AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Tasauf. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tasauf. Papar semua catatan

The Mortal

Pukul 4.00 pagi saya terjaga dari tidur. Kepala terasa semakin ringan. Rasa sakit yang tiba-tiba menyengat malam tadi, usai kuliah bersama anak-anak Sekolah Agama Rakyat Al-Amen kian beransur hilang. Saya mahu bangkit. Waktunya untuk bertemu Sang Kekasih!

Suasana sunyi dan tenang. Bersama embun pagi yang sedang asyik bercumbuan. Oh, sungguh mententeramkan. Terasa nikmat meresap ke segenap tubuh, ruh dan jiwa.

Selesai menunaikan solat tahajjud saya berzikir. Zikir Jahr kemudian diikuti zikir khafi. Oh, sungguh terasa nikmat bermesra-mesraan dengan sang Kekasih. Segalanya hilang dalam ingatan. Segalanya terlupakan. Yang ada hanya Dia. Yang dimahu hanya Dia. Yang diingatan hanya Dia. Yang wujud hanya Dia. Sebenar-benar wujud. Zikir khafi dihidupkan, hati bersinar terang. Cahaya di atas cahaya.

Allah…Alllah…Allah…

Nafas terus berhembus. Jantung terus berdegup kencang. Seiring rentak zikir. Bersama ismul ‘azham, Allah…Allah…Allah…

Ya, hanya Allah. Dia Allah yang tidak menyerupai apapun. Hakikat zat-Nya tidak mampu terjangkau dan terbayangkan. Tiada yang menyerupai-Nya. Haq yang wujud. Allah…Allah…Allah…kalimat agung itu membenam dalam hati…terbakar!

Cahaya terpancar terang. Melepasi tujuh lapisan langit. Tembus ke hadrat Rabbul Jalil.

Zouq! Rasa!

Nikmat! Lezat!

Mabuk! Fana’!

Hati terbakar!

ALLAH…


al-faaqir ila Rabbi al-Qadir

Dhiya'
Kolej Islam Pahang
Kuantan

Tarikat, Jalan Menuju Ma'rifatullah


“Ya. Jumpa di masjid universiti pukul 6.01.” pesanan terakhir saya kepada Mustaqim. Dia junior saya. Mahasiswa Diploma Usuluddin tahun satu, asalnya dari Terengganu.

Petang itu damai bersama suara burung-burung yang bertasbih memuji dan membesarkan Tuhan. Sedang suara riuh mahasiswa yang biasanya menghiasi waktu-waktu seperti ini suram. Keadaan terasa sunyi. Masing-masing sedang pulang bercuti.

Jauh di sudut hati sebenarnya saya juga mahu pulang ke kampung. Bertemu ibu dan ayah. Melihat wajah mereka sepuasnya. Bukankah memandang wajah kedua orang tua itu membuah pahala? Oh ruginya saya. Namun saya harus berbuat apa. Terkadang di dalam hidup kita harus berkorban. Berkorban harta, nyawa, bahkan perasaan yang tertanam di hati, itu juga harus dikorban bila perlu. 

Saya sebak mengenangkan ibu dan ayah nun jauh di sana. Sekali-sekala wajah tua keduanya membayangi hari-hari saya di sini.

“Ya Allah, ampunilah dosa ibu bapa ku, rahmatilah mereka, maafkan kesalahan mereka, dan limpah belaslah ke atas mereka. Tempatkan mereka di dunia dengan rahmatMu dan di akhirat dengan redhaMu. Amin.”

Hati terus tenggelam dalam rasa sayu. Mengenang ibu dan ayah. Bagaimanakah keadaan mereka?

Tazkiyatun Nafs Menuju Ma’rifatullah

Saya dan Mustaqim tiba di Masjid Raja sewaktu azan Maghrib hampir berkumandang. Orang ramai sudah mula memenuhi ruang masjid. Mereka datang dari pelbagai tempat, ada yang dekat malah ada yang datang dari jauh semata-mata untuk mendengar mutiara-mutiara hikmah ‘Sang Mursyid’. Saya pandang keliling ternyata dipenuhi ‘Ikhwan’ yang biasa saya temui dalam majlis ‘Khotamaan’ turut sama hadir. Di mana ada ‘Guru’ di situ ada muridnya.

Setelah bersolat Maghrib dan sunat ba’diah Sang Guru mengambil tempat. Sekalian yang hadir bersiap meniti bicara beliau.  

