AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Tafaqquh Fiddien. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tafaqquh Fiddien. Papar semua catatan

Sayyidul Ayyam (SIRI 3)


Sore itu cuaca tampak redup, bersama udara yang bertiup mengigit-gigit pada celah kulit. Dingin. Sayup-sayup terdengar suara azan dari masjid universiti, menandakan waktu Maghrib sudah menjengah. Saya bersiap untuk keluar. Lepas solat maghrib saya harus ke Surau Muhajirin, menadah kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor. Sewaktu hendak melangkah keluar saya disapa seorang teman.

“Akhi, mahu ke mana?” tanyanya.

“Mahu pergi mengaji. Yuk ikut sekali!” tukas saya.

“Maaf tidak bisa. Lain kali sahaja. Selamat ya!” balasnya.

Ah, ternyata tidak semua orang yang dibukakan pintu hatinya untuk mencari ilmu. Sungguh sesiapa yang diinginkan Allah untukknya kebaikan, pasti dia diberikan kefahaman dalam hal-hal agama. Dan saya, jika tidak kerana taufiq dan petunjuk daripadaNya pasti mahu berdenyut pun tidak bisa. 

Teringat pesan guru saya sewaktu di Kolej Islam dahulu. Kata Ustaz Fauzi Azmi, ‘Jika mahu dapatkan ilmu tidak cukup di kampus, perlu keluar untuk menuntut dengan guru-guru yang alim.’

Pernah sekali saya ditegur oleh Ustaz Shahrul Nizam. Saya masih ingat kata-katanya, ‘Kalau ada cuti, jangan balik. Pergi cari ilmu. Cari guru untuk menadah kitab. Pergi belajar. Ini adalah waktu enta sedang menuntut ilmu. Bukan bersenang lenang membuang masa.’

Ternyata kata-kata itu terus-terusan membekas di hati, lalu itulah yang saya pegang selama ini. Ilmu di bilik-bilik kuliah tidak selamanya akan melahirkan ‘orang ‘alim’ kerana sistem yang tidak kemas. Mungkin ada tapi tidak semua. Maka sebagai tambahan dan penguat ianya perlu diisi dengan belajar langsung daripada ‘pewaris nabi’, mereka yang mengerti hal-hal agama.

Waktu ini adalah waktu untuk kita memperkemaskan diri dengan ilmu dan kefahaman!

Pencandu ILMU

“Jadilah kamu orang yang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang cinta ilmu dan janganlah kamu jadi orang yang kelima (tidak termasuk dalam kalangan yang empat tersebut).”

Saya mengenal teman-teman yang selalu bersama-sama bersungguh mencari ilmu. Dan saya banyak belajar daripada kesungguhan mereka. Saiful, Azren, Hafiz, Kwe, Mustaqim, Zubir, mereka bisa saya gelarkan sebagai ‘Pencari Ilmu’. Hujan diredah hanya kerana setitik ilmu Tuhan. Panas ditempuh demi kerana petunjukNya. Dingin subuh ditanggung asal bisa menjamu sarapan lazat batiniyyah. Semua kerana ilmu. Dari kitab rumi, jawi hingga kitab arab. Dari kita kecil kepada kitab yang lebih besar. Dari pengajian Fekah, Tauhid, Tasauf, Hadis, Tafsir hingga ke permasalahan agama. Dari helaian demi helaian. Dari seorang guru ke seorang guru. Dari satu tempat ke satu tempat lain menjejak warisan ilmu. Berkejar-kejar demi mendamba gelaran mulia itu, ‘Pewaris Nabi’.

Segala perbualan dan perbicaraan terisi dengan ilmu. Kami bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Kami berkongsi ilmu dan pengalaman. Kami berkongsi kitab dan pembacaan. Masing-masing memiliki ghirah terhadap ilmu dan menjadi penuntutnya.

“Abe adokoh kitab Furu’ Al-Masa’il? Molek abe nok kemah hujah.” Usul junior saya, Muaz namanya. Dia orang Kelantan.

