AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!

Futuwwah


Sufi bukannya kain

Fil Makkah da’im bermain

Ilmunya zahir dan batin

Menyembah Allah terlalu rajin

Dia terjaga ketika mendengar kalimat itu membisik di telinga. Dia ingat itu syair Hamzah Fansuri yang sering dibacakannya hingga hafaz. Dia lalu bingkas mengambil wuduk. Dia mahu bersolat sunat.
 
Setiap malam dia habiskan dengan berzikir. Zikir aneh, kadang bunyi zahir. Kadang juga menggumam di dalam dada. Sambil memejamkan mata. 100...400...1000 bahkan melebihi hingga tidak terkira.

Afdhalu zikri La ilaha illallah

ingatkan jangan ghaflah

tashdiqkan ujud Allah
 
Dia tenggelam dengan zikir dan hanya sedar seketika fajar subuh hampir terbit. Dia dapat merasakan lazatnya zikir. Dia merasa dzauk!

Zikrullah jangan kau jemu

maknanya hasil kepada hatimu

Sucikan dahulu makrifat kamu

boleh di sana karam diri kamu
 
Masanya dipenuhkan dengan berzikir dan merenungi hakikat penciptaan. Dia berusaha meneroka ke dalam diri. Sehelai demi sehelai kitab suci dihafaz dan ditadabburkan. Dia diajar agar selalu bertaubat. Dan dipesan supaya bermujahadah menghindarkan diri daripada penyakit hati.

“Enta jagalah nafsu setiap waktu..” gurunya berpesan.

Dia sedang belajar menyucikan hati. Berusaha menjadikan seberkas cahaya yang terlindung dibalik hati bersinar semula. Dia belajar bersahabat dengan Tuhan.

“Dalam diri enta ada seberkas cahaya, tapi tertutup oleh tirai nafsu dan lalai...” Wajah tua tuan guru dengan janggut putih mencacak dan serban putih digulung rapi hadir jelas. Tuan guru merenung tanpa bersuara.

“Ana hanya memilih orang muda macam enta anakku. Entahlah ahli futuwwah sebenar, anak muda penuh etika. Hanya dengan futuwwah dapat diselamatkan dunia Islam sekarang ini...” bibir tuan guru berkumat kamit.

“Allah menggunakan kalimah Fata untuk merujuk kepada golongan pemuda yang berani memusnahkan berhala. Pemuda itu namanya Ibrahim. Jika Ibrahim alaihissalam menghancurkan berhala. Enta, anakku, menghancurkan berhala yang lain...” tuan gurunya tersenyum.

Gurunya seorang pengamal tarekat yang telah berada di makam yang tinggi. Setiap malam dia ikut berzikir. Kadang berlima, sering juga dalam jemaah yang lebih ramai. Pernah gurunya membingungkan orang kerana naik terbang ke udara dalam satu majlis zikir. Aneh!

“Sudah saatnya anakku enta bersedia. Entahlah pemuda yang ditunggu. Hancurkan berhala moden ini. Maruah umat di tangan enta.”

Tuan guru duduk berhadapan dengannya, lutut bertemu lutut. Dia dibai’ah dengan hati tenteram dan tenang. Dia diberi minum air bercampur garam. Air itu tanda makrifat dan kearifan, sedang garam ialah keadilan. Kemudian disarung sarawal sebagai tanda kesopanan dan warak. Dia lalu dipakaikan tali pinggang sebagai tanda keberanian dan kehormatan.

Dia adalah Fata. Pemuda yang mewarisi futuwwah!


Al-Faqir Ila Rabbi Al-Qadir

Dhiya' Al-Qadiri
Jami’ah Al-Sulthan Zain Al-Abidin
24 RabiulAwal 1432H


Catatan: Dalam bahasa Inggeris disebut mystical youth atau spiritual chivalry, manakala dalam bahasa Parsi dikenali sebagai jawanmardi; atau bermaksud etika atau kesatriaan spiritual dengan ciri-ciri tertentu – ilmu futuwwah atau etika adalah sebahagian daripada cabang ilmu sufi.

MIMPIKAN AKU TUHAN


Petang itu seluruh kedaerahan ini mendung. Bumi dibasahi air hujan. Di atas, langit kelam dipenuhi awan-awan. Hujan masih turun rintik-rintik. Kereta terus meluncur membelah laluan menghala ke Kuala Terengganu. Arahnya hendak ke Lapangan Terbang Sultan Mizan Zainal Abidin. Di dalam kereta, saya, Ustaz Yusof dan Ustaz Abdillah Hisham bersama Syeikh Ali Al-Banjari dan pemandu universiti. 

“Ya. Perbanyakkan membacanya tiap-tiap ketika.” Pesan Syeikh Ali Al-Banjari. Saya yang sedari tadi menekuni setiap nasihatnya sambil mengangguk-angguk kepala. Tangan masih memegang buku ‘Bekal Akhirat’.

