AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Telah Merdeka



Hari-hari terus bergulir. Usai paper terakhir, aku melonjak syukur. Tak terperi rasanya gembira. Setelah bertungkus lumus mengharungi hari-hari. Tiga tahun tidak jauh beza dengan tiga hari.

Rasanya baru kemarin aku tiba di terminal penerbangan tanpa seorang teman, menyesuaikan perkataan bahasa Melayu dengan makcik penjual nasi minyak yang berbicara loghat Terengganu, tertegun sendiri antara percaya dan tidak bahwa aku berada nun jauh di sini. Dan sedar-sedar kini, aku telah menyelesaikan pelajaranku. Aku tertunduk syukur. Telah kulalui begitu banyak kejadian yang menduga. Peristiwa yang tidak pernah terbayangkan.

Di hadapan terminal penerbangan aku tertegun sendiri membayangkan apa yang pernah ku lalui. Kembali aku mengenang titik mula perjalanan hidupku. Ketika ayah merasa berat untuk berterus-terang dahulu. Aku mafhum benar kesan raut wajah ayah yang tak dapat disembunyikan itu, bahwa dia tidak punya wang untuk menghantarku melanjutkan pelajaran. Jika tidak kerna Tuhan mengirimkan manusia-manusia penyayang seumpama Kamai, Farah dan Asmar, barangkali ketika ini aku sedang melihat diriku terperuk di dalam pejabat yang dipenuhi penghawa dingin, itu seandainya nasibku baik. Jika tidak, aku mungkin terlantar di kilang usang nan berdebu atau sengaja menjemurkan diri di bawah terik mentari demi menghitung kayu-kayu balak sebesar menara Kuala Lumpur.

Tidak hanya itu. Aku pernah dicuba dengan ujian kesakitan. Sehingga aku terlantar berbulan-bulan di rumah sakit dan harus dihantar pulang ke kampung halaman. Itulah ujian paling besar yang melanda hidupku, sampai-sampai hampir membunuh jasadku sekaligus semua impian murniku. Tubuhku yang lemah tak mampu berbuat apa. Serupa mayat hidup bernyawa. Waktu aku merasa duniaku pucat hitam, rasa putus asa untuk hidup, bayang-bayangan kematian, ketika aku sudah tidak merasa apa-apa dengan hidup. Aku mati sebelum mati.

Namun Tuhan sayangkan aku. Tuhan telah memegang mimpi-mimpiku. Kini di tepi lautan nan terbentang luas, bersama burung-burung yang berterbangan bebas, menjadi saksi, aku telah merdeka!


Dhiya’
Kuala Terengganu
03 Sha’ban 1433H

Malam Sentimental



Malam kelam, langit pucat. Di atas meja, aku menjajar carik-carik kertas bercoretan tangan. Ku perhatikan. Berlama-lama aku menekurinya. Hingga aku tak tahu harus mengawalinya dengan membaca tulisan yang mana.  Namun, aku tahu, aku tahu persis, bahwa ada sesuatu pada coretan-coretan sembap itu. Ah, aku penasaran.

Seandainya jika tulisan-tulisan itu dideklamasikan, pasti bertambah seru. Mungkin akan menjadi semacam ratib buat membuka selera mengisi malam-malam nan sepi. Maka bagiku, kertas-kertas kumal ini begitu terhormat. Nanti setelah aku usai membacanya, akan aku ceritakan kepada kawan seperti apa perasaanku.

Kertas-kerta carik itu berisi tulisan dari teman-teman sekuliahku. Ceritanya begini. Kami seramai tiga pulu lapan orang antara manusia pilihan Allah yang sedang mengikuti pengajian akhir Sarjana Muda Usuluddin Dengan Kaunseling, sejenis jurusan yang belum pernah wujud sebelum ini di mana-mana universiti, hatta di Harvard University sekalipun. Hebat bukan! Maaf, aku sendiri tidak pasti siapa orangnya yang begitu berani menjodohkan dua bidang ini. Hmmm!

Setelah melalui lima semester yang begitu polemik, kami kini berada diakhir fasa pengajian. Antara subjek yang wajib kami ikuti pada semester penghabisan ini dinamai Kaunseling Kelompok. Bunda Hafiah adalah tenaga pendidiknya.