Warisan Ilmu Daripada Keturunan Nabi

Usai mengimamkn solat Maghrib di Surau Thariq saya terus ke Surau Muhajirin. Hujan yang turun rintik-rintik menyengat kedinginan pada segenap tubuh. Ketika saya sampai di Surau Muhajirin orang ramai sudah memenuhi ruang surau menanti kuliah bermula.

“Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.” Ustaz Tirmizi memula bicara.

Mata terus tertumpu pada tulisan jawi Fatwa Mufti Johor, Sayyid Alwi bin Thahir Al-Haddad. Beliau adalah manta Mufti Kerajaan Johor pada tahun 1936 hingga 1961. Nama lengkapnya ialah Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir Al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Sayidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Sayidatina Fatimah binti Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam. Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/ 7 Ogos 1884 M.

Jika berbicara tentang sesuatu persoalan, beliau memaparkan segala seginya dan menguatkannya dengan dalil-dalil aqli dan naqli. Beliau seorang yang memiliki ghirah (kecemburuan) terhadap Islam dan menjadi pembelanya. Di samping itu, beliau juga pembela keluarga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. 

“Seorang beragama Islam samaada lelaki atau perempuan berzina dengan seorang yang tidak beragama Islam kemudian dapat anak, bagaimanakah kedudukan anak itu di sisi agama mereka?” 

Mata masih tertumpu pada tulisan jawi itu, sambil mendengar ustaz Tirmzi berbicara.

“Anak zina samaada dari perempuan Islam atau perempuan kafir tidak ada nasabnya tidak berbapa, jika perempuan zina itu perempuan Islam maka anak daripada zina itu Islam dan jika perempuan kafir maka anaknya mengikut kafir, dosanya tertanggung atas lelaki yang berzina.”

Demikian apa yang dijawab oleh Syeik Alawi. Saya terus hanyut bersama mutiara ilmu warisan keturunan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang mulia itu.

Selesai solat Isyak saya menyalami ‘Syeikh Mizi’. Meskipun masih muda, namun kedalaman ilmu agamanya membuat teman-teman memanggilnya ‘Syeikh’. Kerendahan hati dan komitmennya yang tinggi membela kebenaran membuat dirinya dicintai dan dihormati semua orang yang mengenalnya.

“Enta tak balik cuti ni?” tanya ustaz ramah dengan senyuman menghiasi wajahnya yang bersih. Janggutnya tertata rapi. Saya tatap wajah beliau sesaat, hati jadi tenang.

“Tidak ustaz.” Jawab saya datar.

“Enta nak ngaji kitab. Kalau nak nanti enta call ana. Nanti ana uruskan.” Lanjut beliau.

“InshAllah boleh. Nanti ana call ustaz.” Balas saya sambil tersenyum.

Qawaid Tafsir

Sewaktu hendak menghidupkan motor, tiba-tiba handphone berbunyi. Ada pesanan daripada Saiful.

‘Salam. Ngaji kat blok FKI.’

‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallah.’ Saya bergegas pulang ke kampus meredah hujan yang terus turun membasahi bumi.

Ketika saya sampai Saiful dan Azren sudah pun berada di bilik pensyarah itu. Ustaz Fauzi. Pelajar Phd universiti di Riyad. Beliau baru pulang dari sana. Katanya sedang bercuti. Saya tidak mengenalinya dan ini pertama kali bertemu dengan beliau. Ternyata Ustaz Fauzi orangnya peramah. Sementara menanti pengajian kami sempat berkenal-kenalan. Lebih mengujakan saya, beliau kenal dengan guru-guru saya di Pahang antara Ustaz Asjad dan Ustaz Zuridan. Dan mungkin itu yang membuatkan kami mudah mesra.

“InshAllah kita akan baca kitab Syarah Al-Qawaid Al-Hasanah Fi Tafsir Al-Quran.” Ustaz Fauzi memula bicara.

Dari satu lebaran ke satu lebaran kami meneliti perbahasan Qawaid Tafsir, tidak terasa masa sudah menuju pukul 12.15 am.

“Nak sambung lagi Syeikh.” Soal ustaz pada saya.

