AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Mahu Bersamamu Di Jannah



Waktu saya terjaga jam sudah menuju pukul 4.00 pagi. Saya mahu bangkit bersolat malam. Tapi perasaan malas datang mengacau-ngacau. Saya terlelap seketika. Saya terjaga sewaktu jam pada telefon bimbit Sony Ericsson itu menunjukkan hampir pukul 5 pagi. Saya istighfar panjang!

Wahai diri ini,

Banyak mana masa untuk tidur?

Sampai bilakah dirimu terlelap?

Saat yang dijanjikan sudah hampir sahaja.

Saat akan ditidurkan kamu hingga dipaksa bangun pada hari kiamat.

“Bantulah aku dengan memperbanyakkan sujud.” Taujih daripada Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam terngiang-ngiang ditelinga.

Para sahabat yang mendengar ungkapan Nabi sallallahu alyhi wa sallam tidak pun sedikit ragu bahkan bertambah keyakinan dan keinginan mereka untuk beribadah kepada Allah. Mereka segera dan berlumba-lumba melakukan solat sunat.

Para Sahabat merupakan insan mulia yang meletakkan kecintaan mereka kepada Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam pada tahap yang tertinggi selepas Allah subhanahu wa ta’ala.

Sedang diri ini?

“Katanya mahu bersama Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam di akhirat kelak.” Bisik saya ke dalam diri.

“Ya jika benar, yuk bangkit. Lakukan solat sunat.” Iman saya memberi taujih.

Di kalangan para Sahabat radhiallahu anhum itu menyimpan cita-cita untuk bersama baginda di akhirat kelak. Di antaranya Rabi’ah bin Malik Al-Aslami. 
Ia berkata Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam bersabda,

“Mintalah!”

Lalu berkata Rabi’ah,

“Saya minta untuk dapat menyertai tuan di syurga.”

“Adakah yang lain?” tanya baginda.

“Itu saja.” Jawab Rabi’ah.

Kemudian Nabi sallallahu alyhi wa sallam bersabda,

“Tolonglah aku dengan jalan kamu melakukan sujud yang banyak.”

Memperbanyakkan Sujud

Hadis yang tersebut di atas adalah hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Hadis ini juga dinyatakan di dalam kitab Bulughul Maram, oleh Ibn Hajar Al-Asqalani.

Dalam hadis ini baginda menganjurkan supaya memperbanyakkan sujud. Memperbanyakkan sujud itu dengan erti melazimi melakukan solat sunat.

“Ya Rasulullah, saya ingin bersamamu di akhirat kelak.” bisik saya dalam hati.



Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
28 Zulkaedah 1431H

Ziarah Makam Ulamak

Makam Tok Ku Pulau Manis

Saya telah mendengar nama Tok Ku Pulau Manis semenjak saya mula berjinak-jinak mengenali tokoh-tokoh ulamak Tanah Melayu. Seorang ulamak yang telah bertanggungjawab dan berjuang menyebarkan syiar Islam di bumi nusantara. Dan kini saya sedang berada di negeri tanah bersemadinya ulamak terkenal ini.

Kesempatan musim Study Week yang agak panjang ini memungkinkan saya untuk berhajat menziarahi makamnya.

Perjalanan pagi itu sungguh mendamaikan. Namun dada masih berdegup kencang, gementar barangkali. Saya tidak tahu kenapa. Perjalanan ke Pulau Manis dari university mengambil masa lebih setengah jam menaiki motor.

Dalam perjalanan saya cuba mengingat kembali perihal Tok Ku Pulau Manis.

Tahun kehidupan Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu tercatat antara tahun 1089 H/1676 M-1149 H/1736 M, demikian tersurat di atas kubur beliau, yang menurut salah satu tulisan Misbaha. Tetapi penyelidikan terakhir memberikan maklumat bahawa beliau lahir lebih awal dari tahun yang tersebut itu, iaitu kira-kira 1650 M.

Setelah mendapat pendidikan di kampung sendiri dan dari beberapa ulama di Terengganu, beliau meneruskan pelajarannya ke Aceh. Di antara gurunya di Aceh ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Dipercayai sewaktu belajar di Aceh bersahabat dengan beberapa orang yang akhirnya menjadi tokoh dan ulama besar. Mereka ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dari Bugis-Makasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat dan ramai lagi.

