AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Muhasabah. Papar semua catatan

Aku Penanggung Dosa

Waktu terlalu mencemburui, membuat saya sudah semakin jarang untuk menulis. Saya sudah telat. Saya tinggalkan yang ini sahaja untuk tatapan.



Dhiya'
Kampus KUSZA
Kuala Terengganu

Semoga Ada Allah Di Hatimu



Ketika pulang dari menadah kitab bersama al-Mukarram Syeikh Dr Abdul Manam Mohamad Al-Merbawi, saya singgah di kafe kolej kediaman baru universiti. Sebetulnya saya merasa jelak untuk menjamu makanan di kafe tersebut. Tapi demi meraih ajakan seorang teman saya akur.


Melihat gelagat anak-anak muda yang bergelar mahasiswa di sekitar kafe. Bermacam-macam gaya dan tingkah, rupa dan jenis, terkadang saya geleng kepala, ada kalanya saya tersenyum sendiri, sambil istighfar merewak pada bibir.


Jujur, saya tidak merasa diri mulia. Jauh sekali merasa bahawa saya adalah yang terbaik. Kerna kita diajar agama bahawa yang terbaik kalangan kita adalah orang-orang yang punya taqwa.


Kita diajar agar memandang manusia dengan penuh cinta dan kasih-sayang. Siapa pun mereka, tidak mengira bulu atau rupa bentuk, perangai dan tingkah laku. Dan itulah yang sedang saya rasakan saat ini. Melihat adik-adik dan saudara-saudari seIslamku.


“Oh Tuhan.” Hanya itu yang bisa terbit dari lubuk hati.


Nun di hujung sana seorang lelaki dan wanita sedang asyik berbual-bual. Study group barangkali. Di hadapan saya beberapa orang wanita sedang asyik bersembang, di hadapan ada laptop, mereka sedang asyik bermain ‘facebook’. Di meja yang lain, beberapa orang wanita yang berpakaian agak ‘seksi’ sedang galak ketawa. Ntah apa yang dibualkan.


Dari arah kiri saya seorang lelaki berseluar pendek ala-ala ‘hawai’ sedang berjalan ke arah saya, mahunya membeli minuman barangkali. Berhampiran televisyen, beberapa orang sedang asyik menonton. Tidak lama saya merenung seorang lelaki duduk berhampiran saya. Berseluar jeans dengan rambut tercacak. Saya sempat berkenal-kenalan dengannya. Terkadang ada beberapa mahasiswa yang datang menyapa, saya tersenyum meski tidak berapa mengenali mereka. Sekali sekala dua tiga orang wanita ‘seksi’ lalu lalang dihadapan saya yang sedang menjamu.


Jika dilihat hampir semua meja dipenuhi dengan orang-orang. Belum ditambah dengan orang-orang yang sedang berlegar sekitar kafe, macam-macam gaya, rupa dan cara. Di celah-celah blok asrama ada dua tiga pasangan yang sedang asyik ber’canda’. Di foyer asrama orang-orang sedang berprogram, sayup-sayup kedengaran lagu Maher Zein berkumandang. Ah, semua orang tengah tenggelam dengan keadaan masing-masing.


Tiba-tiba saya tersentak dengan sebuah pertanyaan yang mengetuk pintu hati sendiri.


“Allah...”


“Apakah saat ini ada Allah di hati mereka?”


Anda ada jawapan. Saya tidak bisa menjawab. Jawapan ada pada hati kita. Tanyakanlah!


Semoga ada Allah di hati ku!


Dan...


Semoga ada Allah di hati mereka!


Ameen Ya Rabb...


Dhiya’
Kuala Terengganu
5 Syaaban 1432H

Aku Bukan PEMBOHONG!


“Penipu...penipu...kau penipu!”

Hati saya terasa sakit tatkala kalimat itu ditujukan ke dalam diri. Sakit batin berat untuk diubati. Anda bisa rasai apa yang saya rasa. Cuba bayangkan anda berada ditempat saya.

“Awak pembohong!” laungan itu ditujukan kepada anda. Apa rasa anda. Mungkin sama seperti saya. Maka anda telah merasainya.

Saya pembohong? Soal saya berkali-kali pada diri. Kalimah itu tidak dilontarkan oleh siapa-siapa. Bukan musuh yang membenci jauh sekali rakan yang mendekati. Kalimat itu tiba-tiba terbit dalam hati. Hati berbisik ke dalam hati.

Setiap kalangan kita berhajat menduduki syurga Allah kelak, bahkan begitu gentar kepada nerakaNYA.

Tanyalah kepada manusia manapun, yang beragama Islam mahupun yang kafir.

Tanyalah kepada siapa pun, yang kaki masjid, para ilmuan, artis, peminum arak dan penzina, dan segala macam jenis manusia di bumi ini.

Tanyakanlah mereka ingin masuk SYURGA atau NERAKA.

Atau tanyakan saja pada diri anda sendiri. Diri kita masing-masing.
Saya, anda dan kita semua tidak mengira rupa dan asal, semua berhajat untuk ke destinasi bahagia yang abadi itu. SYURGA. Lalu apa kurangnya pada diri. Sebentar! 

Teliti kata-kata Imam Al-Ghazali.

“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”

Rupanya ramai kalangan kita menjadi penipu, menipu diri sendiri. Bukankah membohongi diri sendiri itu keji namanya. Mengaku mencintai SYURGA, walhal hidup dipenuhi dosa dan noda. Sebesar mana nilai amalan yang telah kita persembahkan kepada Al-Khaliq? Dalam ketaatan kepada Tuhan, kita cemari dengan maksiat yang berpanjangan. Maksiat lahiriah, tentunya bertimbunan. Maksiat batiniah (maksiat hati) tentu tidak terkirakan. Nau’zubillah.

Sedarlah diri!

Insaflah diri!

Kau telah jauh dari jalanya. Kembali kepadanya dengan penuh kerendahan. Bahawa kau hanyalah seorang insan bergelar hamba. Sudahlah membohongi diri, kelak binasa yang dinikmati. SYURGA bukan semudah yang diingini. Namun NERAKA senang dirasai. Sedikit tersasar dari jalanNYA, binasa tak berkesudahan.

Lalu bertanyalah pada diri.

“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”

Aku bukan PEMBOHONG!


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
Sore, 3 Zulhijjah 1431H