AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Nikahi Wanita MUSLIMAH


‘Enta bila nak menikah syeikh?’ tanya Syeikh Mizi petang itu. Saya jadi tersentak. Pertanyaan itu bagaikan guruh yang menyambar gendang telinga. Hati bergetar hebat. Azren, Hafiz dan Fakrul memandang tepat ke arah saya bersama senyuman sinis. Jika yang bertanya itu mereka akan saya jawab dengan tenang, bahkan boleh menjawabnya sambil bergurau. Tapi ini yang bertanya adalah guru yang sangat saya hormati.

‘Ana belajar lagi ustaz. InshAllah selepas ini.’ Jawab saya menundukkan kepala, saya tidak berani memandang beliau. Segan.

Pilihlah Agamanya

‘Pililah wanita beragama...’ pesan Syeikh Mizi sebelum mengakhiri pertemuan kami petang itu. 

Nabi shallallahu alaihi wa sallam memberikan petunjuk kepada orang-orang yang ingin menikah supaya benar-benar memegang prinsip utama, iaitu memilih wanita yang memilki AGAMA. Sabda Baginda shallallahu ‘alahi wa sallam,
‘Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana Dinnya. Dapatkanlah (nikahi) wanita yang memiliki AGAMA nescaya kedua tanganmu akan penuh dengan debu. (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Dr Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan yang dimaksudkan Ad-Din di sini adalah pemahaman yang hakiki terhadap Islam dan penerapan setiap keutamaan dan adabnya yang tinggi dalam perbuatan dan tingkah laku. Iaitulah teguh berpegang dan melaksanakan dasar-dasar dan ajaran agama secara sempurna sepanjang masa.

Berhati-hati dengan orang yang mengaku sebagai MUSLIM. Ia tampak sebagai seorang yang baik, taqwa dan mengaku dirinya adalah seorang yang berpegang teguh pada agama walhal mereka belum mencapai tahap pemahaman dalam agama. Atau mereka memahami tapi tidak beramal dengan ilmu agama mereka. Atau mereka beramal tapi tidak istiqamah dan membiasakan diri mereka dalam keimanan dan akhlak yang baik. Maka selayaknya kita menghukuminya sebagai orang yang menyeleweng tingkah lakunya walaupun ia tampak seperti seorang yang baik.

Kenapa Mesti AGAMA

‘Semoga saya mendapat jodoh pemuda yang soleh...’ ujar seolah wanita dengan penuh keyakinan.

Manusia itu fitrahnya suka pada kebaikan dan benci kepada keburukan. Lalu dalam kelangsungan hidup kita hanya ada dua jalan iaitu BAIK dan BURUK. Tinggal sahaja memilih.

Selalu kita dengan kata-kata di atas. Demikian seorang lelaki juga menginginkan wanita solehah menjadi pendamping hidupnya. Tapi persoalan yang mesti dituntaskan dahulu adalah apakah kita telah menjadi yang baik sebelum mendapatkan yang terbaik?

Hai wanita kamu menginginkan pemuda yang soleh tapi dirimu bagaimana? Dirimu sedikitpun tidak menegakkan nilai dasar-dasar keutamaan, tidak pula menghargai makna-makna kesucian dan kemuliaan diri.

Seorang pemuda yang baik tidak tertarik pada wanita yang liar dan bebas. Bercampur baur dengan lelaki yang bukan halal untuknya. Bebas di bawa pergi ke mana-mana. Jauh sekali mahu menikahi wanita yang telah di sentuh dan jatuh ke dalam pelukan lelaki-lelaki durhaka. Pemuda baik itu tidak akan menikahi wanita yang telah melucutkan baju AGAMA dan akhlak!

Kerana pemuda itu khuatir, nanti anak-anak yang lahir dan tumbuh membesar menjadi orang-orang yang menyimpang dan menghalalkan yang haram, dan akan mendapatkan pendidikan berdasarkan kebejatan dan kemungkaran. Ini tidak mustahi.

Justeru anjuran memilih agama dan akhlak adalah salah satu faktor terpenting yang akan mewujudkan kebahagian secara sempurna bagi kedua pasangan suami isteri, pendidikan Islami yang mulia bagi anak-anak, kemulian yang pasti dan ketenteraman yang dicari-cari setiap keluarga. Akan lahir anak-anak yang diberi tabiat tinggi, murni dan akhlak Islami yang lurus. Dari ibu-ibu mereka, mereka dapat menghirup air susu kemulian dan keutamaan. Dengan cara yang suci, mereka dapat mencari sifat-sifat yang baik dan akhlak mulia.