‘Ilahi anta maq-shudi wa ridho ka math-lubi. A’thini mahabbata ka wa ma’rifata ka.’ Sang guru memula bicara. Masing-masing tertumpu pada wajah redupnya. Sesekali memandangnya, hati terasa damai, tenang dan tenteram. Ada cahaya yang terpancar, cahaya orang yang ma’rifah akan Allah.
Beliau meneruskan bicaranya.

“Berkata Syeikh, jika ditanya akan dikau dengan apa membaikkan hati itu supaya baik dengan dia segala anggota yang zahir. Maka jawab olehmu bahawa membaikkan hati dengan mengambil ilmu ‘Tarikat’ yakni ilmu tasauf dan membanyakkan zikir Allah ta’ala kerana tiada jadi baik hati itu melainkan dengan menjalani ilmu ‘Tarikat’ ahli Sufi yakni dengan belajar ilmu tarikat kepada ahlinya serta mengamalkan akan dia dan serta mengambil ‘Talqin Zikir’ dan ‘Bai’ah’ kepada guru yang ‘Mursyid’ yang sampai silsilahnya itu kepada nabi shollallahu ‘alahi wa sallam hingga kepada Jibril hingga kepada haq Allah subhanahu wa ta’ala jalla wa azza.”  

Saya yang mendengar bicara itu terasa khusyuk. Bicara yang lembut perlahan-lahan menyerap ke dalam hati. Ibarat air dingin yang diteguk kala kehausan. Sangat menyegarkan. Nikmat meniti mutiara hikam Dr Abdul Manam Mohamad Al-Merbawi, seorang ‘alim dalam ilmu Tasauf, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin, khalifah bagi Tarikat Qadiriyah Naqsyabandiyah.
 
Tarikat Qadiriyah Naqsyabandiyah

Tarikat Qadiriyah Naqsyabandiyah adalah perpaduan dari dua buah tarikat besar, iaitu Tarikat Qadiriyah dan Tarikat Naqsyabandiyah. Pelopor tarikat baru ini adalah seorang Sufi Syeikh besar Masjid Al-Haram di Makkah al-Mukarramah bernama Syeikh Ahmad Khatib Ibn Abd. Ghaffar al-Sambasi al-Jawi (w.1878 M.). Beliau adalah seorang ulama besar dari Indonesia yang tinggal sampai akhir hayatnya di Makkah. Syeikh Ahmad Khatib adalah mursyid Tarikat Qadiriyah, di samping juga mursyid dalam Tarikat Naqsabandiyah.

Silsilah Tarikat Qadiriyah yang merujuk pada Sayyidina Ali Radhiyallahu ‘Anhu dan Abdul Qadir Jaelani dan seterusnya adalah dari Nabi Muhammad shollallahu ‘alahi wa sallam, dari Malaikat Jibril 'alaihis salam hingga kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Silsilah Tarikat Naqsyabandiyah ini dinisbatkan kepada Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radhiyallahu ‘Anhu dan Bahauddin Naqsyaband dan seterusnya dari Nabi Nabi Muhammad shollallahu ‘alahi wa sallam, dari Malaikat Jibril 'alaihis salam hingga kepada Allah subhanahu wa ta’ala.

Sebagai seorang mursyid yang kamil mukammil Syeikh Ahmad Khatib sebenarnya memiliki keutamaan untuk membuat ‘modifikasi’ tersendiri bagi tarikat yang dipimpinnya. Kerna dalam tradisi Tarikat Qadiriyah memang ada kebebasan untuk itu bagi yang telah mempunyai kedudukan ‘Mursyid.’ Kemudian menggabungkan inti ajaran kedua tarikat tersebut, iaitu Tarikat Qadiriyah dan Tarikat Naqsyabandiyah dan mengajarkannya kepada murid-muridnya, khususnya yang berasal dari Indonesia.

Penggabungan inti ajaran kedua tarikat tersebut kerna pertimbangan logik dan strategik, bahwa kedua tarikat tersebut memiliki inti ajaran yang saling melengkapi, terutama jenis zikir dan metodnya. Di samping keduanya memiliki kecenderungan yang sama, iaitu sama-sama menekankan pentingnya syariat dan menentang faham Wihdatul Wujud. Tarikat Qadiriyah mengajarkan Zikir Jahr Nafi Itsbat, sedangkan Tarikat Naqsyabandiyah mengajarkan Zikir Sirri Ism Dzat. Dengan penggabungan kedua jenis tersebut diharapkan para muridnya akan mencapai derajat kesufian yang lebih tinggi, dengan cara yang lebih mudah atau lebih efektif dan efisien.