Sekali lagi maaf, aku tidak berkenan menceritakan plot-plot disepanjang kelompok kami berlangsung beberapa bulan. Apa yang aku rasai? Apa yang aku pelajari? Apa yang aku perolehi? Kebaikan-kebaikannya? Aku hanya berani syorkan agar kawan sudi membaca buku I.D Yalom, judulnya “The Theory and Practice of Group Psychotherapy” meski aku belum pernah menelaahnya.

Sehingga berlalu beberapa sesi kelompok lalu tiba pada sesi penutup, Bunda Hafiah meminta kami menulis kata-kata berupa doa dan nasihat khas buat teman-teman sekuliah.

“Pada keping kertas, tulislah doa untuk kawan-kawan dan masukkan dalam sampul...” kurang lebih begitu kata Bunda Hafiah jika dibahasa bakukan.

Di atas sekeping kertas putih yang dikerat hingga hanya selebar kertas resit mesin bank atm, setiap dari kami, menukilkan kata-kata azimat. Dengan tulus ikhlas dan penuh rasa cinta lalu memasukkan ke dalam sampul yang dipunyai oleh setiap seorang dari kami. Dan dari situlah asal muasal yang membawa kepada kejadian malam ini.

Malam pun berlalu hanya untuk melahu carik-carik kertas dan bersentimen. Mataku tak mahu beralih dari lembaran-lembaran kopak itu kerna ternyata ayat-ayat yang dicoret mengandung daya tarik yang maha sentimental.

Maka sepanjang malam, aku bergelimang dengan hal-hal mengharukan, menyentuhkan dan rasa indah kerna kata-kata yang mengujakan. Aku senang dan bahagia. Terima kasih kawan. Semoga Tuhan selalu merahmati kalian.

Zaid,
Semoga cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik.
Semoga segera bertemu jodoh yang baik hati.

Doanya ya!


Dhiya’
Gong Badak
17 Rejab 1433H

Lukis Kehidupan Atas Kertas Waktu



Di luar jendela hujan turun dikit-dikit. Sejak maghrib tadi hingga malam menjengah larut hujan tidak mahu berhenti. Sama seperti aku yang dari awal malam tadi masih terperuk di ruangan bilik bernombor 1-4-2, menghadap komputer kecil, mengedit manuskrip tua berjudul Majmu’ al-Asrar, tidak sedar jam bertukar angka 3.

“Uh, sudah 3 pagi...”

Aku tersenyum kaku. Sedari pukul 9 aku bermain-main dengan keyboard sambil menatap tekun aksara-aksara bertulisan jawi yang ditata rapi di atas kertas, sesekali membetulkan huruf-huruf roman bertaip di muka komputer, sehingga telefon genggam tidak lagi sanggup menemaniku berjaga. Dia memanggilku. Aku tidak hirau. Dengan berani dia merayuku. Aku tewas. Aku bangkit mendapatkan pengecas telefon. Dia menatapku penuh manja, kemudian tersenyum. Charging!

Semula aku menatap kertas bertulisan Arab-Melayu alias jawi. Sebenarnya, diam-diam aku kagum pada penyalinnya. Tulisannya khatnya cantik, tertata rapi dan kemas. Lalu dengan sendirinya membawa aku bermonolog.

Cuba...

Kawan, jika ku berikan kepada kalian setiap seorang sekeping kertas putih, kiranya apa yang kalian lakukan terhadap kertas itu? Jangan jawab dahulu. Biarkan ku kata.

Pasti ada yang mencontengnya sesuka hati, menulis ayat-ayat yang melucukan, melukis gambar Angry Birds, atau ada yang membiarkan sahaja tanpa sedikit goresan atau malah mungkin merobek serta mengoyak-ngoyaknya.

Manakala jika ku berikan kertas putih itu kepada pelukis, pasti dia akan melakarkan sebuah lukisan indah yang memukau pandangan dan menambat hati. Bezakan.

Sehelai kertas putih diberikan kepada orang biasa seperti kita. Pastilah ianya hanya tinggal sebagai kertas putih yang tidak berguna, kerna kita memandangnya hanya sebagai sekeping kertas. Bezanya jika diberikan kepada pelukis. Kertas itu dilihat dengan pandangan seni. Ketika ia mendapatkan kertas itu, dia memutuskan untuk melakukan sesuatu. Kemudian menggunakan kemahirannya sehingga berhasil mengubah kertas putih yang kosong menjadi sebuah karya agung.

