AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!

Enta Indonesi?

Enta Indonesi?” sapa wanita itu.

“Tidak. Saya orang Malaysia.” balasku. Aku mengerti kenapa dia bertanya seperti itu. Aku tersenyum. Seringkali kemana-mana pasti aku diajukan soalan yang sama, ‘kamu orang Indonesia’, aduh gawat si.

Selesai temuduga kerja, aku bergegas menuju kedai buku. Setiap kali aku punya kesempatan ke kota, aku tidak bisa menahan diri untuk singgah ke kedai buku. Dan setiap kali aku ke kedai buku, aku tidak sampai hati keluar tanpa membeli sesuatu. Buku.

Ada beberapa hal yang kutimbang soal membeli. Pertama, buku itu benar-benar kuperlukan. Kedua, pesanan daripada guruku agar membacanya. Ketiga, penulis dan buku itu benar-benar kukenal – maksud sudah dikaji dan diketahui latar belakang buku dan penulisnya. Keempat, buku yang dijadikan rujukan umat. Kelima, kitab atau buku-buku tua. Keenam, ditulis dengan bahasa sastera yang indah. Wah!   

Sejam di dalam kedai, menjelang Asar aku keluar. Kubeli beberapa buah buku. Terutama buku yang dipesankan Syeikh Mizi membacanya, Tibb al-Nabawiy dan Talbis Iblis. Kubeli juga beberapa buah kitab tua tulisan ulamak Jawi. Yang paling menyenangkan apabila aku bertemu dengan buku karangan Bekas Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Tuan Guru Hj. Sa’id bin Hj. Ibrahim. Aku senang sekali! Kebetulan aku sedang mengumpul dan mengkaji tulisan beliau yang lebih daripada 20 buah, antaranya Sinaran Fiqh, Mengenal al-Quran, Manasik Haji & Umrah, Qanun Jenayah Syariah, Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam, Soal: Jawab Nikah Kahwin, Fiqh Mazhab Syafie & Pendapat Imam-Imam Mazhab, Perbandingan Aqidah & Fahaman Umat Islam dan Minhaj Ilmu Fiqh. Kufikir wajar menelaah karangan beliau sekalipun ada yang kurang selesa dengan pesanannya tentang Ibn Taimiyyah.

Sebetulnya aku baru mengenal bekas Mufti Sabah - yang mulia ini - lewat karyanya Aqidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah semasa pengajian di Kolej Islam Pahang dahulu. Masih segar diingat, setiap pagi Ahad aku dan teman-teman mempelajari kitab ini di hadapan guru muda - yang tawaduk -, Ustaz Shahrul Nizam Abdul Haliff. Ustaz Sharul Nizam, ulamak muda lulusan Universiti Hashimiah, Zarqa’ Jordan, bicara lembut, satu-satu, perlahan dan cukup tajam, persis Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Sepanjang bersama beliau, banyak perkara yang aku pelajari. Ilmu, adab, akhlak, dakwah dan perjuangan. Ustaz Shahrul Nizam, aku rindukan mutiara indah yang terpancar dari belahan bibirnya.

Aku sudah terlewat. Ketika melangkah pergi, azan memanggil-manggil. Aku mahu bersolat. Kerna bagaimanapun solat harus didahulukan. Aku singgah di Masjid Puteh bersolat jemaah.

Solat Asar berakhir, aku mengulang-ulangi bacaan al-Quran yang akan aku perdengarkan di hadapan Syeikh Abdul Salam nanti. Aku harus mempersembahkan bacaan yang terbaik pada beliau. Aku mesti bersungguh. Kerna bukan mudah dapat bertalaqi dengan beliau. Syeikh yang diakui pakar dalam bidang qiraat. Lebih-lebih lagi bacaan bersanad. Aku merasa sungguh bertuah dapat bertalaqi qiraat al-Syatibi bersama beliau. Bahkan aku yakin tidak semua orang diberi kesempatan untuk mempelajari kalam-Nya. Hanya mereka yang dipilih Tuhan. Orang-orang yang ikhlas dan suci. Hanya itu.

Kerna berapa ramai yang mengambil enteng soal al-Quran. Kawan berani kukatakan, orang Melayu kita sekarang ini ramai yang tidak fasih membaca al-Quran. Itu belum dikira yang buta Quran. Yang pandai sahaja belum tentu membacanya. Yang membacanya belum tentu tepat. Yang hafiz belum tentu ingat hafalannya. Malah belum tentu betul benar bacaanya. Dan yang sangat mengaibkan, ada orang melayu kita yang langsung tidak punya Quran sendiri. Yang punya Quran sahaja tidak pernah menyentuhnya kecuali sewaktu pertama kali membeli atau menerima hantaran perkahwinan. Hanya itu.

