AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!

Saya Cintamu Kerana Allah: Edisi ‘Eidul Adha

“Sayang, khusyuknya baca buku sampai tak perasaan lipas dekat kaki.” Zahra seakan tersentak mendengar kata-kata saya. Dia terkejut besar. Pantas dia bingkas dari sofa berwarna hijau daun itu, berlari ke arah saya. Wajahnya yang dibanjiri kaget lalu dalam gesa-gesa dia menghamburkan diri pada tubuh saya.


“Abang , mana lipas tu?” Dalam tenaga yang tinggal sisa, bibir manisnya bersoal. Wajahnya tampak sedikit pucat. Ada sisa peluh yang merembes keluar dicelah-celah dahi. Saya sapu lembut manik-manik jernih pada wajahnya. Degupannya masih terasa laju. Wajahnya yang tadi tampak kerisauan berubah segera tatkala melihat tingkah saya. Saya hadiahinya senyuman yang paling indah.


“Owh..Takut lipas ye..Hehe..’ perli saya.


“Abang...!” wajahnya benar-benar berubah. Kemerah-merahan. Kala marah seperti itulah. Dia berpaling muka lalu berjalan ke tempat duduknya tadi. Hati saya mulai disapa resah. Isteri saya benar-benar merajuk. Saya perlu segera memujuknya. Jika tidak tidurnya malam ini pasti bertentangan. Saling membuntuni. Saya mengikuti langkahnya. Saya duduk di lantai berdepanan dengannya. Benar-benar dihadapanya. Dia menundukkan wajanya yang ayu, penuh kemerah-merahan. Saya cuba mencuri-curi pandang wajahnya. Terkadang dia cuba mengelak tanpa berkata sepatah apa pun. Rambutnya yang mengilai sampai ke pinggang sekali sekala menari bersama hembusan angin dari celah jendela seiring tirai berwarna biru laut.


Saya menghulurkan tangan mengenggam setiap jari-jemarinya. Saya usap-usap lembut tangannya. Dia masih menunduk. Saya ciumi tangan isteri tercinta itu penuh takzim.


“Maafkan abang sayang.” Bisik saya.


Zahra tidak juga berganjak meski sejengkal. Dia seolah-olah pepatung yang tetap kaku. Saya menggetap bibir. Geram, kecewa, menyesal, bersalah.. Argh! Segala kini bercantum sehingga saya tidak kenal perasaan sendiri. Saya damaikan jiwa.


Saya cuba selusuri wajah mulusnya. Perlahan saya ajukan jari-jemari ke dagunya. Saya angkat ke atas, dia membiarkan. Lantas kami bertentangan.


“Sayang, pandang muka abang.” Saya ingin suarakan sesuatu. Bola mata saya tepat pada wajahnya yang halus putih. Dia menarik nafas diam. Matanya pantas menyambar pandangan saya. Mata kami bertembung, menyatu dan bercantum. Perasaan dingin menusuk-nusuk pada celah rongga tubuh dalam segenap ruh dan jiwa.


“Ya suamiku?” nada bicaranya benar-benar menyejukkan hati. Dia sememangnya isteri solehah yang mengerti hal agama. Dia wanita misthali, isteri yang taat pada suami.


“Ya Humairah, wajahmu sangat indah, seindah bulan purnama sayang.”


“Abang ne…”


“Iye sayang. Bila merajuk semakin cantik pula.” Tambah saya lagi.


“Dah lah bang. Malu lah.” Wajahnya semakin merah. Malu dengan pujian-pujian saya yang semakin menebar.


“Iyela. Kalau macam ni bolehlah bergurau sokmo dengan sayang kan. Jadi bertambah cantiklah isteri abang. Hehe…” Gurau saya mencetuskan gelak sesama kami. Suasana jadi riuh dengan lagak kami. Bahagia!


“Abang, cuba tengok muka saya, ada yang tidak kena tak?” bisik Zahra perlahan.


Saya dekatkan muka memerhatikan setiap jalur raut wajahnya penuh teliti.


“Tidak ada apa-apa sayang. Molek je.”


“Cuba abang tengok baik-baik.”


“Betul sayang, elok je.” jawab saya dalam keliru.


“Nah!”


Tiba-tiba jari Zahra menggetip hidung saya. Dia ketip dengan kuat, hingga membuatkan saya sesak dalam nafas. Saya cuba berkata-kata, tapi nadanya kedengaran sengau. Zahra semakin galak ketawa. Dia menggilai riang. Setelah dilihatnya keadaan saya yang semakin lemas dia segera melepaskan jarinya. Hidung saya membekas merah. Dia berlari-lari keriangan di ruang tamu. Bersama gelak tawa, dia mengacah-acah supaya saya ikut mengejarinya. Nakal sungguh!


