AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


60 Hari Di Katil Hospital


Enam puluh hari di katil hospital
Aku mengenali semua jururawat
Yang manis dan ayu
Dari seorang doktor ke seorang doktor
Yang pelatih maupun yang pakar
Yang sesekali sedih dan selebihnya seronok

Enam puluh hari di katil hospital
Aku bertarung dengan kesakitan
Yang tidak terkirakan
Yang hampir membawa keputus asaan

Enam puluh hari di katil hospital
Ibu dan ayah menumpahkan perhatian
Menjaga dan meneman
Kadang ibu menangsi kesayuan
Melihat aku bertarung dengan kesengsaraan
Ayah menitipkan pedoman
Bila aku lemas kelemahan

Enam puluh hari di katil hospital
Ku dikunjugi teman-teman
Yang ku kenal dan tidak ku kenal
Mereka tidak jemu memberi sokongan
Ada yang menangis
Ada yang tersenyum
Ada yang simpati
Ada yang memandikan
Ada yang menemani di kala malam
Ada yang menghiburkan
Aku jadi sayang dan cinta pada mereka

Enam puluh hari di katil hospital
Pernah di suatu malam aku terjaga
Bimbang dan tiba-tiba gementar
Membayangkan malaikat maut sedang di awangan
Melihat dan memilih, Cuma seorang antara pesakit
Dan kaulah aku empunya giliran!
Sedangkan amalan di dada secetek danau…

Enam puluh hari di katil hospital
Ku saksikan sebuah kematian di katil sebelah
Sama menghidap derita
Dan aku rasa semakin dekat menempuh ajal

Enam puluh hari di katil hospital
Membuka pintu taubat ku
KepadaMu Yang Maha Berkuasa
Tuhanku!
Izinkan aku hidup buat seketika
Untuk menebus dosa yang tercerna
Mengumpul hidayah penghampar jiwa
Buat bekalan di alam Baqa


*Catatan : Ditahan di wad Hospital Tun Zahirah, Kuala Terengganu selama hampir tiga minggu dan transit ke Hospital Besar Tawau, Sabah selama sebulan lebih. Sekarang masih dalam rawatan. Mohon doa teman-teman!


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
6 Zulhijjah 1431H

Sayyidul Ayyam: Hari Raya Buatku (SIRI 1)


Malam yang bening bersama titik hujan yang menyirami bumi melahirkan rasa dingin pada segenap tubuh. Terus lena bersama mimpi indah sambil dibelai-belai udara sejuk lebih menyenangkan daripada bangkit untuk bersolat malam. Seruan yang suci di tengah malam, “Adakah di sana orang yang meminta sesuatu? Adakah di sana orang yang meminta ampun? Adakah di sana orang yang bertaubat?”.

Ah! Panggilan-panggilan itu hanya mampu menggugah dan menggerakkan hati-hati yang benar-benar tebal imannya. Yang memiliki tekad beribadah sesempurna mungkin dalam segala musim dan keadaan.

Bagi seorang mukmin, malam adalah saat kehidupan yang sangat dirindukan bak malam pengantin. Di sanalah seorang mukmin menjumpai sang Kekasihnya, Allah subhanahu wa ta’ala, berkhalwat denganNya. Dan dengan cara seperti itu pulalah Rasulullah dan para sahabat menghabiskan malamnya.

Para Sahabat Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam itu di ibaratkan seperti Ruhbanun fi al-Lail wa fursanun fi an-Nahar. ‘Singa di siang hari dan menjadi abid di malam hari’. Sabda baginda, “Abdullah Bin Umar itu sangat baik orangnya, apakah lagi kalau beliau bangkit sembahyang di waktu malam.” Imam As-Syafie dikatakan tidur hanya sekitar tiga jam, Imam Mujahid seorang mufassir mutaqaddim menghabiskan waktu malamnya dengan bersolat dua rakaat sahaja kerana sujudnya yang panjang, sehingga dikatakan beliau meninggal dalam keadaan sujud. Wallahu’alam.

Saya bangkit membersihkan diri dan melakukan solat malam. Bersama sebuah pengharapan agar Dia selalu melimpakan keredhaan dan kasih sayangNya. Bermunajat dan berdoa setulus jiwa. Menagih maghfirah dan ampunanNya. Dalam sebuah hadis disebutkan, pada sepertiga malam terakhir, Allah turun ke langit bumi. Saat itulah waktu yang sangat mustajab bagi doa.

