AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Sayyidul Ayyam: Hari Raya Buatku (SIRI 2)


Ini malam Jumaat. Besok pagi saya harus pergi menadah kitab. Selepas subuh di Surau Muhajirin. Pukul lapan pagi harus bertolak ke Marang, kemudian ke Masjid Terapung. Petang nanti setelah Asar di Surau Tok Jering dan malamnya di Surau Muhajirin. Planningnya harus di susun dengan baik. Sabtu nanti masih ada imtihan madah Mantiq Klasik. Usai kuliah pagi nanti saya harus muraja’ah.

Setelah mengemas buku-buku, tiba-tiba kepala saya terasa nyut-nyut. Terasa berat dan sakit. Ubun-ubun kepala terasa kering tanpa ada darah. Seperti ditusuk bilahan pedang. Sakit. Argh! Saya cuba menahan. Sambil jari memicit-micit kepala. Saya rebahkan tubuh pada katil bujang sampai saya terlelap. Dalam tidur saya mimpikannya. Saya mendengar suaranya menangis terisak-isak. Saya turut ikut sedih, air mata membasahi pipi. Pukul dua saya terbangun. Hairan dengan mimpi sendiri. 

Sebelum tidur saya sudah baca selawat dan doa. Saya tidak tahu mimpi itu tafsirnya apa. Kenapa ia menangis. Apakah hanya kebetulan, atau jangan-jangan ianya betul. Sangat jarang sekali saya bermimpi bertemu perempuan. Saya masih boleh menghitung berapa kali saya bermimpi bertemu perempuan. Semuanya bertemu perempuan yang satu, ibu, ibu dan ibu. Kenapa dia menangis. Apakah dia sebenarnya terasa hati terhadap saya. Hati di sapa resah. Saya istighfar berkali-kali memohon ampun kepada Allah jika apa yang saya alami ini suatu dosa dan kesalahan. Jangan-jangan saya telah menyakiti hatinya.

“Ku tahu bahwa dirimu merindukan kasih suci yang sejati, ku yakin bahawa dirimu mendambakan kasih putih yang hakiki, tetapi ku sedari bahawa semua itu adalah salah dan juga keliru, akan membuat hati menjadi ternodai. Maafkanlah segala khilaf yang telah kita lewati yang membawamu ke jalan yang melupakan Tuhan.”

Kalimat-kalimat itu berdesir pada indera dengar. Semoga suatu saat nanti pengorbanan ini akan membawa saya ke kaki langit cinta yang tiada tara indahnya. Kaki langit cinta orang-orang yang bercinta kerana Allah subhanahu wa Ta’ala.

Tiba-tiba saya teringat usikan adik saya, “Congratulation bang. She is the star, she is the true choice, she will be a good wife!.”
 
Ah, apakah mungkin! Apakah nanti ini jalannya. Saya cuba menepis jauh-jauh fikiran yang hendak masuk. Memiliki isteri solehah adalah dambaan. Tapi. Ah, saya ini pungguk dan dia adalah bulan. Saya ini seorang yang tiada harga, dan dia adalah bidadari tanpa noda.

Saya bangkit. Kepala terasa lebih ringan. Saya mahu solat malam. Malam terasa sunyi. Saya teringat ibu dan ayah di kampung sana, di tanah tumpah darah. Terbayang mata bening ibu.

Linangan air mata mu

Mengoyak hatiku

Ibu…

Maafkan anak mu ini

Ibu kepada siapakah harus ku mengadu

Bermanja

Tatkala manik-manik halus mengalir

Sehat sejahterlah ibu

Dalam sujud saya menangis kepada Tuhan, memohonkan rahmat kesejahteraan tiada penghabisan untuk ibu, ibu, ibu dan ayah tercinta.
Selesai berwitir saya melihat jadual. Ada kuliah di Surau Muhajirin selepas subuh. Pukul sembilan di masjid Rusila dan masjid Terapung. Kemudian nanti petang di Surau Tok Jiring dan malamnya kuliah kitab Buluhgul Maram dan Fatwa Mufti Johor. Kalau tidak ada kuliah sebenarnya saya ingin istirehat saja muraja’ah madah untuk imtihan. Tapi jadual itukan janji. Dan janji harus ditepati. Meskipun harus merangkak akan saya jalani.