“Abang, nampak handsome tau macam tu…”


“Hidung mancung, kemerah-merahan. Dah macam ‘orang putih’.”


“Lepas ni boleh lah selalu buat macam tu. Hehe…” giliran Zahra pula mengenakan saya.


***


“Abang belum siap laporannya lagi?” tanya Zahra. Saya sedang menyiapkan laporan program universiti bagi Fakulti Pengajian Islam sepanjang semester lepas dan ianya harus segera diserahkan sebelum hujung minggu ini. Saya hanya tinggal perlu mengedit dan mengemaskini sahaja kemudian selesai.


“Belum lagi sayang. Sikit lagi.”


“Sayang baca apa tadi, khusyuk nampak. Sampai tak perasaan apa pun.” Perli saya.


“Saya tengah baca buku, ‘Tokoh-tokoh wanita disekitar Rasulullah SAW’, karangan Muhammad Ibrahim Salim.” Jawab isteri saya.


“Cerita Ummul Mukminin, Khadijah binti Khuwailid r.ha.”


Mendengar nama wanita mulia itu hati saya jadi basah. Kerinduan tiba-tiba memuncak.


“Ummul Mukmini. Salam sejahtera ke atasmu wahai wanita mulia.”


Tidakkah hati tersentuh, kala nama itu disebutkan. Khadijah! wanita pertama yang beriman kepada Baginda Nabi SAW disaat orang lain memungkarinya. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolongnya dengan jiwa, harta dan keluarga. Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.


Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada risalahnya, dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga. Bukankah semasa ketiadaannya baginda Nabi SAW sering sahaja menyebut-nyebut namanya dan memuji-mujinya. Betapa mulia wanita ini di sisi Rasulullah SAW.


“Abang tahu bukan…” Zahra mahu berbicara. Dia menarik nafas. Teh yang tadinya panas kian menyejuk. Saya teguk sedikit. Ahh! Nikmat.


“Sesungguhnya Khadijah adalah nikmat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah, beliau bersama-sama Rasulullah untuk selama suku abad, mencucuri Baginda dengan belai kasih sayang…”




“Kala Baginda butuh pertolongan, di saat-saat genting dan meruncing, di waktu-waktu kegawatan beliau ada di sisi menyokong dan membantu Baginda, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah ke medan jihad suci, berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya.”




“Pernah Rasulullah menyebut-nyebut kelebihan Khadijah dengan sabdanya yang bermaksud:




“Beliau beriman denganku ketika manusia kufur dengan ku, membenarkan daku ketika manusia mendustai daku, berkongsikan daku haita-hartanya ketika manusia lain enggan memberi daku, dan Allah mengurniakan darinya anak-anak dan tidak mengumiakan anak dari yang lain.”


(HR. Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118)




“Abang…” wajahnya terlukis dengan jalur-jalur serius. Sesekali angin kipsas yang sedang ligat berputar di atas siling menampar-nampar lembut wajah kami.


“Saya mahu menjadi Ummul Mukmini, Khadijah binti Khuwailid…” bicaranya tersekat. Menarik nafas panjang seakan menyeru semangat kedua untuk berbicara lagi. Saya masih menanti. Saya gengam tangannya.


“Saya mahu menjadi Khadijah, membawa panji dakwah dan jihad bersama abang, berjihad dan bekerja keras. Berkorban harta, jiwa dan raga. Yang tetap berdiri di belakang suami hingga nafas terakhir.” Bicara tersimpan penuh makna. Menembus ruh jihad dalam diri. Pipinya dibasahi air mata yang mengalir perlahan. Saya seka air yang bergenangan. Saya tatap wajahnya dan membalas dengan anggukan. Lantas dia rebahkan ditubuhnya ke arah saya. Saya peluk dia erat-erat. Jiwa, perasaan dan roh kami menjadi satu dalam rasa cinta yang tulus. Cinta demi menjunjung agamanNya.


“Uhibbuki ya habibati.” Bisik saya dalam-dalam. Penuh perasaan.


***


“Abang, nanti di sana jaga diri elok-elok ye.” Dalam sayu Zahra memesan. Sambil tangannya bergerak-gerak melipat pakaian saya dan memasukkan ke dalam beg. Saya akan berangkat ke Palestin bersama rombongan Jamaah bagi menyertai misi menyelamat di sana.


