AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku

"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.


Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.


Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.


"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.


Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan nakal ku mencubit lembut hidungnya.


"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.


"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.


Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali.


"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.


"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati. Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan secantik Zahra. Terima kasih Allah!


Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti dia juga turut merasai kebahagiaan ini.


"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.


"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.


Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai. Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang Maha Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk dan tenang sekali. Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.


Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."


Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.


"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."


Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.


Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan cuba dengar dengan saksama.


"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra. Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya."


Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.


"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra berserah kepada Allah perihal jodoh. Kerana Zahra yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"


Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih mahu menyambung kisah nya.


"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki."


Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.


"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.


"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.


"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah, seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya. Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa lelaki yang isteriku cintai ini.


"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.


Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.


"Abang, you are the man that i loved since the first time i met you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband, and i will give all my life to you, in the name of Allah."


Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:


"Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)




"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.




"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.


Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu. Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.


"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)

* Cerpen "Jodoh Dari Tuhan" yang diterbitkan dalam laman iluvislam.com dengan tajuk "Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku"

Semoga Ada Allah Di Hatimu



Ketika pulang dari menadah kitab bersama al-Mukarram Syeikh Dr Abdul Manam Mohamad Al-Merbawi, saya singgah di kafe kolej kediaman baru universiti. Sebetulnya saya merasa jelak untuk menjamu makanan di kafe tersebut. Tapi demi meraih ajakan seorang teman saya akur.


Melihat gelagat anak-anak muda yang bergelar mahasiswa di sekitar kafe. Bermacam-macam gaya dan tingkah, rupa dan jenis, terkadang saya geleng kepala, ada kalanya saya tersenyum sendiri, sambil istighfar merewak pada bibir.


Jujur, saya tidak merasa diri mulia. Jauh sekali merasa bahawa saya adalah yang terbaik. Kerna kita diajar agama bahawa yang terbaik kalangan kita adalah orang-orang yang punya taqwa.


Kita diajar agar memandang manusia dengan penuh cinta dan kasih-sayang. Siapa pun mereka, tidak mengira bulu atau rupa bentuk, perangai dan tingkah laku. Dan itulah yang sedang saya rasakan saat ini. Melihat adik-adik dan saudara-saudari seIslamku.


“Oh Tuhan.” Hanya itu yang bisa terbit dari lubuk hati.


Nun di hujung sana seorang lelaki dan wanita sedang asyik berbual-bual. Study group barangkali. Di hadapan saya beberapa orang wanita sedang asyik bersembang, di hadapan ada laptop, mereka sedang asyik bermain ‘facebook’. Di meja yang lain, beberapa orang wanita yang berpakaian agak ‘seksi’ sedang galak ketawa. Ntah apa yang dibualkan.


Dari arah kiri saya seorang lelaki berseluar pendek ala-ala ‘hawai’ sedang berjalan ke arah saya, mahunya membeli minuman barangkali. Berhampiran televisyen, beberapa orang sedang asyik menonton. Tidak lama saya merenung seorang lelaki duduk berhampiran saya. Berseluar jeans dengan rambut tercacak. Saya sempat berkenal-kenalan dengannya. Terkadang ada beberapa mahasiswa yang datang menyapa, saya tersenyum meski tidak berapa mengenali mereka. Sekali sekala dua tiga orang wanita ‘seksi’ lalu lalang dihadapan saya yang sedang menjamu.


Jika dilihat hampir semua meja dipenuhi dengan orang-orang. Belum ditambah dengan orang-orang yang sedang berlegar sekitar kafe, macam-macam gaya, rupa dan cara. Di celah-celah blok asrama ada dua tiga pasangan yang sedang asyik ber’canda’. Di foyer asrama orang-orang sedang berprogram, sayup-sayup kedengaran lagu Maher Zein berkumandang. Ah, semua orang tengah tenggelam dengan keadaan masing-masing.


Tiba-tiba saya tersentak dengan sebuah pertanyaan yang mengetuk pintu hati sendiri.


“Allah...”


“Apakah saat ini ada Allah di hati mereka?”


Anda ada jawapan. Saya tidak bisa menjawab. Jawapan ada pada hati kita. Tanyakanlah!


Semoga ada Allah di hati ku!


Dan...


Semoga ada Allah di hati mereka!


Ameen Ya Rabb...


Dhiya’
Kuala Terengganu
5 Syaaban 1432H

Ilaajul Qulub IQ '11 - Untukmu Mahasiswa










Tahniah Dan Syabas

Hamdalillah!


Syukur program Ilajul Qulub (IQ'11) bisa berjalan dengan lancarnya mengikut apa yang dirancangkan. Bertemakan ‘Untukmu Mahasiswa’ kami ahli jawatankuasa program serta Persatuan Mahasiswa Usuluddin (PMUS) mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan program ini.


Sekalung tahniah dan penghargaan kepada pengarah program, akh Mustaqim (Diploma Usuluddin Semester 3) yang telah berusaha dan bekerja keras demi menjayakan program IQ kali ini. Tahniah juga kepada seluruh jawatankuasa, adik-adik peserta IQ'11 dan semua yang terlibat menjayakan program ini.