Sebagai suatu mazhab dalam tasawuf, Tarikat Qadiriyah Naqsyabandiyah memiliki ajaran yang diyakini kebenarannya, terutama dalam hal-hal kesufian. Beberapa ajaran yang merupakan pandangan para pengikut tarikat ini bertalian dengan masalah tarikat atau metod untuk mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Metod tersebut diyakini paling efektif dan efisien. Kerna ajaran dalam tarekat ini semuanya didasarkan pada Al-Quran, Al-Hadits, dan perkataan para 'ulama ‘Arifin dari kalangan Salafus Soleh.

Kemuliaan Manusia Pada Ma’rifatullah.

Guru kami meneruskan bicaranya pada lebaran Siyarus Salikin bertulisan jawi kecil.

“Dan dengan menjalani tarikat ahli sufi ini menyampaikan ia kepada Allah ta’ala yakni kepada ‘Ma’rifat’ akan Allah ta’ala dengan ma’rifat yang sebenar-benarnya dan dengan ma’rifat dan dengan ma’rifat akan Allah ta’ala yang sebenar itu hasillah kemuliaan manusia dan kelebihannya.”

Ilmu Tarikat merupakan suatu jalan yang khusus untuk menuju Ma’rifat dan Hakikat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ia termasuk dalam Ilmu Mukasyafah dan merupakan Ilmu Batin, Ilmu Kerohanian dan Ilmu Mengenal Diri. Ilmu Kerohanian ini adalah bersumber dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang diwahyukan kepada Jibril ‘Alaihissalam dan diwahyukan kepada sekalian Nabi dan Rasul khususnya Para Ulul ‘Azmi dan yang paling khusus dan sempurna adalah kepada Baginda Nabi Besar, Penghulu Sekelian Makhluk, Pemimpin dan Penutup Sekalian Nabi dan Rasul, Baginda Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Alihi Wa Ashabihi Wasallam.

Kemudian ilmu ini dikurniakan secara khusus oleh Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kepada dua orang Sahabatnya yang unggul iaitu Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Sayyidina ‘Ali Ibni Abi Talib Radhiyallahu ‘Anhuma. Melalui mereka berdualah berkembangnya sekalian Silsilah Tariqat yang muktabar di atas muka bumi sehingga ke hari ini.

Hal ini telah disebutkan oleh guru kami, Abah Anom KH. A Shohibulwafa Tajul ‘Arifin (dalam silsilah urutan ke-37) dengan katanya.

“Asas tujuan Tarikat Qadiriyah Naqsyabandiyah seperti yang dibacakan dalam doa para Ikwan, ‘Ilahi Anta Maqshuudii Waridloka Mathluubi A’thini Mahabbataka wa Ma’rifataka. Ertinya : Ya Tuhanku! hanya Engkaulah yang ku maksud, dan keredhaan Mulah yang ku cari. Berilah aku kemampuan untuk bisa mencintaiMu dan ma’rifat kepadaMu. Antaranya, Kemahabbahan dan kema’rifatan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta’ala.”

“Rasa cinta dan ma’rifat terhadap Allah “Dzat Laisa Kamitslihi Syaiun” yang dalam mahabbah itu mengandung keteguhan jiwa dan kejujuran hati. Kalau telah tumbuh Mahabbah, timbullah berbagai macam hikmah di antaranya membiasakan diri dengan selurus-lurusnya dalam hak zahir dan batin, dapat pula mewujudkan “keadilan” yakni dapat menetapkan sesuatu dalam haknya dengan sebenar-benarnya. Pancaran dari mahabbah datang pula belas kasihan ke sesama makhluk diantaranya cinta pada nusa ke segala bangsa beserta agamanya. Tarikat Qadiriyah Naqsabandiyah ini adalah salah satu jalan buat membukakan diri supaya tercapai arah tujuan tersebut.”

‘Ilahi Anta Maqshuudii Waridloka Mathluubi A’thini Mahabbataka wa Ma’rifataka.’