“InsyaAllah sayang.” Jawap saya perlahan. Terkadang pada fikiran saya, kerisauan pada keadaan Zahra semasa ketiadaan saya datang mengacau-ngacau. Jika diikutkan saya teramat berat untuk meninggalkan Zahra sendiri. Dia sedang mengandung. Sudah hampir masuk 7 bulan. Puas saya berbicara dengannya. Tapi dia tetap bertegas menggesa agar saya pergi.


“Ini kali pertama sayang melahirkan. Abang mesti ada di sisi, menjaga dan menemani.” Saya cuba meyakinkan dia.


“Abang pergilah. Jangan dirisaukan, Allah ada sebagai pemelihara.” Bicaranya membuatkan saya patah kata.


“Ini panggilah jihad abang. Membantu saudara seIslam, lebih-lebih lagi di bumi Israk yang diberkati itu. Itu lebih utama. Teruskan abang.”


“Jika saya bisa pergi, saya akan turut pergi bersama abang. Berjihad dibumi para syuhada’ itu.” Alangkah hebatnya wanita ini. Jiwanya benar-benar merdeka. Syukur saya pada Allah dikurniakan mujahidah solehah sepertinya.


“Jihad.” Bisik saya dalam hati. Ini adalah amanah dari Allah, amanah dari pimpinan. Ketaatan kepada arahan pimpinan itukan kewajipan. Jika diikutkan nafsu murahan, duduk dirumah bersama isteri itukan lebih menyenangkan. Atau boleh sahaja saya minta pengecualian dari pucuk pimpinan atas masyaqqah peribadi. Tapi? Jihad! Pengorbanan! Dakwah! Agama! Taat! Jika tidak memikirkan itu semua. Alasan…alasan…


“Abang, inilah pengorbanan. Berjuang itukan berkorban. Bukankah itu yang selalu abang pesankan pada saya.” Kata-kata Zahra benar-benar membakar semangat saya.


Zahra terdiam lama, seperti mengumpul kekuatan bagi menampung kesedihan yang bakal menjengah. Barang-barang sudah siap dimuat ke dalam kereta. Saya perlu berangkat ke markas Jamaah malam ini, kerna ada taklimat terakhir dan persiapan sebelum berangkat keesokan paginya. Sepanjang pemergian, Zahra saya tinggalkan bersama ummi. Itu sekurang-kurangnya mengurangi kebimbangan saya.


“Saya cintakan abang.” Tiba-tiba Zahra menanggkap tubuh saya, dia dakap erat-erat. Sangat erat. Saya rasai degupannya. Dia menangis sedu. Saya jadi sebak. Seakan ingin turut larut bersamanya. Tapi saya cuba gagahi diri. Dia terus teresak-esak. Saya usap rambutnya perlahan-lahan. Jiwa kami menyatu.


“Bukankah Hajar pernah ditinggalkan nabi Allah Ibrahim kerna mentaati titah Rabbul Jalil...” dalam sedan Zahra berbicara. Dia cuba mengingatkan saya tentang kisah agung pengorbanan insan mulia, Hajar dan Ibrahim.


“Di atas lautan pasir dan padang terbuka di mana terik matahari dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang menghembur-hamburkan debu-debu pasir…”


Zahra melepaskan pelukannya. Dia memandang wajah saya. Saya tatap mukanya dengan penuh rasa cinta. Sisa air mata masih merembes keluar. Saya sekat dan sapu pelahan-lahan.


“Menyakini itu semua titah Allah. Hajar redha ditinggalkan Ibrahim.” Saya masih terus mendengar isteri tercinta bermadah dengan penuh perasaan. Bicaranya lembut hingga menyentuh hati saya.


“Inilah pengorbanan, bang. Saya mahu berkorban. Saya redha sama seperti redhanya Hajar.” Saya mengangguk perlahan, melempias senyuman. Tubuh saya terasa damai. Seolah-olah ada titis embun yang menyelinap masuk pada ubun-ubun kepala lalu turun ke setiap pejuru tubuh.


Saya jadi teringat kata-kata Nabi Ibrahim sewaktu meyakinkan Hajar.


‘Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah.’


Dalam hati yang terus dibasahi rasa cinta. Saya ciumi isteri. Sambil ruh saya bersyair-syair dengan untaian tasbih, tahmid dan takbir.


“Sayang, abang ada puisi untukmu. Dengar ya! Jangan terlepas meski sepatah pun.” Lirih saya. Zahra tersenyum manja. Dia merebahkan kepalanya ke dada saya. Saya usap rambutnya lalu melantunkan puisi itu.