Kita terlalu jauh. Jauh dibanding orang dahulu yang dijanjikan Syurga. Cuba lihat contoh Ikrimah bin Abi Jahl, sangat gusar hatinya bila melihat lembaran-lembaran yang bertuliskan al-Quran berserak-serak seolah-olah tersia-sia, lalu ia memungutnya selembar demi selembar sambil berkata, ‘Ini adalah kalam Tuhanku! Ini adalah kalam Tuhanku, membesarkan kalam Allah bererti membesarkan Allah.’.

Tapi kita. Sudahlah ‘lebar batang tekak’* dan buta huruf, berani pula menghina-hinakan al-Quran. Mempermainkan hukuman dan peraturan yang terkandung di dalamnya. Kesian!

Setelah benar-benar siap, aku berangkat menuju ke rumah Syeikh. Pukul lima lebih aku sampai dan terus menghadap beliau memperdengarkan bacaan al-Quran. Aku benar-benar merasa lazat membaca al-Quran. Aku dapat merasakan. Ternyata benar sungguh firman Tuhan, “Dan apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”.*  

Membaca dan mendengar bacaan al-Quran dengan baik bisa menghibur dan memenang jiwa, mengusir rasa sedih dan gelisah, melunakkan hati yang keras serta menghadirkan petunjuk ilahi. Itulah yang dimengertikan dengan Rahmat Tuhan, dihadiahkan kepada orang yang membaca dan mendengarnya dengan baik. Sungguh besar kuasa al-Quran, yang tidak akan jemu orang membaca dan mendengarkannya. Malah semakin sering membaca dan mendengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada al-Quran itu. Tatakala al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang indah dan merdu akan memberikan pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya, menjadi ubat dan penawar bagi orang yang gelisah jiwanya.

Kawan, apakah kau merasakannya. Sungguh kukatakan kita terlalu jauh dari semua itu. berapa ramai mencari hiburan liar untuk menenangkan jiwa-jiwa mereka. sekali lagi kutegaskan kita berbeza dibanding generasi dahulu yang dijanjikan Syurga. Mari kuceritakan lagi untukmu,

Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Mas’ud r.a. meminta nasihat, katanya: ‘Wahai Ibnu Mas’ud, berilah nasihat yang dapat kujadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini, aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut.” Maka Ibnu Mas’ud menasihatinya, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ketempat orang membaca al-Quran, engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya; atau engkau pergi ke pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, disana engkau berkhalwat menyembah Allah, umpama di waktu tengah malam buta, disaat orang sedang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu belum juga terubati dengan cara ini, engkau minta kepada Allah, agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu, bukan lagi hatimu.” Setelah orang itu kembali kerumahnya, diamalkannyalah nasihat Ibnu Mas’ud r.a. itu. Dia pergi mengambil wuduk kemudian dibacanya al-Quran dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca, berubahlah kembali jiwanya menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang, kegelisahannya hilang sama sekali.

Nah, sekarang giliran kita. Apakah kita mahu mengambil al-Quran sebagai ubat atau kita memilih hiburan liar dan pil-pil khayal. Tepuk tangan tanya iman!

bersambung lagi ya...


Dhiya’
Terengganu Dar Al-Iman
3 Safar 1433H

_____
* ‘Lebar batang tekak’ kinayah kepada BODOH.
* Surah Al-A’raaf: 204

Zaid, Rehatlah!

KAWAN, bukankah pernah ku katakan bahwa ada dua hal yang sering dilalaikan manusia seperti kita; waktu sihat dan waktu lapang. Jujur aku begitu khuatir mendengar tarhib Rasulullah ini.

“Zaid rehatlah...” saran Yeop. Teman sekuliahku.

Aku hanya bisa tersenyum. Yeop tahu aku semalaman bersengkang mata. Pesan itu, adalah pesan agar aku segera tidur untuk memulihkan semula tenaga.

“Saya ada pengajian malam ni.” Balas saya. Usai kuliah maghrib bersama al-Mukarram di masjid universiti. Maaf, aku tertidur sebentar semasa al-Mukarram sedang memberikan syarah. Sekali lagi aku benar-benar mengantuk.

Barangkali Yeop terkejut melihat pakaianku. Pakaian siang tadi, sewaktu kuliah. Aku tidak sempat bersalin pakaian. Usai imtihan Muqaran al-Adyan pagi tadi dan setelah bersarapan, aku terus pulang kerna mahu merehatkan badan. Di atas katil aku tidak bisa terlelap, memikirkan kerja-kerja yang belum tersiapkan. Aku bangkit menyambung tugasan.