“Terpulang ustaz, ana ikut majoriti.” Balas saya datar. Jujur, saya juga merasa letih dan mengantuk. Menanti jawapan dari Saiful dan Azren samaada mahu meneruskan atau tidak.

“Sambung mula la ustaz.” Jawab Azren.

“Nak makan lagi.” Saiful menambah.

Saya pandang wajah ustaz, sekilas beliau tersenyum. Seolah-olah mengisyaratkan sesuatu kepada kami. Tapi kami tidak membaca secara tepat bahasa badannya.

“Ok. Kita sambung mula.” Jawab belaiu sambil tergelak. Mungkin terasa lucu melihat keadaan kami yang tampak ketara letihnya.

Pukul 2.00 am saya sampai di bilik. Badan terasa sangat letih. Satu hari melakukan perjalanan menumpuh hujan. Pagi pergi-balik universiti-Marang. Lepas Mahgrib universiti-Batu Rakit. Selepas bersalin pakaian saya rebahkan diri sambil menikmati suara Syeikh Syathiri mengalunkan Al-Quran dengan indah.

Oh, hidup ini. Bukankah usia muda ini nanti akan disoal oleh Allah Azza wa Jala, untuk apa dihabiskan? Jika tidak ingat semua itu, duduk santai di bilik sambil mendengar lagu, menonton wayang gambar, bermain game, bermain FB. Atau mengikut trend anak muda kala ini, berchatting, berPACAR-PACARAN, bergaul bebas, berdua-duan, bertelefon hingga larut malam, bersembang perkara yang melalaikan. Ah, jika tidak memikirkan bahawa kelak semua itu akan dipertontonkan di hari Penghakiman kelak dihadapan seluruh manusia. Alangkah malunya saat itu.

Kelak nanti di akhirat manusia baru menyesal. Meraka akan merayu, ‘Wahai Tuhan Kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, nescaya kami akan berbuat amal kebajikan. Sungguh kami telah menyakini janji balasanmu.’

Dan waktu itu tidak ada lagi penyesalan buat umat manusia. Yang ingkar akan dihumban ke neraka Jahanam. Lalu dikatakan kepada mereka, ‘Maka rasakanlah olehmu azab ini kerana kamu melalaikan pertemuan hari ini, sesungguhnya Kami pun melupakan kamu dan rasakanlah azab yang kekal atas apa yang telah kamu kerjakan.’

Mendengar Syeikh Syathiri mengalunkan al-Quran dengan indah, terasa seolah-olah Allah berbicara pada saya. saya terus lena bersama air mata yang gugur membashi pipi.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
28 Zulhijjah 1431H

Sayyidul Ayyam: Hari Raya Buatku (SIRI 2)


Ini malam Jumaat. Besok pagi saya harus pergi menadah kitab. Selepas subuh di Surau Muhajirin. Pukul lapan pagi harus bertolak ke Marang, kemudian ke Masjid Terapung. Petang nanti setelah Asar di Surau Tok Jering dan malamnya di Surau Muhajirin. Planningnya harus di susun dengan baik. Sabtu nanti masih ada imtihan madah Mantiq Klasik. Usai kuliah pagi nanti saya harus muraja’ah.

Setelah mengemas buku-buku, tiba-tiba kepala saya terasa nyut-nyut. Terasa berat dan sakit. Ubun-ubun kepala terasa kering tanpa ada darah. Seperti ditusuk bilahan pedang. Sakit. Argh! Saya cuba menahan. Sambil jari memicit-micit kepala. Saya rebahkan tubuh pada katil bujang sampai saya terlelap. Dalam tidur saya mimpikannya. Saya mendengar suaranya menangis terisak-isak. Saya turut ikut sedih, air mata membasahi pipi. Pukul dua saya terbangun. Hairan dengan mimpi sendiri. 

Sebelum tidur saya sudah baca selawat dan doa. Saya tidak tahu mimpi itu tafsirnya apa. Kenapa ia menangis. Apakah hanya kebetulan, atau jangan-jangan ianya betul. Sangat jarang sekali saya bermimpi bertemu perempuan. Saya masih boleh menghitung berapa kali saya bermimpi bertemu perempuan. Semuanya bertemu perempuan yang satu, ibu, ibu dan ibu. Kenapa dia menangis. Apakah dia sebenarnya terasa hati terhadap saya. Hati di sapa resah. Saya istighfar berkali-kali memohon ampun kepada Allah jika apa yang saya alami ini suatu dosa dan kesalahan. Jangan-jangan saya telah menyakiti hatinya.

