AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Yaumul Milad: Cerpen Sebuah Hadiah

Sedang sibuk menyusun buku-buku yang berhamburan di atas meja, tak sengaja saya melihat sebuah buku tulisan Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali atau lebih familiar orang-orang mengenal Imam al-Ghazali r.a. Tajuknya, “Ayyuhal Walad”. Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi dengan nama “Al-Risalah Al-Waladiah”, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh sebahagian ulamak dan dinamakan “Ayyuhal Walad”.

Sudah lama agaknya saya membeli buku ini dan telah berkali-kali membacanya. Saya tergerak hati untuk membacanya lagi. Kata orang-orang alim, apabila kamu terdetik dalam hati (ilham) untuk melakukan sesuatu perbuatan baik maka segeralah lakukannya jangan ditangguhkan. Lalu saya ambil buku itu.

“Bismillahirrahmanirrahim…”

Perlahan saya belek helaianya dan membaca dengan saksama.
NASIHAT PERTAMA

Waktu Itu Ialah Kehidupan
Imam al-Ghazali menulis dengan bahasa yang sangat indah dan senang didengar. Beliau memulakan tulisannya dengan berkata:
Wahai anakku yang tercinta;
Sebetulnya nasihat ini ditulis oleh beliau bagi menjawab surat anak muridnya yang meminta agar beliau sudi menulis sepucuk surat yang berisi wasiat khusus kepadanya (anak murinya). Dicelah-celah ungkapan beliau berkata lagi:
Sebahagian daripada nasihat Rasulullah saw. kepada umatnya ialah:

“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah taala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka”.

Sebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang berilmu.
Bacaan saya terhenti.

“Subhanallah…”

Jiwa saya disapa tenang, mata ditamui air jernih, kemudian berderai menjadi kali di pipi. Saya bernafas dalam sendu dan sebak yang berkunjung tanpa pelawaan.

Ya Allah! Ya Allah! Saya pejamkan mata, istighfar berantai-rantai, jadi seribu, jadi sejuta. Saya menangis. Tuhan! Tuhan!

“Dosa yang menggunung tinggi, kelalaian yang membantutkan ketaatan, amalan yang secubit pasir….”

Saya istighfar panjang,merewak pada bibir, hati dan seluruh roh saya. Air mata turun berderai.

Saya menangis sungguh-sungguh.

“Sebuah Hadiah Di Hari Lahir”

bersambung.....

10 Syawwal 1430H/29 September 2009: Selasa
Kampus Kusza, UDM

Catatan Musafir


Langit gelap gelita, aku cuba mencari-cari bintang yang menyinar malam, namun tak kelihatan. Hu..Keluh ku sedikit hampa!
Aku terus kaku ditempat duduk. Sempit, tidak bisa berbuat apa. Hendak tidur tidak lena.
Merenung ke muka tingkap, tompok-tompok awan kelihatan namun sekejap menghilang. Terlihat wajah di balik pantulan tingkap.
‘Jangan lupa solat, banyakkan bersabar dan selalu ingat pada Allah’ begitu pesan ayah kala di balai berlepas tadi. Ada harapan yang terlukis dibalik wajahnya. Ibu tidak turut menemani kerana masih berada di Filipine.
Tiba-tiba gegaran kecil berlaku. Kapal terbang meredah kabus dan awan. Mujurlah aku sudah biasa menaiki kapal terbang, tidaklah kaget sangat.
Teringat saat mula-mula menaiki kapal terbang dulu, berlaku gegaran yang sama, aku cukup cemas. Ditambah dengan tangisan anak kecil. Lantas doa tidak henti-henti diungkap.
Aku memejamkan mata, namun tidak bias terlelap. Ku paksa jua.
‘Jaga diri baik-baik dan santuni orang lain. Belajar dengan tekun’.
Pesan ayah masih terngiang-ngiang menemani perjalananku. Rasa bosan terubat juga. Nasihat orang tua ternyata cukup besar kesannya. Namun tidak semua yang memahami dan menghargainya, apatah lagi beramal dengannya. Semoga aku tidak termasuk golongan itu, mereka yang lalai.
‘Tuan-tuan dan puan-puan, sebentar lagi kita akan mendarat di lapangan terbang antarabangsa kuala lumpur. Sila pasang tali pinggang dan pastikan anda berada di tempat duduk masing-masing', kapten pesawat memberi arahan.