Saya sampai di flat pukul 12.15 minit pagi. Tubuh terasa lelah. Mungkin kerana berjaga semalaman. Selesai mengantikan pakaian saya rebahkan diri di atas katil. Oh, alangkah nikmatnya. Ini saatnya qailullah. Agar nanti malamnya mudah untuk bangun qiamullail. Sambil mendengar Syeikh Abu Bakar Al-Syathiri membaca al-Quran dengan suara lembut dan indah penuh penghayatan. Dalam keadaan letih selalu saja suara Syeikh Abu Bakar Al-Syathiri menjadi muzik pengantar tidur yang paling nikmat. Terkadang saya menitiskan air mata, kala mendengar Syeikh Syathiri tersengguk menangis dalam bacaannya. Suaranya yang indah terus mengelus-elus urat saraf. 
Terik matahari menyengat ketika saya keluar ke masjid universiti untuk solat Jumaat. Sewaktu melangkah memasuki masjid kelihatan ruang masjid masih lengang dengan orang-orang. Saya solat tahiyyatul masjid dua rakaat sambil berniat untuk iktikaf.

Sepanjang khutbah berlangsung, hati saya basah. Saya menitiskan air mata. Ah, jarang sekali saya sebak seperti ini kala mendengar khutbah di sampaikan. Seingat saya hanya pernah sekali saya menangis ketika mendengar khutbah Cikgu Nasir sewaktu zaman sekolah dahulu. Dan saat ini hati saya sayu.

“Rasullah shallallahu ‘alahi wa sallam, telah pergi meninggalkan kita. Tetapi baginda menitipkan dua khazanah berharga untuk umatnya iaitulah Al-Quran dan Al-Sunnah...” suara tegas khatib menyampaikan khutbah.

Rasulullah!

Oh, mendengar nama itu disebut-sebut saya tergetar. Nama itu sangat indah seindah jasadnya. Nama itu sangat mulia semulia akhlaknya. Nama itu sangat mententeramkan hati. Nama itu menumbuhkan rasa cinta dan rindu yang memuncak-muncak. Menusuk-nusuk ke dalam kalbu hingga menumpakan air mata. Hati terus ‘basah’ dengan tangisan.

Ya Allah suburkanlah daripada apa yang telah dibina oleh Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam yang berkenaan dengan adab-adab makan dan minumnya, duduk dan berjalannya, penggunaan pakaian dan rumahnya, kelakuannya semasa gembira dan dukacita, di dalam kemiskinan dan kekayaan, tunjuk ajar dan panduannya. Warnakanlah diri ini dengan warnanya dan perkuatkanlah keimanan dalam hati ini pada menuntuni sunnahnya. 

Usai bersolat Asar di masjid universiti saya berangkat bersama Saiful ke Surau Tok Jiring menadah kitab Fathul Mu’in pada ustaz Ghani. Kitab Fathul Mu'in Bisyarhi Qurratul 'Ayn bi Muhimmatid Din Karangan Ulama Syafi’iiyah Al-Allamah asy-Syeikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibariy, murid Allamah asy-Syaikh Imam Ibnu Hajar al-Haitamiy asy-Syafi. Kitab klasik yang terkenal, teras pengajian fekah di pondok-pondok. Ianya bahkan diangkat menjadi salah satu kitab rujukan dalam hal bidang ilmu fekah. Kitab ini sangat terkenal di nusantara.

Teringat kata-kata seorang teman dari Indonesia,

‘Fathul Mu’in punya daya tarik dan magisnya tersendiri. Segala macam problematika fiqhiyah tercakup dalam kitab ini. Berbahagialah yang sudah mendapat ijazah dan sanad Fathul Mu’in sampai Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.’ 

Pukul enam petang saya pulang ke flat. Sementara menanti maghrib, masa yang ada saya isi untuk meneliti semula apa yang dibincangkan tadi. Saya selak halaman pada kitab Fathul Mu’in dan berhenti pada halaman 16 pada membahaskan tentang lafaz niat solat,

‘..Takbiratul ihram harus dilakukan bersamaan dengan niat (solat), kerana takbir adalah rukun solat yang awal, maka wajib bersamaan dengan niat..’

‘Disunnahkan mengucapkan niat sebelum takbiratul ihram, agar lisan dapat membantu hati (kekhusukan hati), dan kerana mengindari perselisihan dengan ulama yang mewajibkannya.’