Mereka telah menerima talqin baiah Tarekat Syathariyah daripada ulama Aceh yang terkenal itu. Mereka melanjutkan pelajaran ke Mekah dan Madinah. Sewaktu di Mekah bersahabat pula dengan Syeikh Abdus Syukur bin Abdul Karim Batani al-Fathani dan belajar kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Syeikh Ibrahim al-Kurani ini juga guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.



Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Makam Syeikh Malik
Kampung Pulau Manis
29 Zulkaedah 1431H

Ya Allah, Temukan Dia Dalam Sujudku



Dalam kekaburan bola mata jatuh pada jam yang sudah menuju pukul 4.00 pagi. Badan yang sedari malam dirasuk keletihan kerana seharian berehlah ke Kelantan masih tidak hilang. Saya mahu bangkit solat malam.

Di atas katil bujang bercadar biru, junior saya masih terlena, mungkin masih merasa kepenatan. Zubir, Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Usuluddin tahun satu itu asalnya dari Pahang. Bekas pelajar STAM Maahad Muhammadi. 10 tahun dia bermastautin di bumi Serambi Mekah. Katanya dia pernah menuntut di Pulau Melaka. Semalam dia datang berziarah ke bilik saya. Katanya ada yang mahu didiskusikan.

“Akhi, banyaknya kitab. Ini milik enta ke?” soalnya kehairanan ketika masuk ke bilik saya.

“Untuk menambah ilmu. Jika mahu dibaca, ya silakan.” Balas saya ringkas. Saya perhatikan tingkahnya yang masih membelek-belek buku-buku yang tersusun di rak dan atas meja.

“Akhi, apakah bisa aku bertanyakan sesuatu kepadamu?” soalnya.

“Semoga Allah mempermudahkan untuk aku menjawabnya. Silakan.” Tukas saya. Dia lantas memula bicara. Kami terus berbual dan berbincang hingga tidak terasa malam terus larut. Lalu saya pelawanya untuk tidur sahaja di sini. 

Saya perhatikan wajahnya, dalam hati saya berdoa ‘Semoga Allah mempermudahkan setiap urusanmu.’

Ketika bersiap-siap untuk solat, tidak sengaja saya terpandang sebuah buku berwarna merah. Saya lantas menggapainya, ianya sedikit berhabuk. Saya belek-belek lebarannya. Saya terhenti pada satu lebaran, tulisan jelek yang sudah kekaburan. Saya tulisnya sewaktu menuntut Diploma dahulu. Perlahan saya baca,

Bidadariku,

Dirimu tak terukir

Dalam catatan harianku

Asal usulmu tak hadir

Dalam diskusi kehidupanku

Wajah wujudnya tak terlukis

Dalam sketsa mimpi-mimpiku

Indah suaramu tak terakam

Dalam pita batinku

Namun kau hidup mengaliri

Pori-pori cinta dan semangatku

Sebab

Kau adalah hadiah agung

Dari Tuhan

Untukku

Bidadariku!

Saya tersenyum sendiri membaca tulisan itu. Geli rasanya.

Saya letakkan semula diari itu. Lalu bola mata saya jatuh pada sebuah novel dan diari yang masih tersusun dirak meja. Saya teringat novel dan diari itu pemberian daripada seseorang yang tidak saya kenali sewaktu tamat pengajian di Pahang dahulu. Beberapa minggu yang lepas saya dikunjungi pesanan ringkas, setelah hampir dua tahun berlalu. 

“Zaid saya mahu memberitahu awak sesuatu. Sebelum itu saya minta maaf jika apa yang ingin saya katakan ini membuatkan awak tidak senang.”

“Sudah lama saya ingin memberitahu awak tetapi saya tidak punya keberanian. Saya pendekkan cerita, diari dan novel saya yang bagi awak dahulu, ya sayalah orangnya. Saya tidak menginginkan apa-apa jawapan dari awak, just saya ingin bagitahu tentang perasaan saya dahulu pada awak. Maafkan saya.”

Hati saya tiba-tiba disapa resah.

Saya pantas mendirikan solat sunat, saya mahu istikharah. Dalam kepekatan malam langit terus-terusan menangis membesarkan Tuhannya. Dingin membaluti segenap tubuh. Hati terasa sangat tenang dan tenteram. Indahnya bila dibelai-belai oleh Ar-Rahman. Berdiri menghadap Tuhan yang satu, terasa diri terlalu kerdil dan hina. Sewaktu bertakbir,

“Beberapa hari lepas seorang muslimah ada mendatangi ustazah. Ia punya hajat besar. Ia minta dicarikan pemuda yang sesuai untuk dirinya.” Suara bekas pensyarah saya semasa kuliah Dakwah dahulu membisik di rongga telinga.

