AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan

Tak Punya Wang Untuk Belajar



“Kita tidak punya wang nak...”

Kalimat-kalimat itu pernah memancung halus harapanku. Aku masih ingat, suatu ketika dahulu sewaktu menerima tawaran melanjutkan pengajian, segera ku khabarkan pada ayah. Ternyata ayah gembira dengan berita itu. Orang tua mana yang tidak mahukan anak-anaknya menempa nama di pentas menara gading? Yang Selama ini menjadi impian besar mereka. Ah, sudah terlalu lama rasanya harapan itu terbiar terperam kaku, dari seorang anak ke seorang anak ditatang dengan hasrat suci itu, dibuai-buai saban waktu, agar mudah-mudahan tertunaikan. Penantian demi penantian, mereka tak juga pernah jemu berputus asa.  Diyakin pasti ada salah satu putera puterinya yang membanggakan kelak. Kapan? Hanya Tuhan yang maklum. Hanya Doa dan titisan air mata cinta yang tetap selalu muncul mendampingi hari-hari mereka. Harapan itu tidak pernah sirna sehinggalah Tuhan membenarkan sabdaan dari lidah Rasul-Nya, bahwa doa orang tua untuk anaknya sangat dekat dengan Allah. Tuhan tunaikan, ayah dan ibu pun senang.

Namun, dengan rasa berat hati ayah terpaksa berterus-terang bahwa dia tidak mampu menampung belanja untuk aku menyambung pelajaran. Dengan biaya persekolah adik-adik yang begitu mendesak, dengan bayaran gaji bulanan yang tidak menentu ditambah perbelanjaan keperluan rumah sehari-hari. Ayah tidak punya wang. Ayah tidak mampu. Aku akur!

Malam-malam terus berhembus, namun segalanya masih tetap sama, kelabu. Padahal sepatutnya kegembiraan mewarnai keseharianku. Padahal semangat seharusnya menjelma sebagai seorang bidadari cantik. Namun kali ini, semuanya luruh. Tatapan-tatapan kosong, desah nafas berat yang terhembus bahkan titik-titik bening air mata keluar begitu mudah. Aku kecewa. Namun dalam diam-diam aku simpati pada ayah. Betapa dia telah banyak bekorban untuk anak-anaknya. Selama hidup, ayah tidak pernah menceritakan kesusahan yang dialaminya. Ayah tidak pernah berkira soal wang dengan kami. Apa sahaja yang kami inginkan, jika baik pasti akan dipenuhi. Ayah adalah paling manusia mulia. Ayah sudah berusaha memberikan kehidupan yang baik buat kami. Biarlah, hanya kali ini aku reda sebagai anak. Ini masanya untuk aku membalas jasanya.

Aku matikan impian murni itu. Belajar dalam peta hidup, harus ku padam dahulu dan ku tukar ganti dengan bekerja. Ya, aku harus bekerja demi meringankan beban ayah menyara keluarga dan adik-adik. Dan hari itu, malaikat-malaikat menjadi saksi, cita-cita ku serahkan kembali ke langit. Kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.

Tuhan Maha Mengetahui. Dia lebih mengerti isi hati hamba-Nya. Rupanya takdirku masih tercatat kukuh di Lauh. Sungguh, Tuhan tidak selamanya memberikan apa yang kita mahu, tetapi Dia akan memberikan apa yang kita perlu.

Maka pagi itu tanpa terduga, aku dihubungi teman-teman yang saling bertanyakan perihal keputusan permohonan menyambung pengajian. Mulanya aku sukar mahu bercerita hal yang terjadi. Ku berikan kata dua serta alasan yang pelbagai. Sehinggalah didesak berkali-kali aku terpaksa berlaku jujur. Mula-mula ku cerita perihal diriku. Keadaan ayah yang begitu terbeban. Kemudian berlanjutan kepada soal wang yang bagiku sulit untuk dikongsikan. Aku belum pernah sejujur dan seberani itu mempercayai orang. Tapi ku yakini keikhlasan teman-teman. Dan setelah berbicara lama akhirnya mereka bersetuju membantu. Ayah yang mengetahui semua itu, bersyukur dan berterima kasih. Tuhan, aku dikelilingi insan-insan penyayang!

Kamai berjanji untuk menampung perbelanjaan tiket penerbangan. Farah katanya mahu meminjamkan wang untuk membayar yuran pendaftaran. Sedangkan Asmar berjanji akan memasukkan wang melalui bank sebagai wang poket. Sementara untuk barang-barang keperluan seperti baju, seluar, kasut, beg dan lain-lain, aku tidak punya bajet untuk membeli semua itu. Maka aku hanya menggunakan pakaian dan barang-barang lama yang ada. Itu sudah cukup.

Bermula peristiwa itu, hidupku kembali cerah. Semangatku kini menjelma menjadi seorang bidadari cantik, bukan sahaja cantik bahkan manja. Kegembiraan kembali mewarnai hari-hariku sehingga tiba saat berangkat pergi. Aku percaya pada apa yang pernah disabdakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bahwa siapa yang diingikan Allah kebaikan buat dirinya, dia akan diberi faham tentang agama.

Maka atas apa yang pernah berlaku. Kesulitan yang aku jalani, rasa simpati pada ayah, rasa putus asa. Kemudian dengan kasih sayang Tuhan dan teman-teman yang lembut hatinya, sampailah aku bisa berada di sini hari ini, di bumi pengajian, ketika cita-citaku hampir terkubur, hanya kerna aku tidak punya wang untuk belajar.


Sang Pencerah!

Dhiya’
Terengganu
29 Jamadil Awwal 1433H

Shobahul Khaer!