Wahai isteriku,


Di kala kita berjauhan,


Kau sentiasa di hatiku,


Dalam Doaku,


Perpisahan nan sementara,


Demi perjuangan mencari redhanya,


Mengikat kasih, Kuntuman mesra,


Antara kita di mahligai cinta.




Ku tahu, Kau pun tahu,


Perpisahan itu sepahit hempedu,


Namun kita telan jua,


Kerana penawar disebaliknya.




Allah matlamat kita,


Cinta-Nya atasi segala,


Kita bukan Romeo Juliet,


Bagai belangkas di tepian pantai,


Cinta kita hanya kerana-Nya,


Oh Isteriku…[1]






Salam ‘Eidul Adha


Maaf Zahir & Batin


Dhiya’


Tawau, Sabah




[1] Hasil Nukilan: Rosli Osman, PMRAM

Istikharah, Bila Harus Memilih


“Ustazah sangat setuju kalau enta jadi dengan dia. Ustazah yakin dia muslimah yang baik.” Ungkap itu terus-menerus membisik di rongga telinga. Suara itu seperti terus mahu bertamu di indera dengar.

Meniti hari-hari akhir sesi kuliah dan peperiksaan akhir yang kian hampir, ditambah bebanan kerja yang belum dilunaskan, ia benar-benar menganggu saya. Saya masih merenung hajat besarnya. Bahkan hampir setiap waktu yang saya jalani sekarang ini dikunjungi bicaranya.

Malam hampir menjengah larut. Saya lihat jam pada dinding, sudah pukul 11.43 malam. Saya masih lagi leka menjamah perbicaraan Sirah Nabawiyyah pada Kitab Fiqh Sirah karangan ulamak terkenal, Syekh Dr Said Ramadhan al-Buthi. Saya teguk secawan teh di atas meja. Ahhh! Nikmat.

“Zaid. Ustazah ada hajat besar….” Sewaktu saya sedang sibuk berkelana dengan kitab Hadis di Maktabah Al-Mukhtar, Ustazah Safiyah memulai kata-katanya dalam telefon. Bekas pensyarah saya semasa kuliah Dakwah dahulu. Mendengarkan suaranya yang lembut sedikit serak, membuatkan saya teringat-ingat wajah mulusnya. Wanita yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan, yang saban waktu menitipkan pesan-pesanan takwa, yang setiap ketika meniupkan semboyang-semboyang jihad ke dalam jiwa.

“Enta kenal Nurul Husnah. Junior enta sewaktu kuliah di sini.” Jiwa saya seakan berombak mendengar nama itu. Masakan saya tidak kenal wanita ini. Yang turut sama dengan saya melalui medan perjuangan di kuliah dahulunya. Cuma bezanya saya lebih senior dan sudah tamat pengajian. Sedang dia masih berbaki setahun lagi. Iras mata wanita berpurdah itu seakan membayangi bicara kami.

“Beberapa hari lepas dia ada mendatangi ustazah. Ia punya hajat besar. Ia minta dicarikan pemuda yang sesuai untuk dirinya…” Saya kaku hanya membiarkan telinga mendengar tanpa sepatah kata.

“Dan dia ada mengisyaratkan enta orangnya.” Mendengar kata-kata itu, keringat dingin pada tubuh saya keluar.

Saya sudah tidak ingat di mana perenggan yang saya baca tadi. Saya menjadi benar-benar keliru. Perenggan kedua atau ketiga. Serasa-rasa tiga, sekali pula diyakini empat. Tumpuan saya benar-benar hilang. Saya tutup kitab Fiqh Sirah itu. Saya ingin bingkas ke bilik air. Saya hendak berwuduk. Sewaktu bangkit bola mata saya jatuh pada sebuah novel yang tersusun di atas rak buku. Saya teringat novel itu pemberian seorang teman yang sangat saya kagumi peribadinya.

“Marina?” hati berbicara sendiri. Sudah lama saya tidak mendengar perkhabaran darinya menjadikan saya terlalu rindu. Boleh jadi kesibukan membataskannya, sama seperti saya yang mengharung hari-hari yang sibuk, menelaah kitab-kitab, menulis dan menghadiri kuliah. Ianya sudah menjadi sebati dengan hidup. Sulam dalam penghambaan.

“Ana hadiahkan enta novel ini. Bacalah, ianya sangat sesuai untuk lelaki seperti enta. Semoga mendapat hikmah dan pengajaran.” Bicaranya tatkala menyerahkan novel itu benar-benar menyentuh jiwa. Saya merasa cukup bertuah dapat mengenalinya meski usia perkenalan kami secubit cuma. Namun seusia itulah banyak mengajar saya. Hidup menjadi seseorang.