“Ku tahu bahwa dirimu merindukan kasih suci yang sejati, ku yakin bahawa dirimu mendambakan kasih putih yang hakiki, tetapi ku sedari bahawa semua itu adalah salah dan juga keliru, akan membuat hati menjadi ternodai. Maafkanlah segala khilaf yang telah kita lewati yang membawamu ke jalan yang melupakan Tuhan.”

Kalimat-kalimat itu berdesir pada indera dengar. Semoga suatu saat nanti pengorbanan ini akan membawa saya ke kaki langit cinta yang tiada tara indahnya. Kaki langit cinta orang-orang yang bercinta kerana Allah subhanahu wa Ta’ala.

Tiba-tiba saya teringat usikan adik saya, “Congratulation bang. She is the star, she is the true choice, she will be a good wife!.”
 
Ah, apakah mungkin! Apakah nanti ini jalannya. Saya cuba menepis jauh-jauh fikiran yang hendak masuk. Memiliki isteri solehah adalah dambaan. Tapi. Ah, saya ini pungguk dan dia adalah bulan. Saya ini seorang yang tiada harga, dan dia adalah bidadari tanpa noda.

Saya bangkit. Kepala terasa lebih ringan. Saya mahu solat malam. Malam terasa sunyi. Saya teringat ibu dan ayah di kampung sana, di tanah tumpah darah. Terbayang mata bening ibu.

Linangan air mata mu

Mengoyak hatiku

Ibu…

Maafkan anak mu ini

Ibu kepada siapakah harus ku mengadu

Bermanja

Tatkala manik-manik halus mengalir

Sehat sejahterlah ibu

Dalam sujud saya menangis kepada Tuhan, memohonkan rahmat kesejahteraan tiada penghabisan untuk ibu, ibu, ibu dan ayah tercinta.
Selesai berwitir saya melihat jadual. Ada kuliah di Surau Muhajirin selepas subuh. Pukul sembilan di masjid Rusila dan masjid Terapung. Kemudian nanti petang di Surau Tok Jiring dan malamnya kuliah kitab Buluhgul Maram dan Fatwa Mufti Johor. Kalau tidak ada kuliah sebenarnya saya ingin istirehat saja muraja’ah madah untuk imtihan. Tapi jadual itukan janji. Dan janji harus ditepati. Meskipun harus merangkak akan saya jalani.

Saya sampai di flat pukul 12.15 minit pagi. Tubuh terasa lelah. Mungkin kerana berjaga semalaman. Selesai mengantikan pakaian saya rebahkan diri di atas katil. Oh, alangkah nikmatnya. Ini saatnya qailullah. Agar nanti malamnya mudah untuk bangun qiamullail. Sambil mendengar Syeikh Abu Bakar Al-Syathiri membaca al-Quran dengan suara lembut dan indah penuh penghayatan. Dalam keadaan letih selalu saja suara Syeikh Abu Bakar Al-Syathiri menjadi muzik pengantar tidur yang paling nikmat. Terkadang saya menitiskan air mata, kala mendengar Syeikh Syathiri tersengguk menangis dalam bacaannya. Suaranya yang indah terus mengelus-elus urat saraf. 
Terik matahari menyengat ketika saya keluar ke masjid universiti untuk solat Jumaat. Sewaktu melangkah memasuki masjid kelihatan ruang masjid masih lengang dengan orang-orang. Saya solat tahiyyatul masjid dua rakaat sambil berniat untuk iktikaf.

Sepanjang khutbah berlangsung, hati saya basah. Saya menitiskan air mata. Ah, jarang sekali saya sebak seperti ini kala mendengar khutbah di sampaikan. Seingat saya hanya pernah sekali saya menangis ketika mendengar khutbah Cikgu Nasir sewaktu zaman sekolah dahulu. Dan saat ini hati saya sayu.

