AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Kerna Tuhan Sayang Kita


Kalau Tuhan kita kenali,
Kasih sayang dan peranan-Nya
…

Kalau Tuhan kita rasakan
Betapa Dia sangat cintakan hamba-Nya
...

Pagi hari yang tenang, sambil menikmati lirik lagu yang indah. Benar-benar menyentuh nubari. Lantas menimbulkan tanda tanya. Kenalkah aku kepada Tuhanku?

Kawan, sudahkah kau mengenali Tuhan kita?

Yang selama ini memberikan kita makanan, minuman, udara, pernafasan, pancaindera untuk mendengar, melihat, merasa, kaki untuk berjalan, tangan untuk memegang. Maka kita pun senang menerimanya.

Yang membuat hidup kita gembira dan bahagia. Yang terkadang membuat kita tersenyum dan ketawa. Dialah Tuhan kita yang memberikan segala-galanya.

Baiknya Tuhan kita.

Tapi...

Kenapa, apabila mengalami kesakitan kita menangis sedih?

Kenapa, apabila ditimpa kemiskinan kita bermuram durja?

Kenapakah kita tidak senang menerima ujian?

Kerna kita menyangka Allah murka dan membenci kita. Atau kerna kita ingin sihat seperti orang lain. Kita mahu hidup senang seperti orang-orang yang senang. Kita mahu bahagia sebagaimana orang lain hidup. Kita menginginkan agar seluruh kehidupan kita sentiasa dalam keadaan baik dan sejahtera. Benarkan?

Ah, manusia memang begitu fitrah kejadiannya. Hanya menginginkan yang enak-enak. Padahal kita lupa dengan firman Tuhan,

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta. " [Al-Ankabut : 2-3]

Kawan percayalah, penyakit, kemiskinan, kesusahan dan ujian sama sebagaimana nikmat, datangnya dari sisi Tuhan. Kita tahu semua itu. Tapi kenapa masih bersedih lama-lama, muram dan tidak ceria, malah marah-marah dengan ujian yang diberikan. Inilah yang sering membuatkan hari-hari kita tidak terasa indah dan berharga. Rasa kecewa dan putus asa. Hidup terasa kelam dan kelabu. Kita berasa kehilangan.

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” [Al-Hajj : 11]

Janganlah lama-lama berkesedihan. Sudah masanya untuk kita merasa.

Sebagaimana kita merasai nikmat itu datangnya daripada Allah, maka bala ujian itu juga datang dari-Nya. Sebagaimana kita sedar bahwa pemberian nikmat itu adalah tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Maka mengapa tidak kita memandang bahwa bala ujian itu adalah kerna sifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih Allah kepada hamba-Nya.

Kerna Tuhan tidak mahu kita terus-terusan dalam kelalaian.

Kerna Tuhan tidak tegah melihat kita bergelumang dengan dosa dan kesesatan.

Kerna Tuhan inginkan kita hampir denganNya.

Kerna Tuhan mahu mengangkat dan memuliakan darjat kita.

Kerna Allah terlalu menyayangi kita, maka kita diuji oleh-Nya.

Apabila kita mengenali Tuhan kita yang bersifat dengan Pengasih dan Penyayang, dan kita merasai serta mengetahui bahwa Dia selalu menyayangi kita, maka kita tidak boleh buruk sangka kepadaNya dengan menanggap Allah telah memberikan kita sesuatu yang tidak baik. Tapi hendaklah kita yakini bahwa setiap ketentuan yang diberikan-Nya adalah baik, sesuai dengan kesempurnaan sifat-sifatNya.

Ujian memang berat, tapi kita ringankan dengan mengingati KASIH dan SAYANG Tuhan. Yakinlah Allah pasti memilih sesuatu yang baik untuk kita, kerna Allah sayang kita.