Terima kasih diucapakan kepada pihak TQHM consultant kerana sudi berkongsi sesuatu untuk mahasiswa/i Dip FKI UniSZA.


Jutaan terima kasih kepada pihak universiti khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar UniSZA kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk berprogram sambil beribadah.


Bagi pihak penganjur, besar harapan kami agar IQ kali ini mampu menyuntik kesedaran ber’syariat’ dalam hidup para mahasiswa/i khususnya di fakulti FKI. Manfaatkanlah apa yang telah anda perolehi dalam program ini. Buktikan titis air mata yang kita tumpahkan malam itu adalah isyarat kepada sebuah keinsafan dan taubat.


Yuk, buktikan kepada semua kitalah mahasiswa/i Islam.


Akhirnya, mohon ampun atas kekurangan dan kelemahan sepanjang program ini berlangsung. Moga-moga kita semua diberkati dan dirahmati oleh Allah ta'ala.


Seerru ala barakatillah!


ZAID ABDUL
Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa Usuluddin
Sesi 2011/2012

Terharu...

Hati saya tenang dan damai. Cukup hanya memandang wajah redupnya sangat tersentuh. Membuat hati dibelai-belai nur Ilahi yang terpancar dibalik raut wajah itu. Sosok tubuh yang sentiasa tawadduk kerna takutkan Tuhan. Hatinya dipenuhi dengan cahaya ma’rifat.


Seperti biasa hari Isnin malam Selasa majlis Khataman Tariqah Qadiriah Naqsyabandiah. Usai majlis Khataman saya menemui al-Mukarram. Sungguh beliau tidak pernah lokek dengan senyuman. Kesibukannya melayan tetamu dan para Ikhwan yang lain tidak menghalang beliau untuk terus bertanya perkembangan muridnya yang satu ini.


“Enta tinggal di mana sekarang?” soal beliau lembut.


“Di asrama ustaz...” jawab saya ringkas.


Waktu yang seperti ini terlalu mencemburuinya, dan terkadang tidak mengundang bicara yang panjang. Tetapi itu sudah sangat memadai. Seorang guru yang terhormat sepertinya. Khalifah bagi sebuah tarikat besar, pun masih punya kesempatan untuk bertanya hal keadaan saya yang kecil ini. Bukan sekadar itu, ada ketikanya jika saya tidak hadir ke majlis-majlis beliau pasti akan ditanya dan dicari.


Sungguh saya sangat terharu.


Dan malam ini hati saya sangat tenang tenteram. Terasa belaian kasih sayang Allah menjalar pada segenap ruh, jiwa dan perasaan.


“Ya Allah, berkati dan rahmati guruku yang mulia, al-Mukarram al-‘Arifbillah al-Ustaz Dr Abdul Manam bin Mohammed...”


Ameen ya Rabb !!!


al-faaqir ila Rabbi al-Qadir


Dhiya’
Jaami’ah al-Sulthan Zein al-‘Abidin
19 Rejab 1432H


*Sudah agak lama saya mahu berbicara tentang ini. Tapi tidak diizinkan Allah. Dan ini hanya coretan kecil. Mungkin ini aja untuk saat ini. Dan yang lain, semoga nanti akan menyusul.


*Untuk sang ‘kekasih gelapku’. Terima kasih atas segalanya & membawa saya ke jalan ini. Semoga Allah mempertemukan kita dalam redha-Nya

Duta Al-Musthafa

Ya Allah, Engkaulah Sultan,
Engkaulah Raja bagi seluruh raja
Hanya Engkaulah yang nyata dimanapun dan kapanpun
Engkaulah Yang memberi kami kehidupan
Engkaulah Yang menganugerahi kami kehormatan
untuk menjadi hamba-hamba-Mu
Setinggi apapun kehidupan kami,
sebanyak apapun pengetahuan kami,
kami tetap hamba-hamba-Mu,
tidak pernah lebih dari itu
Satu-satunya yang mampu menjadi Pencipta
hanyalah Engkau, ya Allah.


Sudah berlalu sebulan sesi Latihan Industri, mengajak saya untuk bermuhasabah atas apa yang telah saya lakukan sepanjang waktu itu. Bersama-sama team TQHM Consultant Islamic Leadership Training yang diketuai oleh Ustaz Mizan Mohd Nor selaku Pengarah Urusan. Dan selama tempoh waktu yang berlalu itu saya belajar banyak perkara.


“Inilah medan dakwah kita…”


Begitu taujihat Ustaz Mizan setiap kali sebelum memulakan program kepada crew TQHM diselangi dengan doa-doa dan munajat kepada Allah.


“Inilah medan dakwah ku…” bisik saya dalam-dalam.


Dan ketika saya membaca doa itu, dada saya terasa sebak.


“Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah aku Cahaya, Penawar dan Rahmat buat umat Muhammad.”


Wahai Umat Muhammad


Saya sepertinya juga kalian, sedang berusaha mengikuti jalan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam.