“Rasullah shallallahu ‘alahi wa sallam, telah pergi meninggalkan kita. Tetapi baginda menitipkan dua khazanah berharga untuk umatnya iaitulah Al-Quran dan Al-Sunnah...” suara tegas khatib menyampaikan khutbah.

Rasulullah!

Oh, mendengar nama itu disebut-sebut saya tergetar. Nama itu sangat indah seindah jasadnya. Nama itu sangat mulia semulia akhlaknya. Nama itu sangat mententeramkan hati. Nama itu menumbuhkan rasa cinta dan rindu yang memuncak-muncak. Menusuk-nusuk ke dalam kalbu hingga menumpakan air mata. Hati terus ‘basah’ dengan tangisan.

Ya Allah suburkanlah daripada apa yang telah dibina oleh Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam yang berkenaan dengan adab-adab makan dan minumnya, duduk dan berjalannya, penggunaan pakaian dan rumahnya, kelakuannya semasa gembira dan dukacita, di dalam kemiskinan dan kekayaan, tunjuk ajar dan panduannya. Warnakanlah diri ini dengan warnanya dan perkuatkanlah keimanan dalam hati ini pada menuntuni sunnahnya. 

Usai bersolat Asar di masjid universiti saya berangkat bersama Saiful ke Surau Tok Jiring menadah kitab Fathul Mu’in pada ustaz Ghani. Kitab Fathul Mu'in Bisyarhi Qurratul 'Ayn bi Muhimmatid Din Karangan Ulama Syafi’iiyah Al-Allamah asy-Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibariy, murid Allamah asy-Syaikh Imam Ibnu Hajar al-Haitamiy asy-Syafi. Kitab klasik yang terkenal, teras pengajian fekah di pondok-pondok. Ianya bahkan diangkat menjadi salah satu kitab rujukan dalam hal bidang ilmu fekah. Kitab ini sangat terkenal di nusantara.

Teringat kata-kata seorang teman dari Indonesia,

‘Fathul Mu’in punya daya tarik dan magisnya tersendiri. Segala macam problematika fiqhiyah tercakup dalam kitab ini. Berbahagialah yang sudah mendapat ijazah dan sanad Fathul Mu’in sampai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.’ 

Pukul enam petang saya pulang ke flat. Sementara menanti maghrib, masa yang ada saya isi untuk meneliti semula apa yang dibincangkan tadi. Saya selak halaman pada kitab Fathul Mu’in dan berhenti pada halaman 16 pada membahaskan tentang lafaz niat solat,

‘..Takbiratul ihram harus dilakukan bersamaan dengan niat (solat), kerana takbir adalah rukun solat yang awal, maka wajib bersamaan dengan niat..’

‘Disunnahkan mengucapkan niat sebelum takbiratul ihram, agar lisan dapat membantu hati (kekhusukan hati), dan kerana mengindari perselisihan dengan ulama yang mewajibkannya.’

Saya terus leka meneliti mutiara-mutiara ilmu yang dibicarakan oleh Syeikh al-Malibariy itu sementara menanti datangnya maghrib. Kerana malam nanti kuliah kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor bersama ustaz Tirmizi.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
21 Zulhijjah 1431H

Sayyidul Ayyam: Hari Raya Buatku (SIRI 1)


Malam yang bening bersama titik hujan yang menyirami bumi melahirkan rasa dingin pada segenap tubuh. Terus lena bersama mimpi indah sambil dibelai-belai udara sejuk lebih menyenangkan daripada bangkit untuk bersolat malam. Seruan yang suci di tengah malam, “Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?”.

Ah! Panggilan-panggilan itu hanya mampu menggugah dan menggerakkan hati-hati yang benar-benar tebal imannya. Yang memiliki tekad beribadah sesempurna mungkin dalam segala musim dan keadaan.

Bagi seorang mukmin, malam adalah saat kehidupan yang sangat dirindukan bak malam pengantin. Di sanalah seorang mukmin menjumpai sang Kekasihnya, Allah subhanahu wa ta’ala, berkhalwat denganNya. Dan dengan cara seperti itu pulalah Rasulullah dan para sahabat menghabiskan malamnya.