Lelaki yang baik untuk wanita yang baik!

Sarana Nabi

Untuk itu, setiap orang yang ingin kahwin Nabi shallallahu alaihi wa sallam menganjurkan untuk memilih pasangan atas dasar agama, kebaikan, kemuliaan dan kemaslahatan. Ad-Daruquthi, Al-Askari dan Ibn Adi telah meriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri secara marfu’;
‘Jauhilah oleh kalian rumput hijau yang berada di tempat kotor’. Mereka bertanya, ‘apa yang dimaksud dengan rumput hijau yang berada di tempat kotor itu, wahai Rasulullah?’ baginda menjawab, ‘iaitu wanita yang sangat cantik yang tumbuh berkembang ditempat tidak baik.’
Ibn Adi di dalam Al-Kamil telah meriwayatkan secara marfu’;
‘Kahwinilah oleh kamu sekalian wanita yang baik. Sebab sesungguhnya keturunan itu kuat pengaruhnya.’
Di dalam Ausath, Imam At-Thabari meriwayatkan dari Anas radhialllahu anhu dari Nabi Shallallahu alaihi wasallam bahawasanya beliau bersabda,
‘Barangsiapa yang menikahi wanita kerana kemuliannya, maka Allah tidak akan menambahkan kepadanya selain daripada kehinaan. Barangsiapa mengahwininya kerana hartanya, maka Allah tidak akan menambahkan kepadanya melainkan selain daripada kemiskinan, barangsiapa mengahwininya kerana kedudukannya, maka Allah tidak akan menambahkan kepadanya selaind daripada kerendahan. Dan barang siapa mengahwini seorang wanita hanya kerana ia menginginkan dengan wanita itu untuk menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya atau menyambungkan ikatan kekeluargaannya, maka Allah akan memberkatinya pada wanita itu dan akan memberkati wanita itu padanya. (HR Imam At-Thabari)
Nikahi wanita MUSLIMAH!


Al-Faqir!
Dhiya’ Al-Qadiri
Universiti Sultan Zainal Abidin
24 Safar 1432H

Kapan Waktu Ku?

Pagi itu langit masih kelihatan kelam. Suasana tenang tenteram bersama embun pagi yang menyapa dingin pada segenap tubuh. Sekali-sekali bayu pagi bertiup perlahan menampar-nampar muka pipi. Usai bersolat Subuh dia tidak terus pulang ke flat. Dia mahu ke suatu tempat. 

Barangkali sudah menjadi rutin baginya untuk datang ke sini. Cara yang dianggap lebih berkesan untuk zikrul maut langsung menanggalkan karat di hati. Ini waktunya untuk berfikir secara serius hal KEMATIAN. 

“Salamun ‘alaik...”

Dia memandang batu nisan yang tercacak di atas persada lalu dimerenung betapa tubuh manusia yang bersemadi di dalam tanah, terbujur tanpa teman, walaupun ketika hayatnya dia dikeliling isteri dan anak-anak serta jiran tetangga dan teman-teman namun semua itu sekadar bisa mendampingi mereka menghantar sampai ke tanah perkuburan. Setelah selesai dikebumikan akhirnya semua yang meratapi kepergiannya akan melangkah pulang dan tinggallah dia seorang diri di dalam kubur itu. 

Dia terdiam sejenak. Air mata masih terus mengalir. Dia berfikir lagi bagaimana nasib para penghuni kubur yang sedang diziarahinya itu, kerna ia kelihatan damai. Tidak siapa yang tahu kedudukan nasib para penghuni kubur itu, sekalipun sanak saudara datang menziarahi kubur mereka.

Teringat ia sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bahwa sesungguhnya kubur adalah permulaan kepada taman syurga atau lubang neraka. Bagi orang yang mendapat rahmat dan pengampunan Allah, iaitu mereka yang sentiasa ingat akan Allah semasa hidupnya, dengan melakukan ketaatan, maka kubur baginya adalah lorong sebuah taman yang dipenuhi kenikmatan dan kerehatan. Tetapi bagi mereka yang melupakan Allah Ta’ala semasa hidupnya, maka kubur baginya adalah permulaan azab sebelum azab di dalam neraka.