Pukul dua aku ke kuliah hingga menjelang Asar. Setelah bersolat, aku segera pulang ke bilik. Aku benar-benar keletihan. Aku mahu istirehat. saat mata hampir terpejam, aku baru teringat sesuatu. Aku ada temu janji dengan Ustaz Mizan, Pengarah TQHM Consultan. Hatiku menjadi dua, antara mendahulukan kehendak hati atau menunaikan janji. Aku memilih. Aku harus ikhlas pada janji.

Aku segera bergegas ke pejabat TQHM Consultant. Lebih sejam aku bertarung di hadapan laptop menyiapkan modul-modul program. Mataku mengecil, sekali-sekala ku tahan agar kembali membesar. Aku paksa. Menjelang azan Maghrib  modul program siap. Aku mohon izin pada Ustaz Mizan untuk pergi, malam ini aku ada pengajian perubatan al-Syifa’ bersama Dr Burhanuddin.

Sewaktu tiba di masjid universiti, imam sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran, menandakan solat sudah bermula. Aku segera membersihkan diri dan dengan rendah hati aku menyerahkan segenap jiwa ragaku kepada Tuhan. Dalam solat, tubuh terasa damai dan tenteram, tenang dibuai-buai Ar-Rahman, keletihan lantas dipancung mati. Tubuh kembali segar dan bertenaga. Solat sudah cukup sebagai istirehat.

Isyak berakhir, kutemui al-Mukarram, bersalaman dan memberikan penghormatan. Kutemui ikhwan tarikat, kami sempat berbual mesra. Bertanya khabar.

“Zaid, lama tidak nampak. Minggu lepas kami pergi Indonesia.” Ujar Haji Ghazali. Pembantu dekat al-Mukarram. Sudah berkali-kali aku mahu ziarah ke Pondok Pesantren Suryalaya. Sewaktu al-Marhum Abah Anom masih ada, aku ingin sekali bertemu manusia mulia itu. Tapi Tuhan lebih dahulu merancang. Kekasih-Nya telah dahulu dijemput pulang. Aku tidak berkesempatan. Lalu Haji Ghazali mempelawa aku ikut serta dengan al-Mukarram minum malam, tapi aku tidak bisa, kerna aku harus segera pulang.

Aku bergegas. Saranan Yeop agar aku istirehat sahaja, tidak ku endahkan. Malah ku katakan padanya bahwa malam ini aku ada kelas pengajian, aku harus pergi. Barangkali dia sudah mengerti sikap ku, dia beralah dan berlalu setelah mendapatkan naskah kita Uquudul Jumaan yang mengandungi zikir-zikir harian, khotaman, wirid, tawassul dan sisilah tarikat Qadiriah Naqasyabandiah.

Aku berkemas. Mengambil barang-barang keperluan berubat dan buku perubatan Islam Darul Syifa’. Dalam keletihan dan rasa mengantuk yang mencengkam, aku berusaha meruntuni mutiara-mutiara ilmu perbuatan yang mengalir dari lidah sang guru. Dr Burhanuddin atau dikenal juga dengan sapaan Ustaz Bob, salah seorang anak murid Tuan Guru Dr Harun Din, Pengasas Darul Syifa’. Ustaz Bob selain sibuk membantu masyarakat dalam perubatan, beliau sangat aktif dalam gerak kerja dakwah dan amal Islami. Ini peluang untuk aku berusaha menimba pengalamannya, yang pernah menjadi aktivis dakwah di UKM suatu ketika dahulu. Belajar perubatan Islam dan belajar dakwah, kombinasi yang belum pernah ku lalui. Menarik!

Sungguh tidak terduga, angka jam sudah bertukar 11. Padahal baru tadi aku duduk di sini, dan sekarang aku harus kembali pulang. Aku harus istirehat kerna esok aku harus kembali berjuang.

Di bilik, segera ku kemaskan barang-barang. Perut berbunyi. Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Ah, aku belum makan sejak tengahari tadi. Jika ibu dan ayah tahu, pasti aku dimarahi lagi. Ampun Bu, ampun Yah!

Aku tidak mahu menjadikan kesibukan sebagai alasan. Tapi tenyata seringkali kesibukan jugalah yang membuatkan aku terlepas banyak perkara. Mudahnya terlupa. Hatta ‘makan’ pun boleh terlupa. Oh, Aku jadi ingat, esok aku harus berforum bersama al-Mukarram. Ku buka laptop, mencari-cari maklumat. Fikiranku jatuh pada Ad-Dhiya’. Ah, aku belum menitipkan tulisan buat teman-teman yang mungkin dalam penantian. Itu juga amanah untuk memberi. Ku buka Microsoft Word dan terus menulis. Hingga selesai. Hingga terlupa, bahawa esok aku ada kuliah.