Para Sahabat Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam itu di ibaratkan seperti Ruhbanun fi al-Lail wa fursanun fi an-Nahar. ‘Singa di siang hari dan menjadi abid di malam hari’. Sabda baginda, “Abdullah Bin Umar itu sangat baik orangnya, apakah lagi kalau beliau bangkit sembahyang di waktu malam.” Imam As-Syafie dikatakan tidur hanya sekitar tiga jam, Imam Mujahid seorang mufassir mutaqaddim menghabiskan waktu malamnya dengan bersolat dua rakaat sahaja kerana sujudnya yang panjang, sehingga dikatakan beliau meninggal dalam keadaan sujud. Wallahu’alam.

Saya bangkit membersihkan diri dan melakukan solat malam. Bersama sebuah pengharapan agar Dia selalu melimpakan keredhaan dan kasih sayangNya. Bermunajat dan berdoa setulus jiwa. Menagih maghfirah dan ampunanNya. Dalam sebuah hadis disebutkan, pada sepertiga malam terakhir, Allah turun ke langit bumi. Saat itulah waktu yang sangat mustajab bagi doa.

Selain tempat munajat, shalat malam adalah madrasah ruhiyah, agar seorang mukmin memiliki benteng dalam menghadapi berbagai ujian dan cobaan serta ganguan keduniawian. Disinilah jiwa dilatih untuk selalu terikat dengan Rabbnya. Malam adalah sumber kekuatan jiwa, tenaga baru bagi kalbu, saat indah untuk ibadah, serta tangga terdekat dalam taqarrub kepada Allah.

Berguru Dengan ‘Syeikh Muda’

Subuh semakin hampir, saya bersiap-siap hendak ke Surau Muhajirin menadah kitab Al-Kabaa’ir dengan ustaz Ahmad Tirmizi Taha. Seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin, beliau saya anggap guru yang mursyid dan tawadduk. Dikalangan teman-teman pensyarah beliau digelar ‘Syeikh’ kerana kealimannya dalam bidang ilmu terutamanya ilmu fekah. Selain kitab Al-Kabaa’ir, saya juga mengaji kitab Bulughul Maram, Fatwa Mufti Johor, Faridah Faraid, Fati Faridah dan kitab Riadhus Sholihin. 

Pagi ini, cuaca tampak sedikit redup. Matahari diufuk timur seakan malu menyimbah sinarnya pada sang bumi. Suasana tenang damai. Tidak kedengaran suara-suara riuh mahasiswa kampus yang acap kali menghiasi hari-hari di sini. Hari cuti memang seperti ini. Mahasiswa lebih selesa untuk duduk istirehat di dalam bilik. Atau ada yang masih lena bersama mimpi.

Dalam keadaan cuti seperti ini, saya sendiri sebenarnya terkadang malas untuk keluar. Tetapi memikirkan bahawa keberadaan saya di sini adalah amanah. Dan amanah akan dipertanggungjawabkan kelak. Memikirkan bahawa masa muda yang sedang saya jalani ini akan dipertanyakan nanti. Memikirkan bahawa tidak semua orang diberi nikmat menuntut ilmu. Memikirkan bahawa saya datang ke sini membawa segunung harapan ibu dan ayah. Memikirkan bahawa jadual adalah janji yang mesti ditepati. Jika tidak memikirkan itu semua, duduk di bilik saja lalu tidur santai menyalakan kipas tentu nyaman sekali. 

Saya lihat jadual. Jumaat. Kuliah di Masjid Rusila. Mengaji kitab Fathul Mu’in di Masjid Terapung. Pukul lima petang, menadah kitab Fathul Mu’in dan tafsir di Surau Tok Jering. Malamnya kuliah Kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor di Surau Muhajirin.

Dengan tekad yang bulat, setelah mengusir segala perasaan malas, saya bersiap untuk keluar. Saya ambil kitab-kitab dan memasukkan ke dalam beg sandang.

‘Akhi hati-hati. Allahu yubarik fik.’ Ujar Firdaus serak.