Tidak sedar aku sudah berada di bumi orang, aku kini terpisah dari kedaerahan sendiri. Terpisah oleh lautan yang meluas. Terpisah jauh dari keluarga dan saudara mara. Kini aku hanya sendiri. Hanya Allah dalam hati, yang sentiasa menemani.
Semoga kembara ini bisa membawaku mengenal-Mu.
1 Julai 2009/ Rabu
LCCT Air Port

Kamu Tahu Bila Kamu Mati?

“Kamu semua sudah selesai puasa sunat enam Syawal?” Tanya Cikgu Nasir selepas menutup usrah malam itu. Seperti biasa usai sahaja usrah kami pasti akan menghadapi hidangan yang disediakan sendiri oleh ahli-ahli usrah. Sambil bercerita dan berbual-bual.
Pertanyaan tadi merubah suasana menjadi suram. Kami saling berpandangan antara satu sama lain. Kami terdiam belum bisa menjawab. ‘Assukut alamatul redho’ atau ‘Assukut alamatul biskut’ sambil kami mengunyah kuih raya yang dihidangkan.
“Emm..Belum lagi cikgu. Belum mula puasa lagi” saya menjawab.
Malam itu sudah masuk 8 Syawal. Dikalangan kami 9 orang belum ada seorang pun lagi yang berpuasa enam. Ntah alasan apa yang terbaik untuk diajukan, semua masih terdiam. Kami seperti terpinga-pinga menanti kata balas dari naqib kami yang seorang ini.
“Tahun lalu macam tu juga.” Balas cikgu sinis.
“Kami belum habis menziarah rumah kawan-kawan lagi’ jawab seorang teman.
“Tidak apalah cikgu, syawal panjang lagi.” Kata seorang lagi perlahan, antara dengar tak dengar.
Beliau seperti menangkap suara tadi. Dia mengurut-gurut janggut, wajahnya berubah seperti ada perutusan besar yang hendak dikhabarkan. Suasana masih tenteram. Semua terdiam. Bola mata memandang tepat wajahnya, merenung dalam-dalam. Ada cahaya. Ia tidak kelihatan zahirnya. Ia bisa dirasa, cahaya orang-orang yang dekat dengan Allah s.w.t. Menanti kata balas yang bakal terbit dari rahim mulutnya.
“Kamu tahu bila kamu mati?"
Guuurrlp! Kami menelan liur, semua terdiam. Kuih raya terasa pahit. Air sirap terasa tawar. Seperti sebilah pedang sedang terhunus di hujung halkum. Saya tunduk, terasa malu yang sangat; malu pada diri, malu pada beliau, malu pada Tuhan dan Rasul. Memang cikgu sudah khatam puasa enam. Beliau sudah mula berpuasa pada 2 Syawal lagi dan hari ini genap puasa enam Syawal.
Sungguh saya mengira beliau akan bersyarah tentang dalil-dalil puasa enam, mengemukakan kepada kami mana yang lebih afdhal, mana dalil atau hujah yang lebih rajih dan kuat, ataukah mengemukakan pendapat ulamak-ulamak muktabar. Tapi ternyata hanya lima perkataan itu sahaja yang diungkapkan, dan perkataan itulah yang membekas dihati saya sampai hari ini.
PUASA 6 SYAWAL
Tatkala bertemu bulan syawal kita bertembung dengan tuntutan sunat puasa 6 Syawal. Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).
Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama mutakhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran."
PUASA ENAM DI TERENGGANU
Hari ini genap 8 Syawal 1430H. Saya berkesempatan beraya ke rumah Bukhari, sahabat sekelas bersama teman-teman (Zulhelmi, Sabri & Lokman). Di sini, puasa enam merupakan suatu keistimewaan yang diraikan sama seperti meraikan hari raya aidilfitri atau menyambut ramadhan atau juga maulud nabi.
“Hari ini kita buat rumah terbuka sempena selesai menunaikan puasa enam’, begitu ujar ayah Bukhari waktu kami sedang menjamu hidangan.
‘Di sini orang-orang mula berpuasa enam pada dua haribulan Syawal. Selepas selesai enam hari, maka kita akan raikan dengan menghidangkan makanan, biasanya Nasi Minyak’.
‘Puasa enam berturut-turut bermula dua syawal sampai genap enam hari itu lebih afdhal.’ terang beliau lagi.
Kami mendengar dengan saksama sambil mengangguk-angguk kepala. Tidak terasa nasi di pinggang sudah habis. Saya tidak pasti benar apakah menjadi amalan masyarakat Terengganu meraikan Syawal semulia ini dengan mengangkat tuntutan puasa enam seperti puasa Ramadhan.
KAMU TAHU BILA KAMU MATI?
Saya bertanya, kenapa tidak hujah di atas yang disebutkan oleh beliau, menerangkan dan menjelaskan kepada kami agar faham dan jelas, agar tidak sesukanya berhujah atau beramal tanpa dalil dan ilmu. Kenapa tidak?
Kenapa kalimah itu yang mesti terbit antara kedua bibirnya. Kamu tahu bila kamu mati? Tidak adakah jawapan yang lebih dekat diterima akal, lebih dekat dengan pertanyaan.
Rupanya kalimah itu lebih akrab dengan persoalan. Ia menjawab segala persoalan. Mencatas segala keluh kesah serta alasan manusiawi. Tidak ada alasan apa lagi yang mampu dilafazkan. Kami akur. Lemahnya kami Tuhan.
“Tapi adakah kita tahu kita akan hidup esok?”
“Jika kita mati esok sempatkah kita berpuasa?”
“Orang yang sentiasa mengingati mati dia akan bersedia dan bersiap-siap untuk menghadapi mati. Dia tidak akan bertangguh-tangguh untuk beramal. Dia akan terhindar dari berangan-angan. Begitu juga kalau kamu sedar dan sentiasa ingat kamu akan mati esok hari, kamu tidak akan bertangguh-tangguh untuk berpuasa enam.”
Hati saya mulai basah. Ego yang meninggi pantas dipancung dengan kalimah keramat itu. Mungkin teman-teman juga begitu.
Waktu saya menulis ini, kalimah itu masih terus membekas. Saya seolah-olah mendengar bicara itu lagi. Rupanya kalimah itu sudah cukup untuk mengubati kelalaian saya.
“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Munafiqun: 11)
Kamu tahu bila kamu mati?
Salam Syawal 1430H
Min al-‘Aaideen wa al-Faaizeen
Maaf Zahir & Batin

