AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ucapan. Papar semua catatan

Dhiya', Terus Bersinar Ya!

Semenjak tersiarnya cerpen “Jodoh Dari Tuhan” (baca: “Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku”) di lama sesawang iluvislam.com, blog Ad-Dhiya’ terus dikunjungi teman-teman. Bilangan follower yang asalnya berjumlah hampir 35 orang terus meningkat mencecah 135 orang. Belum pun sampai seminggu, angka itu berubah secara mendadak. Jumlah pengunjung sehingga kini mencecah 13500 atau lebih. Di laman facebook iluvislam.com yang menyiarkan cerpen Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku, sudah hampir 1000 orang yang tag ‘like’ terhadap cerpen itu.

Wah! Ini sangart mengujakan. Thanks buat semua teman-teman.

Ternyata cerpen berusia dua tahun itu benar-benar menggegarkan.

“zaid: Alhamdulillah, ramai yang suka cerpen anda dan teruskan berkarya :)” ulas iluvislam.com dalam page facebooknya.

Sungguh saya tidak pernah terfikirkan akan sebegitu besar sambutan terhadap cerpen itu. Saya terasa sangat kecil. Kerna saya bukanlah seorang cerpenis mahupun novelis. Saya hanyalah seorang budak yang menjadikan tulisan untuk berbicara dengan diri. Ya lihat sahaja tulisannya, hampir 90 % berkisar tentang sang pemilik blog. Maka itulah saya. Saya menulis bukan untuk sesiapa. Saya menulis untuk diri sendiri. Sesekali, mungkin juga dituju kepada siapa-siapa. Barangkali untuk nasihat buat teman-teman. Atau tulisan itu sebagai perkongsian pengalaman. Yang penting semuanya kerna Allah subhanu wa ta’ala. 

Kepada teman-teman yang berkunjung, berjalan-jalan atau menziarahi blog yang jelek ini. Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Saya sangat bergembira dengan kesudian kalian berkongsi sesuatu bersama saya. Dan saya akan merasa lebih terhargai jika kalian mahu menitip pesan, nasihat, teguran, komentar dan barang sebagainya terhadap saya atau blog ini. Kerna itu ajaran dalam persahabat. Saling pesan memesan kepada kebenaran dan kesabaran.

Akhirnya, salam persahabatan dari Ad-Dhiya’ buat semua teman-teman. Semoga laman ini terus memancarkan sinarnya menerangi seluruh petala langit dan bumi.

"Ya Allah Ya Tuhanku! Jadikanlah Aku Cahaya, Penawar Dan Rahmat Buat Umat Muhammad." 

Ameen Ya Rabb!




al-faaqir ila Rabbi al-Qadir!

Dhiya'
Kolej Islam Pahang
21 Syaaban 1432H

Untuk MPPUniSZA


Semalam berlansung majlis pengisytiharan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (MPPUniSZA) sesi 2010/2011 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah. Saya kira ini ulung kali ianya dilakukan di dalam universiti dengan disaksikan oleh ‘rakyat mahasiswa’.

Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan MPPUniSZA.

Mungkin ramai yang bergembira dengan terbentuknya kabinet MPPUniSZA yang baru. Dan kegembiraan itu disertai harapan penuh daripada ‘rakyat mahasiwa’ kepada MPPUniSZA untuk menggalas perjuangan mahasiswa.

Titipan...

MPP adalah laluan terbaik untuk mahasiswa berbicara secara dekat. Mendengar luahan hati dan harapan mahasiswa dan bertindak semampunya. Para mahasiswa tentunya mengharapkan MPP yang lebih segar dan bersemangat. Yang punya pemikiran besar selaku pemimpin.

MPP perlu akrab dengan mahasiswa. Seperti pemimpin negara perlu mesra dan dekat dengan rakyat. Jangan ketika berkempen sahaja kita mesra mahasiswa tapi selepas menang kita tutup muka. Itukan aib namanya sebagai pemimpin. Dekati mahasiswa. Dengar rintihan mereka. Kemudian lakukan kerja dan tugas anda.

Kabinet MPP yang terbina ini mesti pantas berlari. Anda mujaddid kecil yang diharap-harapkan. Anda mesti memimpin perubahan. Tukarkan pakaian lama yang sudah lusuh dengan yang baru. Gosokkan baju yang dulunya dipakai kusut itu agar nanti kelihatan kemas. Ubah pemikiran. Ubah tindakan. Ubah langkah. Ubah cara lama yang sudah tidak laku. Ianya sudah busuk. Dan mahasiswa sudah tidak tahan menghidunya. Lekas buangkan. Kami mahukan yang baru dan segar. Ya, pemimpin masa depan yang berjiwa mahasiswa.

Lakukan apa yang terbaik untuk mahasiswa dan universiti. Berani untuk berkata benar jika perkara itu benar. Berani untuk berkata salah jika perkara itu salah. Bertindak menurut idealisme yang anda ingin juangkan. Jika anda punya cita-cita benar, lakukanlah untuk dapatkan cita-cita itu. Jika anda mahukan sesuatu yang benar, dapatkannya. Anda mesti berusaha dan bekerja.

Bakal pemimpin!

Harapan mahasiswa di tangan anda. Tangan anda mesti bersih dan kuat mengenggam harapan itu. Anda genggamlah seperti mengenggam emas dan permata bukan kaca. Bila anda sudah tiba untuk menunaikan harapan itu. Gunakan sahaja jari-jari anda. Jangan biarkan pihak korup menjadi telunjuk kepada tindakan anda. Nanti semua menjadi sia-sia. Dan bila anda telah berjaya melunaskan harapan itu tersenyumlah bersama kami. Mahasiswa yang bersama anda dan akan membela anda.