Bagaimana keadaannya sekarang? Sihatkah dia agaknya? Soalan itu terbiar tanpa jawapan. Tangan pantas mencapai novel itu. Sungguh saya tidak gemar membaca novel. Seingat saya sewaktu di sekolah menengah saya paling memusuhi subjek Kesusasteraan Melayu. Menatap dan membaca buku-buku sastera berbentuk cerpen dan novel ibarat mencurah air ke daun keladi. Jiwa saya tidak sebati dengan aliran sastera. Tapi entah mengapa kehadiran novel ini benar-benar memberi kesan besar dalam hidup saya.

Perlahan-lahan saya buka kulit pada novel setebal lebih 510 muka surat ini. Saya seakan terhidu kisah cinta yang Islami di dalamnya.

“Marina.” Saya seperti terbayang-bayang wajahnya.

“Terus-terang sahaja zaid. Bukan salah.” Bicara Asmar kala kami sedang duduk berbual-bual di suatu petang, tidak segaja kami berbicara tentang wanita itu. Seumur hidup hanya Asmar seorang yang tahu segala perihal saya, yang saya rasa dan pendamkan. Cinta dan kehidupan, saya kongsikan dengannya.

“Seganlah Asmar. Saya sedar siapa saya. Tidak mengapa Mar, jodoh tidak ke mana.” Jawab saya ringkas. Bagaimana saya hendak meluahkan rasa hati saya padanya. Saya tidak punya upaya. Rasa malu dan rendah diri yang saban waktu mengiringi saya. Sungguh saya tidak kuat. Saya cukup sedar siapa saya.

“Cintakah dia dengan saya sebagaimana cinta saya padanya?” soal saya dalam hati. Saya cukup sedar siapa saya. Rasa rendah diri itulah yang membatasi saya hingga saat ini untuk terus menyimpan dan memendam. Hanya doa yang selalu menemani buat pengubat jiwa di kala kerinduan.

Saya letakkan semula novel itu pada rak buku. Saya terus mengambil wuduk. Usai berwuduk saya bersolat Istikharah. Dalam solat sungguh-sungguh saya minta pada Allah agar membuka hijab disebalik semua yang dihadapkannya ini. Saya harus membuat pilihan. Sekali-sekala wajah Marina membayangi sujud saya dan sekali itu juga bicara ustazah terngiang-ngiang ditelinga.

“Ustazah sangat setuju kalau enta jadi dengan dia. Ustazah yakin dia muslimah yang baik.”

Istikharah! Bila harus memilih.


Dhiya’

KUSZA

Kembali Pulang



Orang bijak pandai ada berkata-kata:


“Perjalanan (bermusafir) itu menghilangkan kesedihan.”


Salah satu ‘perangai’ saya adalah suka berjalan. Saya tidak tahu bila ‘penyakit’ itu mulai saya hidapi. Maka tidak hairanlah kenapa saya bermusafir jauh keberang laut. Ke negeri orang. Saya juga ada menyimpan hasrat untuk mengelilingi dunia.


“Mengelilingi dunia?” Saya tersenyum sendiri.


Cuti semester saya pulang ke Sabah. Penerbangan melalui Lcct Air Port, KL ke Tawau. Teman-teman saya yang lain ada yang berlepas lebih awal dan ada yang lewat. Mereka menaiki kapal terbang dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Sedang saya pula menaiki bas.


“Kenapa tidak naik kapal terbang je?” tanya seorang kawan.


“Kan mudah kalau naik kapal terbang, tidak payah susah-susah naik bas ke KL.” Cadang teman saya.


Memang benar. Ada cara mudah untuk terus ke Kuala Lumpur. Tidak perlu bersusah menaiki bas yang tentunya memakan masa beberapa jam, dengan keselesaan yang terbatas. Tidur (rehat) pasti tergadai. Terpaksa mengusung beg sambil berjalan kaki, menaiki satu tren ke satu tren yang lain. Dari satu stesen ke satu stesen yang lain. Itukan meletihkan.


Segaja saya memilih untuk tidak menaiki kapal terbang ke KL. Bukan kerna pertimbangan kewangan. Tambangnya juga tidak kurang beza. Jadi bukan alasan duit saya memilih untuk menaiki bas ke KL.