Dhiya'
Masjid Raja, KT
9 Muharram 1432H

Bersama Lautan Al-Hikam

Usai bersolat Asar di Masjid Universiti saya berangkat ke Kuala Terengganu. Rencananya mahu ke kedai buku Jendela Ilmu setelah itu terus ke Masjid Raja, pengajian bersama Syeikh Dr Abdul Manam bin Mohamad Al-Merbawi. Langit sedikit kelam. Sepertinya hujan hendak turun. Saya bergegas, saya harus tiba sebelum 5.30 petang kerana khuatir kedainya tutup.

“Dik, buku Aku Terima Nikahnya edisi istimewa sudah sampai. Nah!” ujar kakak pekerja kedai itu sambil menghulurkan buku tulisan ustaz Saiful Islam ke arah saya.

“Oh ya. Terima kasih saya mahu beli.” Jawab saya.

“Mahu dihadiahkan untuk pengantin?” soal kakak itu.

“Tidak.” Balas saya sambil tersenyum.

“Nanti akak kahwin saya hadiahkan ya.” Tambah saya lagi.

“InshAllah. Tapi lama lagi lah.” Tukasnya malu. Mukanya kemerahan.

Mungkin sudah mendarah daging dalam diri saya untuk ke kedai buku. Ke mana pun hendak pergi mesti akan ke kedai buku. Jika dalam masa seminggu tidak ke kedai buku, terasa semacam mahu demam. Gila! Jika tidak beli. Membelek-belek helaian demi helain pun sudah memadai.

Terus hanyut dengan buku-buku tidak terasa waktu sudah menuju pukul enam. Saatnya untuk saya ke Masjid Raja. Cuaca di luar masih redup. Cahaya mentari sirna dek awan yang berkepul-kepul. Setelah membayar buku-buku saya berlalu.

Memahami Hakikat Tasauf

Dalam banyak-banyak cabang ilmu, jujur saya lebih dekat kepada ilmu Tasauf. Entah sejak bila saya jatuh hati kepada ilmu ini. Sekira-kiranya ketika saya mengaji di Kolej Islam dahulu. Salah satu madah yang wajib diambil oleh pelajar Dakwah adalah madah Tasauf. Ummi saya, al-fadhilah Ustazah Safiah Abdul Razak menjadi pensyarahnya. Seingat saya, tidak pernah sekali saya culas kuliah beliau. Dan saya mewajibkan diri untuk hadir. Jika tidak saya merasa berdosa. Sungguh saban waktu kuliah berlangsung hati saya selalu sahaja menangis. Hati saya selalu tersentuh lalu menjadi khusyuk. Diri terasa dekat dengan Allah. Inilah yang dikatakan ilmu yang bermanfaat dalam pengertian Tasauf, iaitu ilmu yang menyentuh hati dan perasaan, menyedarkan hati agar menjadi khusyuk, yang menambahkan petunjuk sehingga sampai seseorang itu kepada Allah. Lalu inilah yang mungkin ‘memikat’ hati saya.

Sebetulnya tidak begitu. tidak perlu menunggu ilmu Tasauf itu memikat hati atau kita jatuh hati padanya, kerna hakikat ilmu Tasauf itu fardhu ‘ain ke atas setiap mukallaf. Seperti kata Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib Al-Indonesi, dalam kitab Penawar Bagi Hati. 

“Dan adapun hukumnya (belajar ilmu Tasauf) maka fardhu ‘ain atas tiap-tiap yang berakal lagi sampai umur.”

Belajar Dengan Al-‘Arifbillah

Pukul 6.20 petang saya tiba di Masjid Raja. Masjid masih lengang dengan orang-orang. Sementara menanti Maghrib saya berniat iktikaf masa masih ada beberapa minit sebelum azan. Ini saatnya saya mengulang hafalan Al-Quran.

Setelah solat Maghrib berjemaah dan solat sunat ba’diah, Ustaz Manam mengambil tempat lalu memulakan bicaranya. Perlahan-lahan saya buka kitab Siyarus Salikin, tulisan jawi sedikit kecil menjadi tumpuan sambil meniti kata-kata beliau.

“Menggambarkan tasawuf dengan gambaran akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah semata-mata seperti yang telah dijelaskan, ternyata tidak tepat dan tidak menggambarkan intipati serta gambaran menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam yang bermaksud.

“Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau"

“Ternyata bahawa hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Pencapaian mushahadah inilah yang akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat dan dari sini jugalah timbulnya berbagai persoalan ilmu tasawuf.” Sayup-sayup suara beliau berbicara menjelaskan hakikat Tasauf. Sekalian yang hadir mendengar dengan saksama ungkapan beliau.