Allah subhanahu wa ta’ala membalas setimpal dengan amalan yang telah mereka lakukan, ‘Jaza-an bima kanu ya’malun!’. Jika amalan yang dilakukan berupa kebajikan, maka balasannya ialah kebaikan, rahmat dan pengampunan, sebaliknya jika maksiat dan perbuatan keji yang menjadi amalan, maka balasannya setimpal dengan kejahatan yang dilakukan iaitu azab yang amat pedih.

Pesan gurunya terngiang-ngiang ditelinga,

“Jika mampu, lakukan ziarah kubur itu pada malam hari kerna suasana malam yang kelam dan hening akan menerbitkan berbagai perasaan takut, ngeri dan insaf. Andainya berkunjung di waktu siang, sebaiknya lakukan seorang diri supaya dapat memberi tumpuan dan merenung terhadap persoalan alam kubur yang sering dilupakan oleh manusia...”

Begitulah yang dia lakukan untuk melembutkan dan memperbaiki hati kerna ziarah kubur itu bererti mengingati mati, bagi orang yang sentiasa mengingati mati semestinya dia akan berusaha melakukan taat dan menjauhi maksiat.
Dan pagi yang bening itu dia terus tenggelam dengan zikrul maut sambil melantunkan ayat-ayat suci al-Quran dan doa-doa sebagai manfaat kepada penghuni kubur.

“Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni-penghuni kubur semoga Allah mengampuni kami dan juga kamu. Kamu telah mendahului kami dan kami akan mengikuti kamu...”

Doa itu meresap ke dalam hati, menumpahkan air mata lalu perlahan-lahan membasahi celah pipi. Hatinya basah. Dia menangis.

Dan dia terus menangis!

Kapan waktu ku?

Al-Faqir Ilallah

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
9 Safar 1432H

Yang Tidak Akan Terlupakan...


Setiap hamba itu tidak akan pernah lepas dari ujian kerna itu adalah Sunnatullah dalam kehidupan. Ditegaskan dalam al-Quran dengan firman Allah subhanahu wa ta’ala,

Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat);
(Al-Mulk: 2)

Tanggal 29 Mac 2010 saya telah dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana disyaki mengalami masalah jantung dan masalah-masalah lain.

27 hari di HSNZ tidak akan pernah luput dari ingatan dengan izin Tuhan. Setiap denyut nadi itu akan saya kenang. Setiap saat dan waktu itu akan bersemadi dalam jiwa. Kerna selama tempoh itu saya dikelilingi orang-orang yang lembut hatinya.


Alhamdulillah!

Terima kasih buat Firdaus, Sabri, Bukhari, Kak Lah, Iffah, Syafa, Hidayah, Yus yang telah banyak berkorban menjaga dan memberi dorongan.

Terima kasih kepada Sabri, Zul dan Faruq yang pernah memandikan orang yang tidak berdaya ini.

Terima kasih untuk Amirul dan Tupas yang sanggup berjaga malam menemani di wad meski esok harus kuliah.

Terima kasih kepada semua teman-teman sekuliah USUK atas kebaikan kalian.

Sesungguhnya saya sangat sayangkan kalian kerana Allah subhanahu wa ta’ala.

Terimah kasih kepada Saff Pimpinan Persatuan Mahasiswa Usuludin (PMUS).

Terimah kasih kepada teman-teman Persatuan Anak-anak Borneo.

Terimah kasih buat Ustazah Najmiah dan suami, Puan Suhaili, Puan Hafiah dan adiknya atas ziarah dan doanya.

Terimah kasih kepada teman-teman seuniversiti yang datang menziarahi dan mendoakan.

Terimah kasih kepada Ibu dan Ayah Iffah yang banyak membantu. Juga kepada ibu Yus.
Terimah kasih kepada doktor UniSZA dan nursenya.

Terimah kasih kepada doktor HSNZ dan nursenya juga pelajar nurse UniSZA.

Terima kasih juga buat Encik Sabri yang lembut hatinya.

Terima kasih kepada kumpulan In-Team yang sudi bergambar dengan ‘pesakit’.