“Ustazah sangat setuju kalau enta jadi dengan dia. Ustazah yakin dia muslimah yang baik. Istikharahlah.”

“Ya Allah bantulah aku untuk tetap mengingatimu.” Bisik saya.

Saya pantas mengangkat takbir lagi, saya pejamkan mata sambil melantukan bacaan-bacaan dalam solat. Saya lantunkan ayat-ayat cinta pada surah Al-Hadid. Seperti terasa Allah sedang berbicara dengan saya. “Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

“Zaid, isteri ustaz berkenan sangat dengan zaid. Jika beri izin, mahu dijodohkan dengan adiknya.” Suara ustaz Khairi  itu memecah kekhusyukan pada rukuk saya. Titik air mata jatuh menyembah lantai. Saya menangis. Menangis bukan kerana kata-kata itu, tapi menangis kerana lalainya saya dalam beribadah. Saya tidak khusyuk. Hati saya dibalut dengan kenikmatan dunia lalu saya leka pada mengingatiNya.

“Astaghfirullah...!”

Suara-suara itu seperti terus mahu bertamu di indera dengar. Saya lantas bermunajat,

“Ya Allah…aku tak pasti samada Kau benar-benar meredhai cintaku pada-Mu ataupun tidak dengan mendatangkan ujian demi ujian cinta silih berganti. Aku sedih dengan suasana hatiku yang sering berbolak-balik dan kadang-kadang hampir ditewasi cinta manusia. Jahatnya hati sebegini! Ya Allah, andai hati yang ada ini jauh dari-Mu, maka tukarkanlah hati ini dengan hati yang mencintai-Mu. Aku tidak sanggup hidup tanpa cinta-Mu…”

Teringat pada madah Abdul Ghani, penyair sufi yang fasih di lidahnya.

Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim…
Allah Rabbi aku minta izin
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Jangan biarkan cintaku untuk-Mu berkurang
Hingga membuatkanku lalai akan adanya Engkau.

Allahu Rabbi aku punya pinta
Bila suatu saat aku jatuh cinta
Penuhilah hatiku dengan bilangan cinta-Mu yang tidak terbatas
Biar rasaku pada-Mu tetap utuh.

Allah Rabbi
Izinkan bila suatu saat aku jatuh hati
Pertemukanlah kami
Berikanlah kami kesempatan untuk lebih mendekati cinta-Mu.

Allah Rabbi
Pintaku yang terakhir adalah seandainya aku jatuh hati
Jangan pernah kau palingkan wajah-Mu dariku
Anugerahkanlah aku cinta-Mu
Cinta yang tak pernah pupus oleh waktu.

Seorang muslimah solehah yang akan jadi bidadari, yang akan saya cintai sepenuh hati dalam hidup dan mati, yang saya harapkan jadi teman seperjuangan menyulam masa depan, dan meniti jalan Ilahi, itu siapa? Saya tidak tahu. Ia masih berada dalam alam ghaib yang belum dibukakan oleh Tuhan untuk saya. Jika waktunya tiba semuanya akan terang. Hadiah agung dari Tuhan itu akan datang. 

“Ya Allah jika Engkau mengizinkan, temukan dia dalam sujudku.” Bisik saya dalam-dalam.
“Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”



Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
27 Zulkaedah 1431H

Munajat Sang Musafir



Tubuhnya masih keletihan. Rehla dari Terengganu ke Kelantan menaiki motor ternyata sangat memenatkan. Dia terasa berat untuk menghadap Tuhan. Terngiang-ngiang ditelinganya suara bersyair,

Sesungguhnya memanggil-manggil di kegelapan malam burung merpati yang bertenggek di atas dahan kayu. Ia terus sahaja memanggil-manggil sedangkan aku asyik dalam tidurku.

Bohong! Sebenarnya bohong aku demi Baitullah, seandainya aku benar seorang yang asyik (akan Allah) sudah tentu burung-burung tidak akan mendahuluiku menangis.

Aku mendakwa bahawa aku seorang pencinta yang bersangatan dahaga untuk bertemu kekasih, namun kenapa aku masih belum pandai menangis seperti menangisnya binatang.

