AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!

Daripada Tangan Tuhan


Dinihari itu hening, bersama dengan embun yang sangat dingin, sayup-sayup terdengar suara ombak berlagu riang. Di kaki langit awan bertompok-tompok, suasana masih kelam. Di tepian pantai itu seorang lelaki sedang berdiri menghadap wajahnya pada lautan yang terbentang luas.

Lelaki itu bersuara halus, “Subhanallah…”

Dia merasakan bahwa kekuasaan langit sedang menyentuh jiwa dan batinya. hatinya kini terpana dalam ketenangan abadi anugerah Ilahi. Jiwanya disapa tenang, mata ditamui air jernih, kemudian berderai menjadi kali di pipi. Dia bernafas dalam sendu dan sebak yang berkunjung tanpa pelawaan.

“Aku mohon keampunan-Mu, ya Allah, tiada tuhan kecuali Engkau yang sentiasa hidup dan sentiasa waspada (jaga). Ya Allah aku bertaubat kepada-Mu…”

“Ya Allah! Ya Allah!” serunya. Dia pejamkan mata, istighfar berantai-rantai, jadi seribu, jadi sejuta. Dia menangis. Allah seperti sedang berbicara padanya. Tuhan! Tuhan!

Tenggelam ia bersama kebesaran Allah yang terpampang di hadapan mata. Allah terasa besar. Dalam hati hanya ada Allah! Allah! Allah!

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan selain Engkau. Engkaulah yang mencipta segalanya dan aku adalah hamba-Mu. Aku berada dalam perjanjian dengan-Mu dan ikrar kepada-Mu yang akan aku laksanakan dengan segala kemampuanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada sebarang kejahatan yang telah aku lakukan. Aku akui dengan sebenar-benarnya segala nikmat-Mu ke atasku. Aku juga mengakui dosa-dosa terhadap-Mu. Maka ampunilah aku kerana sesungguhnya tiada yang boleh mengampunkan dosa-dosa (ini) kecuali Engkau, ya Allah.” Bisiknya.

Mendengarkan deru ombak yang bertempik kuat bersama tiupan angin, dia seakan-akan mendengar suara panggilan sangkarkala. Memandang lautan yang terbentang luas, dia seolah-olah merasa berada di padang mahsyar berhadapan Allah. Demikian juga sejuk yang menjengah mengigit-gigit tubuh, membuatkan dia membayangkan penerimaan buku amalan.

Dia terus-terusan istighfar,merewak pada bibir, hati dan seluruh roh. Air mata turun berderai. Dia menangis sungguh-sungguh.

Dia terus tenggelam dalam zat kebesaran dan keagungan Allah.

Dan di atas butir-butir pasir di duduk tersungkur menyembah Tuhan.



Dhiya’
Pantai Tok Jembal
Gong Badak, KT


Pesan Taqwa Dari Rasulallah

Pukul 5 pagi saya terjaga dari tidur. Saya lalu bangkit membersihkan diri. Saya mahu solat sunat. Teringat pesan guru saya, agar senatiasa melazimkan diri melakukan solat sunat Tahajjud dan Istikharah kerana pada kedua-duanya ada rahsia keistimewaan yang disediakan Allah buat hambaNya.

Dalam keheningan subuh, rasa dingin membalut seluruh tubuh. Suasana tenang, damai dan menenteramkan. Ibadah terasa sangat lazat bersama titis hujan yang jatuh menyembah Tuhan. Selesai munajat saya bingkas menggapai kitab lalu memasukkan ke dalam beg. Subuh ini kuliah kitab Riadhus Sholihin di Surau Muhajirin.

‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallah’

Setelah memanaskan enjin saya terus berangkat. Di atas motor saya berzikir-zikir.

‘Isilah waktu kamu dengan zikrullah. Ketika berjalan, duduk, baring, pada setiap ketika.’ Tegas Dr Wan Chik.

Selesai menunaikan solat Subuh. Ustaz Ahmad Tirmizi mengambil tempat dan memulai kuliahnya.

‘Daripada Abu Zar iaitu Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman iaitu Mu'az ibn Jabal, radhiallahu anhuma. Daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”

“Hadis riwayat al-lmam at-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan.”
Saya meniti secara khusyuk setiap yang dibicarakan.

“Hadis ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat iaitu Abu Zar dan Muaz bin Jabal.” Tegas ustaz Tirmizi lagi.

Abu Zar ialah Jundub bin Junadah, manakala Abu Abdul Rahman itu adalah gelaran pada Muaz bin Jabal. Kedua-dua mereka merupakan sahabat Nabi sallahu alaihi wa sallam. Para sahabat merupakan orang yang sangat dipercayai. Dalam ilmu akidah ada suatu istilah yang disebukan iaitu ‘Kullu shohabah ‘Uduulun’ semua para sahabat adalah adil. Sifat adil merupakan satu ciri yang mesti ada pada perawi dan ianya sangat penting dalam menilai keshahihan sesuatu hadis selain melihat pada matan hadis.