Terima kasih staff Air Asia atas kerjasama yang diberikan.

Dan akhirnya terima kasih buat Ibu dan Ayah serta keluarga yang sentiasa ada di sisi menemani dan memberi.

Terima kasih buat semua. Terima kasih atas kebaikan kalian. Saya tidak tahu hendak memberikan apa yang terbaik sebagai balasan. Hanya doa dan air mata cinta yang bisa saya sembahkan ke hadrat Allah. Semoga Allah membalas kebaikan kalian. Semoga!

Barakallahu fikum!


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya'
Universiti Sultan Zainal Abidin
24 Muharram 1432H

Pati Faridatul Faraid


Alhamdulillah,

Selesai sudah pengajian kitab Pati Faridatul Faraid di masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA dahulu KUSZA). Dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Ahmad Tirmizi Bin Taha, seorang pensyarah di UniSZA. Pakar dalam bidang Fiqh (Fiqh Perbandingan, Fiqh Mazhab, Qawaid Fiqh dan Fiqh Turath).

“Pati Faridatul Faraid oleh kalam Al-Haj Nik ‘Abdullah Ahmad Al-Jambuwi (Darul ‘Ulum Nibung Baharu Jala (Yala) Thailand). Pati Faridatul Faraid ini mengandungi sekalian masalah Faridatul Faraid bermakna kalau mengaji ini sama jua dengan mengaji Faridatul Faraid tetapi Pati ini mudah difaham.”

Kitab ini membincangkan tentang Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin. Kitab ini telah selesai disusun di Darul ‘Ulum Nibung Baharu Jala (Yala) Thailand pada hari Jumaat 24 Jumadal thani 1384 H.

Moga-moga kita sentiasa mendapat Taufiq dan Hidayah daripada Allah. Amen!

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Dhiya'
Masjid UniSZA
20 Muharram 1432H

Di Sini Aku Bertafakkur


Waktu kecil-kecil dahulu ayah sering membawa kami adik-beradik ke pantai. Hampir setiap minggu. Mungkin kerna jarak pantai yang letaknya hanya beberapa kilometer sahaja dari rumah.

“Esok lepas solat subuh jangan lupa basuh kereta ya.” Arah ayah kepada kami.

“Iya.” Balas kami penuh gembira.

Basuh kereta adalah satu aktiviti mingguan kami adik-beradik. Dan kami sangat gembira bila diminta ayah berbuat demikian. Kerana ini waktunya untuk kami beraksi. Bermain air sepuas-puasnya. Haa!

Kami suka bermain air. Terkadang berjam-jam lamanya berendam dalam bilik air. Hingga membuat ibu naik berang. Kata ibu membazir. Itu memang benar. Tapi kanak-kanak, apalah yang dimengertikan. Hanya ingin kepuasan dan hiburan.

“Lepas basuh kereta kita pergi pantai.” Ujar ayah dengan wajah tersenyum.

Mendengar kata ayah kami bertempik keriangan. “Yahoo! Pergi pantai.”

Itulah yang kami nanti-nantikan saban minggu. Hari cuti ayah adalah hari raya bagi kami. Itu waktunya kami menumpahkan sepenuh masa bersama ayah.

Pantai Permainan

Saya yang masih kecil waktu itu masih tidak mengerti apa-apa. Cuma menurut. Yang pastinya pantai adalah tempat permainan yang paling menghiburkan. Bermain air sepuasnya, meski waktu itu saya tidak tahu berenang. Berani sungguh!

Berkejar-kejaran. Membina istana. Memungut siput. Mengejar ketam pasir. Bermain pasir dan air laut. Terkadang kaki terpijak kaca dan duri. Saya menangis. Adakalanya telinga dimasuki air dan yang paling tidak bisa terlupakan tatakala terminum air laut. Eeeh! Masin rasanya.

Terkadang berjam-jam lamanya bermain dipantai hingga tidak sedar matahari naik meninggi.

“Ayuh balik.” Kerah ayah.

“Nantilah dulu. Masih belum puas bah ayah!” pujuk saya.

Tatakala mengenangkan semua itu saya tersenyum sendiri. Nakal rupanya saya!