“...dan boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu sedangkan ianya baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya buruk bagimu. Dan Allah lebih Mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” [Al-Baqarah : 216]

Kita hanya menyangka tapi Allah lebih mengetahui. Kenali Tuhanmu!


‘Sang Pencerah’

Dhiya’
Gong Badak
08 Jamadil Awwal 1433H

Usai Sudah...


“Hasbunallah wa ni’mal wakil.”

Hanya itu kalimah yang bisa terbit dari belahan mulut usai imtihan nihaie untuk semester ini. Ya, cukuplah Allah subhanahu wa ta’ala menjadi penolong kerana Dia adalah sebaik-baik Pelindung.

Jalan ketenangan dan kebahagian seorang mukmin apabila meletakkan segala pergantungan hanya kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Mengharap pengawasanNya, perlindunganNya, kecukupanNya, kekuatanNya serta pertolonganNya.

Menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, percaya terhadap janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka kepadaNya, dan menunggu dengan sabar pertolongan dariNya, merupakan sebahagian daripada buah keimanan yang paling besar dan merupakan salah satu daripada sifat mukmin yang paling mulia.

Tawakkal itu menumbuhkan keteguhan hati dan keyakinan jiwa. Bahawa semua perkara bergantung pada tangan dan genggaman Allah subhanahu wa ta’ala. Merasa amanlah dan tenteramlah dengan janji-janji Allah subhanahu wa ta’ala dan jaminanNya. ‘Man jadda wa jada!’

Kita telah berusaha. kita telah berkorban. Kita telah melakukannya bersungguh-sungguh. Kita telah menunaikan tanggungjawab ini sebaik yang mungkin. Lalu alangkah indahnya andai semua itu kita sandarkan kepada Yang Maha Penguasa, Allah Azza wa jala.

Usai sudah imtihan nihaie untuk semester ini.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
26 Zulhijjah 1431H

Catatan: Entri ini terkecuali kepada ‘PENIRU’. Anda tidak perlu bertawakkal kepada Allah kerana anda telah terlebih dahulu menderhakaiNya. Anda lebih mempercayai ‘Syaitan’ berbanding Allah. Di mata manusia anda dipuja, dipandangan Allah anda terhina dan dicerca seluruh penghuni langit dan bumi. Wahai PENIRU bertaubatlah!

Istiqamah

Cikgu Nasir ada memesan suatu hadis yang saya ingati sampai sekarang ini.
Dari Sufian bin Abdillah r.a. katanya, aku pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w. “wahai Rasulullah, katakanlah kepada saya berkenaan dengan Islam perkataan atau ucapan yang jelas dan yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain’. Sabda Rasulullah s.a.w. “Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamah’.
Hadis ini sangat besar maknanya dalam kehidupan, ianya menjadi titik tolak kepada kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat. Mungkin ini sebahagian dari isyarat Minal aideen wal faizeen yang selalu kita sebut-sebutkan tatkala menyambut Syawal yang mulia. Kejayaan dan kemenangan dalam bulan Syawal ini adalah rentetan dari kesungguhan dan istiqamah kita melakukan ubudiyyah pada bulan ramadhan.
Sahabat-sahabat saya selalu menitip pesanan, kata mereka ‘Semoga Istiqamah’. Kalimah-kalimah itu selalu menemani hari-hari saya. Namun saya masih belum bisa menangkap pedoman dibalik perkataan hikmah itu. Lalu Allah menghadiahkan ayat-ayat cinta-Nya;
“Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka (beristiqamah) tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu Dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa Yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa Yang kamu cita-citakan mendapatnya.”
(Surah Fusshilat: 30-31)
Inilah kemenangan Agung yang akan diraih oleh orang-orang yang istiqamah. Namun tidak cukup sekadar itu, kerana kita perlu sentiasa berdoa, memohon pertolongan daripada Allah s.w.t. untuk beristiqamah mengikuti yang betul dan beristiqamah dengan tarbiyyah ketika Ramadhan.
Semoga Istiqamah!