Selain tempat munajat, shalat malam adalah madrasah ruhiyah, agar seorang mukmin memiliki benteng dalam menghadapi berbagai ujian dan cobaan serta ganguan keduniawian. Disinilah jiwa dilatih untuk selalu terikat dengan Rabbnya. Malam adalah sumber kekuatan jiwa, tenaga baru bagi kalbu, saat indah untuk ibadah, serta tangga terdekat dalam taqarrub kepada Allah.

Berguru Dengan ‘Syeikh Muda’

Subuh semakin hampir, saya bersiap-siap hendak ke Surau Muhajirin menadah kitab Al-Kabaa’ir dengan ustaz Ahmad Tirmizi Taha. Seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin, beliau saya anggap guru yang mursyid dan tawadduk. Dikalangan teman-teman pensyarah beliau digelar ‘Syeikh’ kerana kealimannya dalam bidang ilmu terutamanya ilmu fekah. Selain kitab Al-Kabaa’ir, saya juga mengaji kitab Bulughul Maram, Fatwa Mufti Johor, Faridah Faraid, Fati Faridah dan kitab Riadhus Sholihin. 

Pagi ini, cuaca tampak sedikit redup. Matahari diufuk timur seakan malu menyimbah sinarnya pada sang bumi. Suasana tenang damai. Tidak kedengaran suara-suara riuh mahasiswa kampus yang acap kali menghiasi hari-hari di sini. Hari cuti memang seperti ini. Mahasiswa lebih selesa untuk duduk istirehat di dalam bilik. Atau ada yang masih lena bersama mimpi.

Dalam keadaan cuti seperti ini, saya sendiri sebenarnya terkadang malas untuk keluar. Tetapi memikirkan bahawa keberadaan saya di sini adalah amanah. Dan amanah akan dipertanggungjawabkan kelak. Memikirkan bahawa masa muda yang sedang saya jalani ini akan dipertanyakan nanti. Memikirkan bahawa tidak semua orang diberi nikmat menuntut ilmu. Memikirkan bahawa saya datang ke sini membawa segunung harapan ibu dan ayah. Memikirkan bahawa jadual adalah janji yang mesti ditepati. Jika tidak memikirkan itu semua, duduk di bilik saja lalu tidur santai menyalakan kipas tentu nyaman sekali. 

Saya lihat jadual. Jumaat. Kuliah di Masjid Rusila. Mengaji kitab Fathul Mu’in di Masjid Terapung. Pukul lima petang, menadah kitab Fathul Mu’in dan tafsir di Surau Tok Jering. Malamnya kuliah Kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor di Surau Muhajirin.

Dengan tekad yang bulat, setelah mengusir segala perasaan malas, saya bersiap untuk keluar. Saya ambil kitab-kitab dan memasukkan ke dalam beg sandang.

‘Akhi hati-hati. Allahu yubarik fik.’ Ujar Firdaus serak.

‘InshaAllah. Wa iyyaka.’ Balas saya sambil melangkah keluar perlahan-lahan.

‘Bismillahi tawakkaltu ‘ala Allah’

Setelah memanaskan enjin motor saya terus pergi. Perjalanan ke Marang memakan masa 30 minit. Jam pada telefon bimbit Sony Ericsson saya sudah menunjukkan pukul 8.13 pagi. Saya harus tiba di sana sebelum pukul sembilan.

Menadah Kitab Bersama Ulamak Haraki

Pukul 8.50 pagi saya sampai di Masjid Rusila yang terletak di sebuah kampung di jajaran pantai Laut Cina Selatanm di tengah perjalanan darat Marang-Kuala Terengganu. Rusila, dengan imej kampung nelayan yang damai mula menjadi tempat perkelahan ilmu, hari Jumaat di perkampungan itu begitu meriah dan begitu ‘festive’. Puluhan ribu berhimpun bukan sekadar menadah kitab daripada sang ‘Muallim’ tetapi juga menjadi pasar mingguan dengan seribu satu barang diperniagakan. Masjid kayu dengan latar belakang perkampungan nelayan mula bertambah besar dan menjadi kompleks pendidikan dengan tertubuhnya Maahad Darul Quran pada tahun 1986. Kini maahad ini menampung lebih seribu pelajar yang datang dari seluruh negara.