Ketika saya terjaga sayup-sayup kedengaran suara bilal Manan dari corong masjid universiti mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Perlahan-lahan saya bangkit dari pembaringan, duduk sebentar sambil mengungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah Yang Maha Hidup, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Alhamdulillah!

Saya bingkas membersihkan diri untuk menghadap Tuhan Rabbul Jalil, Tuhan sekalian alam. 

Usai bersolat Subuh, saya me’ratib’. Amalan zikir Tarikat Qadiriah Naqshabandiah itu kini sudah mendarah daging dalam hidup. Zikir jahr “Laa ilaha illallah” dan zikir khafi “Allah..Allah”, sambil membayangi dan merasakan keberadaan guru dan para ikhwan.

“Terus zikir. Zikir sampai ingat, hingga timbul rindu, gila dan cinta. Kemudian akan tersingkaplah rahsia-rahsia Allah…” saya masih ingat kalimat-kalimat hikam sang guru, al-Mukarram Dr Abdul Manam yang sentiasa dipesankan.

Selesai berzikir saya menggapai al-Quran bersaiz poket di atas meja. Perlahan-lahan saya kucup penuh takzim kemudian menyelak helaiannya. Saya jadi teringat ketika bersama Syeikh Fahmi al-Banjari dahulu.

“Syeikh mohon nasihatnya…” bisik saya kepada Syeikh Fahmi Zam Zam al-Banjari usai kuliah Subuh di masjid universiti pagi itu. Beliau tersenyum melihat saya sambil membetulkan posisi duduk. Kemudian meneguk secawan air, lalu berkata.

“Selalu baca al-Quran..”

Mendengar itu saya masih belum merasa puas. Saya bertanya lagi,

“Lagi Syeikh..?”

“Banyakkan baca al-Quran..” jawapan ringkas dengan pelat orang kedah. Beliau tersenyum. Saya terdiam, lalu tersenyum dan mengucapkan terima kasih.

Terus tenggelam bersama ayat-ayat cinta dari Allah. Hati, ruh dan jiwa karam dalam rasa takut, harap, rindu dan cinta. Rasa berTuhan. Rasa diperhatikan Allah. Oh, nikmatnya! Mata bah dengan titisan air. Tersentak dengan bicara Allah pada ayat 46 surah al-Haqqah,

“Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta merta)…”

Di luar jendela, kicaun beburung mulai kedengaran memuji Tuhan. Tuhan yang sentiasa Hidup dan Kekal. Tuhan yang Maha Mendengar dan Melihat. Yang tidak menyerupai apapun. Sungguh zikir-zikir yang dilantunkan sang makhluk Allah yang satu ini sangat merdu. Dan pagi itu terhias indah dengan tasbih-tasbih seluruh makhluk penghuni langit dan bumi.

“Maha Suci Allah dari sifat kekurangan…”

Lama saya menunduk dan terdiam. Tangan masih memengang tasbih. Air mata masih tersisa. Saya kesat perlahan. Hati terasa damai. Tenang dan tenteram dengan mengingati Allah. Saya bangun dari tikar sembahyang menggapai kitab Riadhus Sholihin yang tersusun rapi pada rak buku kemudian duduk pada kerusi berwarna biru. Saya selak langsir tingkap dan membuka sedikit jendela, angin pagi menyelinap masuk membawa dingin. Oh nikmat!

Angin pagi seolah-olah membawa perkhabaran dari sang mu'allim. Ingatan jatuh pada pesan Syeikh Mizi,

“Bacalah kitab Riadhus Sholihin setiap pagi. Paling tidak seminggu sekali.”

Semenjak mendapat amanat daripada beliau, saya jadi asyik dengan bacaan hadis-hadis pada kitab karya Imam al-Nawawi yang mulia itu. Seakan-akan nabi sedang berada di sisi, berbicara dengan diri. Dan sehingga saat ini saya, tidak pasti mengapa Syeikh Mizi memberikan amanat itu. Pasti punya rahsia yang bakal tersingkap nanti. Amen ya Rabb!

Beberapa waktu kemudian, fajar pun terbit dari jihat timur, kicauan burung semakin rancak laksana serunai nafiri mengelu-elukan kedatangan maharaja siang yang menang dalam perjuangan. Awan di timur dan di barat, berbagai-bagai rona nampaknya, laksana menunjukkan perayaan alam yang terjadi tiap-tiap pagi dan petang. Tidak lama kemudian matahari pun terbitlah.

“Sesungguhnya aku terjaga di pagi hari dengan kesedaran bahawa kerajaan bumi dan segala isinya ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah, tiada sekutu baginya tiada Tuhan selain Dia dan kepadaNya aku akan dibangkitkan.”

“Aku terjaga di pagi hari dalam fitrah Islam dan kalimat ikhlas dan dalam agama nabi ku, Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam dan dalam ajaran bapa kami Ibrahim yang hanif lurus sedang dia bukan seorang musyrik.”

“Ya Allah pada pagi ini aku nikmati afiat pemberianMu (keselamatan dari mara bencana) dan terjaganya rahsia-rahsia (dosa-dosa) ku, maka sempurnakan nikmatMu, afiatMu dan penjagaanMu itu atasku di dunia dan akhirat.”

“Ya Allah, nikmat apa saja yang aku peroleh di waktu pagi hari seseorang di antara makhlukMu sebenarnya adalah dariMu, yang Esa dan tidak bersekutu, maka bagiMu segala puji dan syukur.”

“Ameen..ameen..ameen..ya Rabbal ‘alamin!”

Shobahul Khaer!

Al-Faaqir Ila Rabbi Al-Qadir

Dhiya’
Jami’ah al-Sulthan Zein al-‘Abidin
28 Jamadilakhir 1432H