Jika waktu bisa ku analogikan seperti sehelai kertas putih.

Tuhan memberikan waktu yang sama banyak kepada semua hamba-Nya. Kepada kita. Bezanya, cara kita memandangkan waktu itu bagaimana? Itu yang tidak sama. Nah, sekarang terpulang kita.

Barangkali selama ini kita tidak pernah menghargai WAKTU. Membiarkan ia berlalu tanpa melakukan apa-apa. Atau melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Menghabiskannya dengan hanya tidur. Atau menodai waktu itu dengan perilaku buruk kita. Maka sudah tiba ketikanya untuk kita mengubah pandangan terhadap waktu yang bukan hanya sekadar jarum-jarum jam atau nombor berangka 1 hingga 12. Tapi memandang waktu itu sebagai amanah dari Allah Azza wa Jall.

Demi Masa!  

Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian –

Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
(al-Asr : 1-3)

Imam al-Nawawi, di awal usia remajanya menjadikan thalabul ilmi sebagai lukisan hidupnya. Diceritakan bahwa beliau menghadiri 12 halaqah dalam sehari dan beliau begitu rajin menghafal. Pernah beliau berkata, "aku menulis segala yang berhubung dengannya, baik penjelasan kalimat sulit mahupun pemberian harakat pada kata-kata. Dan Allah telah memberikan barakah pada waktuku..." 

Beliau sering tidak tidur malam kerna melakukan ibadat dan menulis. Maka tidak menjadi suatu kehairanan apabila beliau mampu menghasilkan karya-karya agung seperti al-Minhaj (Syarah Shahih Muslim), Al-Majmu', Raudhah al-Thalibin dan beberapa tulisan lain meski usia hidupnya 45 tahun cuma.

Maka marilah kita belajar menjadi seperti pelukis dan menjadikan kertas putih itu sebagai karya yang agung.

Lukislah kehidupan di atas kertas waktu!


Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
19 Jamadil Akhir 1433H

Tak Punya Wang Untuk Belajar



“Kita tidak punya wang nak...”

Kalimat-kalimat itu pernah memancung halus harapanku. Aku masih ingat, suatu ketika dahulu sewaktu menerima tawaran melanjutkan pengajian, segera ku khabarkan pada ayah. Ternyata ayah gembira dengan berita itu. Orang tua mana yang tidak mahukan anak-anaknya menempa nama di pentas menara gading? Yang Selama ini menjadi impian besar mereka. Ah, sudah terlalu lama rasanya harapan itu terbiar terperam kaku, dari seorang anak ke seorang anak ditatang dengan hasrat suci itu, dibuai-buai saban waktu, agar mudah-mudahan tertunaikan. Penantian demi penantian, mereka tak juga pernah jemu berputus asa.  Diyakin pasti ada salah satu putera puterinya yang membanggakan kelak. Kapan? Hanya Tuhan yang maklum. Hanya Doa dan titisan air mata cinta yang tetap selalu muncul mendampingi hari-hari mereka. Harapan itu tidak pernah sirna sehinggalah Tuhan membenarkan sabdaan dari lidah Rasul-Nya, bahwa doa orang tua untuk anaknya sangat dekat dengan Allah. Tuhan tunaikan, ayah dan ibu pun senang.

Namun, dengan rasa berat hati ayah terpaksa berterus-terang bahwa dia tidak mampu menampung belanja untuk aku menyambung pelajaran. Dengan biaya persekolah adik-adik yang begitu mendesak, dengan bayaran gaji bulanan yang tidak menentu ditambah perbelanjaan keperluan rumah sehari-hari. Ayah tidak punya wang. Ayah tidak mampu. Aku akur!