Saya terus leka meneliti mutiara-mutiara ilmu yang dibicarakan oleh Syeikh al-Malibariy itu sementara menanti datangnya maghrib. Kerana malam nanti kuliah kitab Bulughul Maram dan Fatwa Mufti Johor bersama ustaz Tirmizi.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
21 Zulhijjah 1431H

Dhuha, Usah Tinggalkan Aku


Malam kian menjengah larut. Mengajak sekalian manusia untuk istirehat setelah seharian bekerja di waktu siangnya. Lalu malam menjadi sunyi dari suara-suara manusia yang sedang lena bersama mimpinya. Sedang saya masih belum bisa terlelap. Menjenguk jadual waktu imtihan, masih berbaki lima madah lagi. Sekali-sekala mata saya menatap buku-buku yang tersusun di atas meja. Nota-nota untuk imtihan masih berselerak belum terkemaskan. Esok waktu cuti.

Saya gapai sekeping kertas kecil berwarna putih tersusun rapi dalam bekas di atas meja. Saya mahu mencatatkan planning esok hari. Mencatatkan perancangan hidup pada setiap ketika sudah mendarah daging. Membuat strategi hidup itu sangat penting agar nanti waktunya tidak terlepas begitu sahaja. Agar nanti setiap pekerjaannya bisa terlaksana dengan saksama. Selesai menata planning saya bangkit solat Witir. Ketika sujud terakhir, saya jadi teringat bahawa hari ini saya tidak bersolat Dhuha. Hati menjadi sebak. Saya menangis pada sujud terakhir. Berkali-kali saya mencela diri kerana kelalaian.

“Ya Allah, ampunkan aku kerana lalai mengingatiMu. Padahal Engkau telah memberikan aku sekalian banyak nikmat. Tapi aku melupaiMu. Maafkan aku ya Allah.”

Dhuha!

Ah, jika manusia mengetahui rahsia keistimewaanmu. Pastilah manusia akan berlumba-lumba mendapatkanmu. Pasti mereka akan berusaha meluangkan waktu bertemu denganmu. Mereka tidak akan pernah memungkiri. Dhuha, kalaulah manusia tahu keagunganmu, kemulianmu, keindahanmu tentu mereka akan bersungguh menjejakmu meski terpaksa merangka datang kepadamu.

Saya jadi teringat kata-kata Syeikh Waliyyullah pada menyatakan tentang rahsia pensyariatan solat Dhuha. Kata beliau,

“Rahsianya ialah bahwa hikmah ketuhanan mengkehendaki bahwa tidak sunyi setiap satu perempat siang hari daripada solat yang dapat mengingatkannya apa yang dia lalai dari mengingati Allah. Begitu juga awal waktu Dhuha adalah waktu rezeki dicari dan waktu mencari sara hidup, maka oleh itu disyariatkan pada masa itu solat Dhuha supaya ianya menjadi penawar kepada racun kelupaan.”

Rasulullah shallallahu ‘alahi wa sallam bersabda,

“Barangsiapa memelihara dua rakaat Dhuha, nescaya diampuni semua dosanya, sekalipun sebanyak buih di lautan.”

“Daripada Anas katanya, baginda shallallahu ‘alahi wa sallam bersabda barangsiapa mengerjakan solat Dhuha sebanyak dua belas rakaat, nescaya Allah subhanahu wa ta’ala membina untuknya satu istana di dalam syurga.”

Betapa besarnya kurnia Allah. Betapa luas rahmatNya ke atas hamba-hambaNya. Sungguh bertuahlah siapa yang kembali kepada Allah dan menyediakan dirinya untuk beribadah dan melakukan ketaatan kepadaNya pada waktu-waktu tersebut, nescaya ia akan memperolehi kedudukan yang tinggi di sisi Allah subhanahu wa ta’ala

“Ya Allah sesungguhnya waktu Dhuha ini adalah waktu DhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahannya adalah keindahanMu, kekuatannya adalah kekuatanMu, kekuasaannya adalah kekuasaanMu dan perlindungannya adalah perlindunganMu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu DhuhaMu, KeagunganMu, KeindahanMu, KekuatanMu dan KekuasaanMu, limpahkanlah kepadaku sebagaimana yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

“Dhuha! usah tinggalkan aku, dakaplah aku erat.”


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
26 Zulhijjah 1431H

Warkah Buat Pengantin


Assalamu’alaikum wa rahmatullah wa barakatuh.