Jalan sedikit sesak dengan kenderaan. Orang-orang lalu lalang sekitar jalan, sementara menanti kuliah bermula. Jumaat merupakan hari minggu di sini. Dan biasa hari minggu diisi dengan kuliah ilmu. Jumaat adalah hari ilmu. Di rumah-rumah Allah terisi dengan majlis ilmu, di merata tempat. Hanya tinggal memilih sahaja mahu ke mana. Bagi yang cintakan ilmu, maka Jumaat menjadi hari raya. Hari raya buat pencinta ilmu. Tapi sayang tidak semua yang merebut kesempatan ini. Hanya mereka yang benar-benar mencintai ilmu sahaja yang bisa tergugah dan tergerak hatinya untuk pergi. Mereka yang benar-benar dahagakan petunjuk dan rahmat Allah pada setiap waktu dan ketika. Orang-orang yang Allah mengkehendaki untuknya kebaikan, lalu Allah memberikan kepadanya kelapangan untuk mencari ilmu dan diberi padanya kefahaman dalam hal-hal agama.

Saya terus melangkah memasuki masjid Rusila. Puluhan orang sudah memenuhi ruang masjid menanti kuliah bermula. Saya letakkan beg sandang berwarna coklat di tepi tiang dekat saya berdiri. Saya solat tahiyyatul masjid dua rakaat sambil berniat untuk iktikaf. Dalam solat terasa Allah mengusap-ngusap dengan kasih sayangNya. Dia terasa sangat dekat, lebih dekat daripada urat leher. Hati terasa tenang tenteram.

Selesai solat saya beranjak duduk ke hadapan berhampiran tempat ceramah. Beberapa ketika suara pintu dibuka. Saya memandang ke arah pintu yang hanya dua meter di hadapan.

“Assalamu’alaikum.” Hati saya berdesir keras. Dengan suara serak, suara itu sangat istimewa.

Subahanallah!

Lelaki yang berada di hadapan saya dengan jubah kuning, dia adalah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Seorang murabbi, ideolouge, pemimpin, dan ulamak haraki yang penuh karismatik. Beliau merupakan seorang tokoh besar dalam politik dan dakwah di negara ini. Namanya terukir besar pada lembaran sejarah kebangkitan Islam di Malaysia pada penghujung dekad 70an dan 80an. Beliau bahkan telah diangkat menjadi ikon peserta kebangkitan Islam di negara ini sehingga situasi itu digelar sebagai fenomena Haji Hadi, ceramah dan kuliahnya mencecah ribuan pendengar. Aktiviti pembinaan kader dakwah juga berjalan rancak pada dekad 80an dengan beliau menjadi tenaga pengisian utama.

Tuan Guru adalah tokoh muda yang muncul di awal dekad 80an dengan imej berjubah dan berserban sebagai cerminan ulamak muda yang mengakar dengan sunnah, telah menyimbah marak api kebangkitan Islam yang fenomenanya bersifat global. 

Saya selusuri wajah tuanya. Dia seakan tersenyum pada saya. Hati terasa dingin sekali. Dengan tenang dia melangkah mengambil tempat lalu memulai kuliah. Sekalian yang hadir memandang tepat ke arahnya. Perbicaraan bermula. Mata saya tertumpu pada tulisan jawi yang membicarakan tentang Asma’ Al-Husna sambil mendengar dengan saksama kalimat-kalimat yang diungkapkan beliau. Bermula dengan perbahasan aqidah dengan kitab Beriman Kepada Allah, yang dikarangnya sendiri. Kemudian disambung pula pada membicarakan hadis pada kitab Riadhus Sholihin dan tafsir Surah Al-Waaqi’ah, Tafsir Al-Munir tulisan Dr. Wahbah Al-Zuhaily menjadi rujukan saya. Tenggelam dalam lautan khazanah ilmu seorang ulamak. Hati menjadi khusyuk meniti setiap bicara yang terungkap pada belahan bibirnya. Nikmat!

Setelah selesai kuliah, saya menyalami dan menyium tangannya dengan takzim. Di dalam hati saya berdoa semoga saya memperolehi berkatnya. Senyum menghiasi wajahnya yang bersih. Janggut putihnya tertata rapi. Saya tatap wajah beliau sesaat. Hati saya tenang. 

Berbicara Bersama ‘Fathul Mu’in’

Waktu sudah hampir telat. Saya perlu segera ke masjid Sultanah Zahirah atau sinonimnya masjid Terapung. Jaraknya tidak jauh dari masjid Rusila sekitar 10 minit. 