PERJALANAN KE KUALA LUMPUR


Ya, saya akui menaiki bas ke KL benar-benar meletihkan. Apatah lagi jika tidak terbiasa, pastinya memancung kudrat. Perjalanan dari Terengganu ke KL dengan bas memakan masa hampir lapan jam. Saya memilih untuk berjalan malam. Semasa dalam bas saya tidak bisa tidur lena, ditambah dengan kedinginan yang melampau, yang menjamah-jamah tubuh saya. Saya sangat sensitif dengan sejuk. Tapi saya gagahi jua.


Kira-kira dalam pukul lima pagi, saya sampai dan turun di Hentian Putra. Dekat dengan PWTC. Saya solat subuh di surau berdekatan. Saya sangat mengantuk kerna tidak bisa tidur lena semalaman di dalam bas. Usai membaca al-Quran saya terlelap. Tidak lama saya diminta keluar kerna surau hendak dibersihkan.


Rasa mengantuk masih belum hilang. Saya mencari tempat untuk berehat. Tiada tempat untuk berbaring, saya duduk di kerusi tempat menunggu bas. Sekali-sekala mata terlelap kemudian terjaga bila tubuh rebah ke tepi. Saya tidak bisa tidur dengan lena. Jam sudah menuju pukul lapan pagi. Boleh sahaja saya terus ke KL Sentral, mengambil bas dan terus ke airport. Tapi saya tidak mahu. Penerbangan saya lambat lagi, pukul 5.55 petang.


Saya berhajat untuk berkunjung ke kedai buku sekitar KL. Itu sebahagian dari hajat saya dan sebab mengapa saya tidak menaiki kapal terbang ke Lcct Air Port KL. Dalam pukul 10 pagi saya menaiki LRT menuju Masjid Jamek. Melalui lorong jalan Masjid India, ada kerinduan yang datang menyapa tiba-tiba. Rindu pada jejak lalu.


“Asmar!”


Saya teringat dia. Dahulu kami selalu bersama melalui jalan ini. Tidak lain hanya kerna mencari buku-buku. Kegilaan pada buku-buku mungkin sudah menjadi-jadi. Setiap kali ke KL, pasti buah tangan berupa buku yang dibawa pulang. Semasa berada di Pahang dahulu, saban waktu kami berkunjung ke KL jika ada program. Lalu sebahagian waktu, kami wakafkan dengan berkunjung ke kedai-kedai buku sekitar Masjid India dan Pudu.


“Banyakknya enta beli buku. Jangan tidak baca pula.” Kata Asmar.


“Ya. Harap-harap dapat dibaca agar tidak dilaknatnya nanti. Nauzubillah” balas saya.


Dan saat ini. Saya hanya berseorangan. Tapi saya merasa dia ada bersama saya. Kenangan itu.


Hampir tiga jam lebih saya berjalan dari satu kedai ke kedai yang lain, hanya kerna buku!


“Kalau nanti enta punya isteri, dan di bawa berjalan ke KL pasti kalian bergaduh.”


“kenapa pulak?” tanya saya kebingungan.


“Sebab seorang nak pegi kedai buku seorang nak pegi kedai kain.”


“Hehee…” saya gelak kecil.


LATIH DIRIMU DENGAN KESUSAHAN


Ada kata-kata yang menjadi pegangan saya sekian lama.


“Sesiapa yang dibiasakan dengan sesuatu perkara maka dia akan membesar dengannya.”


Saya memilih untuk sedikit kesusahan dan kepayahan. Tujuannya untuk membiasakan diri. Bukan saya menolak kemudahan yang tersedia. Bukankah kesenangan itu sangat dekat dengan kelalaian.


Boleh saja saya menelefon teman-teman dan saudara di KL untuk datang menjemput saya. Tidak perlu berletihan mengusung beg dan berjalan kaki.


Boleh saja saya singgah berehat di Kampung Pandan, rumah pakcik. Tidak perlulah bersusah-susah tidur di surau dan kerusi di kawasan awam.


Boleh saja saya menaiki kapal terbang ke KL tanpa perlu berpayahan menaiki bas berjam-jam lamanya.


Tapi tidak, kerna saya memilih sedikit kesusahan. Saya memilih untuk tidur di surau dan kerusi. Saya memilih untuk menaiki bas. Saya memilih untuk berjalan kaki sambil mengusung beg. Saya memilih untuk tidur tidak cukup. Saya memilih untuk berseorangan.


Ya, Saya telah memilih jalan lain. Jalan yang sedikit susah untuk mengajar diri bukan membinasakan diri. Kesusahan bisa menguatkan jiwa, mematangkan minda, menjadi manusia lebih dewasa dan mengenal erti hidup. Yang lebih utama mengenali erti hidup bertuhan.