Teladan orang-orang yang bercinta adalah Baginda Nabi. Cinta sejati adalah cintanya sepasang pengantin yang telah diredhai Tuhan dan didoakan seratus ribu malaikat penghuni langit. Tidak ada perpaduan kasih lebih indah dari pernikahan.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak ada bersamanya, Dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya...” (An-Nisa’: 34)

Wahai yang bergelar suami,

Taatlah kepada Allah dan Rasul dan patuhlah kepada perintahNya. Peliharalah diri dan maruahmu walaupun di tempat-tempat yang sunyi dari pandangan orang lain, samaada ketika dihadapan isterimu atau dibelakangnya. Dan sentiasalah mengingati Allah serta takut kepadaNya dengan sebenar-benarnya.

Suami itu pembimbing kepada isterinya. Ajari dia hal-hal agama. Pesankan padanya agar turut sama takutkan Allah. Rasulullah bersabda, “Orang yang paling baik antara kalian adalah yang paling berbuat baik kepada isterinya.”

Ku mohon, muliakanlah isterimu. Bawalah dia hidup di jalan yang diredhai Allah. Berusahalah agar kau bisa menciptakan kegembiraan di dalam hatinya dengan cara apa pun.

Untuk kakakku yang tercinta,

Wahai Kakakku!
Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan dan akan berada di tempat tidur yang tidak engkau kenal,
dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya.
Itulah suamimu,
Jadilah engkau sebagai tanah untuknya dan ia akan menjadi sebagai langitmu.
Jadilah engkau sebagai lantai untuknya dan ia dapat kau jadikan tiangmu.
Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam (pembantu) kepadanya, nescaya dia pula akan menjadi khadam (pembantu) kepadamu.
Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya, dengan cara yang demikian akan menjadi ia merasa benci padamu.
Jangan pula engkau menjauhkan diri nescaya ia akan melupakan engkau.
Dan kalau ia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu, maka yang eloknya jauhkanlah dirimu dari padanya semasa marah.
Peliharalah hidung, telinga dan matanya.
Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripada mu melainkan yang harum,
Janganlah membiarkan dia mendengar sesuatu daripadamu melainkan yang baik,
Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripada mu melainkan yang cantik, belaka.

Wahai Pengantin!

“Kalian adalah satu jiwa. Kau adalah dia. Dia adalah kau. Kalian akan mengharungi kehidupan ini bersama. Dukamu dukanya. Dukanya dukamu. Sukamu sukanya. Sukanya sukamu. Cita-citamu cita-citanya. Cita-citanya cita-citamu. Senangmu senangnya. Senangnya senangmu. Bencimu bencinya. Bencinya bencimu. Kurangmu kurangnya. Kurangnya kurangmu. Kelebihanmu kelebihannya. Kelebihannya kelebihanmu. Milikmu miliknya. Miliknya milikmu. Hidupmu hidupnya. Hidupnya hidupmu.”

“Barakallahu laka wa baraka alaika wa jama’a bainakuma fi khair!”

“Semoga berkah Allah tetap untukmu, dan semoga berkah Allah tetap ke atasmu dan semoga Allah mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan”.

“Selamat Pengantin Baru.”

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
14 Zulhijjah 1431H

Tangisku Bukan Tidak Redha



Di tengah malam yang bening. Sang hamba bangkit menghadap Tuhannya. Tuhan yang telah memberinya segala macam nikmat yang tidak mampu terhitungkan. Tuhan yang tidak akan pernah jemu memberi. Tuhan yang mempunyai sifat belas dan kasih terhadap hambaNya. Dengan apa jua keadaan pun, Dia pasti memberinya. Dengan cara apapun. Terkadang diberinya kita nikmat. Diberinya kita kemudahan pada setiap kerja dan urusan. DiberiNya harta yang melimpah. Diberinya ilmu pengetahuan. Diberinya kesihatan. Diberi juga ujian kesakitan. Ujian kesakitan?

Ah! Ujian kesakitan itu kan tanda kasihNya Allah.

Bukankah jika Allah mencintai hambaNya itu maka akan diujiNya. Sedang saya. Apakah saya bisa merasakan itu semua? Ujian yang bertimpa-timpa. Kasihkah Allah? Cintakah Allah? Saya masih tidak bisa mengunkapkannya secara tuntas.
Saya yang masih bertarung dengan kesakitan yang tidak tertahankan, merayu dan menyeruMu wahai Tuhan!

“Sakit ya Allah. Sakit! Ampunkan hamba ya Allah.” Hanya kalimah-kalimah itu yang bisa terbit. Suara, seruan seorang hamba yang diujiNya dengan kesihatan. Cintakah Allah?