“Syeikh, bisa tasmi’..” pinta saya pada beliau.

“Ya.” Balasnya. Saya lalu memperdengarkan bacaan ‘Sholawat Al-Azhamiah’ terkadang beliau membetulkan bacaan saya jika ada yang tersalah.

Sedang Merindu

Saya sedang merindui seseorang. Seseorang yang tidak pernah saya kenali dan temui. Merindui seseorang yang tidak dikenali dan tidak pernah ditemui pasti terasa pelik. Tapi ternyata itulah yang saya alami saat ini. Dan saya sedang berusaha mengenalinya. Tapi bertemu dengannya? Itu belum saya tahu. Cuma saya berharap agar bisa bertemunya. Semoga!

Dicatatkan di dalam Syamail Tirmizi mengenai bab melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam di dalam mimpi, Abdullah bin Mas’ud radhiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda bahawa, “Dia yang melihatku di dalam mimpi, sebenarnyalah melihatku kerana syaitan tidak dapat menyerupai mukanya dengan wajahku.”

Anas radhiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpiku hanyalah melihat akan daku kerana syaitan tidak dapat menyerupai wajahku. “Baginda juga bersabda bahwa mimpi seorang yang beriman (yang dipimpini oleh malaikat) adalah satu daripada empat puluh (1/46) bahagian daripada kenabian.”

Mahu Bertemu

“InshaAllah, dengan izin Allah subhanahu wa ta’ala pasti akan bertemu...”

Kata-kata Syeikh Ali Al-Banjari itu masih tergiang-giang ditelinga saya. Sewaktu memasuki waktu tidur, saya sempatkan untuk membaca Sholawat Al-Azhamiah. Pesan Syeikh Ali Al-Banjari agar membacanya sebelum tidur, juga bisa dibaca pada waktu-waktu lain, sebanyak yang mungkin pesannya.

‘اَللّهُمَّ اِنِّيْ أسْاَلُكَ بِنُوْرِ وَجْهِ اللهِ الْعَظِيْمِ الَّذِي مَلأ أَرْكانَ عَرْشِ اللهِ الْعَظِيْمِ وَقَاْمَتْ بِهِ عَوَاْلِمُ اللهِ الْعَظِيْمِ أَنْ تُصَلِّىَ عَلَى مَوْلانَا مُحَمَّدٍ ذِي الْقَدْرِ الْعَظِيْمِ وَعَلَى آلِ نَبِيِّ اللهِ الْعَظِيْمِ بِقَدْرِ عَظَمَةِ ذَاْتِ اللهِ الْعَظِيْمِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا فِيْ عِلْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ صَلاةً دَاْئِمَةً بِدَوَاْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ تَعْظِيْمًا لِحَقِّكَ يَا مَوْلانَا يَا مُحَمَّدُ يَا ذَا الْخُلُقِ الْعَظِيْمِ وَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ مِثْلَ ذَلِكَ وَاجْمَعْ بَيْنِىْ وَبَيْنَهُ كَمَا جَمَعْتَ بَيْنَ الرُّوْحِ وَالنَّفْسِ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا يَقَظَةً وَمَنَامًا وَاجْعَلْهُ يَارَبِّ رُوْحًا لِذَاْتِىْ مِنْ جَمِيْعِ الْوُجُوْهِ فِى الدُّنْيَا قَبْلَ الأخِرَةِ يَا عَظِيْمُ

Ertinya:- Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan Nur Wajah Allah yang Maha Besar, yang memenuhi segala penjuru ‘Arasy Allah Yang Besar, dan dengannya berdiri seluruh alam Allah yang Agung. Moga Engkau berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W yang mempunyai martabat yang agung dan ke atas keluarga Nabi Allah Yang Besar, dengan kadar kebesaran Zat Allah Yang Maha Besar, pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah Yag Maha Besar, dengan selawat yang berkekalan sebagaimana kekalnya Allah Yang Maha Besar, Penghormatan bagi Engkau wahai tuan kami, wahai Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang besar (indah). Salam kesejahteraan daripadaMu ke atas keluarganya seperti yang demikian itu juga. Himpunkanlah di antara aku dan dia (Nabi Muhammad S.A.W ) sebagaimana Engkau menghimpunkan antara roh dan jasad, zahir dan batin sama ada ketika sedar atau tidur. Jadikanlah dia (Nabi Muhammad S.A.W ) wahai Tuhanku, roh bagi zatku daripada sekalian wajah (keadaan) di dalam dunia ini sebelum hari akhirat, wahai Allah yang Maha Besar.

Amen! Perkenankan Ya Allah...


Al-Faqir Ilallah!
Dhiya’ Al-Qadiri
Jami’ah Al-Sulthan Zain Al-Abidin
8 RabiulAwal 1432H