Di luar masjid, cuaca kelam dan awan-awan di langit bertompok-tompok. Hari mahu hujan. Cepat-cepat saya ayunkan kaki menuju parking motor dan terus pergi.

Sewaktu saya tiba di Masjid Terapung, kedengaran suara Ustaz Halim berbicara. Bekas Timbalan Mufti Terengganu itu sangat-sangat saya kagumi. Saya mula mengenalinya ketika bersama-sama dalam satu forum di masjid universiti. Saya menjadi moderator forum dan beliau salah seorang ahli panelnya. Kekaguman saya semakin menjadi-jadi apabila mengikuti kuliah kitab Al-Iqna’ dengannya.

Jelas suara loghat Terengganunya dari corong masjid, membahaskan mutiara ilmu dalam kitab Fathul Mu’in. Saya suka pada penerangannya. Mudah digarap dan difahami. Kata guru saya, kitab Fathul Mu’in merupakan sebuah tulisan yang sangat istimewa dan bernilai jika ditekuni dan diteliti. Mutiara-mutiara ilmu pada membicarakan ilmu fekah sangat keterhadapan. Bahkan tidak bisa dinafikan, kebijaksanaan pengarang dalam mengolah perbahasan pada masalah fekah begitu mengasyikkan.

Sewaktu melangkah masuk mengambil tempat, saya lihat teman-teman kampus sedang khusyuk meniti kuliahnya. Ada Saiful, Azren, dan Hafez. Mereka adalah senior saya. Saiful seorang hafiz al-Quran asal Terengganu. Saya begitu menghormatinya. Mungkin kerana penampilannya yang biasa-biasa sahaja. Bahkan mulutnya tidak lekang dari alunan ayat-ayat suci al-Quran yang ada di dada. Azren digelar teman-teman waliyullah. Ntah dari mana asal nama itu digelarkan padanya. Sedang Hafez, seorang yang peramah dan suka tersenyum. Kawan-kawan memanggilnya Pak Ngah. Sangat melucukan!

Usai kuliah dan sunat Dhuha saya terus pergi. Dalam perjalanan hati saya terus basah dengan zikrullah. Mengharapkan limpah rahmat, belas dan kasihNya. Mengharapkan curahkan rezki yang maha kaya dari Allah.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
6 Zulhijjah 1431H

Sometimes...


Malam itu usai menadah kitab Hidayatus Salikin bersama Ustaz Azhar Idrus saya terus pulang ke kampus. Biasa saya pergi bertiga, tapi hari ini saya keseorang. Junior saya, Mustaqim dan Zubir tidak ikut serta kerana ada rehla ke Kelantan.

“Akh, jom ikut ke Kelantan. Katanya mahu release tension.” Ajak Zubir.

“Maaflah. Masi ada tugasan yang perlu disettlekan.” Balas saya.

Beberapa hari berlalu saya tidak fokus. Emosi saya tidak menentu. Ketika hendak memuraja’ah buku-buku saya tiada tumpuan. Semua hambar. Saya buka laptop. Sewaktu membuka blog Ad-Dhiya’ saya diziarahi seorang teman pada ShoutMix. Kemudian saya kunjungi blog peribadinya. Saya baca teliti dan saya baca tulisannya. Saya tersentuh dengan sebuah kata-kata pada halaman blog. Saya titipkan di sini,

Sometimes
Allah breaks our spirit to save our soul.
Sometimes
Allah breaks our heart to make us whole.
Sometimes
Allah allows pain so we can be stronger.
Sometimes
Allah sends us failure so we can be humble.
Sometimes
Allah allows illness so we can take better care of ourselves.
Sometimes
Allah takes everything away from us so we can learn the value of everything he gave us.
Make plans but understand that we live by Allah’s grace.
“Mungkin ini kehendak Allah atas apa yang terjadi.” Bisik saya sendiri.

Sekurang-kurangnya hati saya terubat dengan kalimat-kalimat itu.

"Syukran ya akhi, usah jemu berpena!"


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
5 Zulhijjah 1431H

Aku Bukan PEMBOHONG!


“Penipu...penipu...kau penipu!”

Hati saya terasa sakit tatkala kalimat itu ditujukan ke dalam diri. Sakit batin berat untuk diubati. Anda bisa rasai apa yang saya rasa. Cuba bayangkan anda berada ditempat saya.