Saya hampir tidak bisa menanggungnya. Saya bersujud dan menangis terisak-isak di atas sejadah cinta. Saya lepaskan segala pengaduan derita pada Dia yang tidak pernah meninggalkan saya walaupun sesaat cuma. Dia, Tuhan yang tidak pernah berada jauh daripada hambaNya.

“Ya Allah! aku hanya hambaMu yang kerdil lagi hina. Aku tidak bisa berbuat apapun kecuali mengharap hanya kepadaMu. Jika aku menangis, bukan kerana aku tidak redha dengan takdir dan ketentuanMu, bukan kerana aku terluka dengan ujianMu, bukan juga kerana aku berkecil hati denganMu. Sedang aku hanya seorang hambaMu yang lemah. Yang tidak punya apapun selain tangisan dan air mata, yang menemani setiap duka dan sakitku. Ku persembahkan air mata ini kerana cintaku kepadaMu ya Allah!"

"Ya Allah! Tangis ini adalah pengubat dukaku. Air mata ini adalah teman yang paling memahami akan diriku. Aku hanyalah seorang hamba yang lelah dalam perjalananku ini. Aku sangat penat ya Allah, penat memujuk hatiku. Penat untuk menangisi segalanya daripadaMu. Ampunkanlah aku ya Allah jika aku tidak beradab denganMu. Jika aku ini hambaMu yang tidak tahu berbudi dan tidak pandai bersyukur padaMu."

"Ya Allah, jadikanlah kesusahan dan ujian ini sebagai tarbiyah untuk aku lebih akrab denganMu, lebih mengharap padaMu dan lebih memerlukanMu pada segenap waktu dan ketika. Janganlah derita dan kesakitan ini membuatkan aku jauh daripadaMu."

"Aku redha ya Allah dengan tadirMu ini. Aku terima dugaan ini dengan sepenuh jiwa dan ragaku! Aku tidak pernah bersangka buruk padaMu, apatah lagi merungut-rungut akan jalan yang Kau bentangkan untukku. Jika di dunia ini terlalu banyak tangisan untukku, andai di dunia ini begitu banyak derita buatku, andai di dunia ini tiada bahagian untukku, Kau gantilah segalanya itu dengan keindahan syurgaMu di sana."

"Ya Allah..Aku tahu, Engkau tak pernah lupa padaku, maka jangan jadikan aku lupa padaMU."
"Ya Allah, aku ingin selalu bersamaMu. Selalu mengingatiMu. Aku rindu bertemu denganMu. Hamba redha ya Allah."

Sungguh terasa Dia begitu dekat, sangat dekat daripada urat leher dan jantung. Lebih dekat daripada nadi. Hati terasa damai, tenang dan tenteram, diusap dan dibelai oleh cintanya Ar-Rahman.

“Aku menangis. Dan aku mahu terus menangis!”


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

"Eid Mubarak. Taqabbalallah minna wa minkum!"

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
12 Zulhijjah 1431H

Kenangan Eid Adha 1431H

Di halaman rumah Tuan Guru


Ayah Cik


Tuan Guru Menyembelih Lembu


Allahu Akbar Wa lillahil Hamd



Tengok je ke?


 
Salam buat ibu dan ayah di rumah..


 Eid Mubarak. Senyum...senyum...


Lembut tengoklah sini!


 
Giliran aku bila?


Ikat molek


Lapar ni. cepat-cepat!


Wah!

Aku Mahu Menjadi Khadijah

“Abang jemput minum.” Sapa Zahra’. Dia datang bersama segelas teh susu lalu menghulurkannya kepada saya. Saya rasa sedikit.

“Kenapa tehnya rasanya masin seperti dibubuh garam ya?” kata saya pada Zahra’.

“Be...benarkah?” Zahra’ sedikit terkejut.

“Iya, cuba sayang rasakan!” Zahra’ mengambil gelas dari tangan saya dan merasakannya.

“Ah, manis. Tidak masin,” Katanya.

Saya ambil gelas itu semula dan merasakannya.

“Sayang, masin begini kamu katakan manis. Mungkin bukan gula yang kamu masukkan tapi garam. Cuba Zahra’ rasakan lagi!” Isteri saya kembali merasai. Dia memandang saya dengan sedikit hairan.

“Ini manis abang, tidak masin!”

“Zahra’ sayang ini masin! Cubalah julurkan lidahmu dan masukkan ke dalam minuman ini. Pasti kamu akan merasakan masinnya. Lidahmu mungkin kurang peka.”