Sewaktu saya berjalan keseorangan. Saya tidak punya apa-apa. Saya tiada teman. Yang ada hanya Allah. Hanya kepadanya saya butuhkan pergantungan dan pengharapan. Tiada kuasa yang maha hebat selainNya.


Saya masih ingat pesan seorang pensyarah, katanya: “Kamu perlu biasakan diri untuk berada di zon kurang selesa agar kamu tahu bagaimana rasanya kesusahan.”


Kata orang-orang: “Belajarlah untuk tidak bergantung dengan orang lain. Belajar untuk hidup sendiri.”


Saya mahu melatih dan membiasakan diri agar merasai kesusahan. Itulah sebahagian kebahagian yang saya rasai. Dugaan dan cubaan berupa kesusahan adalah sebahagian dari ketentuan Allah sebagai proses pendewasaan. Lihatlah baginda Nabi SAW sebelum diangkat menjadi Utusan, Allah terlebih dahulu menghamparkan kehidupannya dengan segala macam bentuk kesulitan dan kepayahan. Ujian adalah sebahagian proses pentarbiyahan. Ujilah diri dengan kesusahan. Semoga kita bisa dewasa dengannya.


SINGKIR KESEDIHANMU


Saya memetik kata-kata Dr ‘Aidh al-Qarni:


“Melakukan perjalanan dari satu tempat yang lain dan menyaksikan negara lain akan menyebabkan seseorang meraih kegembiraan dan kebahagiaan.“


“Diantara perkara yang dapat melapangkan dada dan melenyapkan awan kesedihan dan kesusahan, adalah berjalan menjelajahi negeri melihat alam sampai ke pelusuk negeri dan berkelilingi ke segala daerah di bumi yang luas ini.”


“Menjelajahi ke beberapa pelusuk negeri merupakan suatu kenikmatan yang disarankan para doktor terutama kepada mereka yang stees menghadapi sesuatu persoalan dan tekanan yang berat dalam hidupnya.”


“Oleh kerana itu kerana itu marilah sesekali kita berjalan menjelajah pelusuk negeri untuk mencari ketenangan bergembira, berfikir, dan sekali gus menghayati ciptaan Allah yang sangat luas ini.”


“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi…”


(Surah al-An’am: 11)




“(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”


(Surah ali-‘Imran: 191)




Jangan biarkan diri anda diselubungi kesedihan berpanjangan. Jika anda ada kesempatan berkunjunglah ke Sabah. Macam-macam ada!


LCCT AIR PORT


Sewaktu saya tiba di Lcct Air Port, jam sudah menunjuk pukul 3.30 petang. Saya lalu segera melaporkan diri. Orang-orang terlalu ramai. Sementara menunggu penerbangan di balai berlepas, saya sempat membaca beberapa muka surat novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tulisan ulamak tersohor Indonesia, al-Marhum Pak Hamka.


Tengah asyik berkelana menekuni watak Zainuddin dalam novel ini, saya disentak dengan pengumuman daripada pihak Air Asia bahawa penerbangan ke Tawau dilewatkan kerna faktor cuaca.


‘Delay.’ Keluh saya.


***


Pukul tujuh lebih kapal terbang mulai menebarkan sayapnya merentasi kabus dan awan yang bergumpalan di langit. Keadaan cuaca yang kurang baik mengganggu penerbangan. Rasa sejuk terus menyengat segenap tubuh saya. Sekali-sekala berlaku gegaran yang membuatkan para penumpang merasa cuak. Saya berdoa dan terus berdoa. Allah begitu dekat dihati.


Teringat saya kisah Nabi Ibrahim AS. Tatkala baginda diletakkan di atas tungku api, Jibril bertanya kepadanya: “Apakah engkau memerlukan sesuatu (pertolongan) dariku?” Ibrahim menjawab: “Aku tidak memerlukan pertolonganmu. Saya hanya perlu pertolongan Allah.”


Saya tiba di Tawau dalam pukul 10 malam. Melihat wajah ayah dan bonda di pintu balai ketibaan, jiwa saya damai. Rasa letih pun hilang. Bebanan menjadi ringan. Saya seakan melihat semua itu terangkat ke langit oleh ruh yang bertasbih, bersyukur dan bertakbir.




Fatuba lil ghuraba’!


Dhiya’


Tawau, Air Port.




Berakhirkah Imtihan?