Itu tidak mengapa. Asalkan aku tidak lupa sesuatu. Walau sesibuk mana. Moga-moga aku tidak pernah lupa pada-Nya. Tuhan andai Engkau mentakdirkan agar aku lupa tentang semua yang ada di dunia ini, aku tidak kesah. Cuma satu pintaku, jangan lupakan aku kepada-Mu. Tuhan aku ingin selalu mengingati-Mu. Hanya itu.


Dhiya’
Terengganu
26 Muharram 1433H

Bertarung Dengan Waktu

MALAM ini aku tidak ke mana. Pengajian bersama penduduk Kampung Banggol terpaksa ditundah. Tubuhku lelah. Aku mahu istirehat sambil menyiapkan tugasan. Esok aku harus pergi. Menghadiri kuliah gantian bersama al-Mukarram. Temuduga kerja di masjid Al-Muktafi Billah Shah. Talaqi Quran bersama Syeikh Abdul Salam.

Sejak seminggu ini jadualku padat. Sebetulnya bukan hanya minggu ini. Hari-hari pun dipenuhi kerja-kerja. Sehingga aku harus memilih mahu menyelesaikan yang mana. Aku kesian pada tubuh. Keletihan tidak terjagakan. Ampun Tuhan!

Malam ini aku harus bertarung lagi dengan waktu. Berhadapan tugasan-tugasan berbaki -menyelesaikan laporan program, mengedit proposal tesis, mengemaskini kertas projek, menterjemah buku, membaca manuskrip tua, menyiapkan modul TQHM Consultant – oh, aku tidak dapat menyenaraikan semuanya. Aku harus memilih.

Diluar jendela suara penghuni flat riuh rendah. Sekali-sekala terdengar bunyi-bunyian filem dan permainan komputer. Dicelah-celah bunyi itu kedengaran nyanyian-nyanyian sumbang. Aku tersenyum mendengarnya, lucu. Nanti tengah malam, pasti suasana akan menjadi sunyi dan tenang.

Malam ini, sementara penghuni flat dibuai keseronokan, aku memilih untuk sedikit susah, bertarung menyiapkan kerja-kerja. Kumulakan dengan menyiapkan laporan. Tugasan ini harus dihantar hujung minggu nanti. Sebelum memulai, aku berwuduk. Semoga apa yang aku lakukan diberkahi Tuhan dan ini adalah pelajaran yang kupetik daripada kisah Imam al-Bukhari. Beliau sebelum menulis hadis yang dihafalnya, terlebih dahulu berwuduk. Kesannya, kitabnya masih dibaca sampai saat ini bahkan sangat bermanfaat untuk umat.

Tengah malam aku selesai menyiapkan laporan. Aku keletihan kerna beberapa jam duduk.  Aku bangkit menyediakan minuman. Suara-suara liar sudah lenyap ditelan malam. Sunyi dan tenteram. Aku putarkan bacaan al-Quran, sambil menghirup kopi susu, aku tenggelam dengan alunan kalam Tuhan, menusuk ke hati, sangat mendamaikan.

Aku kembali meneruskan pekerjaan. Kali ini aku akan belayar bersama lautan kata-kata hikam Syeikh Nafis al-Banjari. Aku harus teliti membaca manuskrip tua tulisan tangan ini. Meski aku merasa tidak sulit mengalihbahasa manuskrip lama ini, aku mesti cermat kerna ada perkataan yang kurang jelas dan sukar difahami maksudnya dengan tepat.

Menjelang tiga pagi aku kelelahan. Mataku terasa berat sekali. Aku menguap beberapa kali. Aku harus menangguhkan dulu kerjaan. Aku bangkit memperbaharui wuduk. Aku mahu bersolat sunat. Usai bersolat mataku kembali segar. Tapi tubuhku sedikit penat. Sejam lagi azan subuh. Aku mahu istirehat sebentar.

***

Usai bersubuh aku berwirid kemudian mengulangi hafalan Quran. Setelah Zuhur nanti aku harus temuduga kerja.

Mataku masih terasa pedih. Semalaman bergadang, aku hanya sempat tidur sejam. Mata mahu terpejam tapi ku lawan. Sengaja aku membuka komputer dan memeriksa e-mel, kalau-kalau ada pesanan dari teman-teman jauh. Tiada. Kubuka laman sosial facebook. Ternyata aku menerima pesanan dari seberang. Perlahan kubaca. Dan tidak terasa mataku basah. Berkali-kali aku memuji Tuhan atas kurnia-Nya. Tuhan sungguh Penyayang. Air mataku seka.

