“Kita tidak punya wang nak...”
Kalimat-kalimat itu pernah memancung halus harapanku. Aku
masih ingat, suatu ketika dahulu sewaktu menerima tawaran melanjutkan pengajian,
segera ku khabarkan pada ayah. Ternyata ayah gembira dengan berita itu. Orang
tua mana yang tidak mahukan anak-anaknya menempa nama di pentas menara gading? Yang
Selama ini menjadi impian besar mereka. Ah, sudah terlalu lama rasanya harapan
itu terbiar terperam kaku, dari seorang anak ke seorang anak ditatang dengan
hasrat suci itu, dibuai-buai saban waktu, agar mudah-mudahan tertunaikan. Penantian
demi penantian, mereka tak juga pernah jemu
berputus asa. Diyakin pasti ada salah
satu putera puterinya yang membanggakan kelak. Kapan? Hanya Tuhan yang maklum.
Hanya Doa dan titisan air mata cinta yang tetap selalu muncul mendampingi
hari-hari mereka. Harapan itu tidak pernah sirna sehinggalah Tuhan membenarkan
sabdaan dari lidah Rasul-Nya, bahwa doa orang tua untuk anaknya sangat dekat
dengan Allah. Tuhan tunaikan, ayah dan ibu pun senang.
Namun, dengan rasa berat hati ayah terpaksa
berterus-terang bahwa dia tidak mampu menampung belanja untuk aku menyambung
pelajaran. Dengan biaya persekolah adik-adik yang begitu mendesak, dengan bayaran
gaji bulanan yang tidak menentu ditambah perbelanjaan keperluan rumah
sehari-hari. Ayah tidak punya wang. Ayah tidak mampu. Aku akur!
Malam-malam terus berhembus, namun segalanya masih tetap
sama, kelabu. Padahal
sepatutnya kegembiraan mewarnai keseharianku. Padahal semangat seharusnya
menjelma sebagai seorang bidadari cantik. Namun kali ini, semuanya luruh.
Tatapan-tatapan kosong, desah nafas berat yang terhembus bahkan titik-titik
bening air mata keluar begitu mudah. Aku kecewa. Namun dalam diam-diam aku
simpati pada ayah. Betapa dia telah banyak bekorban untuk anak-anaknya. Selama hidup,
ayah tidak pernah menceritakan kesusahan yang dialaminya. Ayah tidak pernah
berkira soal wang dengan kami. Apa sahaja yang kami inginkan, jika baik pasti
akan dipenuhi. Ayah adalah paling manusia mulia. Ayah sudah berusaha memberikan
kehidupan yang baik buat kami. Biarlah, hanya kali ini aku reda sebagai anak. Ini
masanya untuk aku membalas jasanya.
Aku matikan impian murni itu. Belajar dalam peta hidup,
harus ku padam dahulu dan ku tukar ganti dengan bekerja. Ya, aku harus bekerja
demi meringankan beban ayah menyara keluarga dan adik-adik. Dan hari itu, malaikat-malaikat
menjadi saksi, cita-cita ku serahkan kembali ke langit. Kepada Tuhan yang Maha
Mengetahui.
Tuhan Maha Mengetahui. Dia lebih mengerti isi hati
hamba-Nya. Rupanya takdirku masih tercatat kukuh di Lauh. Sungguh, Tuhan tidak
selamanya memberikan apa yang kita mahu, tetapi
Dia akan memberikan apa yang kita perlu.
Maka pagi itu tanpa terduga, aku dihubungi teman-teman
yang saling bertanyakan perihal keputusan permohonan menyambung pengajian. Mulanya
aku sukar mahu bercerita hal yang terjadi. Ku berikan kata dua serta alasan yang
pelbagai. Sehinggalah didesak berkali-kali aku terpaksa berlaku jujur. Mula-mula
ku cerita perihal diriku. Keadaan ayah yang begitu terbeban. Kemudian berlanjutan
kepada soal wang yang bagiku sulit untuk dikongsikan. Aku belum pernah sejujur
dan seberani itu mempercayai orang. Tapi ku yakini keikhlasan teman-teman. Dan setelah
berbicara lama akhirnya mereka bersetuju membantu. Ayah yang mengetahui semua
itu, bersyukur dan berterima kasih. Tuhan, aku dikelilingi insan-insan
penyayang!
Kamai berjanji untuk menampung perbelanjaan tiket
penerbangan. Farah katanya mahu meminjamkan wang untuk membayar yuran
pendaftaran. Sedangkan Asmar berjanji akan memasukkan wang melalui bank sebagai
wang poket. Sementara untuk barang-barang keperluan seperti baju, seluar,
kasut, beg dan lain-lain, aku tidak punya bajet untuk membeli semua itu. Maka aku
hanya menggunakan pakaian dan barang-barang lama yang ada. Itu sudah cukup.
Bermula peristiwa itu, hidupku kembali cerah. Semangatku kini
menjelma menjadi seorang bidadari cantik, bukan sahaja cantik bahkan manja. Kegembiraan
kembali mewarnai hari-hariku sehingga tiba saat berangkat pergi. Aku percaya pada apa yang
pernah disabdakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bahwa siapa yang diingikan
Allah kebaikan buat dirinya, dia akan diberi faham tentang agama.
Maka atas apa yang pernah berlaku. Kesulitan yang aku
jalani, rasa simpati pada ayah, rasa putus asa. Kemudian dengan kasih sayang Tuhan dan teman-teman yang
lembut hatinya, sampailah aku bisa berada di sini hari ini, di bumi pengajian, ketika cita-citaku hampir terkubur, hanya kerna aku tidak punya wang untuk belajar.
Sang Pencerah!
Dhiya’
Terengganu
29 Jamadil Awwal 1433H