“Awak pembohong!” laungan itu ditujukan kepada anda. Apa rasa anda. Mungkin sama seperti saya. Maka anda telah merasainya.

Saya pembohong? Soal saya berkali-kali pada diri. Kalimah itu tidak dilontarkan oleh siapa-siapa. Bukan musuh yang membenci jauh sekali rakan yang mendekati. Kalimat itu tiba-tiba terbit dalam hati. Hati berbisik ke dalam hati.

Setiap kalangan kita berhajat menduduki syurga Allah kelak, bahkan begitu gentar kepada nerakaNYA.

Tanyalah kepada manusia manapun, yang beragama Islam mahupun yang kafir.

Tanyalah kepada siapa pun, yang kaki masjid, para ilmuan, artis, peminum arak dan penzina, dan segala macam jenis manusia di bumi ini.

Tanyakanlah mereka ingin masuk SYURGA atau NERAKA.

Atau tanyakan saja pada diri anda sendiri. Diri kita masing-masing.
Saya, anda dan kita semua tidak mengira rupa dan asal, semua berhajat untuk ke destinasi bahagia yang abadi itu. SYURGA. Lalu apa kurangnya pada diri. Sebentar! 

Teliti kata-kata Imam Al-Ghazali.

“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”

Rupanya ramai kalangan kita menjadi penipu, menipu diri sendiri. Bukankah membohongi diri sendiri itu keji namanya. Mengaku mencintai SYURGA, walhal hidup dipenuhi dosa dan noda. Sebesar mana nilai amalan yang telah kita persembahkan kepada Al-Khaliq? Dalam ketaatan kepada Tuhan, kita cemari dengan maksiat yang berpanjangan. Maksiat lahiriah, tentunya bertimbunan. Maksiat batiniah (maksiat hati) tentu tidak terkirakan. Nau’zubillah.

Sedarlah diri!

Insaflah diri!

Kau telah jauh dari jalanya. Kembali kepadanya dengan penuh kerendahan. Bahawa kau hanyalah seorang insan bergelar hamba. Sudahlah membohongi diri, kelak binasa yang dinikmati. SYURGA bukan semudah yang diingini. Namun NERAKA senang dirasai. Sedikit tersasar dari jalanNYA, binasa tak berkesudahan.

Lalu bertanyalah pada diri.

“Barangsiapa mengaku cinta syurga tetapi tidak beramal dengan ketaatan, maka dia adalah pembohong. Barangsiapa yang mengaku takut pada neraka tetapi tidak meninggalkan maksiat, maka dia adalah pembohong.”

Aku bukan PEMBOHONG!


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
Sore, 3 Zulhijjah 1431H

Ku Mencari-Mu Tuhan


Jam menunjukkan pukul tiga setengah. Bumi dibaluti kegelapan. Bintang-bintang bertaburan menghiasi langit. Malam itu terasa sejahtera. Angin malam bertiup sayup. Perlahan. Berhembus dari utara ke selatan. Menerobos cela-cela tingkap bilik. Menebarkan kesejukan-kesejukan. Diiringi tasbih daun-daun yang dibelai angin, mereka saling merayu. Mereka mendendangkan lagu-lagu cinta. Ya, lagu cinta yang sangat indah, yang hanya boleh difahami oleh mereka berdua.

Malam itu, di bilik yang berada di sebuah flat seorang hamba sedang asyik bermunajat kepada Tuhannya. Sementara penghuni-penghuni flat sudah lama larut bermesraan dengan mimpi indahnya masing-masing.

Sedang dia masih sibuk dengan zikir-zikir. Dengan penuh syahdu ia terus-terus menitiskan air mata. Ia berusaha tabah dan sabar. Namun setabahnya, ia adalah manusia biasa yang memiliki air mata. Ia bukan robot yang tidak memiliki perasaan apa-apa. Ia mengusap air matanya. Ia berusaha meneguhkan hatinya bahawa hidup ini terus berpusing dan berputar.

“Ilahi Anta maksudy wa ridhoka mathluby.”

Entah kenapa, tiba-tiba hatinya terlalu tersentuh dengan doa tersebut. Sedangkan sudah berkali-kali dia membaca doa yang sama. Ada sesuatu yang halus daripadanya. Mungkin sebentar tadi. Buat kali pertamanya dia dapat merasakan apakah sebenarnya yang dia minta daripada Allah, Tuhan yang telah memberikan segala macama nikmat kehidupan kepadanya.