Malam-malam terus berhembus, namun segalanya masih tetap sama, kelabu. Padahal sepatutnya kegembiraan mewarnai keseharianku. Padahal semangat seharusnya menjelma sebagai seorang bidadari cantik. Namun kali ini, semuanya luruh. Tatapan-tatapan kosong, desah nafas berat yang terhembus bahkan titik-titik bening air mata keluar begitu mudah. Aku kecewa. Namun dalam diam-diam aku simpati pada ayah. Betapa dia telah banyak bekorban untuk anak-anaknya. Selama hidup, ayah tidak pernah menceritakan kesusahan yang dialaminya. Ayah tidak pernah berkira soal wang dengan kami. Apa sahaja yang kami inginkan, jika baik pasti akan dipenuhi. Ayah adalah paling manusia mulia. Ayah sudah berusaha memberikan kehidupan yang baik buat kami. Biarlah, hanya kali ini aku reda sebagai anak. Ini masanya untuk aku membalas jasanya.

Aku matikan impian murni itu. Belajar dalam peta hidup, harus ku padam dahulu dan ku tukar ganti dengan bekerja. Ya, aku harus bekerja demi meringankan beban ayah menyara keluarga dan adik-adik. Dan hari itu, malaikat-malaikat menjadi saksi, cita-cita ku serahkan kembali ke langit. Kepada Tuhan yang Maha Mengetahui.

Tuhan Maha Mengetahui. Dia lebih mengerti isi hati hamba-Nya. Rupanya takdirku masih tercatat kukuh di Lauh. Sungguh, Tuhan tidak selamanya memberikan apa yang kita mahu, tetapi Dia akan memberikan apa yang kita perlu.

Maka pagi itu tanpa terduga, aku dihubungi teman-teman yang saling bertanyakan perihal keputusan permohonan menyambung pengajian. Mulanya aku sukar mahu bercerita hal yang terjadi. Ku berikan kata dua serta alasan yang pelbagai. Sehinggalah didesak berkali-kali aku terpaksa berlaku jujur. Mula-mula ku cerita perihal diriku. Keadaan ayah yang begitu terbeban. Kemudian berlanjutan kepada soal wang yang bagiku sulit untuk dikongsikan. Aku belum pernah sejujur dan seberani itu mempercayai orang. Tapi ku yakini keikhlasan teman-teman. Dan setelah berbicara lama akhirnya mereka bersetuju membantu. Ayah yang mengetahui semua itu, bersyukur dan berterima kasih. Tuhan, aku dikelilingi insan-insan penyayang!

Kamai berjanji untuk menampung perbelanjaan tiket penerbangan. Farah katanya mahu meminjamkan wang untuk membayar yuran pendaftaran. Sedangkan Asmar berjanji akan memasukkan wang melalui bank sebagai wang poket. Sementara untuk barang-barang keperluan seperti baju, seluar, kasut, beg dan lain-lain, aku tidak punya bajet untuk membeli semua itu. Maka aku hanya menggunakan pakaian dan barang-barang lama yang ada. Itu sudah cukup.

Bermula peristiwa itu, hidupku kembali cerah. Semangatku kini menjelma menjadi seorang bidadari cantik, bukan sahaja cantik bahkan manja. Kegembiraan kembali mewarnai hari-hariku sehingga tiba saat berangkat pergi. Aku percaya pada apa yang pernah disabdakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bahwa siapa yang diingikan Allah kebaikan buat dirinya, dia akan diberi faham tentang agama.

Maka atas apa yang pernah berlaku. Kesulitan yang aku jalani, rasa simpati pada ayah, rasa putus asa. Kemudian dengan kasih sayang Tuhan dan teman-teman yang lembut hatinya, sampailah aku bisa berada di sini hari ini, di bumi pengajian, ketika cita-citaku hampir terkubur, hanya kerna aku tidak punya wang untuk belajar.


Sang Pencerah!

Dhiya’
Terengganu
29 Jamadil Awwal 1433H

Kerna Tuhan Sayang Kita


Kalau Tuhan kita kenali,
Kasih sayang dan peranan-Nya
…

Kalau Tuhan kita rasakan
Betapa Dia sangat cintakan hamba-Nya
...

Pagi hari yang tenang, sambil menikmati lirik lagu yang indah. Benar-benar menyentuh nubari. Lantas menimbulkan tanda tanya. Kenalkah aku kepada Tuhanku?

Kawan, sudahkah kau mengenali Tuhan kita?

Yang selama ini memberikan kita makanan, minuman, udara, pernafasan, pancaindera untuk mendengar, melihat, merasa, kaki untuk berjalan, tangan untuk memegang. Maka kita pun senang menerimanya.