Zahra’ menuruti kata-kata saya. Dia menjulurkan lidahnya ke dalam gelas. Sesaat lidahnya seperti mengaduk-aduk teh di dalam gelas itu.

“Tidak abang, tidak masin! Lidah abang yang mati rasa, bukan lidahku.” Suaranya terdengar lebih tegas.

“Benarkah? Cuba!”

“Nih.”

Saya lalu meminumnya tiga teguk.

“Hmm..setelah lidah Zahra’ menyentuhnya dan mengaduk-aduknya, minuman ini jadi manis sekali. Belum pernah abang meminum minuman semanis ini. Memang benar sabda Nabi jika seorang bidadari di syurga meludah ke samudera maka airnya akan jadi tawar rasanya. Dan lidahmu mampu merubah teh yang masin ini menjadi manis, Bidadariku.”

“Ah, abang ne, saja je kenakan aku.” Seru Zahra’ sambil mencubit paha saya manja. Dia tersenyum. Saya tatapi wajah ayunya. Manis, tahi lalat pada bawah bibir kanannya buat dia lebih manis.

Zahra’ lalu menyandarkan kepalanya ke dada saya. Saya bebas membelai-belai rambutnya. Sesekali mengucup kepalanya. Bau rambutnya yang hitam sangat wangi. Saya belum pernah mencium bau seperti rambut Zahra’.

Malam terus menjengah larut. Suara cengkerik mendayu hiba memecah kesunyiaan. Sambil memerhati keindahan malam dengan kerdipan bintang-bintang. Betapa indahnya panorama di waktu malam. Memberi seribu ketenangan dan mengimbau nostalgia indah. Memperingati segala kehidupan yang dahulu, kini dan mendatang.

“Abang?”

“Ye sayang.” balas saya sambil jari-jari kecil membelai-belai lembut rambutnya.

“Mahu dengar ceritanya?”

“Iya, bisa aja.” Balas saya. Zahra’ terdiam seketika. Tangan saya terus bergerak-gerak bermain-main dengan rambutnya sambil menanti berbicaranya.

“Waktu aku kecil, ibu sering kali bisik-bisikkan ke telingaku kisah agung Khadijah Khuwailid. Lalu aku membesar dengan kisah itu. Aku jadi kagum, mencari-cari sejarahnya, meraih semangatnya. Lalu, aku jatuh hati pada pekertinya,” Isteri saya memula bicara.

“Sesungguhnya Ummul Mukminin adalah sebaik-baik wanita. Beliau telah mewakafkan seluruh harta, tenaga dan dirinya ke jalan Allah.”

“Sewaktu mula-mula menikahi Rasulullah, Khadijah pernah berkata, ‘Wahai Muhammad, segala yang menjadi kepunyaanku(diri dan harta benda) ini terpulanglah seluruhnya kepadamu untuk diapakan.”

“Oh, sungguh Khadijah adalah wanita mulia. Meskipun beliau seorang bangsawan, digelar Puteri Quraisy. Dirinya lebih kaya dan berpendidikan tinggi daripada suaminya tapi beliau tidak pernah memegah diri. Bahkan Khadijah sentiasa memuliakan baginda Nabi shallallahu alayhi wa sallam. Bukan setakat itu, seluruh harta kekayaannya diserahkan kepada perjuangan suaminya. Seusia hidupnya telah dia wakafkan demi perjuangan. ”

Saya menganggukkan kepala sambil memerhatikan dengan saksama gerak bibirnya, apa yang diungkapkannya. Saya menatap wajah isteri sembari mendengar bicaranya.

"Ummul Mukminin." Khadijah. mendengar nama itu sungguh menyentuh jiwa. Tidakkah hati tersentuh, kala nama itu disebutkan.

Khadijah! wanita pertama yang beriman kepada Baginda Nabi shallallahu alayhi wa sallam disaat orang lain memungkarinya. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolongnya dengan jiwa, harta dan keluarga. Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.

Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada risalahnya, dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga. Bukankah semasa ketiadaannya baginda Nabi shallallahu alayhi wa sallam sering sahaja menyebut-nyebut namanya dan memuji-mujinya. Betapa mulia wanita ini di sisi Rasulullah shallallahu alayhi wa sallam.

Sesungguhnya Khadijah adalah nikmat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah shallallahu alayhi wa sallam, beliau bersama-sama Rasulullah untuk selama suku abad, mencucuri Baginda dengan belai kasih sayang. Kala Baginda butuh pertolongan, di saat-saat genting dan meruncing, di waktu-waktu kegawatan beliau ada di sisi menyokong dan membantu Baginda, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah ke medan jihad suci, berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya.