'Hadis ini disebutkan oleh baginda kepada Abu Zar ketika dia masuk Islam. Manakala Rasulallah sallallahu ‘alaihi wa sallam menitipkan pesannya ini kepada Muaz bin Jabal sewaktu dilantik menjadi Mufti di Yaman.'
Sambil mendengar perbicaraan ustaz, tangan saya terus bergerak-gerak mencatat kalimat-kalimat yang diungkapkan.

Bertaqwalah Kepada Allah Walau Di Mana Berada

‘Dalam hadis ini, ada tiga perkara penting yang dipesankan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Pertama, bertaqwa kepada Allah dalam setiap keadaan. Kedua, iringi kejahatan dengan kebaikan dan ketiga, bergaul sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’ Terang beliau lagi.

Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda keikhlasan lman dan Taqwa. Hadis ini menggesa agar berlaku jujur terhadap diri sendiri, samada ketika di hadapan manusia atau dibelakang. lslam menolak sifat berpura-pura dan munafik yang hanya mempamerkan kebaikan di depan orang dan berbuat kejahatan apabila jauh daripada pandangan manusia.

‘Inilah Muraqabah’. Tegas ustaz sambil matanya memandang tepat ke arah hadirin.

Muraqabah bermaksud merasa diri sentiasa diperhatikan Allah. Orang yang tidak merasa muraqatullah dalam dirinya adalah tanda hatinya telah sakit. Sedang taqwa itu terbina dengan adanya muraqabatullah.

‘Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu sentiasa ada keikutsertaan Allah dalam pemeliharaan dirinya. Sebagaimana firman Allah:’
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa.” Al-Baqarah: 194)

Dalam kitab An-Nashaaih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah, Imam Habib Abdullah Haddad ada menjelaskan kebahagian dan kelebihan pada sifat taqwa seperti yang diterangkan dalam Al-Quran. Antaranya kata beliau, taqwa itu sebagai meleraikan kekeliruan dan penebus kesalahan (penyuci dosa-dosa). Orang yang bertaqwa juga akan selamat dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, dikurniakan ia Ilmu Ladunni, hidupnya lapang, dimurahkan rezeki, dan orang yang mempunyai sifat taqwa akan dimuliakan Allah di dunia dan akhirat.

Perkara Yang Baik Memadamkan Yang Jahat

“Point kedua ialah gesaan agar segera melakukan kebaikan apabila sudah terlanjur berbuat kesalahan. Bertaubat kepada Allah dan melakukan amal-amal soleh dengan meninggalkan keburukan apa yang telah dilakukan dahulu.” Sambung ustaz Tirmizi lagi.

Para ulamak berbeda pendapat mana menafsirkan kalimah ‘Hasanah’ dalam hadis tersebut. Setengah daripadanya mengatakan, yang dimaksudkan dengan Hasanah dalam hadis tersebut ialah ‘taubat’. Manakalah jumhur berpendapat apa yang dikehendaki pada hadis itu adalah ‘taubat nasuha’.

“Perlu diingat, orang yang bertaqwa itu tidak terlepas daripada melakukan dosa. Inilah adalah aqidah kita. Kerana mereka tidak maksum. Yang maksum hanya para nabi dan rasul.”

Seseorang yang memiliki sifat taqwa, apabila terlanjur melakukan dosa maka ia akan segera bertaubat kepada Allah. Taubat berasal daripada kalimah ‘taaba’ yang bermaksud kembali. Bertaubat kepada Allah bererti kembali kepadanya dengan melakukan yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar. Melakukan kesalahan adalah tabiat semulajadi manusia. Oleh itu apabila kita melakukan kesilapan, kita dituntut agar mengiringi kejahatan tersebut dengan amal soleh kerana ia boleh menghapuskan kejahatan tersebut.

Bergaul Dengan Manusia Secara Baik

‘Dan sabda baginda lagi, bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’ Kata beliau.

‘Nabi mengucapkan hadis ini secara umum dengan tidak mengkhususkan kepada mana-mana manusia, agama, atau bangsa. Dengan makna bahawa bergaul dengan semua manusia tidak kira dia orang Islam atau kafir.’ Tambahnya lagi.

‘Yang dimaksudkan bergaul secara baik dengan orang kafir ialah dengan berlaku adil terhadap mereka. Menunaikan setiap hak-hak mereka sebagai hamba yang diciptakan Allah. Inilah keindahan ajaran Islam. Islam merupakan agama yang adil dan Islam menyeru umatnya agar sentiasa berlaku adil dalam segala perkara.’