Mendengar kalimat-kalimat itu hemahnya melonjak tinggi, nafsu ditundukkan. Dia bangun mahu beribadah.

Keresahan yang datang kebelakangan ini sangat-sangat mengugah dirinya. Malah dia hampir saja menemui jalan buntuh. Mujur Allah masih sudi mencampakkan taufiq dan hidayah ke atasnya.

Di tengah malam yang suci dan mendamaikan, dia terus-terusan bermunajat bersama derai tangis dan rayuan kepada Tuhan.

Tuhanku! Di pagi ini aku merasa patut menghadapMu, mengakui limpah kurniaanMu, berterimakasih terhadap nikmat yang Engkau berikan dan memohon keredhaanMu.

Tuhanku! Aku tahu tentang zaman lampauku dan masa kiniku. Aku percaya masa kiniku ini bukan dilahirkan oleh zaman lampauku, dan zaman lampauku itu pula tidak merintis masa kini ini. Dengan itu terserlahlah sinaran cahaya sesudah kegelapan, dan pagi menjelang menggantikan malam yang gelap-gelita.

Tuhanku! Walapun aku tahu zaman lampauku dan masa kiniku, namun aku tidak tahu tentang hari depanku. Tetapi aku berjanji akan terus berjalan mengikut garisan, oleh itu berilah aku, wahai Tuhanku, sinaran dari cahayaMu dan banjiran dari hidayah-Mu, agar aku mencapai hari depan yang menyebabkan Engkau redha terhadapku, aku redha terhadap diriku sendiri dan manusia umumnya redha terhadapku.

Tuhanku! Engkaulah yang aku sembah dan Engkau pula yang kupinta pertolongan. Beradalah bersama-samaku semasa aku beribadat kepadaMu. Beradalah bersama-samaku semasa aku meminta pertolongan kepadaMu.
Tuhanku! Sesungguhnya beban bumi dan hidup mengikatku ketika aku sedang berjalan menuju kepadaMu dan cuba memendekkan langkah-langkahku ketika aku berjuang untuk mendapatkan keredhaanMu. Oleh itu tolonglah aku, wahai Tuhanku, untuk mengatasinya dan melepaskan diriku darinya, agar aku tetap terus berjuang menuju redhaMu.

Tuhanku! Aku tahu bahawa kepecayaan orang memerlukan lebih banyak lagi perjuangan, dan sambutan mereka memerlukan tenaga yang berlipatganda dariku. Oleh itu bekalilah aku, wahai Tuhanku, dengan kekuatan dan bantuan, kerana sesungguhnya Engkau tidak mensia-siakan sesiapa yang melakukan amalan yang baik.

Tuhanku! Ramai orang yang berjuang dengan mata pedang keranaMu, dan ramai yang berjuang dengan harta dan kedudukan mereka keranaMu. Tetapi, wahai Tuhanku, aku hanya memiliki pena dan lisan saja. Terimalah, wahai Tuhanku, perjuanganku dengan kedua-duanya. Berkatilah perjuanganku ini dan datangkanlah sebaik-baik hasil darinya.

Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar segala doa.



Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
26 Zulkaedah 1431H

Istikharah, Berbisiklah!


Saya terjaga dari tidur ketika handphone berdering. Seketika mata saya mengerling ke arah jam, sudah pukul 4.13 pagi. Saya ingin bangkit. 

‘Wahai diri ini,
Berapakah lamanya engkau perlukan bagi melelapkan dirimu,
Sampai bila pula dirimu akan terbaring,
Hampir sahaja dirimu terlelap lena dalam perbaringanmu,
Hampir juga terus engkau tidak mampu bangkit,
Kecuali tatkala sangkakala ditiupkan,
Ketika manusia lena dibuai nikmatnya tidur,
Maka bangkitlah diri ini dan wajibkan dirimu,
Kerana diri ini akan mendatangiNya.’

Saya segera membersihkan diri. Saya solat Tahajjud dua rakaat. Dalam solat terasa Allah mengusap-ngusap dengan kasih sayangNya. Dia terasa sangat dekat, lebih dekat daripada urat leher. Hati terasa tenang tenteram.

Tanpa dipinta, ingatan saya jatuh padanya.

“Jika antara kita punya ketentuan dariNya, pasti terjadi. Biarlah Dia yang menjadi penentu dalam segala urusan, put your trust in Allah.”