Pernah Rasulullah shallallahu alayhi wa sallam menyebut-nyebut kelebihan Khadijah dengan sabdanya;

“Beliau beriman denganku ketika manusia kufur dengan ku, membenarkan daku ketika manusia mendustai daku, berkongsikan daku harta-hartanya ketika manusia lain enggan memberi daku, dan Allah mengurniakan darinya anak-anak dan tidak mengurniakan anak dari yang lain.”
(HR. Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118)

“Malah ketika sedang nazak Khadijah masih sempat lagi menitipkan pesan, ‘Wahai rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini”.

“Aku sangat ingin mencontohi Khadijah supaya aku dikasihi suami sebagaimana nabi shallallahu alayhi wa sallam mengasihinya.”

Saya pandang terus wajahnya. Ada manik jernih membasahi kelopak matanya. Saya seka air mata itu. Saya genggam erat tangannya. Zahra’ malah mencium tangan saya sambil menangis terisak-isak. Saya lalu mengucup ubun-ubunnya.

“Abang,"

“Aku mahu menjadi Khadijah, membawa panji dakwah dan jihad bersama abang, berjihad dan bekerja keras. Berkorban harta, jiwa dan raga. Yang tetap berdiri di belakang suami hingga nafas terakhir. Sungguh aku wakafkan harta, jiwa dan ragaku demi perjuangan ini.” Zahra’. Serius! Air wajahnya mengapung makna-makna kesungguhan, penuh perasaan. Bicara tersimpan penuh makna. Menembus ruh jihad dalam diri. Pipinya dibasahi air mata yang mengalir perlahan. Air matanya terus jatuh. Saya seka air yang bergenangan. Saya tatap wajahnya dan membalas dengan anggukan.

“Aku mencintai abang kerana Allah.” Ungkap Zahra’ dengan penuh kesungguhan.

“Abang juga mencintaimu, bidadariku,” jawab saya sambil perlahan mengucup keningnya penuh cinta. Lantas dia rebahkan tubuhnya ke arah saya. Saya peluk dia erat-erat. Jiwa, perasaan dan roh kami menjadi satu dalam rasa cinta yang tulus. Cinta kerana Allah. Cinta demi sebuah perjuangan panjang menjunjung agamaNya.
“Allahumma anta as-salam waminka as-salam wa ilaika ya’uudu as-salam fahayyina rabbana bi as-salam wa adkhilna al-jannata daar as-salam Tabaa rakta rabbana wa ta’alaita ya dzal jalali wa al-ikraam.”

“Ya Allah, Engkaulah kesejahteraan, dariMu lah asal kesejahteraan dan kepadaMu pula kembali kesejahteraan, maka hidupkanlah aku dengan kesejahteraan dan masukkanlah aku ke dalam syurga kampung kesejahteraan. Maha Mulia Engkau ya Allah yang memiliki kemegahan dan kemuliaan.”

*Catatan: Salam sejahtera ke atasmu wahai Rasulullah. Salam juga buatmu wahai Khadijah, Ummul Mukminin. Sesungguhnya aku sangat merindui kalian, izinkan aku bertemu dan bersama kalian di sana.


Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

"Eid Mubarak. Taqabbalallah minna wa minkum!"

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
9 Zulhijjah 1431H

Jodoh Dari Tuhan


“Abang nak dengar cerita tak?” ujar Zahra kepada saya. Waktu itu saya tengah menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.

Sengaja saya meneruskan bacaan. Seperti tidak mendengar apa-apa.

“Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm…tak pelah.” Dia mencebik muka.
Itulah yang saya tunggu. Saya tutup kitab fiqh dan saya letakkan di atas meja kecil. Saya melangkah mendekati isteri yang sedang duduk bersimpu di atas lantai beralaskan karpet. Saya duduk betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan saya hulurkan kedua tangan, saya pegang pipinya. Saya dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian…tangan nakal saya mencubit lembut hidungnya.

“haa! haa..!” Saya pantas bangkit dan melarikan diri.

“Abang!”

Zahra cukup geram dengan perbuatan saya tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar saya dibelakang. Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Kami seakan anak kecil yang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti kebudak-budakan. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, saya tidak betah untuk terus berlari. Sengaja saya beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuh saya, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali. Saya hampir tidak tahan.