Yang membuat hidup kita gembira dan bahagia. Yang terkadang membuat kita tersenyum dan ketawa. Dialah Tuhan kita yang memberikan segala-galanya.

Baiknya Tuhan kita.

Tapi...

Kenapa, apabila mengalami kesakitan kita menangis sedih?

Kenapa, apabila ditimpa kemiskinan kita bermuram durja?

Kenapakah kita tidak senang menerima ujian?

Kerna kita menyangka Allah murka dan membenci kita. Atau kerna kita ingin sihat seperti orang lain. Kita mahu hidup senang seperti orang-orang yang senang. Kita mahu bahagia sebagaimana orang lain hidup. Kita menginginkan agar seluruh kehidupan kita sentiasa dalam keadaan baik dan sejahtera. Benarkan?

Ah, manusia memang begitu fitrah kejadiannya. Hanya menginginkan yang enak-enak. Padahal kita lupa dengan firman Tuhan,

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta. " [Al-Ankabut : 2-3]

Kawan percayalah, penyakit, kemiskinan, kesusahan dan ujian sama sebagaimana nikmat, datangnya dari sisi Tuhan. Kita tahu semua itu. Tapi kenapa masih bersedih lama-lama, muram dan tidak ceria, malah marah-marah dengan ujian yang diberikan. Inilah yang sering membuatkan hari-hari kita tidak terasa indah dan berharga. Rasa kecewa dan putus asa. Hidup terasa kelam dan kelabu. Kita berasa kehilangan.

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” [Al-Hajj : 11]

Janganlah lama-lama berkesedihan. Sudah masanya untuk kita merasa.

Sebagaimana kita merasai nikmat itu datangnya daripada Allah, maka bala ujian itu juga datang dari-Nya. Sebagaimana kita sedar bahwa pemberian nikmat itu adalah tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Maka mengapa tidak kita memandang bahwa bala ujian itu adalah kerna sifat Maha Penyayang dan Maha Pengasih Allah kepada hamba-Nya.

Kerna Tuhan tidak mahu kita terus-terusan dalam kelalaian.

Kerna Tuhan tidak tegah melihat kita bergelumang dengan dosa dan kesesatan.

Kerna Tuhan inginkan kita hampir denganNya.

Kerna Tuhan mahu mengangkat dan memuliakan darjat kita.

Kerna Allah terlalu menyayangi kita, maka kita diuji oleh-Nya.

Apabila kita mengenali Tuhan kita yang bersifat dengan Pengasih dan Penyayang, dan kita merasai serta mengetahui bahwa Dia selalu menyayangi kita, maka kita tidak boleh buruk sangka kepadaNya dengan menanggap Allah telah memberikan kita sesuatu yang tidak baik. Tapi hendaklah kita yakini bahwa setiap ketentuan yang diberikan-Nya adalah baik, sesuai dengan kesempurnaan sifat-sifatNya.

Ujian memang berat, tapi kita ringankan dengan mengingati KASIH dan SAYANG Tuhan. Yakinlah Allah pasti memilih sesuatu yang baik untuk kita, kerna Allah sayang kita.

“...dan boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu sedangkan ianya baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya buruk bagimu. Dan Allah lebih Mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” [Al-Baqarah : 216]

Kita hanya menyangka tapi Allah lebih mengetahui. Kenali Tuhanmu!


‘Sang Pencerah’

Dhiya’
Gong Badak
08 Jamadil Awwal 1433H

Nyawaku Berharga 5 Ringgit


“5 ringgit encik.” minta wanita penjaga kaunter pendaftaran rumah sakit.

Dengan wajah bersahaja tanpa rasa simpati dan bersalah, senang-senangnya meminta uang pada pesakit. Maka aku salah orang mangsanya. Apakah yang harus aku lakukan?

Cubalah kawan perhitungkan, jika 100 orang yang datang menunaikan kewajiban memeriksa kesihatannya di rumah sakit dengan bayaran RM 5.00 - bukan RM00.05 ya – sekali rawatan. 100 orang didarab dengan 5 ringgit, jumlahnya lima ratus ringgit. Jika 500 orang dalam masa sehari, bermakna RM 2500.00. Sekiranya dalam masa sehari seribu orang pesakit mendapatkan rawatan, berapakah jumlah pungutan pihak rumah sakit sehari. RM 5000.00 tunai. Gila!