“Ya Allah, berkatinya, rahmatinya, limpah belaslah ke atasnya.” Bisik saya penuh perasaan. Dua titis air hangat tiba-tiba terjatuh daripada kedua-dua mata.

Saya gapai mushaf al-Quran lalu melantunkan ayat-ayat cinta dari Allah. Allah seakan-akan sedang berbicara pada saya. ‘...Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik...’

“Usah dirisaukan perkara yang belum pasti natijahnya. Jadikan perasaan yang dirasai sebagai pendorong untuk terus mendapatkan cinta dan redhaNya.”

Ah! hati saya benar-benar basah dengan kata-katanya. Saya menangis!

Teringat pesan baginda sallallahu alayhi wa sallam, ‘Salah satu sumber kebahagian anak Adam adalah istikharah kepada Allah dan reda dengan apa yang ditentukan kepadanya. Manakala keburukan anak Adam ialah meninggalkan istikharah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya.’

Sebulan sudah saya istikharah. Dan sejak akhir-akhir ini dia sering sahaja hadir membawa ketenangan hati. Apakah ini suatu petunjuk daripada Allah sebagaimana yang dikomentarkan oleh Imam Nawawi dan kebanyakan ulama.

“Oh Tuhan! Saya mengharap petunjuk dan pimpinanMu.” Bisik saya sedan.
Usai bertilawah saya kucup mushaf tercinta itu dan meletakkannya di atas katil, saya bangkit untuk Istikharah. Resah ini mesti dipintal dengan petunjuk Allah.

“Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon penentuan-Mu yang baik dengan ilmu-Mu dan penetapan-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon keutamaan-Mu Yang Maha Agung kerana sesungguhnya Engkaulah yang berkuasa sedangkan aku tidak mengetahui, dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah ya Tuhanku, sekiranya Engkau mengetahui bahawa dia adalah baik bagi diriku, agamaku, hidupku, duniaku, ataupun natijah urusan hidupku, maka takdirkanlah dia kepadaku serta permudahkan dan berkatilah bagiku pada perkara itu. Dan sekiranya Engkau mengetahui bahawa dia adalah buruk bagiku, agamaku, hidupku, duniaku, ataupun natijah urusan hidupku, maka jauhkannya daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya, dan takdirkanlah bagiku yang baik sahaja bagiku di mana-mana pun dan redhakanlah aku dengannya.”

Ilahi Rabbi Anta Maqsudy, wa ridho ka mathluby!

 
Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin

Daripada Tangan Tuhan


Dinihari itu hening, bersama dengan embun yang sangat dingin, sayup-sayup terdengar suara ombak berlagu riang. Di kaki langit awan bertompok-tompok, suasana masih kelam. Di tepian pantai itu seorang lelaki sedang berdiri menghadap wajahnya pada lautan yang terbentang luas.

Lelaki itu bersuara halus, “Subhanallah…”

Dia merasakan bahwa kekuasaan langit sedang menyentuh jiwa dan batinya. hatinya kini terpana dalam ketenangan abadi anugerah Ilahi. Jiwanya disapa tenang, mata ditamui air jernih, kemudian berderai menjadi kali di pipi. Dia bernafas dalam sendu dan sebak yang berkunjung tanpa pelawaan.

“Aku mohon keampunan-Mu, ya Allah, tiada tuhan kecuali Engkau yang sentiasa hidup dan sentiasa waspada (jaga). Ya Allah aku bertaubat kepada-Mu…”

“Ya Allah! Ya Allah!” serunya. Dia pejamkan mata, istighfar berantai-rantai, jadi seribu, jadi sejuta. Dia menangis. Allah seperti sedang berbicara padanya. Tuhan! Tuhan!

Tenggelam ia bersama kebesaran Allah yang terpampang di hadapan mata. Allah terasa besar. Dalam hati hanya ada Allah! Allah! Allah!

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan selain Engkau. Engkaulah yang mencipta segalanya dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada dalam perjanjian dengan-Mu dan ikrar kepada-Mu yang akan aku laksanakan dengan segala kemampuanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sebarang kejahatan yang telah aku lakukan. Aku akui dengan sebenar-benarnya segala nikmat-Mu ke atasku. Aku juga mengakui dosa-dosa terhadap-Mu. Maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tiada yang boleh mengampunkan dosa-dosa (ini) kecuali Engkau, ya Allah.” Bisiknya.