“Sayang! Abang cubit sekali je tadi.” Saya cuba membela diri.

“Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya.” Zahra sehabis mungkin mengenakan saya. Habis tubuh saya dijamah dengan cubitan kecilnya. Dia mengilai riang. Saya tidak bisa berbuat apa, membiarkan dia menang dalam gurauan. Saya perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Seperti keanak-anakan. Saya gembira.

Lalu dengan pantas saya tangkap serangan terakhirnya. Saya pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Saya pandang tepat ke wajahnya. Atas titik air tampak dikelopak matanya. Saya sekat air mata bahagia itu. Perlahan-lahan saya kucup ubun-ubunnya. Kemudian saya rangkul tubuhnya. Saya peluk dia erat-erat. Saya merasa degupan jantungnya. Rasa kami menyatu. Bahagia!

“Abang ni, sampai hati kenakan saya.” Bulat matanya, terpancar dengan rona-rona keceriaan.

“Sekali-sekala bergurau dengan Zahra, seronok juga kan.” Seloroh saya.

Saya ajak Zahra duduk dikerusi berhampiran tingkap, kami benar-benar menghadap pantai. Saya betulkan posisi duduk dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra menyandarkan kepalanya ke dada saya. Saya tarik tubuhnya dan rebahkan ke dada saya. Saya bebas membelai rambutnya dan memeluknya. Hati terasa sejuk dan tenang. Alangkah indahnya nikmat Tuhan. Bermesraan dengan wanita yang halal, ia adalah dikira ibadah. Inilah hikmah perkahwinan, Allah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala. Sambil memerhatikan keindahan langit Zahra memulakan cerita.

“Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Saya begitu kagum dengan seorang pemuda. Saya rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dia pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh saya kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh. Persis akhlak Baginda Nabi SAW.”

“Saya tidak pernah menyangka saya jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh saya tidak pernah menyangka perasaan itu dan saya berkali-kali menafikannya. Namun saya tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Saya tewas dengan perasaan sendiri.”

Wajah saya seakan berubah. Saya benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat saya sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Yang sekarang ini menjadi permaisuri di hati. Saya biarkan Zahra dengan bicara dan saya dengar dengan saksama.

“Namun saya masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Saya tidak tertewas dengan bujukan syaitan yang berkali-kali mengajak saya menerobos ke ruang maksiat. Saya masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk saya menanggalkan pakaian mulia itu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah saya bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari saya. Saya tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana saya telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Saya pendamkan rasa cinta saya pada pemuda itu, kerana saya berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya.”

“Saya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Melazimi solat malam yang kian sebati dalam jiwa. Bulat-bulat saya berserah pada Allah perihal jodoh. Saya yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:
“(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.”
(Surah An-Nuur:26)

“Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Doa saya tidak henti-henti moga saya dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki.”
Tanpa saya sedari Zahra mencuri pandang saya. Dia seperti menangkap perasaan di hati tatkala membaca raut wajah saya.

“Abang cemburu?”

“Love is never without jealousy” katanya lagi.

“Alangkah bertuahnya pemuda itu. Mesti dia seorang pemuda yang hebat, masakan tidak, seorang wanita mulia yang taat beragama seperti Zahra bisa tersentuh hatinya. Siapa pemuda tu sayang?”

“Abang sungguh-sungguh nak tahu siapa pemuda itu?” ujarnya, membuatkan saya sedikit geram dalam penantian.

Dia kemudian membalikkan tubuhnya menghadap saya. Dia pegang tangan saya dan dia cium penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.

“Abang nak tahu pemuda itu adalah orang yang ada dihadapan saya sekarang. Zaid! Ya, pemuda yang sekarang ini halal menjadi suami saya. Dan saya serahkan hidup saya bulat-bulat kepadanya.”

Hati saya gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Saya pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan keelokan wajahnya. Hati saya tenang. Maha benar bicara Nabi SAW:
“Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya.”
(Hadis riwayat Ibn Jabir)
“Sayangku. Wajahmu sangat indah seindah bidadari di Syurga.” Lirih saya.
“Dan abang adalah pemuda terbaik yang pernah saya temui. Abang cinta pertama dan terakhir saya.” Lirihnya.

Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segala kini menyatu. Kami meneruskan ibadah. Mengharapkan lahirnya generasi yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam.
“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.”
(Surah Ar-Ruum: 21)

Ilahi anta maksudy wa ridhoka mathluby!

Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
8 Zulhijjah 1431H