Dan aku, entah sudah masuk yang ke berapa kali pergi balik hospital.

Aku harus mangkir ke kuliah, keluar awal pagi, bersesakan dengan orang ramai menanti giliran, menunggu nombor disebut oleh mesin gila, berjam-jam; dua, tiga, hatta terkadang sampai ke waktu Zuhur. Apabila bertemu doktor, perkara yang sama itulah ditanyakan, itu jugalah yang dikatakan bulan lepas, berulang-ulang. Sepertinya skrip itu sudah dihafal oleh setiap para  doktor apabila berhadapan dengan pesakit.

“Check sikit jatung...emm, ok.”

Setelah 10-15 minit, selesai.

“Ambil ubat ye...”

Cukup!

Hanya itu kawan. Sungguh ku katakan.

Padahal sudah hampir lebih dua tahun aku pergi-balik rumah sakit. Membayar lima ringgit setiap kali. Bukan soal uang yang ku perkirakan di sini. Kerna bayaran memang perlu meski sebenarnya ia benar-benar menyeksakan rakyat. Cubalah sekali lagi kau hitungkan berdasarkan angka-angka yang ku sebutkan di atas.

Sekali lagi ku ulangi. Sudah dua tahun aku menanggung hidup sebagai manusia separah sihat. Yang hidup sebahagiannya bergantung kepada ubat-ubat - sepenuhnya ku serahkan kepada Tuhan Yang Maha Pengasih -. Yang pasti doktor tidak pernah ada kata putus yang jelas.

“Datang bulan depan...”

Manusia tidak akan pernah dapat menahan lama-lama perasaanya. Termasuk aku. Mujur sedari kecil ayah selalu mengajar agar bersabar dan berbuat baik pada orang lain.

Maka dengan rendah hati, aku mencabar doktor itu. Doktor wanita. Bukan hanya wanita, bahkan menawan. Tapi itu tidak menggugat keimananku, kerna bagaimanapun hak kita mesti ditegakkan. Maka dengan sifat kelelakian namun lembut aku berani menduga doktor wanita itu dengan soalan teka-teki tentang sakitku, sehingga dia tidak mampu berbicara panjang kerna kehabisan skrip hafalan.

“Nanti pihak hospital akan hubungi encik kemudian.” Cukup!

Bagaimanapun aku akur dengan takdir Tuhan. Sebagai seorang pesakit, kita tidak akan pernah menang melawan para doktor. Kerna kita tidak punya kuasa apapun. Maka begitulah keadaanku sehingga kini. Nyawaku seperti hanya berharga lima ringgit. Tidak tahu samada aku akan hidup lama atau kapan-kapan mati dengan percuma. 


Dhiya’
Hospital SNZ
Kuala Terengganu
4 Jamadil Awwal 1433H

Janji Temu Ku


“Waktu seperti pedang.” Kata Imam Mulia Abu Abdillah Muhammad bin Idris al-Syafie.

“Sekiranya kau tidak menebasnya maka dia akan menebas lehermu.” Lanjut beliau lagi.

Ternyata diam-diam murid beliau, Imam al-Muhasibi sempat menukilkan ungkapan itu lewat karya kecilnya, Risalah al-Mustarsyidin. Nah, sekarang giliran aku pula terang-terangan menulis pesan itu di sini, di lamanku, demi untukmu kawan. Padahal yang fair, nasihat semacam itu harus ditujukan kepadaku, “waktu seperti pedang, jika kau tidak gunakan untuk menebas, nanti kau yang ditebasnya.” Ampun Tuhan!

Jujur tiada siapa yang mahu ditebas, termasuk aku. Tapi aku seperti menghulurkan leher untuk dipancung hidup-hidup di hadapan Tuhan. Buang waktu!

Kau tahu kawan, aku pernah berani membuat janjitemu dengan waktu, yaitu jadual harian.  Pukul ini buat apa, pukul sekian ke mana, jumpa siapa, kapan pulang. Pagi ada program apa, jumpa pensyarah mana, tengahari solat di masjid, makan di mana, petang lakuin apa, malam ada mesyuarat apa, ada jemputan ke mana, balik sampai lewat malam, siapakan tugasan dan begitulah seterusnya. Namun dukacita ku khabarkan, tabiat itu hanya bertahan tidak lama, itupun tidak sepenuh hati ku lalui.