Mendengarkan deru ombak yang bertempik kuat bersama tiupan angin, dia seakan-akan mendengar suara panggilan sangkarkala. Memandang lautan yang terbentang luas, dia seolah-olah merasa berada di padang mahsyar berhadapan Allah. Demikian juga sejuk yang menjengah mengigit-gigit tubuh, membuatkan dia membayangkan penerimaan buku amalan.

Dia terus-terusan istighfar,merewak pada bibir, hati dan seluruh roh. Air mata turun berderai. Dia menangis sungguh-sungguh.

Dia terus tenggelam dalam zat kebesaran dan keagungan Allah.

Dan di atas butir-butir pasir di duduk tersungkur menyembah Tuhan.



Dhiya’
Pantai Tok Jembal
Gong Badak, KT


Pesan Taqwa Dari Rasulallah

Pukul 5 pagi saya terjaga dari tidur. Saya lalu bangkit membersihkan diri. Saya mahu solat sunat. Teringat pesan guru saya, agar senatiasa melazimkan diri melakukan solat sunat Tahajjud dan Istikharah kerana pada kedua-duanya ada rahsia keistimewaan yang disediakan Allah buat hambaNya.

Dalam keheningan subuh, rasa dingin membalut seluruh tubuh. Suasana tenang, damai dan menenteramkan. Ibadah terasa sangat lazat bersama titis hujan yang jatuh menyembah Tuhan. Selesai munajat saya bingkas menggapai kitab lalu memasukkan ke dalam beg. Subuh ini kuliah kitab Riadhus Sholihin di Surau Muhajirin.

‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallah’

Setelah memanaskan enjin saya terus berangkat. Di atas motor saya berzikir-zikir.

‘Isilah waktu kamu dengan zikrullah. Ketika berjalan, duduk, baring, pada setiap ketika.’ Tegas Dr Wan Chik.

Selesai menunaikan solat Subuh. Ustaz Ahmad Tirmizi mengambil tempat dan memulai kuliahnya.

‘Daripada Abu Zar iaitu Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman iaitu Mu'az ibn Jabal, radhiallahu anhuma. Daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”

“Hadis riwayat al-lmam at-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan.”
Saya meniti secara khusyuk setiap yang dibicarakan.

“Hadis ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat iaitu Abu Zar dan Muaz bin Jabal.” Tegas ustaz Tirmizi lagi.

Abu Zar ialah Jundub bin Junadah, manakala Abu Abdul Rahman itu adalah gelaran pada Muaz bin Jabal. Kedua-dua mereka merupakan sahabat Nabi sallahu alaihi wa sallam. Para sahabat merupakan orang yang sangat dipercayai. Dalam ilmu akidah ada suatu istilah yang disebukan iaitu ‘Kullu shohabah ‘Uduulun’ semua para sahabat adalah adil. Sifat adil merupakan satu ciri yang mesti ada pada perawi dan ianya sangat penting dalam menilai keshahihan sesuatu hadis selain melihat pada matan hadis.

'Hadis ini disebutkan oleh baginda kepada Abu Zar ketika dia masuk Islam. Manakala Rasulallah sallallahu ‘alaihi wa sallam menitipkan pesannya ini kepada Muaz bin Jabal sewaktu dilantik menjadi Mufti di Yaman.'
Sambil mendengar perbicaraan ustaz, tangan saya terus bergerak-gerak mencatat kalimat-kalimat yang diungkapkan.

Bertaqwalah Kepada Allah Walau Di Mana Berada

‘Dalam hadis ini, ada tiga perkara penting yang dipesankan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Pertama, bertaqwa kepada Allah dalam setiap keadaan. Kedua, iringi kejahatan dengan kebaikan dan ketiga, bergaul sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’ Terang beliau lagi.

Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda keikhlasan lman dan Taqwa. Hadis ini menggesa agar berlaku jujur terhadap diri sendiri, samada ketika di hadapan manusia atau dibelakang. lslam menolak sifat berpura-pura dan munafik yang hanya mempamerkan kebaikan di depan orang dan berbuat kejahatan apabila jauh daripada pandangan manusia.

‘Inilah Muraqabah’. Tegas ustaz sambil matanya memandang tepat ke arah hadirin.

Muraqabah bermaksud merasa diri sentiasa diperhatikan Allah. Orang yang tidak merasa muraqatullah dalam dirinya adalah tanda hatinya telah sakit. Sedang taqwa itu terbina dengan adanya muraqabatullah.