Saya sama seperti kalian, juga sangat mencintai Nabi yang mulia itu, Muhammad al-Musthafa.


Sabda Rasulullah, “Tidak sempurna iman seseorang dikalangan kamu sehinggalah keinginannya seiring dengan keinginanku..”


Ayuhlah kita buktikan cinta kasih kita kepada Kekasih Yang Mulia itu. Cintailah apa yang dicintai Nabi, bencilah apa yang dibenci oleh Baginda. Jangan menyukai apa yang Baginda benci dan jangan membenci apa yang Baginda cintai.
Jangan kita terima siapapun yang melawan para pewaris perjuangan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang terdiri daripada para ulamak, auliya’, daie dan mereka yang teguh mempertahankan sunnah Rasulullah. Jika ada yang mahu melawan para kekasih Allah ini, ya silakan. Sesungguhnya para kekasih Allah tidak takut pada apapun yang menyerang mereka.


Ayuhlah wahai umat Nabi Muhammad, kita kibarkan bendera Baginda, cahaya Baginda di luar dan di dalam hati, di rumah, di jalan, di masjid dan di manapun. Janganlah duduk malas sambil mengatakan: “Malaslah nak jaga tepi kain orang, masing-masing buat hal sendirilah, jangan menyibuk hal orang lain.”


Wahai saudara, perhatikan mubaligh Kristian, yang pergi dari satu pintu ke pintu lain. Mereka bertemu kepada manusia sebagai “Duta Kasih Sayang”, tidak kira orang Islam hatta orang yang tidak punya agama. Perhatikan kumpulan Zionis Yahudi berusaha keras menghancur umat Islam dengan segenap cara. Jadi mengapa kita hanya duduk bermalas-malasan ?


Bangulah, mulakanlah dari sekarang dengan mengirimkan dan menyebarkan nasihat dan pesan agama, dari hati ke hati, dari teman ke teman lain, dari sekolah ke sekolah lain, dari mulut ke mulut, melalui jaringan internet, telefon bimbit, pesanan ringkas, risalah dan segenap saluran.


Namun jika kita tidak memilikinya, lakukanlah dengan cara yang umum digunakan. Mari kita berkeliling dan menggunakan kertas-kertas serta mengaturnya. Mari kita melakukan apa yang mampu kita lakukan, dan jangan hanya duduk diam. Kita harus membawa tanggungjawab itu.


“Siapapun yang menyebarkan ajaran Islam akan mendapatkan kemuliaan di sisi Allah subhanahu wa ta’ala.”


Semoga Allah menerima niat kita dan mengampuni kita semua.


“Ya Allah ya Tuhan kami! Jadikanlah kami cahaya, penawar dan rahmat buat umat Muhammad…”




Dhiya’
Jaami’ah al-Sulthan Zein al-‘Abidin
15 Rejab 1432H

Sebarkanlah Cinta!



Ketika berprogram bersama bekas-bekas penagih di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan Cawangan Terengganu, saya menemukan suatu pengajaran yang sangat indah. Bahawa keindahan hidup ini adalah dari wujudnya cinta!


Ya, keindahan berasal dari CINTA.


Semakin banyak kita menggunakan cinta dalam kehidupan maka hidup akan terasa semakin indah. Sebaliknya jika kita membuang cinta dari kehidupan, hidup akan tampak keras dan kasar. Terasa sangat menyeksa!


Seseorang yang tidak pernah merasakan cinta ibarat kayu yang kering. Ketika cinta datang kepada alam, alam menjadi hijau dan mendapatkan warnanya. Cinta mengalir melalui bunga, cinta juga mengalir melalui buah. Ketika cinta mencapai mereka di musim semi mereka mulai berseri. Jadi ketika mereka mengambil cinta itu, mereka lalu memberi cinta.


Yuk, kita harus memberikan cinta kepada lingkungan kita. Segala yang berada di sekeliling mengharapkan cinta dari kita. Kita harus menjadi sumber cinta, atau air mata cinta, atau bekas cinta, atau sungai cinta, atau lautan cinta atau samudera cinta.


Cintailah seluruh hamba Allah. Siapapun mereka, apapun keadaan mereka. Cintailah tanpa membezakan di antara mereka. Kerna Allah menciptakan mereka semua dalam keadaan bersih dalam fitrahnya terisi dengan cinta. Jika kita bisa menyukai keluarga kita, walaupun mereka melakukan kesalahan, kenapa tidak orang lain. Percayalah Allah menciptakan seluruh manusia dalam keadaan bersih dari segala keburukan dan kejahatan. Dalam hati mereka akan sumbu cahaya yang perlu dihidupkan. Kemuliaan pada mansuai tiada terhingga dalam pandangan Allah. Justeru kita mencintai semua orang kerana mereka adalah hamba Allah, mereka adalah ciptaan Tuhan kita.


Bersinarlah dan teruslah memberikan cinta!


Dhiya'
Jami'ah al-Sulthan Zein Al-'Abidin
10 Rejab 1432H