Dia menggapai mushaf dan melantukan bacaan dengan suara perlahan. Ia sama sekali tidak boleh menumpukan dalam menghayati dan mentadabburi apa yang dibacanya. Fikirannya terjatuh pada muslimah itu. Muslimah yang telah mencuri hati dan fikirannya. Yang telah menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran semangat. Dan sekarang perasaan itu sudah membuak-buak. Berbunga-bunga. Bahkan hamper tidak dapat dikuasainya.

Yang membuatkan tersentuh pada muslimah itu kerana tingkah laku dan perangainya yang halus, sopan, dan sangat menjaga diri. Seorang muslimah yang cerdas, bijak dan sangat optimistik, juga punya hati yang sangat halus dan lembut.

Itu semua telah membuat hatinya begitu kagum padanya. Ah, bukan hanya kagum, tapi ada sesuatu yang aneh mendera-dera hatinya, entah apa namanya. Rasa yang belum pernah dialaminya seumur usia. Ia merasa, di dunia ini tidak ada muslimah yang ia anggap sempurna untuk menjadi pendamping hidupnya, yang akan dia cintai sepenuh hati dalam hidup dan mati, yang dia harapkan jadi teman seperjuangan menyulam masa depan, dan meniti jalan Ilahi.

Ah! semua itu hanya sia-sia. Tidak semua yang didamba manusia pasti diraihnya.

Hatinya benar-benar didera kesedihan yang mencekik leher. Ulu hatinya bagai ditusuk-tusuk belati berulang-ulang kali. Dia tidak kuasa membendung airmatanya yang merembes perlahan. Airmata itu adalah perasaan jiwa yang keluar begitu saja kerana tiada mampu membendung berkecamuknya rasa hampa, rasa sedih, rasa kecewa, rasa tidak berdaya , rasa yang tidak bisa tertahankan.

Tiba-tiba bacaannya terhenti ketika sampai pada satu ayat,

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

“Mungkin ini yang Dia kehendaki.” Bisiknya dalam hati. Dia lalu teringat pesan ibu.

“Mencintai makhluk itu sangat berpeluang menemui kehilangan. Kebersamaan dengan makhluk juga berpeluang mengalami perpisahan. Hanya cinta kepada Allah yang tidak. Jika kau mencintai seseorang ada dua kemungkinan diterima dan ditolak. Jika ditolak pasti sakit rasanya. Namun jika kau mencintai Allah pasti diterima. Jika kau mencintai Allah, engkau tidak akan pernah merasa kehilangan. Tidak akan ada yang merebut Allah yang kau cintai itu dari hatimu. Tidak akan ada yang akan merampas Allah. Jika kau bermesraan dengan Allah, hidup bersama Allah, kau tidak akan pernah berpisah dengannya. Allah akan setia menyertaimu. Allah tidak akan berpisah darimu. Kecuali kamu sendiri yang berpisah dariNya. Cinta yang paling membahagiakan dan menyembuhkan adalah cinta kepada Allah Azza wa Jalla.”

“Cinta memang bukan segala-galanya, tapi kehilangan cinta seperti kehilangan segala-galanya.” Lirihnya. 

“Bodohnya aku, kenapa aku memasukkan muslimah itu ke dalam hati. Bodohnya aku. Tugas yang masih jelas mata menuntut tanggungjawab saja masih panjang kenapa pula tergoda dengan yang tidak jelas.” Gumamnya pada diri sendiri.

Lantas ia bertekad dan berazam untuk menutup semua pintu hatinya.

“Aku sumpahkan dalam diriku, aku tak akan menghulurkan tangan kepada seorang muslimah kecuali musimah itu yang menarik tanganku. Aku juga tidak akan membukakan hatiku untuk mencintai seseorang muslimah kecuali muslimah itu yang membukanya. Bukan suatu keangkuhan. Tapi aku sedar aku siapa. Aku selalu ingat aku ini siapa?”

“Ah, semua sudah ada yang mengatur. Iaitu Allah Subhanahu wa Ta’al. Jika saatnya bertemu nanti akan bertemu juga.” Gumamnya dalam hati.