Ternyata benar, Tasawuf seringkali disalahfahami dan dijelaskan secara yang mengelirukan. Gambaran-gambaran yang diberikan terhadap tasawuf adakalanya bersifat menakutkan, sukar atau mustahil dicapai atau menyentuh sudut-sudut tertentu tasawuf itu.

Hal ini selalunya terjadi apabila tasawuf itu dihuraikan oleh orang yang tidak berkeahlian serta tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenainya, atau orang yang sememangnya tidak menyukai tasawuf atau mereka yang terpengaruh dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji tasawuf semata-mata tanpa menyelami dan menghayatinya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri atau orientalis barat.

Antara gambaran yang selalu diberikan kepada tasawuf ialah semata-mata kemuliaan akhlak, tiada yang lain dari itu. Tasawuf juga selalu dikaitkan dengan kezuhudan yang merujuk kepada makna ketiadaan pemilikan atau membuang, menolak serta menjauhkan diri dari perkara-perkara keduniaan.

Tasawuf juga selalu digambarkan sebagai peribadatan lahiriah, iaitu ahli tasawuf itu ialah orang yang menekuni ibadat khusus seperti solat, puasa, qiyam al-lail, zikir dan sebagainya, dan menghabiskan masa dengan ibadat itu sahaja tanpa memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lain dari itu. Selain itu tasawuf juga sering digambarkan sebagai kecenderungan dan usaha memperolehi kekeramatan yang merujuk kepada pengertian kejadian luar biasa.

Menggambarkan tasawuf seperti ini ternyata tidak tepat dan mengelirukan!
Hakikat sebenar tasawuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati dari sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah.

Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain dari Allah dari lubuk hati dan nyata kebenaran Allah di cermin hati itu (tajalli) iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

“Berkata Syeikh `Abd Al-Qadir Al-Jilani, bahwa Tasawuf itu ialah pembersihan hati (tasfiyah) dari sesuatu yang lain dari Allah. Menurut beliau, tasawuf itu diambil dari perkataan safa (musafat) iaitu bermaksud orang yang Allah bersihkan batinnya.” Tambah Syeikh Merbawi lagi.

Tasauf itu adalah ilmu pengetahuan yang berbicara hakikat kelakuan hati, samada bersifat Mahmuda (terpuji) seperti rendah diri dan sabar atau sifat Mazmumah (tercela) seperti dengki dan membesar diri atau sombong.
Sesungguhnya ilmu Tasauf itu menyampaikan seseorang kepada kekhyusukan hati, sehingga di hatinya tidak ada yang lain selain Allah kerana hatinya dihiasi dengan pandangan kepada Allah semata. Kerana kata Syeikh Indonesi, sumber ilmu Tasauf adalah daripada Al-Quran Al-Karim dan Al-Sunnah Nabi Shallallahu ‘alahi wa sallam.

Inilah hakikat ilmu Tasauf yang mesti difahami. ‘Tarbiyatul Qulb’, mendidik hati, ‘Tazkiyatul Qulb’, membersihkan hati. ‘Tajdidul Qulb’, memperbaharui hati sehinggalah hati itu benar-benar terikat dengan Allah. Maka sangat perlu untuk kita mempelajari ilmu Tasauf.

Beliau meneruskan bicara pada kitab Siyarus Salikin.

“Kata Al-‘Arifbillah Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani. Tiada baik hati itu melainkan dengan belajar ilmu yang memberi manfaat seperti ilmu yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali rahimahullahu ta’ala di dalam Bidayah Al-Hidayah dan di dalam Minhaj Al-Abidin dan di dalam Ihya’ Ulum Al-Din dan seperti yang tersebut di dalam kitab yang fakir terjemahkan ini (Siyarus Salikin) dan lainya seperti segala ilmu Tasauf dan seperti yang tersebut di dalam kitab Nafahaat Al-Uluhiyyah fi Suluki Thoriqati Al-Muhammadiyyah karangan Syeikh Sayyid Muhammad Samaan Waliyullah.”

Hati terus tenggelam bersama lautan HIKAM yang dibicarakan beliau.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Masjid Raja, KT
3 Muharram 1432H

Catatan:
*Orang yang tidak makan GULA dia tidak akan merasa MANIS nya!