Pantai Bukan Permainan

Pagi itu usai bersubuh di masjid universiti saya ke pantai. Rutin yang tidak mungkin saya hilangkan dalam diari hidup. Menyusuri kaki pantai kala dinihari sangat mententeramkan. Sunyi dan sepi. Tiada orang-orang. Yang ada hanya saya, laut dan Tuhan. Sekali-sekala deru ombak yang menghempas pantai menghasilkan bunyi dentuman. Tasbih mereka membesarkan Tuhan.

Membesar dikaki pantai, mungkin itu yang membuatkan saya tidak bisa terpisah dengannya. Ya, saya tidak bisa berada jauh dari pantai itu. Kerna di situ kehidupan saya. Tempat saya menumpah cinta dan harapan.

Tapi hari ini ternyata sudah berbeda. Pantai tidak lagi menjadi tempat melempias ‘nafsu bermain’. Pantai bukan lagi tempat membina istana. Mengumpul siput. Berkejar-kejaran. Jauh sekali meminum airnya yang masin.

Pantai hari ini adalah jiwa saya. Laut itu adalah hati saya. Dia teman bicara saya. Di situ saya temui ketenangan dan kedamaian. Kerna di pantai itu saya bisa men’tafakkur’kan Tuhan.

Dan pagi itu di ufuk timur matahari mula memancar sinarnya. Saya terus tenggelam bersama kebesaran Allah. Allahu Akbar! 

“Tafakkaru fi khalqillah.”


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Dhiya'
Pantai Tok Jembal, KT 
16 Muharram 1432H

Surat Untuk Adikku Tercinta


Menemui

Adikku Tercinta

Di bumi tumpah darah tercinta

Assalamu’alaikum wa rahmatullah wa barakatuh...

Dari ceruk kota seberang abang tiada henti mengutus doa, semoga adikku sentiasa sihat, terpelihara dari segala keburukan, dan selalu dalam dakapan kasih sayang Allah subhanahu wa ta’ala.

Adikku tercinta

Selama usiamu kecil engkau dididik dengan agama dipangkuan ibu dan ayah hingga engkau menginjak dewasa. Dan kini adikku sudah dewasa bebas dan berada jauh dari pangkuan keluarga. Solatmu, auratmu, pakaianmu, pergaulanmu, ibadahmu kepada Allah bagaimana? Apakah masih terjaga dan terpelihara seperti dahulu.

Adikku tercinta

Ibu dan ayah sudah menjengah tua. Dan bila sampai waktunya mereka akan dipanggil Allah. Mereka telah menunaikan kewajipan mereka dengan baik. Selama ini mereka tidak memikirkan tentang diri mereka, mereka hanya memikirkan tentang anak-anak. Tahukah bahawa mereka telah mengorbankan diri dan segala usia demi untuk membiayai hidup dan pembelajaran kita.

Adikku tercinta

Ibu dan ayah bekerja keras untuk kita. Terkadang ayah balik hingga larut malam berserta keletihan dan lelah. Penat bekerja demi menyara anak-anak tercinta. Ibu bekerja keras membuat kuih, berjualan kuih demi kita. Awal pagi ibu sudah jaga bersiap-siap. Terkadang ibu mengadu sakit kepala dan keletihan. Mendengar itu abang menangis kesyahduan. Mereka rela mengorbankan usia demi kita. Abang tahu itu pasti sangat berat buat mereka yang sudah beransur tua. Tapi mereka ketepikan semua itu demi melihat anak-anak berjaya dunia akhirat.

Adikku tercinta

Kau sangat istimewa. Kau dianugerahkan Tuhan kelebihan. Ingatkah waktu kecilmu, ketika abang tercekik tulang ikan. Hanya dengan tangan kecilmu yang direndam ke dalam air lalu dibacakan selawat sudah bisa menyembuhkan. Dengan kuasa Allah. Dia memberikan kelebihan kepadamu.

Sejak di tadika hingga ke sekolah kau selalu mendapat keputusan yang baik dan membanggakan. Kerana prestasimu itu, ibu dan ayah selalu melebihkanmu. Mereka bangga dengan prestasimu. Tidak henti-henti mereka menyatakan kebanggaan terhadap prestasimu itu di hadapan kami, anak-anaknya.