‘InshaAllah. Wa iyyaka.’ Balas saya sambil melangkah keluar perlahan-lahan.

‘Bismillahi tawakkaltu ‘ala Allah’

Setelah memanaskan enjin motor saya terus pergi. Perjalanan ke Marang memakan masa 30 minit. Jam pada telefon bimbit Sony Ericsson saya sudah menunjukkan pukul 8.13 pagi. Saya harus tiba di sana sebelum pukul sembilan.

Menadah Kitab Bersama Ulamak Haraki

Pukul 8.50 pagi saya sampai di Masjid Rusila yang terletak di sebuah kampung di jajaran pantai Laut Cina Selatanm di tengah perjalanan darat Marang-Kuala Terengganu. Rusila, dengan imej kampung nelayan yang damai mula menjadi tempat perkelahan ilmu, hari Jumaat di perkampungan itu begitu meriah dan begitu ‘festive’. Puluhan ribu berhimpun bukan sekadar menadah kitab daripada sang ‘Muallim’ tetapi juga menjadi pasar mingguan dengan seribu satu barang diperniagakan. Masjid kayu dengan latar belakang perkampungan nelayan mula bertambah besar dan menjadi kompleks pendidikan dengan tertubuhnya Maahad Darul Quran pada tahun 1986. Kini maahad ini menampung lebih seribu pelajar yang datang dari seluruh negara.

Jalan sedikit sesak dengan kenderaan. Orang-orang lalu lalang sekitar jalan, sementara menanti kuliah bermula. Jumaat merupakan hari minggu di sini. Dan biasa hari minggu diisi dengan kuliah ilmu. Jumaat adalah hari ilmu. Di rumah-rumah Allah terisi dengan majlis ilmu, di merata tempat. Hanya tinggal memilih sahaja mahu ke mana. Bagi yang cintakan ilmu, maka Jumaat menjadi hari raya. Hari raya buat pencinta ilmu. Tapi sayang tidak semua yang merebut kesempatan ini. Hanya mereka yang benar-benar mencintai ilmu sahaja yang bisa tergugah dan tergerak hatinya untuk pergi. Mereka yang benar-benar dahagakan petunjuk dan rahmat Allah pada setiap waktu dan ketika. Orang-orang yang Allah mengkehendaki untuknya kebaikan, lalu Allah memberikan kepadanya kelapangan untuk mencari ilmu dan diberi padanya kefahaman dalam hal-hal agama.

Saya terus melangkah memasuki masjid Rusila. Puluhan orang sudah memenuhi ruang masjid menanti kuliah bermula. Saya letakkan beg sandang berwarna coklat di tepi tiang dekat saya berdiri. Saya solat tahiyyatul masjid dua rakaat sambil berniat untuk iktikaf. Dalam solat terasa Allah mengusap-ngusap dengan kasih sayangNya. Dia terasa sangat dekat, lebih dekat daripada urat leher. Hati terasa tenang tenteram.

Selesai solat saya beranjak duduk ke hadapan berhampiran tempat ceramah. Beberapa ketika suara pintu dibuka. Saya memandang ke arah pintu yang hanya dua meter di hadapan.

“Assalamu’alaikum.” Hati saya berdesir keras. Dengan suara serak, suara itu sangat istimewa.

Subahanallah!

Lelaki yang berada di hadapan saya dengan jubah kuning, dia adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Seorang murabbi, ideolouge, pemimpin, dan ulamak haraki yang penuh karismatik. Beliau merupakan seorang tokoh besar dalam politik dan dakwah di negara ini. Namanya terukir besar pada lembaran sejarah kebangkitan Islam di Malaysia pada penghujung dekad 70an dan 80an. Beliau bahkan telah diangkat menjadi ikon peserta kebangkitan Islam di negara ini sehingga situasi itu digelar sebagai fenomena Haji Hadi, ceramah dan kuliahnya mencecah ribuan pendengar. Aktiviti pembinaan kader dakwah juga berjalan rancak pada dekad 80an dengan beliau menjadi tenaga pengisian utama.