Barangkali faktor perubahan biologi yang dengan sendirinya menghakis tabiat mulia itu. Faktor biologi yang ku maksudkan di sini ialah kesihatan, teman yang dahulu pernah ikut tersenyum bersamaku, tapi kini terang-terangan memusuhi aku. SAKIT!

Maka pada hari ini aku beranikan diri membuat janjitemu, menyusun waktu agar tidak berlalu pergi begitu.

Begini jadinya.

Malam itu, usai bekerja aku terus pulang ke kampus. Jarak perjalanan antara bandar Kuala Terengganu dan kampusku di Gong Badak tidak terlalu jauh dan tidak juga terlalu dekat. Jika kawan menggunakan kereta hanya memerlukan waktu kurang lebih 15 menit. Jika mahu cepat, harus menaiki pesawat udara. Tapi maaf, kenderaan sebesar dan seberat itu tidak termasuk dalam senarai pengangkutan awam di bandar Penyu ini. Jika ingin menikmati ciptaan Ilahi, kawan boleh memilih menaiki bot sewa, tapi harus terlebih dahulu ke pengkalan yang letakknya di Seberang Takir. Dari sana kau akan dihantar sampai ke bandar. Kenderaan cap ayam seperti aku iaitu motor Honda tua, ku anggarkan 25 menit. Tapi terlebih dahulu ingin aku pesankan agar kuatkan kesabaran dan ketaqwaanmu di sepanjang perjalanan, kerna kau bakal menempuh lampu isyarat yang banyak. Itulah kelebihan negeri Terengganu Darul Iman.

Dan aku percaya, malam itu para malaikat menjadi saksi atas kesabaranku menempuh sebanyak 13 lampu isyarat, sehingga akhirnya setelah melalui perjalanan selama hampir 25 menit, aku tiba di bilik dalam keadaan separuh nyawa. Letih!

Ku bersihkan diri kemudian menyambung menulis tesis. Menjelang larut, aku kelaparan. Aku belum makan. Aku beranikan diri menjamu makanan asasi masyarakat Melayu kita, Mee Segera. Aku sudah lupa pesan yang pernah dititipkan kepadaku agar jangan cuba-cuba menimatinya, bahaya kepada jantung katanya. Ah terpaksa, kerna lapar. Inilah risikonya hidup sebagai bujangan. Nasihatku kawan, kahwinlah segera. Setidaknya ada orang yang sudi menjaga baik makan minummu.

Aku menerusikan lagi kerja menulis sehingga selesai. Tidak terasa rupa-rupanya dalam senyap jarum jam melangkah seperti memijak semut tak mati. Oh sudah pukul 1 pagi. Aku menghela nafas pendek. Seluruh tubuhku benar-benar dirasuk kecapekan. Kembali  ku perhatikan jadul kerja dan janjitemu. Esok, aku harus keluar waktu pagi bertemu penyelia, mengemukakan bahagian-bahagian tesis yang telah siap. Kemudian aku akan ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan. Setelah itu bertemu al-Mukarram Sheikh Dr. Abdul Manam Mohammad. Selepas zuhur aku tidak ke mana, kerna aku mahu menumpukan waktu untuk menulis. Petang nanti mesyuarat persatuan dan menjelang maghrib aku harus pergi bertalaqqi kitab kemudian menyambung semula kerja-kerja menyalin manuskrip lewat malam nanti.

Ku simpan bahan tesis yang sudah siap ditaip ke dalam pendrive untuk dicetak esok pagi. Kembali ku perhatikan rancangan perjalanan harian esok hari. Dengan sengaja aku memandang kertas putih bertulis arab di dinding putih, begini jika diromankan, AL-WAAJIBAT AKTSARU MINAL AUQAT. Ertinya, kewajiban yang harus kita kerjakan lebih banyak dari waktu yang kita punya.

Aku optimis dengan janjitemu yang ku atur sendiri.


Bersambung pada siri ke II.


Dhiya’
Gong Badak
26 Rabi’ul Akhir 1433H