Puas sudah
Ku cari kebahagian
Di sisi teman-teman
Ku dapat hanya kelalaian...
Ku cari lagi
Di hati seorang kekasih
Ku dapat hanya kekecewaan
Dan ku terus mencari
Dalam meniti hari
Penuh kekosongan...
Oh di mana lagi harus ku mencari
Membawa sekeping hati
Yang sarat kerinduan
Rindu yang tiada haluan
Aku keliru sendiri
Apa yang ku cari?
Apa yang ku perlukan?
Aku masih tidak bisa mengerti
Yang pasti
Kekosongan hati ini minta diisi...
Sejenak aku tersedar
Aku mencari cinta agung
Buat jiwaku yang merindukan
Hakikat kebenaran
Cahaya yang membelah kegelapan
Melimpah cemerlang mengisi kekosongan...
Ku sedar
Destinasi pencarianku di sini
Ku mencari-Mu Tuhan
Mengharap keredhaan
Menagih kebahagiaan
Dari sinar cahaya iman...

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
3 Zulhijjah 1431H

Tafakkaru Fi Khalqillah!


Usai menadah kitab bersama ustaz Tirmizi saya tidak terus pulang ke kampus. Saya membawa diri ke pantai. Begitulah saya. Mentafakkurkan diri. Damai itu akan hadir sendiri.

Matahari di ufuk Timur masih belum muncul. Suasana dinihari di pantai sangat menenangkan. Saya jatuhkan pandangan ke arah pantai. Ombaknya berbuih putih. Bergelombang naik turun. Berkejar-kejaran menampakkan keriangan yang sangat menawan. Tiupan angin mengalirkan kesejukan. Suara desaunya benar-benar terasa seumpama desau suara zikir alam yang menciptakan suasana tenteram.

Saya halakan pandangan jauh ke tengah laut Cina Selatan. Nun jauh di sana ada tiga pulau yang tampak kecil dan hitam. Saya mengamati tiga pula itu yang letakkanya tidak jauh antara satu sama lain. Saya halakan pandangan ke kiri dan kanan. Laut itu terlihat begitu luas dan pulau itu begitu kecil. Padahal pulau itu mungkin ada ratusan manusia. Saya jadi berfikir, alangkah kecilnya manusia. Dan alangkah Penyayangnya Tuhan yang menjinakkan lautan sedemikian luas supaya tenang tidak menenggelamkan pulau berisi manusia.
Walhal boleh jadi di antara manusia yang berada di pulau itu terdapat manusia-manusia yang sangat derhaka kepada Tuhan. Pun begitu, Tuhan masih sahaja menunjukkan rasa kasih sayangNya, ia boleh menitahkan ombak untuk tenggelamkan pulau itu dan bahkan meluluhkan seluruh isi bumi ini.

“Ah! Alangkah baiknya Allah.” Liri saya pada diri sendiri.

Matahari terus berjalan menampakkan wajahnya. Sinarnya yang kuning keemasan menyimbah pantai lalu ikut berlari bersama ombak yang datang silih berganti seolah menyapa dan menciumi pasir-pasir pantai yang putih nan bersih, terasa damai dan indah. Menyaksikan fenomena alam yang dahsyat itu saya bertasbih,

“Subhanallah.”

“Maha suci Allah yang telah menciptakan alam seindah ini.”

Ya, alam bertasbih dengan keindahannya. Alam bertasbih dengan keteraturanya. Alam bertasbih dengan pesonanya. Segala keindahan, keterlaluan dan pesona alam bertasbih, menjelaskan keagungan Sang Pencipta. Bertasbih, menyucikan Tuhan dari sifat kekurangan. Keindahan pagi itu menjelaskan kepada siapa saja yang menyaksikan bahawa Tuhan yang menciptakan pagi yang luar biasa indah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Sempurna IlmuNya.

Siang, malam, senja, pagi bertasbih. Matahari, udara, laut, ombak dan pasir bertasbih. Semua benda yang ada di jagatraya ini bertasbih, menyucikan asma Allah. Dengan sinarnya, matahari bertasbih di peredarannya. Dengan hembusannya, udara bertasbih di alirannya. Dengan gelombangnya, ombak bertasbih di jalannya. Semua telah tahu bagaimana cara menunjukkan tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Kuasa.

“Adakah Tuhan selain Dia?”

“Kenapa kamu mempersekutukanNya?”

“Mengapa kamu mengingkari perintahNya?”

“Beraninya kamu bermaksiat kepadaNya?”