Waktu sudah mengangka hampir 10. Kututup komputer dan bersiap-siap ke kuliah. Sebelum pergi, aku bersolat Dhuha. Mengharapkan bantuan dan bimbingan daripada Tuhan dalam setiap denyut nafas. Semoga hari ini lebih baik dari semalam.

Ketika aku sampai, al-Mukarram sedang memberikan pengajaran. Perlahan aku melangkah mengambil tempat di hadapan. Tidak sangka aku terlewat. Yang benar, aku kebingungan mencari kelas tadi. Al-Mukarram tenang menyampaikan syarahan.

Manusia yang sedang berdiri di depanku, beliau adalah orang yang sangat aku hormati. Aku masih ingat, waktu pertama kali mendengar pengajiannya di masjid universiti, aku jadi tertarik. Suara dan nada bicaranya mengingatkan aku kepada ayah. Sungguh aku jatuh hati pada suara itu. Lembut, tenang dan menduga. Sejak itu aku mulai mengikuti pengajiannya dan akhirnya aku membuat keputusan untuk berbai’ah atau mendapatkan talqin zikir Tarikat Qadiriah Naqsyabandiah padanya. Sekarang sudah genap setahun aku bersama tarikat ini. Kuperhatikan wajahnya, aku tenang.

Kuliah berakhir lebih awal dari waktunya. aku bergegas keluar dari bilik kuliah. Perut terasa kosong. Sejak semalam aku belum makan apa-apa. Pagi tadi aku hanya bersarapan air kopi susu dan sedikit kek roti. Aku mahu mengalas sedikit makanan.

Zuhur sudah semakin hampir. Habis menjamu makanan, aku bersiap ketempat temuduga. Ku ambil fail yang mengandungi dokumen-dokumen penting lalu memasukkannya ke dalam beg galas berwarna hitam. Sepuluh minit lagi azan akan berkumandang. Ku gapai mushaf al-Quran, aku mengulangi lagi bacaan, biar lebih kukuh hafalan. Tidak lama kemudian, azan pun sahut-sahutan. Aku bingkas, ku masukkan al-Quran dan kad mahasiswa ke dalam saku beg kemudian melangkah pergi.

Aku singgah di masjid universiti untuk solat Zuhur, setelah itu aku terus ke masjid al-Muktafi Billah Shah. Di atas kenderaan aku tiada henti mengulang-ulangi bacaan.

bersambung...


Dhiya’
Kuala Terengganu
19 Muharram 1433H

*Manuskrip bertajuk Sirr al-Asrar karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari QS
*Al-Mukarram Dr Abdul Manam bin Mohamed al-Merbawi (Khalifah Tarikat Qadiriah Naqsyabandiah)

Kerna Tuhan Masih Sayang Kamu

KUMULAI di sini...

Begini, ada sekumpulan manusia. Mereka ini hamba Tuhan. Kisahnya, mereka ada melakonkan suatu adengan, perbualan di sebuah gerai makan dengan mengutuk-ngutuk orang tertentu. Tidak habis di situ, mereka menyelitkan ungkapan-ungkapan persis menghina wahyu Tuhan. Astagha!

***

Kawan hidup ini ada dua. Wahyu dan nafsu. Kebenaran itu adalah wahyu. Selain dari itu adalah nafsu yang tercela. Siapa mengikuti wahyu, dia benar. Siapa mengikuti hawa nafsu, dia menentang kebenaran. Begini dalil Tuhan, ““Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah di muka bumi, maka hukumlah di antara manusia dengan keadilan, dan janganlah engkau turut hawa nafsu, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan (agama) Allah.” (Shaad 38: 26)

Apabila wahyu mengatakan sesuatu itu benar, lawannya adalah nafsu. Apa saja yang mengikut nafsu, automatis bertentangan dengan al-haq. Sekarang cuba kau baca firman-firman Tuhan yang menyebut tentang nafsu, pasti Tuhan mencelanya dan mengutuk pengikutnya. Persis benar dengan kata Ibn Abbas, ‘bila mana Allah menyebut perkataan nafsu ‘al-hawa’ di dalam al-Quran, pasti Dia mencelanya. Dari sini jelaslah maksud kenapa diturunkan syariat iaitu untuk mengeluarkan kita dari menjadi pengikut nafsu.”

Kawan, ku bawakan firman Tuhan.