Ayuh bakal pemimpin!

Pandang jauh kehadapan. Lalu berfikir secara dewasa. Bila anda berjaya di medan ini, tidak mustahil anda bakal pemimpin di pentas yang lebih besar di luar sana. Ini ruang dan peluang anda. Saya mengharapkan anda bertanding bukan kerana saja-saja. Bukan kerana elaun atau kerana sijil. Saya berharap anda lakukan semua ini kerna mahu memberikan sesuatu. Hidup untuk memberi!

Ayuh berikan kami kebaikan anda atau sesuatu yang bermanfaat untuk kami. Mari berikan sesuatu kepada universiti ini. Tidak mengapa jika pemberian itu tidak berharga asal ia punya kebaikan buat kami dan universiti. Ia punya makna besar. Dan tanamkan benih kebaikan di tanah berpijak ini, bumikan segala cita-cita anda dan harapan mahasiswa. Nanti bila ia sudah tumbuh dan berbunga indah, anda bisa berbangga dengan diri anda. Lalu katakanlah,

‘Ini hasil tangan saya.’

Selamat Memimpin!


Al-Faaqir Ila Rabbi Al-Qadir

Dhiya' Al-Qadiry
Jami’ah Al-Sulthan Zien Al-‘Abidin
14 Rabiulakhir 1432H

Warkah Buat Pengantin


Assalamu’alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.

Teladan orang-orang yang bercinta adalah Baginda Nabi. Cinta sejati adalah cintanya sepasang pengantin yang telah diredhai Tuhan dan didoakan seratus ribu malaikat penghuni langit. Tidak ada perpaduan kasih lebih indah dari pernikahan.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak ada bersamanya, Dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya...” (An-Nisa’: 34)

Wahai yang bergelar suami,

Taatlah kepada Allah dan Rasul dan patuhlah kepada perintahNya. Peliharalah diri dan maruahmu walaupun di tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang lain, samaada ketika dihadapan isterimu atau dibelakangnya. Dan sentiasalah mengingati Allah serta takut kepadaNya dengan sebenar-benarnya.

Suami itu pembimbing kepada isterinya. Ajari dia hal-hal agama. Pesankan padanya agar turut sama takutkan Allah. Rasulullah bersabda, “Orang yang paling baik antara kalian adalah yang paling berbuat baik kepada isterinya.”

Ku mohon, muliakanlah isterimu. Bawalah dia hidup di jalan yang diredhai Allah. Berusahalah agar kau bisa menciptakan kegembiraan di dalam hatinya dengan cara apa pun.

Untuk kakakku yang tercinta,

Wahai Kakakku!
Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan dan akan berada di tempat tidur yang tidak engkau kenal,
dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.
Itulah suamimu,
Jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi sebagai langitmu.
Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia dapat kau jadikan tiangmu.
Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam (pembantu) kepadanya, nescaya dia pula akan menjadi khadam (pembantu) kepadamu.
Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya, dengan cara yang demikian akan menjadi ia merasa benci padamu.
Jangan pula engkau menjauhkan diri nescaya ia akan melupakan engkau.
Dan kalau ia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu, maka yang eloknya jauhkanlah dirimu dari padanya semasa marah.
Peliharalah hidung, telinga dan matanya.
Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripada mu melainkan yang harum,
Janganlah membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu melainkan yang baik,
Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada mu melainkan yang cantik, belaka.

Wahai Pengantin!

“Kalian adalah satu jiwa. Kau adalah dia. Dia adalah kau. Kalian akan mengharungi kehidupan ini bersama. Dukamu dukanya. Dukanya dukamu. Sukamu sukanya. Sukanya sukamu. Cita-citamu cita-citanya. Cita-citanya cita-citamu. Senangmu senangnya. Senangnya senangmu. Bencimu bencinya. Bencinya bencimu. Kurangmu kurangnya. Kurangnya kurangmu. Kelebihanmu kelebihannya. Kelebihannya kelebihanmu. Milikmu miliknya. Miliknya milikmu. Hidupmu hidupnya. Hidupnya hidupmu.”

“Barakallahu laka wa baraka alaika wa jama’a bainakuma fi khair!”

“Semoga berkah Allah tetap untukmu, dan semoga berkah Allah tetap ke atasmu dan semoga Allah mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”.

“Selamat Pengantin Baru.”

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
14 Zulhijjah 1431H

Selamat Pengantin Baru



“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.”
(Surah Ar-Ruum: 21)
“Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!”
 
Itulah sebaik-baik ungkapan yang bisa terbit dari rahim mulut. Siapa yang tidak merasa bahagia tatkala teman yang dicintai selamat melangsungkan pernikahan. Bahkan seluruh penghuni langit dan bumi pastinya bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuliakan orang-orang yang menuruti sunnah Rasulullah SAW yang mulia ini.

 
Selamat buat kalian berdua sahabatku, akh Adib dan ukht Aminah!
Hanya doa ini yang bisa ku panjatkan buat kalian sebagai hadiah seorang perantau:

 
“
“Barakallahu laka wa baraka ‘alaika wa jama’a bainakuma fi khair!”

Untukmu akhi Adib renungi sabda Imam kita yang Mulia ini:



“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi.”
(HR. Abu 'Asaakir)


"Selamat Pengantin Baru"

Ikhlas dariku saudaramu,


Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM