AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Saya Cintamu Kerana Allah

Saya sedang khyusuk meratah kitab Ma’allim fi at-thariq, bersantapan dengan bicara kisah Ashabul Ukhdud. Tulisan berbahasa Arab masih jelas meskipun helain kertas sudah lusuh warnanya. Semakin ditekun dalam-dalam, semakin lazat persis hidangan.


“Assalamu’alaikum. Abang?”


Bacaan saya terhenti tatkala dia menyeru nama saya. Dia datang dengan membaca secawan teh bersama kek lapis berperisa coklat. Jam sedikit lagi melangkah angkah sepuluh. Embun malam yang bercumbuan mesra dengan rintik hujan melahirkan dingin dalam tubuh. Sedang mentol kecil disisi meja kian panas dibakar arus elektrik.


“Wa’alaikum salam. Ya sayang” saya tutup kitab tulisan asy-Syahid Syekh Syed Qutb, lalu menyapu titik jernih dicelah-celah mata.


“Abang tidak habis lagi membaca buku tu” tanya isteri saya. Tangannya merangkul tubuh, kemudian perlahan-lahan mengurut-ngurut bahu saya. Sedang tangan saya masih memegang kitab itu.


Saya palingkan tubuh, kami bertemu mata. Saya seluruhi wajah cantiknya. Saya terleka sejenak pada keayuannya. Di atas kami kipas sedang berputar ligat. Sedang tirai berwarna hijau pucuk pisang pada jendela menari-nari ditiup angin.


“Abang menangis?” soalan itu tergelincir mudah dari lidahnya. Air mata yang saya sapukan tadi ternyata belum sempurna. Bukitnya dia seakan melihat sisa air tatkala memandang mata saya. Saya kedapatan.

“Tiada apa-apa sayang.” saya cuba menegakkan kejantanan sendiri.


“Mustahil tiada apa-apa. Ceritalah sayang, saya pun nak tahu.” Bujukannya meruntut ego saya. Dia bergerak selangkah lalu duduk dihadapan saya. Dan menyembam mukanya pada dada saya. Saya membelai-belai rambutnya yang panjang santak ke pinggang. Halus dan lembut. Embun malam sepertinya cemburu melihat kami.


Ternyata saya tidak mampu bermain kata dengannya. Dia suda masak dengan perangai saya. Diam. Sambil membelai-belai rambutnya yang sekali-sekala diajak menari oleh sang angin.


“Hati abang tersentuh tatkala membaca tulisan Syed Qutb. Seolah-olah terbayang dihadapan mata akan seksaan yang ditumpahkan ke atas golongan Ashabul Ukhdud.” Saya ungkapkan isi hati.


“Hati mereka telah berhasil membebaskan dirinya daripada belenggu rasa cita hidup, hati yang tidak boleh dipermainkan oleh bujukan syaitan. Hati yang rela menerima kedatangan maut, yang dahsyat kelihatannya. Hati yang lepas bebas dari sebarang belenggu "dunia" dan segala jenis godaannya, dan telah memilih kemenangan akidah atas segala-galanya.”


“Sayang, hebatkan akidah umat dahulu?”


“Benar abang. Kisah ini sebenarnya merupakan kisah kemurnian iman satu golongan manusia, yang rela menerima ujian dari pihak musuh mereka yang durjana dan garang. Musuh yang sanggup menginjak-injak kebebasan "manusia untuk menganut iktikad kebenaran dan untuk terus hidup menghayati iman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji." Mereka rela mati syahid mempertahankan iman mereka.” Lancar isteri saya menambah. Dia sebenarnya sudah khatam membaca kitab ini. Saya juga sedari menuntut di universiti dulu. Saya ulang baca kitab ini untuk meniupkan roh keimanan dalam jiwa.” Isteri saya menambah.


“Abang masih ingat kisah yang berlaku ke atas golongan ashabul Kahfi yang dicatat dalam surah al-Kahfi.”


Dia cuba mengingatkan saya tentang kisah yang berlaku ke atas pemuda penghuni gua yang diceritakan dalam surah al-Kahfi. Kisah yang menggambarkan pemuda yang beriman dan dengan penuh cekal mempertahankan prinsip hidup mereka. Dalam usia yang masih muda mereka sudah mengenal betapa tingginya nilai iman dan agama sehingga mereka tidak sanggup menggadaikannya walaupun dengan tawaran harta benda yang mahal. Mereka lebih rela mempertahankan iman dan agama mereka biarpun terpaksa hidup dalam buangan dan terasing. Bahkan jika terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun, mereka akan sanggup melakukannya.


Saya kemudian melantuntkan ayat-ayat yang menceritakan perihal golongan penghuni gua itu. Saya membaca dengan taranum hijaz, dengan penuh penghayatan. Seakan terlopong dihadapan mata gelagat pemuda-pemuda itu tatkala berhadapan dengan pemerintah thoghut.

“Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran.”

(Surah al-Kahfi: 14)

Isteri saya seakan terbuai dengan ayat-ayat yang saya bacakan. Perasaan kami menyatu. Betapa tidaknya tatkala mengenangkan kehebatan iman umat terdahulu mempertahankan akidah mereka daripada dinodai musuh-musuh Tuhan. Lihat Saidina Bilal bin Rabah yang dipaksa menukar iktiqadnya meski diseksa separuh mati. “Allahu Ahad! Allahu Ahad!”. Sumayyah wanita pertama yang syahid kerana mempertahankan akidahnya dari diperkosa golongan thoghut.

Bentangkan kisah lalu yang dilalui generasi awal agar bisa dijadikan iktibar oleh generasi terkemudian. Kerana hari ini umat Islam begitu rapuh ikatan akidah mereka, mudahnya menggadai agama kerana cinta, menjual agama untuk dunia tidak kurang juga mereka sanggup menghina agama sendiri, hal kerana kejahilan diri.

“Saya kita perlukan orang-orang sepertimana generasi awal dulu. Kita perlukan pemuda sehebat Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Haritha, Mus’ab bin Umair, Umar al-Khattab dan pemudi seperti Khadijah, Aisyah, Fatimah untuk membimbing umat ini agar mengabdikan diri kepada Allah Azza wa Jalla.” Saya meniupkan semangat untuk isteri tercinta.

“Benar abang. Kita memperkemaskan generasi hari ini. Kita memerlukan jiwa-jiwa daie. Hati-hati yang terikat dengan akidah yang salim. Jiwa-jiwa yang diserahkan semata-mata untuk dakwah dan jihad.”

“Saya cintakanmu kerana Allah sayangku.” Luah saya.

Dia pandang mata saya. Dalam sedu sedan dia berkata.

“Saya pun suamiku. Sungguh pada belahan hati ini. Saya mencintaimu kerana Allah. Semoga cinta ini berjujuh dengan zuriat soleh dan solehah yang akan menjadi mata rantai perjuangan ini.” Kata-katanya sangat menyentuh hati saya. Memang dia pandai berkata-kata. Kami tenggelam dalam rasa yang menyatu. Perasaan cinta kerana Allah. Cinta demi menegakkan kalimah Laa Ila ha Illallah. Sungguh cinta kami demi menjunjung amat Nabi. Saya rangkul tubuhnya. Kami berpelukan. Hati kami basah.

Saya lalu teringat ungkapan indah darinya sebelum berkahwin dulu. Waktu kami dipertemukan dalam majlis ta’aruf sebelum bersetuju mengikat janji setia menunaikan sunnah Nabi.

“Sungguh-sungguhkah cinta kamu pada Zaid?” soal ayahnya. Tuan Guru Jalaluddin al-Kalantani. Pengasas Madrasah Mukhtasar ad-Diniyyah. Sebuah madrasah yang terkenal di bumi Serambi Mekah.

Saya memandang tepat ke arah Zahra, lalu kedua matanya yang bening memandang ke arah saya. Mata kami bertemu. Hati saya bergetar, menanti-nanti jawapan yang bakal terbit dari belahan mulutnya. Wajahnya terhijab dek purdah yang dikenakan.

Tangannya perlahan-lahan membuka purdah. Ada titis embun yang turun dari atas lalu menyerap masuk menebar ke seluruh tubuh. Wajah putih bersih dihadapan, menyejukkan hati saya.

“Seminggu sudah, setiap malam saya didatangi mimpi yang sama. Demikian dalam sujud saya. Sebelumnya saya ada menunaikan solat Istikharah. Mungkin inilah jawapan dari Allah…..”

Matanya menyusuri mata kami, telinga saya menangkap alunan selawat yang melantun perlahan dari bibirnya.

“…Wajah yang saya temui dalam mimpi dan sujud adalah wajah orang yang sedang berada dihadapan saya...” Mata saya tidak berkelip. Dia masih menyusun kata-kata.

“…pemuda yang menyerahkan hidupnya untuk Allah, cintanya untuk Allah.”

Nafas saya seakan terhenti menanti kata balas daripada Zahra. Kepalanya masih menunduk. Pandangannya menyembah lantai.

“Sungguh pada belahan jiwa, harapan saya cuma satu, izinkan saya mendampinginya, menjadi sayap-sayap perjuangan untuk membesarkan agama kebenaran, membantu perjuangan dakwahnya. Dan saya sangat beruntung jika diberi kesempatan berganting-ganding dengan perjuangan Ustaz Zaid.” Bicaranya terus terang.

“Alangkah bertuahnya saya jika yang menyiapkan pakaian-pakaian perjuangan itu adalah saya. Yang menghidangkan santapan rohani seorang mujahid itu adalah saya. Saya kira itulah bekalan yang sangat tinggi nilainya untuk dibawa bertemu Allah Rabbul Jalil lalu ianya ditukar dengan syurga yang agung nikmatnya.”

Subhanallah! Mulianya wanita ini.

“Ana cintakan Zahra tidak kerana hartanya, bukan memandang rupa mahupun pada asal bakanya. Sungguh cinta saya kerana agamanya. Cinta saya pada Zahra demi tujuh golongan yang terlindung bawah lembayung Arasy Allah pada hari penghakiman kelak, kami bertemu, berkasih-kasihan, bercinta kerana-Nya dan jika terpisah nanti, kerana Allah jua.” Ungkap saya jujur, sungguh.

“Abang minumlah teh tu, kan sejuk pula nanti.” Lamunan saya lantas dipancung suara isteri tercinta. Dia lalu suakan gelas berisi teh, masih berasap. Saya sambut tapi kemudian saya letakkan di atas meja. Saya mencapai pinggan berisi kek coklat, saya ambil satu.

“Buka mulut sayang.”saya sua pada mulutnya secebis kek coklat. Dia malu-malu.

“Abanglah yang makan. Zahra bawa untuk abang. Abang yang bila membaca sampai tidak ingat dunia. Ulat buku.” Perlinya. Saya sedikit geram mendengar katanya.

“Zahra dulu ya.” Saya suapkan lagi ke mulutnya. Dia mengunyah. Saya senyum melihatnya makan. Bahagia. Saya suapkan lagi secebis ke mulutnya.

“Orang susah-susah buat dia tidak sudi makan pula.”Dia buat-buat merajuk, mulutnya mencebik. Manis, tahi lalat pada bibir kirinya buat dia lebih manis. Saya cubit manja. Dia elakkan wajahnya dari jari nakal. Kami ketawa. Tenggelam dalam bahagia.

“Zahra tidak suka abang mengikut perangai baginda, bukankah Rasulullah selalu mendahulukan isterinya dalam apa-apa perkara?”

“Iyalah ustaz.” Dia menyuapkan ke mulut saya sepotong yang tinggal.

“Sedapnya. Lemak manis macam orangnya juga.” Saya gelak lagi. Tangannya mencubit paha saya manja.

Saya ambil cawan teh, saya beri padanya.

“Abang minumlah dulu.”

“Zahra sayang. Baginda kan sentiasa mendahulukan isterinya.” Senyum saya sinis.

Dia beralah. Dia minum seteguk lalu disua cawan itu pada saya. Saya cari bekas mulutnya dan saya hirup di situ juga. Bahagia!

Malam semakin larut. Saya ajak Zahra mengambil wuduk dan bersolat sunat Witir bersama.

“Sayang. Ayuh kita solat sunat witir.” Saya bingkas berdiri. Saya tarik tangan isteri tercinta. Perlahan dia bangun. Selesai solat saya membaca doa rabitah.

“Ya Allah Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini (orang yang telah dibayangi tadi) telah berkumpul kerana Mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkan kepada hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan (piala) hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada-Mu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan makrifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini.”

Dibelakang, Zahra dengan sedu dan penuh khusyuk mengucapkan, amin! Amin! Amin!

Perkenankan Ya Allah!

Abu Zaid

Kampus Kusza, UDM

Respons Mansuhkan FKI

Saya baru berjaya masuk ruangan KELIP pada portal pelajar Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) setelah beberapa hari mencuba. Hal kerana masalah password. Saya langsung membuka ruangan forum. Sebelumnya saya ada mendengar rungutan seorang teman berkenaan tajuk perbincangan dalam forum yang lebih kepada ‘suka-suka’, mencarut, tidak ilmiah dan segala macam sumpah serapah yang mencemarkan status mahasiswa.

Terima kasih kepada teman saya kerana sudi berkongsi masalah tersebut. Saya tidak puas jika sekadar mengetahui sesuatu melalui belahan mulut manusia. Maka saya perlu melihat sendiri apa benar yang diperkatakan. Memang benar apa yang dikatakan oleh teman saya itu. Namun tidak dinafikan masih ada perbincangan yang baik serta menarik perhatian saya bahkan terkadang mencabar emosi saya.

Mansuhkan FKI?

Tenggelam dalam carian tajuk forum yang melambak, saya terjumpa satu tajuk yang benar-benar mengusik emosi, mencabar iman saya bahkan mungkin bisa sampai membakar jiwa. Saya membuka satu forum mencadangkan agar Fakulti Kontemporari Islam (FKI) dimansuhkan. Orang ini telah mengundang amarah saya, ada yang telah mencabar emosi saya. Mujur saya masih bisa beringat dan berfikir waras.

“Saya sedang berpuasa”.

Emosi saya kembali tenang, akal saya masih waras.

Lalu saya membaca dengan saksama setiap komen dari mahasiswa UDM. ‘Pro n Contra’. Saya berkeyakinan mereka yang menganjurkan dan menyokong pemansuhan FKI bukan daripada Mahasiswa FKI (MFKI) dan mereka yang melawan arus, saya yakini mereka adalah MFKI dan sebahagian mungkin mahasiswa fakulti lain.

Sekali lagi emosi saya terganggu dek kerana ada bicara yang celupar, yang kurang sedap didengar halua telinga.

Ada yang mencabar Mahasiswa FKI!

Ada yang menghina dan merendahkan Mahasiswa FKI!

Ada yang mengusulkan FKI dimansuhkan!

Ada yang bertikam lidah!

Tiada yang mahu kalah, semua mahu menang.

Dalam masa melayan emosi yang semakin meninggi suhunya, saya cuba mencari penawar mujarab, saya tidak mahu terlibat dengan pertelingkahan yang pastinya akan mencemarkan status mahasiswa FKI dengan kata-kata yang kurang sopan. Mencemarkan bulan yang mulia ini dengan bicara yang tidak sepatutnya diungkapkan. Ingatkan saranan Rasulullah s.a.w.

“Bicaralah yang baik atau diam sahaja”.

MFKI tentu ingat amanat Nabi ini. Lalu beradab serta berpada-padalah.

Apa perlu FKI dimansuhkan?

Saya tertarik pada komen seorang mahasiswa yang mempersoalkan mengapa perlu FKI dimansuhkan?

Lalu ada yang menjawab sinis.

‘Kerana Mahasiswa FKI telah mencemarkan fakulti sendiri dengan akhlak yang kurang sopan’.

Sampai sekarang saya tertanya-tanya apakah dosa FKI sehingga sewenang-wenangnya mahu dihukum sedemikian rupa. Apakah pula akhlak kurang sopan MFKI yang dimaksudkan pengomentar. Saya cuba membaca dengan akal yang sihat tanpa melayan emosi yang semakin menggeledak. Menimbang-nimbang agar tidak melangkaui batas agama.

Adakah hanya kerana sikap segelintir mahasiswa FKI yang jelek dipandang mata, sampai sanggup manusia-manusia ini memohon sembah derhaka agar FKI dimansuhkan. Sungguh tidak memadai dan tidak masuk akal.

Adakah hanya kerana mahasiswa FKI yang dikatakan tidak hikmah dan tidak menghormati orang lain kerana berpegang pada prinsip agama sehingga kalian mahu pemansuhan FKI sebagai gadaian. Nauzubillahi min zalik!

Apakah kerana dosa keji yang dilakukan oleh sebahagian kecil mahasiswa FKI, sampai kalian sanggup mencalit najis kotor itu ke muka semua mahasiswa FKI. Ini tidak adil. Sungguh tidak adil.

Janganlah kerana seekor nyamuk habis kelambu dibakar. Jangan kerana kita tidak mampu mengawal emosi, kita sanggup mencalit lumpur pada agama sendiri. Jangan kerana akal yang sejengkal ini kita cuba melangkaui syariat. Jangan berani meludah ke langit kelak pasti binasa.

MAHASISWA FKI + (- AKHLAK YANG BURUK + AKHLAK YANG BAIK) = MANSUHKAN FKI

Jangan bermain dengan matematika seperti ini. Jika kita cuba menghukum semudah itu, maka semua fakulti di universiti ini mesti dimansuhkan. Kenapa? Kerana kebanyakan kita adalah beragama Islam tetapi Islam itu terlekat pada nama dan kad pengenalan sahaja. Fakulti apapun kita, selagi mana kita beragamakan Islam, maka tuntutan agama terpikul dibahu kita. Tanyalah diri masing-masing apakah kita sudah berakhlak sebagaimana yang Islam anjurkan. Berpakaian dan menutup aurat seperti yang syariat perintahkan? Memelihara pergaulan antara lelaki dan perempuan? Berakhlak sopan sebagaimana dituntut agama? Tepuklah dada tanyalah iman. JIka anda termakan garam, anda akan terasa masinnya.

Tahukah bahawa jika anda berhajat agar FKI dimansuh ini bermakna anda mahu Islam itu terhapus. Mungkin anda tidak sedar tapi itulah hakikatnya. Anda telah menghina Islam kerana kemuliaan Fakulti Kontemporari Islam terletak pada kalimah Islam itu. Adakah anda mahu Islam dihapuskan? Anda ibarat menggigit lidah sendiri. Jika anda beragama Islam bertaubatlah dan mohon ampunlah kepada Allah swt.

Sesungguhnya dalam masalah ini semua kita terlibat sebagai pelaku kesalahan. Samada mahasiswa FKI atau yang lainnya. Maka ruang muhasabah dan perbincangan secara baik tersedia kepada kita. Bersihkan forum dalam KELIP itu dari ludah kita yang busuk baunya. Jika dihidu mahasiswa bukan Islam bukankah sangat memalukan dan mencemarkan nama kita, orang yang beragam Islam.

Pesan saya kepada Mahasiswa FKI, ayuh kita muhasabah diri, siapa kita sebenarnya. Adakah kita menjadi diri kita yang sebenar? Atau kita menumpang dan meminjam diri orang lain, ataukah kita telah hanyut dibawa arus suasana di universiti lalu kita khayal dengan dadah baru ini. Jadilah diri kita yang sebenar, segagah status yang dibawa, “Mahasiswa Fakulti Kontemporari Islam.”

Terima kasih atas teguran mahasiswa fakulti lain kepada MFKI, sedikit sebanyak teguran anda ibarat mencubit paha kanan, paha kiri terasa. Dan diharapkan kepada mahasiswa FKI janganlah menjadi seperti daun keladi, disimbah air tidak basah.

Saya perlu mengingatkan agar janganlah sekali-kali kita berani berbicara dalam soal agama jika kita masih jahil tentangnya. Jangan pula biadap berkata-kata sehingga memungkinkan kita tercampak ke lembah kebinasaan. Beringat-ingatlah sebelum melakukan sesuatu.

Akhirnya saya mohon ampun kepada Allah dan mohon maaf jika saya salah menulis semua ini. Kerna jika tidak, jiwa saya akan semakin tersiksa. Saya tidak mahu menjadi syaitan bisu yang diibaratkan oleh Baginda. Kudrat saya masih ada untuk menjunjung agama. Tubuh saya masih kuat untuk menjadi benteng mempertahankan Islam. Saya bukan manusia pasif yang tidak punya sensitivity, hati saya masih hidup. Semoga kalian juga begitu.

Wallahu ta'ala ’alam.

Abu Zaid
Kampus Kusza
, UDM

Yaumul Milad II

Rasulullah saw mengingatkan:


“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah taala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah….”


“Seumur hidup ini apakah saya selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah?”


Soalan itu tiba-tiba menembak dada saya lalu tembus ke jantung.


“Ah. Jika begitu ianya tanda berpalingnya Allah daripada saya.”


“Aduh! Jangan Tuhan. Jangan palingkan aku dari-Mu. Aku memohon pimpinan-Mu, rahmat-Mu, belas-Mu.” Bisik saya berkali-kali.


Saya jadi teringat ungkapan doa yang saya bacakan itu, saya catatkan dalam buku harian disuatu pagi; tujuannya agar saya sentiasa beringat-ingat, agar doa itu tidak pernah luput dalam ingatan. Saya baca doa itu, saya ulang-ulang;


Ya Tuhan! Ku seru asma’-Mu

Puji-Pujian hanya untuk-Mu

Ya Rahman, Ya Rahim

Ya Aziz, Ya Ghaffar

Ya Allah, Ya Allah

Kau ku rayu, Kau ku pohon, Kau ku minta

Ya Allah, jangan tinggalkan aku

Ya Allah, jangan biarkan aku

Ya Allah, jangan palingkan aku

Ya Allah jangan jauhkan aku daripada-Mu

Ya Allah aku ingin Engkau selalu

Aku butuh Engkau selalu

Aku cinta Engkau

Aku rindu Engkau

Ya Allah, aku takutkan-Mu

Ampunkanlah dosa-dosaku

Ya Ghaffar…Ya Ghaffar…


“Ameen! Ameen! Amen!”


Sepertinya titis embun sedang menyelinap masuk segenap tubuh. Hati saya menjadi basah.

Saya jatuhkan pandangan ke arah jam, sudah pukul 12.58 mlm. Suara teman-teman serumah yang tadinya riuh kerana bermain pc game sudah lengang. Agaknya sudah lena diulit mimpi-mimpi indah.


Suasana jadi sunyi dan suram, damai dan tenang. Saya buka jendela, mendongakkan kepala

melihat ke langit tinggi nan terbentang luas tiada bertepi, ada rembulan dan bintang-bintang yang menyinar. Hening suasananya memberi ketenangan dan mendamaikan jiwa. Malam ibarat selimut yang menutupi alam semesta. Malam yang menggantikan siang adalah bukti kekuasaan Tuhan. Sesungguhnya malam ada tersimpan padanya sejuta rahsia. Kalam-Nya yang indah terdengar merdu di telinga;


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

(Surah ali-Imran: 190-191)


Tubuh terasa dingin. Saya tutupi jendela lalu bangkit menggapai plug kipas berhampiran pintu bilik, perlahan saya pulas tombol bulat berwarna putih mengikut arah lawan jam, dari lima ke tiga. Sesekali wangian Ambi Pur yang saya pasangkan dalam bilik menyengat deria bau. Harumnya menawan dan menenangkan. Saya tarik nafas panjang-panjang, kemudian menghembusnya perlahan. Terasa agungnya nikmat Allah yang satu ini. Nikmat hidup, nikmat pernafasan, nyawa, roh, tubuh, dan segalanya yang sekarang ini saya kecapi.


“Syukurlah! Syukurlah! Bersyukurlah!”


Dan diri saya ini adalah miliknya. Yang saya pinjam dari-Nya. Lalu Dia memberi pinjam. Kelak Dia pasti akan mengambilnya semula.


“Dari-Mu aku datang dan kepada-Mu jua aku pasti akan kembali.”


Mata saya terasa pedih. Saya belum tidur. Terasa kasihan kepada tubuh yang penat beroperasi sedari siang, saya berhajat untuk tidur sekejap dan ingin bangkit pukul 4.00 pagi nanti, lalu saya tetapkan alarm pada telefon bimbit. Saya bacakan doa-doa mathur yang diajarkan Nabi saw termasuk tasbih yang diajarkan Rasulullah kepada anakandanya Saidatina Fatimah radhiallahu 'anha.


Pukul 4.13 pagi saya terjaga dari tidur. Saya ingin bangkit. Syaitan yang nabi kata sentiasa bergerak dalam pembuluh darah anak Adam tangkas memanah sihir.


“Tidurlah dulu, masih terlalu awal untuk awak bangun. Baru dua jam awak tidur nanti awak letih dan mengantuk esok. Awak tidurlah dulu sekejap nanti awak bangunlah.”


“Aku berlindung dengan-Mu Ya Allah daripada syaitan yang direjam.” Bisik saya.


Mujur, iman segera naik tahta. Lewat-lewat syaitan kecundang.


Saya teringat pesan Rasulullah saw.


“Syaitan mengikat tengkuk salah seorang di antara kamu ketika tidur dengan tiga ikatan. Kemudian syaitan itu meniup tiap-tiap ikatan dengan ucapan masih panjang waktu malam, kerana itu teruslah tidur. Apabila ternyata ia bangun lalu ia mengingati Allah, nescaya ikatannya itu akan terlepas. Jika ia berwuduk maka akan terlepas satu lagi ikatan dan jika ia solat, maka akan terlepaslah seluruh ikatan sehingga ia bangun dengan badan yang bersih serta semangat dan segar. Tetapi jika ia tidur, maka perasaannya menjadi lemah lagi malas.”

(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Saya bingkas mengambil wuduk. Saya ingin solat sunat.


Dengan rasa penuh kehinaan perlahan-lahan saya ratakan air ke setiap anggota wuduk, sambil membaca doa-doa yang diajarkan Rasulullah. Saya merasa diri sangat kotor. Kotor kerana dosa noda dan maksiat zahir batin. Maksiat hati dan mulut, maksiat mata dan telinga, maksiat tangan dan kaki. Sungguh-sungguh saya basuhi. Saya seakan melihat debu-debu dosa jatuh gugur menyembah bumi. Lalu saya khatamkan dengan doa:


“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.”


“Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku daripada golongan yang orang-orang membersihkan diri, dan jadikanlah aku daripada golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.”


Seperti terdengar suara memanggil-manggil.


“Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Nescaya Aku akan kabulkan permintaannya.”

“Adakah di sana orang yang meminta ampun? Nescaya Aku akan ampunkan dosa-dosanya.”

“Adakah di sana orang yang bertaubat? Nescaya Aku akan terima taubatnya.”


Saya semakin berahi untuk beribadah, dengan penuh takzim dan rendah hati saya mengangkat tangan, kedua telapak tangan saya benar-benar menghadap kiblat. Saya lalu bertakbir.


“Allahuakbar!”


Mendengar kalimah agung itu, syaitan bertempiaran lari.


Dalam rakaat terakhir lama saya bersujud. Memuji-muji keAgungan-Nya, keMulian-Nya, keBesaran-Nya. Saya luahkan derita jiwa, saya lagukan hasrat hati, saya syairkan zikir-zikir cinta. Saya serahkan diri bulat-bulat mengharapkan lautan Rahmat-Nya. Saya sudah tidak ingat apa lagi kecuali Allah dalam hati. Tanpa sedar tempat sujud menjadi bah dengan air mata.


Usai solat saya berzikir-zikir lagi, bagai tidak puas dengan solat, istighfar dan doa-doa,saya ingin membaca ayat-ayat suci al-Quran. Saya ambil mushaf suci, saya cium penuh takzim. Lalu saya lantunkan ayat-ayat cinta dari Allah swt.


“Wahai orang Yang berselimut! Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil".(Sayugialah Engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing Dengan Ibadat Yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran Yang mengandungi perintah-perintah) Yang berat (kepada orang-orang Yang tidak bersedia menyempurnakannya).sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.(Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya; dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan. Dia lah Tuhan Yang Menguasai timur dan barat; tiada Tuhan melainkan dia; maka Jadikanlah Dia penjaga Yang menyempurnakan urusanmu.”

(Surah al-Muzzammil: 1-9)


Bangun beribadah di waktu malam sudah mendarah daging dalam hidup. Sewaktu mengaji di madrasah saya melatih diri melakukannya sehingga saat ini ia menjadi suatu kebiasaan. Saya masih ingat pesan Syekh Nuruddin al-Pattani, guru saya di madrasah dulu, dia mengatakan sembahyang malam tidak dapat ditandingi oleh sebarang ibadah. Sembahyang malam membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya. Qiamullail adalah sumber kekuatan yang bisa memantapkan iman. Benarlah firman Allah:


“Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

(Surah al-Muzzammil: 6)


Allah juga mengangkat darjat dan memuliakan orang-orang yang beribadat di malam hari:


“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat Yang Terpuji.”

(Surah al-Isra’: 79)


Rasulullah saw pada suatu ketika pernah menjelaskan keutamaan dan fadhilat sembahyang malam. Baginda mengatakan:


“Hendaklah kalian mengerjakan sembahyang di waktu malam, justeru itu adalah amalan orang-orang yang soleh sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Ia penebus segala dosa, pencegah dari segala keburukan. Ia dapat menghapuskan penyakit yang ada dalam badan seseorang.”

(Hadis riwayat Tabrani dan Tarmizi)


Saya sedu tatkala mengenangkan Rasulullah saw yang bangkit di malam hari, sungguh-sungguh melakukan ibadah kepada Allah swt. Saidatina Aisyah radhiallahu 'anha menceritakan:

“Nabi s.a.w. itu berdiri untuk bersembahyang malam, sehingga pecah-pecah kedua tapak kakinya. Saya berkata kepadanya: “Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian ini, ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang dahulu dan yang kemudian?” beliau s.a.w. lalu bersabda: “Tidakkah saya ini seorang hamba yang banyak bersyukur.”

(Muttafaq 'alaih)


Kesungguhan Rasulullah saw semestinya diteladani umatnya, baginda sebaik-baik contoh dan ikutan. Dalam sedu membayangkan kekasih agung itu, seolah-olah terasa baginda ada bersama di sisi.