‘Bergaul secara baik dengan manusia adalah dengan mempamerkan akhlak mulia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah.’ Terang ustaz.

Rasulullah merupakan sebaik-baik makhluk. Baginda adalah sebaik-baik Qudwah yang mesti diteladani dan dicontohi oleh orang-orang yang beriman. Baginda bergaul dengan manusia secara baik. Baginda memuliakan para Sahabatnya dan ahli keluarganya. Baginda mencintai umatnya. Baginda menghormati penganut-penganut agama lain. Baginda menunaikan hak-hak setiap kalangan manusia tidak mengira bangsa, keturunan dan agama. Sebab itu Allah mengisytiharkan bahawa baginda adalah ramhat buat seluruh jagatraya.

Mengakhiri kuliah subuh pagi itu Ustaz Tirmizi menyimpulkan.

‘Berdasarkan hadis yang kita bacakan tadi, para ulamak mengistinbatkan hukum. Orang yang soleh ada dua perkara padanya iaitu orang yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah dan hubungan yang baik sesama manusia.’

Usai kuliah serentak para jemaah mengikuti ustaz Tirmizi membaca kalimah,

‘Hasbiallahu laa ilaha illahu ‘alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul arsyil ‘azhim’


Allahumma Faqqihna Fid Dien!


Dhiya’
Surau Al-Muhajirin
Kuala Terengganu

Milik Siapakah Hati Ini?


Ada yang membekas di hati saya usai program Ilaj al-Qulub semalam. Hati saya benar-benar basah. Hati saya seperti disimbah air dingin. Sejuk dan menyengarkan. Saya tersedar. Lalu saya bertanya milik siapakah hati ini?

Pandangan ku lontarkan jauh nun di sana,
merenung kembali perjalanan hidup,
ranjau dan onak yang telah dilalui,
semua berputar sekali lagi dlm mindaku…
Ya Allah… jauhnya aku padaMU,
dalam mengejar cinta seorang bernama insan,
aku kecewakan dan abaikan engkau,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering terleka dan lalai,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering tersasar meletakkan kasih itu,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering mengabaikan ‘cinta’ ilahi Rabbi,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering mengabaikan kewajipanku pada ilahi,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering melakukan kesilapan dengan dosa-dosa,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering berkata ‘ala, dosa kecil jer… ’
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku tidak sedar yang dosa ku anggap kecil itulah yang ‘gelapkan’ hatiku,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku buta dalam menilai cinta yg tulus dan ikhlas,
dalam mencari cinta hakiki seorang insan,
aku sering disakiti, dikecewakan dan ditinggalkan…
hatiku milik siapa???
adakah hatiku milik insan yang tidak tetap hatinya?
adakah hatiku milik insan yang cintanya ada batasan?
adakah hatiku milik insan yang cintanya sementara waktu?
adakah hatiku milik insan yang bermusim kasihnya?
adakah hatiku milik insan yang rapuh hatinya pada ilahi?
adakah hatiku milik insan yang tiada KALAM ilahi dalam hatinya?
adakah hatiku milik insan yang leka dengan duniawi?
adakah hatiku milik insan yang lupa akhiratnya?
inikah yang aku mahu letakkan hatiku padanya???….
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim…
baru aku sedari yang hatiku begitu jauh dariMU,
baru aku sedari yang hatiku terlalu kotor,
baru aku sedari yang hatiku ini ceteknya keimanan,
baru aku sedari yang hatiku penuh dengan sifat nifak,
baru aku sedari yang hatiku ini penuh dengan bisikan syaitan,
baru aku sedari yang hatiku ini penuh dengan duniawi…
Ya Hayyum, Ya Qayyum, Ya Latif…
ada padaMU sifat kekal…maka kekalkanlah hatiku menuju nurMU
ada padaMU sifat berdiri dengan sendiri… maka kuatkanlah hatiku dlm ranjau duniawi agar ku bisa berdiri dengan kekuatanMU,
ada padaMU sifat lembut… maka lembutkanlah hatiku menuju maghfirahMU…
Ya Allah, Ya Rabbi,
jangan Kau kelamkan hatiku dengan kegelapan dunia kini,
campakkan cahaya hidayahMU ke dalam hatiku,
moga dapat aku berikan sedikit,
cahaya itu buat mereka yang kegelapan,
semoga segala yang ku lakukan hanya untukMU,
hanya untuk merebut kasihMU yang Agung,
hanya untuk mencapai redhaMU,
di dunia dan akhirat….

Ameennn Ya Rabbal ‘Alamin…


Dhiya'
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kuala Terengganu