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Mekah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada nabi Muhammad s.a.w.). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.” (An-Nisa’ 4: 51-52)

Kau tahu kawan apa kata Ibn Taimiyah pada membaca ayat Tuhan ini? Begini katanya, ‘Allah mencela golongan yang telah menerima kitab, tapi masih lagi beriman kepada sesuatu perkara di luar risalah. Mereka lebih mengutamakan ‘orang luar’ risalah berbanding orang-orang yang beriman. Samalah juga keadaannya sebagaimana sebahagian manusia mengutamakan pendapat ahli falsafah dan kerajaan jahiliyah berbanding orang yang beriman kepada Allah, kitab Allah dan RasulNya. Begitu juga Allah mencela orang yang mengaku beriman dengan seluruh kandungan kitab-kitab Allah tetapi mereka tidak menghukum dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka rela berhukum menurut taghut yang diagungkan selain dari Allah. Demikian jugalah yang terjadi pada golongan yang mengaku Islam tetapi mereka menjalankan undang-undang mengikut pandangan ahli falsafah atau mereka memerintah menurut sistem politik bukan syariat Allah. Apabila diseru kepada mereka: ‘Marilah kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasulnya!’, mereka palingkan muka mereka dengan bersungguh-sungguh.”

Ah sudah, aku tidak mahu berbasah basi. Pilihlah, sama ada mahu menerima syariat Allah ataupun mengikut keinginan orang-orang yang jahil. Tiada andaian yang ketiga dan tidak ada jalan tengah diantara syariat yang lurus dan nafsu yang berubah-ubah.’ Kata Syed Qutb. Kemudian beliau lanjutkan ‘Sesiapa sahaja yang meninggalkan syariat Allah sebenarnya bertindak berhukumkan nafsunya. Tiap-tiap sesuatu yang lain dari syariat Allah adalah nafsu yang terperosok ke dalamnya orang yang jahil.’

Nah, seperti kukatakan hidup ini antara wahyu dan nafsu. Jika kau berani menghina hukum Tuhan bermakna kau memilih nafsu sebagai kehidupan. Jika kau turuti ajaran wahyu, kau adalah benar, kau adalah benar. Kawan, fikirkanlah!

Bukan sekali ini manusia mengutuk Tuhan. Bukan baru hari ini manusia menghina ketentuan-Nya. Sudah acap kali manusia mempermainkan hukum-hukum Tuhan. Sudah berapa kali. Bukan Tuhan tidak tahu manusia kecil ini memperolok-olokkan ciptaan-Nya, ketetapan-Nya, titah perintah-Nya. Tuhan tahu. Tapi Tuhan masih memberi waktu. Kerna Tuhan masih sayang kamu. 


Dhiya’
Kuala Terengganu
16 Muharram 1433H

Rujukan:
Al-Quran Al-Karim
Imam Al-Syatibi, al-Muwafaqat, juzu' 6
Imam Ibnu Taimiyah, Majmu' Fatawa, juzu' 12
Syed Qutb, Fi Zilal al-Quran, juzu' 25 

Tuhan Suka Angka Ganjil

MALAM menjengah kelam, larut bersama kegelapan. Sedang aku, asyik menjamah mawaaid pada kitab Qatrul Ghaisiyyah fi Ilmil Sufiyyah. Sepertinya, aku juga telah larut, tapi bersama sinaran hikam. Dan aku harus berterima kasih pada Tuhan kerna mengirimkan aku ke tempat ini. Di sini aku bisa mendalami kitab-kitab tua ini.

Tulisan-tulisan ini sangat istimewa. Setiap kali aku membacanya, aku merasakan sebuah keindahan yang tiada taranya. Maaf, aku tidak dapat mengungkapkannya dengan tuntas. Tapi aku merasainya. Padahal dahulu, aku tidak begitu berkenan membaca tulisan melayu arab ini, memeningkan dan membosankan. Bahkan aku sendiri tidak faham. Benci? Nah, mungkin aku sudah termakan dengan petua ini, ‘jangan kalian terlalu cinta sesuatu, nanti jadi benci. Jangan pula terlalu benci, nanti jadi cinta.’ Benarkan, ternyata aku sudah jatuh cinta. Cinta pada kitab-kitab jawi lama. Syukur!

Sempat kubayangkan betapa indahnya ibarat-ibarat yang digunakan dalam gaya penulisan. Sopan dan menyenangkan. Bezanya dengan orang-orang hari ini. Tulisannya kasar dan jelek. Tidak sopan dan tiada susila. Kawan, cubalah baca tulisan kitab jawi lama, akan kau temukan keindahan dan keasyikan. Dan kata-kataku ini adalah benar. Percayalah.

Oh sudah lewat kawan, angka jam sudah berubah, 12.37. Ku letakkan kitab karangan Syeikh Husein al-Banjari itu. Aku mahu bersolat sunat angka ganjil.