Soal-soal itu terus-terus menembak ke dada saya.
“Ternyata matahari terbit di Timur dan tenggelam di Barat dengan sangat teratur. Matahari tidak pernah terlambat terbit. Matahari juga tidak pernah bermain-main, lari ke sana lari ke sini seperti anak-anak yang bermain bola sepak atau main sorok-sorok. Ia beredar di jalan yang ditetapkan Tuhan untuknya. Dan selalu tenggelam di ufuk Barat tepat pada waktunya.” Bisik saya.

Ya, sinarnya itu adalah tasbih memuji Tuhan.

Saya tersihir dengan keindahan dan kedamaiannya. Di atas pasir pantai yang putih bersih saya terus leka bersama keagungan Ilahi.

Kalau Tuhan kita kenali
Kasih sayang dan peranan-Nya
Kalau Tuhan kita fahami
Keagungan dan kekuasaan-Nya

Kalau Tuhan kita rasakan
Betapa Dia sangat cintakan hamba-Nya
Kita akan sanggup berjuang, sanggup mati kerana-Nya
Kita akan sanggup berkorban apa saja kerana-Nya

Kalau Tuhan dikenali

Cintailah Tuhan
Dia adalah segalanya
Korbankanlah apa sahaja kerana-Nya

Cintakan Tuhan, Cinta paling mahal
Cintakan selain Tuhan, Cinta murahan

Kalau Tuhan kita kenali
Dialah segala-galanya
Kalau Tuhan kita fahami
Dialah Pengurus seluruh keperluan kita
Kalaulah kita faham
Tuhan ini siapa sebenarnya
Kita akan sanggup menerima ujian kerana-Nya
Kita sanggup buat apa sahaja demi cinta pada-Nya
Kita akan sanggup menderita demi cinta pada-Nya
Cintakan Tuhan cinta yang abadi


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Pantai Mengambang Telipuk
29 Zulkaedah 1431H

Mahu Bersamamu Di Jannah



Waktu saya terjaga jam sudah menuju pukul 4.00 pagi. Saya mahu bangkit bersolat malam. Tapi perasaan malas datang mengacau-ngacau. Saya terlelap seketika. Saya terjaga sewaktu jam pada telefon bimbit Sony Ericsson itu menunjukkan hampir pukul 5 pagi. Saya istighfar panjang!

Wahai diri ini,

Banyak mana masa untuk tidur?

Sampai bilakah dirimu terlelap?

Saat yang dijanjikan sudah hampir sahaja.

Saat akan ditidurkan kamu hingga dipaksa bangun pada hari kiamat.

“Bantulah aku dengan memperbanyakkan sujud.” Taujih daripada Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam terngiang-ngiang ditelinga.

Para sahabat yang mendengar ungkapan Nabi sallallahu alyhi wa sallam tidak pun sedikit ragu bahkan bertambah keyakinan dan keinginan mereka untuk beribadah kepada Allah. Mereka segera dan berlumba-lumba melakukan solat sunat.

Para Sahabat merupakan insan mulia yang meletakkan kecintaan mereka kepada Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam pada tahap yang tertinggi selepas Allah subhanahu wa ta’ala.

Sedang diri ini?

“Katanya mahu bersama Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam di akhirat kelak.” Bisik saya ke dalam diri.

“Ya jika benar, yuk bangkit. Lakukan solat sunat.” Iman saya memberi taujih.

Di kalangan para Sahabat radhiallahu anhum itu menyimpan cita-cita untuk bersama baginda di akhirat kelak. Di antaranya Rabi’ah bin Malik Al-Aslami. 
Ia berkata Rasulullah sallallahu alyhi wa sallam bersabda,

“Mintalah!”

Lalu berkata Rabi’ah,

“Saya minta untuk dapat menyertai tuan di syurga.”

“Adakah yang lain?” tanya baginda.

“Itu saja.” Jawab Rabi’ah.

Kemudian Nabi sallallahu alyhi wa sallam bersabda,

“Tolonglah aku dengan jalan kamu melakukan sujud yang banyak.”

Memperbanyakkan Sujud

Hadis yang tersebut di atas adalah hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Hadis ini juga dinyatakan di dalam kitab Bulughul Maram, oleh Ibn Hajar Al-Asqalani.

Dalam hadis ini baginda menganjurkan supaya memperbanyakkan sujud. Memperbanyakkan sujud itu dengan erti melazimi melakukan solat sunat.

“Ya Rasulullah, saya ingin bersamamu di akhirat kelak.” bisik saya dalam hati.



Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
28 Zulkaedah 1431H