Tuan Guru adalah tokoh muda yang muncul di awal dekad 80an dengan imej berjubah dan berserban sebagai cerminan ulamak muda yang mengakar dengan sunnah, telah menyimbah marak api kebangkitan Islam yang fenomenanya bersifat global. 

Saya selusuri wajah tuanya. Dia seakan tersenyum pada saya. Hati terasa dingin sekali. Dengan tenang dia melangkah mengambil tempat lalu memulai kuliah. Sekalian yang hadir memandang tepat ke arahnya. Perbicaraan bermula. Mata saya tertumpu pada tulisan jawi yang membicarakan tentang Asma’ Al-Husna sambil mendengar dengan saksama kalimat-kalimat yang diungkapkan beliau. Bermula dengan perbahasan aqidah dengan kitab Beriman Kepada Allah, yang dikarangnya sendiri. Kemudian disambung pula pada membicarakan hadis pada kitab Riadhus Sholihin dan tafsir Surah Al-Waaqi’ah, Tafsir Al-Munir tulisan Dr. Wahbah Al-Zuhaily menjadi rujukan saya. Tenggelam dalam lautan khazanah ilmu seorang ulamak. Hati menjadi khusyuk meniti setiap bicara yang terungkap pada belahan bibirnya. Nikmat!

Setelah selesai kuliah, saya menyalami dan menyium tangannya dengan takzim. Di dalam hati saya berdoa semoga saya memperolehi berkatnya. Senyum menghiasi wajahnya yang bersih. Janggut putihnya tertata rapi. Saya tatap wajah beliau sesaat. Hati saya tenang. 

Berbicara Bersama ‘Fathul Mu’in’

Waktu sudah hampir telat. Saya perlu segera ke masjid Sultanah Zahirah atau sinonimnya masjid Terapung. Jaraknya tidak jauh dari masjid Rusila sekitar 10 minit. 

Di luar masjid, cuaca kelam dan awan-awan di langit bertompok-tompok. Hari mahu hujan. Cepat-cepat saya ayunkan kaki menuju parking motor dan terus pergi.

Sewaktu saya tiba di Masjid Terapung, kedengaran suara Ustaz Halim berbicara. Bekas Timbalan Mufti Terengganu itu sangat-sangat saya kagumi. Saya mula mengenalinya ketika bersama-sama dalam satu forum di masjid universiti. Saya menjadi moderator forum dan beliau salah seorang ahli panelnya. Kekaguman saya semakin menjadi-jadi apabila mengikuti kuliah kitab Al-Iqna’ dengannya.

Jelas suara loghat Terengganunya dari corong masjid, membahaskan mutiara ilmu dalam kitab Fathul Mu’in. Saya suka pada penerangannya. Mudah digarap dan difahami. Kata guru saya, kitab Fathul Mu’in merupakan sebuah tulisan yang sangat istimewa dan bernilai jika ditekuni dan diteliti. Mutiara-mutiara ilmu pada membicarakan ilmu fekah sangat keterhadapan. Bahkan tidak bisa dinafikan, kebijaksanaan pengarang dalam mengolah perbahasan pada masalah fekah begitu mengasyikkan.

Sewaktu melangkah masuk mengambil tempat, saya lihat teman-teman kampus sedang khusyuk meniti kuliahnya. Ada Saiful, Azren, dan Hafez. Mereka adalah senior saya. Saiful seorang hafiz al-Quran asal Terengganu. Saya begitu menghormatinya. Mungkin kerana penampilannya yang biasa-biasa sahaja. Bahkan mulutnya tidak lekang dari alunan ayat-ayat suci al-Quran yang ada di dada. Azren digelar teman-teman waliyullah. Ntah dari mana asal nama itu digelarkan padanya. Sedang Hafez, seorang yang peramah dan suka tersenyum. Kawan-kawan memanggilnya Pak Ngah. Sangat melucukan!

Usai kuliah dan sunat Dhuha saya terus pergi. Dalam perjalanan hati saya terus basah dengan zikrullah. Mengharapkan limpah rahmat, belas dan kasihNya. Mengharapkan curahkan rezki yang maha kaya dari Allah.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
6 Zulhijjah 1431H