Istiqamah

Cikgu Nasir ada memesan suatu hadis yang saya ingati sampai sekarang ini.
Dari Sufian bin Abdillah r.a. katanya, aku pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w. “wahai Rasulullah, katakanlah kepada saya berkenaan dengan Islam perkataan atau ucapan yang jelas dan yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain’. Sabda Rasulullah s.a.w. “Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamah’.
Hadis ini sangat besar maknanya dalam kehidupan, ianya menjadi titik tolak kepada kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat. Mungkin ini sebahagian dari isyarat Minal aideen wal faizeen yang selalu kita sebut-sebutkan tatkala menyambut Syawal yang mulia. Kejayaan dan kemenangan dalam bulan Syawal ini adalah rentetan dari kesungguhan dan istiqamah kita melakukan ubudiyyah pada bulan ramadhan.
Sahabat-sahabat saya selalu menitip pesanan, kata mereka ‘Semoga Istiqamah’. Kalimah-kalimah itu selalu menemani hari-hari saya. Namun saya masih belum bisa menangkap pedoman dibalik perkataan hikmah itu. Lalu Allah menghadiahkan ayat-ayat cinta-Nya;
“Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka (beristiqamah) tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu Dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa Yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa Yang kamu cita-citakan mendapatnya.”
(Surah Fusshilat: 30-31)
Inilah kemenangan Agung yang akan diraih oleh orang-orang yang istiqamah. Namun tidak cukup sekadar itu, kerana kita perlu sentiasa berdoa, memohon pertolongan daripada Allah s.w.t. untuk beristiqamah mengikuti yang betul dan beristiqamah dengan tarbiyyah ketika Ramadhan.
Semoga Istiqamah!

Bisikan Tahajjud



Tika Saat Ini

Ku Terasa Rindu Pada Tuhanku

Mengharapkan Sentuhan Kasih Dan Sayang-Nya

Ingin Benar Juga Rasanya Agar Allah Lebih Menyanyangimu

Melebihi Kasih Dan Cintaku Pada-Mu...


~Salam Lailatul Qadr~


p/s: Kepada teman yang sangat dikasihi. Terima Kasih atas kata-kata ini!