Adikku tercinta

Pernah suatu hari, abang dapat tahu yang ayah sudah tidak mampu membiayai pelajaran abang. Saat itu abang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Sungguh, saat mengetahui ketidakmampuan ayah itu, abang menangis. Hari itu abang nekad untuk menutup semua pintu harapan untuk meneruskan pelajaran. Abang mahu bekerja membantu ayah menyara keluarga. Tapi kau tahu apa kata ayah, “Terus bertenang dan berikan tumpuan dalam pelajaran. Soal biaya jangan difikirkan. Nanti ayah uruskan.”

Mengenangkan semua itu setiap hari abang menangis, menangis dan terus menangis. Abang tahu ayah sudah membanting tulang dan berkorban. Duit yang dikumpulnya untuk menunaikan Haji habis digunakan untuk membiayai pelajaran anak-anaknya. Mereka sanggup berkorban segala-galanya, segala-galanya demi anak-anak yang tercinta.

Adikku tercinta

Saat menulis semua ini, abang menangis. Tidak henti-henti abang berdoa semoga Allah melimpahkan belas kasihnya buat mereka berdua. Ketahuilah adikku harapan mereka agar kita, anak-anak mereka berjaya menjadi anak soleh dan solehah.

Dari bumi seberang, abang kirimkan salam. Salam rindu dan rindu yang tiada taranya. Abang kirimkan kucupan cinta dan setitis airmata cinta dan harapan untukmu adikku tercinta. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan taufikNya kepadamumu. Amen!

Sekian dahulu. Wassalam

Dengan sepenuh cinta

Abangmu

Zaid
 
Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
 
Dhiya'
Universiti Sultan Zainal Abidin 
12 Muharram 1432H

Sejahterahlah Di Bumi Syiria!


Waktu saya terjaga jam sudah hampir menuju Subuh. Saya istighfar. Titik air gugur dari celah mata. Saya menangis. Beberapa kali saya mencerca diri.

“Sesungguhnya memanggil-manggil di kegelapan malam burung merpati yang bertenggek di atas dahan kayu. Ia terus sahaja memanggil-manggil sedangkan aku asyik dalam tidurku. Bohong! sebenarnya bohong aku demi Tuhan Baitullah, seandainya aku benar seorang yang asyik (akan Allah) sudah tentu burung-burung tidak akan mendahuluiku menangis.”

“Astaghfirullah..” bisik saya sedan. 

Saya bingkas bersiap-siap untuk solat Subuh. Setelah Subuh menadah kitab Al-Kabair bersama Syeikh Mizi. Sekali-sekala kedengaran suara bilal masjid mengumandangkan azan penuh syahdu. Tatakala bersiap-siap tiba-tiba handphone saya berbunyi. Ada pesanan masuk. Saya buka dan baca.

“Salam. Abang Zaid. Apa Khabar? Lama tak dengar cerita. Abang sihat?”

Seketika membaca pesanan itu saya tersenyum sendiri. Naqiah. Bagaimana keadaannya saat ini? Semoga baik-baik saja. Rasa rindu hadir bertandang. Rindu pada seorang ‘adik’ yang jauh terdampar di bumi Syiria. Nun jauh di bumi orang.

“Alhamdulillah baik.” Bisik saya perlahan. Pesanan dari adik saya itu tidak terbalas kerana saya harus segera berangkat ke Surau Muhajirin.

Kepada Naqiah sedang berada jauh di bumi Syiria. Titipan sebuah sajak buatmu.

Pabila kuberada di kejauhan
Adakala ku kesepian
Asyik terkenang kampung halaman
Dan jua teman–teman...

Di kala itu kan kurasa
Agak kelemahan
Untuk Berjuang
Melihat mereka berbahagia
Di samping yang tercinta...

Kegembiraan ku
Kesepian
Mujur ada teman seperjuangan
Menyatakan kita harus teruskan
Perjuangan ini
Demi mencari keredhaan Illahi...

Masa muda dilalui
Hanya sekali
Pergunakannya agar kau
Tidak sesali diesok hari...

Ketenangan ada di sini
Tak jumpa karena kau tak mencari
Kebahgiaan tersirat dihati
Tak rasa kerana kau tak menghayati...
(Lirik lagu ‘Sepi Perantau’ by Brothers)

Jangan Nakal-nakal tau!

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!
Universiti Sultan Zainal Abidin 
11 Muharram 1432H