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.”
(Surah Ar-Ruum: 21)

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
8 Zulhijjah 1431H

Ku Mencari-Mu Tuhan


Jam menunjukkan pukul tiga setengah. Bumi dibaluti kegelapan. Bintang-bintang bertaburan menghiasi langit. Malam itu terasa sejahtera. Angin malam bertiup sayup. Perlahan. Berhembus dari utara ke selatan. Menerobos cela-cela tingkap bilik. Menebarkan kesejukan-kesejukan. Diiringi tasbih daun-daun yang dibelai angin, mereka saling merayu. Mereka mendendangkan lagu-lagu cinta. Ya, lagu cinta yang sangat indah, yang hanya boleh difahami oleh mereka berdua.

Malam itu, di bilik yang berada di sebuah flat seorang hamba sedang asyik bermunajat kepada Tuhannya. Sementara penghuni-penghuni flat sudah lama larut bermesraan dengan mimpi indahnya masing-masing.

Sedang dia masih sibuk dengan zikir-zikir. Dengan penuh syahdu ia terus-terus menitiskan air mata. Ia berusaha tabah dan sabar. Namun setabahnya, ia adalah manusia biasa yang memiliki air mata. Ia bukan robot yang tidak memiliki perasaan apa-apa. Ia mengusap air matanya. Ia berusaha meneguhkan hatinya bahawa hidup ini terus berpusing dan berputar.

“Ilahi Anta maksudy wa ridhoka mathluby.”

Entah kenapa, tiba-tiba hatinya terlalu tersentuh dengan doa tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali dia membaca doa yang sama. Ada sesuatu yang halus daripadanya. Mungkin sebentar tadi. Buat kali pertamanya dia dapat merasakan apakah sebenarnya yang dia minta daripada Allah, Tuhan yang telah memberikan segala macama nikmat kehidupan kepadanya.

Dia menggapai mushaf dan melantukan bacaan dengan suara perlahan. Ia sama sekali tidak boleh menumpukan dalam menghayati dan mentadabburi apa yang dibacanya. Fikirannya terjatuh pada muslimah itu. Muslimah yang telah mencuri hati dan fikirannya. Yang telah menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran semangat. Dan sekarang perasaan itu sudah membuak-buak. Berbunga-bunga. Bahkan hamper tidak dapat dikuasainya.

Yang membuatkan tersentuh pada muslimah itu kerana tingkah laku dan perangainya yang halus, sopan, dan sangat menjaga diri. Seorang muslimah yang cerdas, bijak dan sangat optimistik, juga punya hati yang sangat halus dan lembut.

Itu semua telah membuat hatinya begitu kagum padanya. Ah, bukan hanya kagum, tapi ada sesuatu yang aneh mendera-dera hatinya, entah apa namanya. Rasa yang belum pernah dialaminya seumur usia. Ia merasa, di dunia ini tidak ada muslimah yang ia anggap sempurna untuk menjadi pendamping hidupnya, yang akan dia cintai sepenuh hati dalam hidup dan mati, yang dia harapkan jadi teman seperjuangan menyulam masa depan, dan meniti jalan Ilahi.

Ah! semua itu hanya sia-sia. Tidak semua yang didamba manusia pasti diraihnya.

Hatinya benar-benar didera kesedihan yang mencekik leher. Ulu hatinya bagai ditusuk-tusuk belati berulang-ulang kali. Dia tidak kuasa membendung airmatanya yang merembes perlahan. Airmata itu adalah perasaan jiwa yang keluar begitu saja kerana tiada mampu membendung berkecamuknya rasa hampa, rasa sedih, rasa kecewa, rasa tidak berdaya , rasa yang tidak bisa tertahankan.

Tiba-tiba bacaannya terhenti ketika sampai pada satu ayat,

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

“Mungkin ini yang Dia kehendaki.” Bisiknya dalam hati. Dia lalu teringat pesan ibu.

“Mencintai makhluk itu sangat berpeluang menemui kehilangan. Kebersamaan dengan makhluk juga berpeluang mengalami perpisahan. Hanya cinta kepada Allah yang tidak. Jika kau mencintai seseorang ada dua kemungkinan diterima dan ditolak. Jika ditolak pasti sakit rasanya. Namun jika kau mencintai Allah pasti diterima. Jika kau mencintai Allah, engkau tidak akan pernah merasa kehilangan. Tidak akan ada yang merebut Allah yang kau cintai itu dari hatimu. Tidak akan ada yang akan merampas Allah. Jika kau bermesraan dengan Allah, hidup bersama Allah, kau tidak akan pernah berpisah dengannya. Allah akan setia menyertaimu. Allah tidak akan berpisah darimu. Kecuali kamu sendiri yang berpisah dariNya. Cinta yang paling membahagiakan dan menyembuhkan adalah cinta kepada Allah Azza wa Jalla.”

“Cinta memang bukan segala-galanya, tapi kehilangan cinta seperti kehilangan segala-galanya.” Lirihnya. 

“Bodohnya aku, kenapa aku memasukkan muslimah itu ke dalam hati. Bodohnya aku. Tugas yang masih jelas mata menuntut tanggungjawab saja masih panjang kenapa pula tergoda dengan yang tidak jelas.” Gumamnya pada diri sendiri.

Lantas ia bertekad dan berazam untuk menutup semua pintu hatinya.

“Aku sumpahkan dalam diriku, aku tak akan menghulurkan tangan kepada seorang muslimah kecuali musimah itu yang menarik tanganku. Aku juga tidak akan membukakan hatiku untuk mencintai seseorang muslimah kecuali muslimah itu yang membukanya. Bukan suatu keangkuhan. Tapi aku sedar aku siapa. Aku selalu ingat aku ini siapa?”

“Ah, semua sudah ada yang mengatur. Iaitu Allah Subhanahu wa Ta’al. Jika saatnya bertemu nanti akan bertemu juga.” Gumamnya dalam hati.


Puas sudah
Ku cari kebahagian
Di sisi teman-teman
Ku dapat hanya kelalaian...
Ku cari lagi
Di hati seorang kekasih
Ku dapat hanya kekecewaan
Dan ku terus mencari
Dalam meniti hari
Penuh kekosongan...
Oh di mana lagi harus ku mencari
Membawa sekeping hati
Yang sarat kerinduan
Rindu yang tiada haluan
Aku keliru sendiri
Apa yang ku cari?
Apa yang ku perlukan?
Aku masih tidak bisa mengerti
Yang pasti
Kekosongan hati ini minta diisi...
Sejenak aku tersedar
Aku mencari cinta agung
Buat jiwaku yang merindukan
Hakikat kebenaran
Cahaya yang membelah kegelapan
Melimpah cemerlang mengisi kekosongan...
Ku sedar
Destinasi pencarianku di sini
Ku mencari-Mu Tuhan
Mengharap keredhaan
Menagih kebahagiaan
Dari sinar cahaya iman...

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
3 Zulhijjah 1431H