Aku selalu ingat pesan Syeikh Termizi, ‘amalkan ilmu agar ianya terus-terusan lekat diingatan’. Kukira ada benarnya dengan petua Imam Ahmad bin Hanbal bahwa setiap hadis yang dihafal, amalkan sekali nanti pasti ingat. Mujurlah beliau mampu menghafal 750 000 hadis kemudian disaring menjadi 40 000 hadis yang termuat dalam Musnadnya. Subhanallah!

Sebentar...

Kawan, jika kau perasaan, orang melayu hanya solat angka ganjil ketika Ramadhan. Itupun kerna ikut imam. Tuhan! jika kita tahu kelebihan solat angka ganjil, kita akan berlumba-lumba melakukannya walaupun harus merangkak. Teliti kata baginda, ‘..sesungghunya Allah ta’ala memberi anugerah atau bantuan kepada kamu berupa satu solat yang lebih baik untuk kamu daripada unta berwarna merah..’

Unta merah? Kau tahu kawan berapa hilainya di zaman itu? Unta merah itu harta yang paling bernilai dikalangan bangsa arab, bahkan orang yang memilikinya hanyalah orang kaya dan punya kuasa. Nah, bagaimana kiranya solat angka ganjil itu lebih baik daripada unta merah? Kau fikirklah.

“...Barangsiapa yang mahu melakukan witir sebanyak lima rakaat maka bolehlah dia melakukannya, barangsiapa yang mahu melakukan tiga rakaat maka bolehlah dia melakukannya, barangsiapa yang mahu melakukan satu rakaat maka bolehlah dia melakukannya.”

INNALLAHA YUHIBBUL WITRI

Tuhan suka angka ganjil.

Kawan, sunat witir yuk!


Dhiya’
Kuala Terengganu
14 Muharram 1433H

***
Mawaaid – hidangan.
Solat angka ganjil – solat witir
Hukum solat witir – Mazhab Hanafi wajib manakala jumhur sunat muakkadah (dituntut).
Bilangan – Mazhab Syafie sekurang-kurangnya satu rakaat atau sekurang-kurangnya 3 rakaat lebih afdhal menurut pendapat Jumhur manakala 11 rakaat paling banyak.

Mahu jadi bidadari?

KAWAN, jika kau ke sini, ke kafe makanan. Kau akan ku perlihatkan kejadian Tuhan. Indah dan sungguh menawan. Benar aku tidak menipu. Tapi perlu kau tahu. Mungkin saja indah dipandangan, sebenarnya panahan syaitan.

Seperti ku katakan, tempat ini sering dipenuhi perempuan. Berasak-asakan. Maaf kukatakan, kadang menyusahkan kaum adam. Nah, barangkali perlu kusaranakan pada orang atasan, sediakan kafe makanan khusus untuk perempuan. Bisakan?

Aku melirik. Satu, dua, tiga...tidak bisa kukira. Kemudian aku berhenti. Perempuan, wanita, hawa, muslimah, betina...ah, aku jadi hampa.

Baru ku sedar, akhir-akhir ini kurasakan kelainan. Kafe tidak lagi indah dipandangan. Kelam bikin aku hilang perasaan. Kenapakah Tuhan?

Kuperhatikan perempuan-perempuan. Dan...

Bidadari itu?

Tiba-tiba aku jadi teringat bidadari itu. Sungguh lama aku tidak ketemu. Sudah lama aku tidak melihatnya, bersua atau bertentang mata. Oh, dimanakah bidadari itu yang saat terpandang, teringat Tuhan. Memandangnya, membuat ruh memuji Tuhan.

Tuhan, kemana perginya?

Apakah ini yang telah menghilangkan keindahan, yang membuat kelam hingga aku hilang perasaan. Barangkali bidadari itu sudah diangkat Tuhan. Andai sahaja perempuan-perempuan sinetron menjadi bidadari, akan segera ku pilih menjadi teman hati.

Mahu jadi bidadari?


Dhiya’
Kampus KUSZA
12 Muharram 1433H

Tuhan Sayang Aku

Lewat petang tadi, saat aku membelek-belek dokumen peribadi, aku bertemu sekeping gambar. Gambar itu ku selitkan dalam diari cintaku. Kukeluarkannya, kutatap dan kukucup perlahan. Perasaanku berbahagi dua, cinta dan rindu kemudian bercantum menjadi satu syukur. Maaf aku sendiri tidak pasti tahu teori perasaan bercantum itu. Yang pasti aku bersyukur pada Tuhan diutuskan malaikat-malaikat penyayang seperti mereka. Ibu dan ayah.

“Bagaimana kesihatanmu nak?” sayup-sayup suara sang malaikat penyayang, ibu. Ibu tersedu-sedu. Aku ikut sayu.

“Alhamdulillah. Baik bu...” suaraku balas dengan nada ragu. Jujur aku tipu. Tapi aku mahu jaga hati ibu. Tuhan, semoga malaikat tidak mencatat buruk amalku.