‘Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu sentiasa ada keikutsertaan Allah dalam pemeliharaan dirinya. Sebagaimana firman Allah:’
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa.” Al-Baqarah: 194)

Dalam kitab An-Nashaaih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah, Imam Habib Abdullah Haddad ada menjelaskan kebahagian dan kelebihan pada sifat taqwa seperti yang diterangkan dalam Al-Quran. Antaranya kata beliau, taqwa itu sebagai meleraikan kekeliruan dan penebus kesalahan (penyuci dosa-dosa). Orang yang bertaqwa juga akan selamat dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, dikurniakan ia Ilmu Ladunni, hidupnya lapang, dimurahkan rezeki, dan orang yang mempunyai sifat taqwa akan dimuliakan Allah di dunia dan akhirat.

Perkara Yang Baik Memadamkan Yang Jahat

“Point kedua ialah gesaan agar segera melakukan kebaikan apabila sudah terlanjur berbuat kesalahan. Bertaubat kepada Allah dan melakukan amal-amal soleh dengan meninggalkan keburukan apa yang telah dilakukan dahulu.” Sambung ustaz Tirmizi lagi.

Para ulamak berbeda pendapat mana menafsirkan kalimah ‘Hasanah’ dalam hadis tersebut. Setengah daripadanya mengatakan, yang dimaksudkan dengan Hasanah dalam hadis tersebut ialah ‘taubat’. Manakalah jumhur berpendapat apa yang dikehendaki pada hadis itu adalah ‘taubat nasuha’.

“Perlu diingat, orang yang bertaqwa itu tidak terlepas daripada melakukan dosa. Inilah adalah aqidah kita. Kerana mereka tidak maksum. Yang maksum hanya para nabi dan rasul.”

Seseorang yang memiliki sifat taqwa, apabila terlanjur melakukan dosa maka ia akan segera bertaubat kepada Allah. Taubat berasal daripada kalimah ‘taaba’ yang bermaksud kembali. Bertaubat kepada Allah bererti kembali kepadanya dengan melakukan yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar. Melakukan kesalahan adalah tabiat semulajadi manusia. Oleh itu apabila kita melakukan kesilapan, kita dituntut agar mengiringi kejahatan tersebut dengan amal soleh kerana ia boleh menghapuskan kejahatan tersebut.

Bergaul Dengan Manusia Secara Baik

‘Dan sabda baginda lagi, bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’ Kata beliau.

‘Nabi mengucapkan hadis ini secara umum dengan tidak mengkhususkan kepada mana-mana manusia, agama, atau bangsa. Dengan makna bahawa bergaul dengan semua manusia tidak kira dia orang Islam atau kafir.’ Tambahnya lagi.

‘Yang dimaksudkan bergaul secara baik dengan orang kafir ialah dengan berlaku adil terhadap mereka. Menunaikan setiap hak-hak mereka sebagai hamba yang diciptakan Allah. Inilah keindahan ajaran Islam. Islam merupakan agama yang adil dan Islam menyeru umatnya agar sentiasa berlaku adil dalam segala perkara.’

‘Bergaul secara baik dengan manusia adalah dengan mempamerkan akhlak mulia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah.’ Terang ustaz.

Rasulullah merupakan sebaik-baik makhluk. Baginda adalah sebaik-baik Qudwah yang mesti diteladani dan dicontohi oleh orang-orang yang beriman. Baginda bergaul dengan manusia secara baik. Baginda memuliakan para Sahabatnya dan ahli keluarganya. Baginda mencintai umatnya. Baginda menghormati penganut-penganut agama lain. Baginda menunaikan hak-hak setiap kalangan manusia tidak mengira bangsa, keturunan dan agama. Sebab itu Allah mengisytiharkan bahawa baginda adalah ramhat buat seluruh jagatraya.

Mengakhiri kuliah subuh pagi itu Ustaz Tirmizi menyimpulkan.

‘Berdasarkan hadis yang kita bacakan tadi, para ulamak mengistinbatkan hukum. Orang yang soleh ada dua perkara padanya iaitu orang yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah dan hubungan yang baik sesama manusia.’

Usai kuliah serentak para jemaah mengikuti ustaz Tirmizi membaca kalimah,

‘Hasbiallahu laa ilaha illahu ‘alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul arsyil ‘azhim’


Allahumma Faqqihna Fid Dien!


Dhiya’
Surau Al-Muhajirin
Kuala Terengganu