Sihat?

Ah, rasanya lima huruf itu sudah tidak lagi menyebelahi aku. Malah mungkin menjadi musuh. Benar betul kata Rasul bahwa di dunia ini ada dua hal yang selalu dilupai manusia, pertama masa sihat dan kedua masa lapang. Nah, barangkali akulah orangnya. Yang tidak memanfaatkan waktu sihat untuk ibadat. Ampun!

Kawan, beberapa hari lalu aku ditahan lagi di wad. Seharian aku bertarung dengan kesakitan. Nafasku turun naik laju. Aku ketakutan. Sempat kubayangkan Utusan Maut dihantar Tuhan. Oh, mati!

Sebentar...

Mujur Tuhan sayang aku lalu diberiNya aku waktu. Kesihatan masih mahu menjadi teman. Aku bisa kembali seperti kalian. Syukur!

Aku tidak lupa. Moga-moga aku tidak pernah lupa, waktu sihat adalah anugerah.


Dhiya’
Kampus KUSZA
10 Muharram 1433H

Waktu Melambai Pergi



Saat siang mulai mengeluarkan pakaiannya dari lipatan alam,  malam pun melambai pergi. Ada awam gelap berarak-arak perlahan. Bumi terang tapi langit kelam. Tidak lama, kemudian hujan!

Akhir-akhir ini hujan turun tidak menentu. Dua, tiga, empat kali atau sehari-hari. Kadang turun subuh-subuh. Sering juga turun malam-malam. Malah waktunya juga panjang, menyusahkan orang-orang bekerja, bersekolah, berkuliah dan bersolat jemaah. Alasan!

Kuingat waktu kecil dahulu, aku suka pada hujan. Hujan kuanggap teman, bukan sekadar meneman tapi juga pengertian. Aku tidak dapat menjelaskan pengertiannya tapi yang pasti dengan hujan aku dapat bermain air sepuas-puasnya – jika dirumah pasti dimarahi ibu -, - jika sampai banjir – bisa menangkap ikan-ikan, berenang-renang – meski aku tidak pandai berenang waktu itu – dan yang paling mengembirakan, aku bisa mangkir ke sekolah – kerna kerja sekolah tidak siap -. Kerna itu ku katakan hujan adalah teman yang memahami, lalu aku pun jatuh hati.

Kuintai keluar jendela, hujan masih tersisa, kupejamkan mata.

Dulu-dulu...

Seperti baru semalam aku ikut bermain bersama teman-teman di bawah limpahan hujan. Berkejar-kejaran keliling halaman, anak-anak sahut-sahutan keriangan. Hujan!

Memanjat pokok mangga dihalaman sekolah – walaupun digigit serangga -, mencuri buah kedondong milik nyonya tua, lalu risikonya dikejar anjing gila. Lari!

Memacing ikan haruan dikali, melestik burung di hutan, menangkap ketam di sungai– sakitnya jari diketip ketam -, memungut kerang di pantai...

Ulang-alik ke tempat mengaji Quran, walaupun terpaksa – sebetulnya aku malas mengaji waktu kecil – hingga buat ibu marah-marah. Degil!

Sering juga aku menjadi juara dalam pertandingan. Katakan saja pertandingan apa. Terutama main engkek-engkek. Ceh!

Main gambar, main getah, main guli, main congkak, main pondok-pondok, pura-pura jadi anak, mak, ayah atau nenek. Macam-macam.

Hari raya. Hari yang paling bahagia adalah hari raya. Dapat baju raya, duit raya, solat hari raya, makan kuih raya, berziarah dari dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Dari satu kampung ke satu kampung. Tidak tahu rumah siapa. Tidak tahu kampung siapa, semua diterjah dengan tujuan yang sama. Memburu duit raya! Semua itu tidak bisa kulupa. Bagiku hari raya adalah hadiah yang paling bermakna dari Tuhan untuk hamba-Nya. Terima kasih Tuhan!

Hari ini...

Nah, sekarang sudah tahun baru hijri lagi. Padahal baru tahun lalu kita bersua kenal. Bergurau senda. Ikut bermain bersama. Atau berjalan dititian pantai sambil bercerita tentang kita. Tapi semua sudah berubah. Kita sudah dewasa. Usia kecil itu telah pun terisi dengan pelbagai ceritaria suka dan duka. Waktu yang ada ini, waktu kita sedang dewasa. Manfaatkanlah sebelum menjelang hari tua. Kerna waktu tidak pernah menanti, bahkan ianya terus berlalu pergi.

Ya, waktu-waktu melambai pergi.




Dhiya'
Gong Badak
8 Muharram 1433H