‘Zaid, balik Sabah bila?’
Pertanyaan seperti itu sering kali menjenguk saya kebelakangan ini. Soalan dari teman-teman.
Cuti semester!
Bila saya menyelak lipatan masa lalu, saya merasa terlalu kerdil. Cepatnya masa digerakkan Allah SWT. Saya seperti terleka bahawa masa itu sedang berlalu meninggalkan saya. Semester pertama sudah berakhir. Saya masih menghitung-hitung jari. Berkira-kira akan amalan diri. Ilmu yang diperolehi. Budi yang dibaktikan. Waktu saya? saya telah wakafkan untuk apa? Kelak Allah Azza wa Jal akan bertanya, masa itu kamu gunakan untuk apa? Astaghfirullah! Ampunkan saya Tuhan.
Saya teringat bait-bait syair al-Mutanabbi. Katanya;


Jangan biarkan masamu berlalu tanpa pengorbanan, sepanjang roh masih setia menemani jasad


PEPERIKSAAN PERTAMA
Saya baru selesai imtihan akhir bagi semester pertama sesi 2009/2010. Sabtu lalu paper terakhir, madah Tafsir. Ini imtihan pertama saya di sini.
Syukur saya panjatkan kepada Allah Azza wa Jal kerna sudi mempermudahkan setiap langkah perjalanan hambaNya yang naif. Semua ini adalah dengan kudratNya.
‘Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah…’
Kalimat itu pantas diangkat tinggi. Selayaknya hanya buat Sang Pemurah. Hebatnya urusan kala disandarkan kepada Penguasa Alam. Segalanya menjadi serba mudah. Sang Penguasa berhak melakukan apa sahaja. Sesulit mana urusan pasti menjadi mudah. Sesukar mana pekerjaan pasti bertukar senang. Seberat mana bebanan tugas pasti Dia sajalah yang akan ringankan. Untuk hambanya. Ya, hanya buat hamba yang sungguh-sungguh mengubudiyahkan diri padaNya.
‘Engkau Yang Maha Pengasih. Engkau Yang Maha Penyayang.’
Bersyukurlah!
***
Berakhirnya sebuah imtihan bukanlah isyarat gembira yang mesti di besar-besarkan. Kerna dihujungnya nanti kita masih tidak tahu. Iaitulah sebuah jawapan. Berjaya atau tidak? Maka saya tidak sudi mengiktiraf ‘kemerdekaan’ selepas peperiksaan. Kerja ini belum selesai. Tugas ini masih panjang. Terlalu cepat untuk kita menabalkan ‘tamat peperiksaan’ sebagai juara. Jangan. Nanti dahulu. Gembiralah, tidak salah. Saya juga gembira. Tapi biar sekadarnya dengan kita iringi rasa syukur, doa dan pengharapan.
Maka saya masih dihujani rasa kerisauan. Mungkin ianya perpanjangan sampai bermulanya kuliah bagi semester akan datang.
***
Saya cuba mengimbas semula musim peperiksaan lalu. Jika anda perasan, anda akan terlihat pelbagai ragam mahasiswa. Ada yang tidak pernah ke Maktabah, di musim periksa asyik muka dia sahaja di dalam maktabah. Ada yang tidak pernah ke surau atau masjid, bila dimusim periksa, bukan main istiqamah ke masjid. bilal tidak sampi lagi, dia dah sampai dulu. Ada wajah yang berkerut seribu. Ada yang senyum dan bercakap seorang diri. Ada yang menangis. Ada yang sanggup untuk tidak tidur malam. Yang tidak makan juga ada. Ada yang terlanggar tiang kerna terlalu khusyuk menatap nota sambil berjalan. Ada yang terjatuh ke dalam longkang. Pendek kata macam-macam ada. Fe’el manusia dimusim imtihan.
Semua hanya kerna secebis kejayaan. Bertuahlah orang-orang yang menyandarlah segala amal kerjanya hanya untuk Allah. Berjaga malam memuraja’ah kitab kerna Allah. Menghafal kernaNya. Menulis kernaNya. Menghadapi peperiksaan akhir hanya kerna. Merekalah orang-orang yang beruntung. Setiap penat lelah mereka akan dihitung. Setiap denyut nadi dan hembusan nafas dikira Allah. Segala usaha ditimbang Allah dengan adil dan saksama. Lalu Allah SWT menyediakan untuk mereka ganjaran berupa nikmat-nikmat yang tidak pernah didengari telinga, dirasai juga dilihat mata.
SAYA DAN IMTIHAN
Sedang saya mungkin seperti itu. Tapi tidaklah sampai terlanggar tiang. Hampir setiap malam saya tidak tidur kerna berjaga memuraja’ah madah untuk imtihan. Saya mengajak teman-teman serumah untuk turut berjaga, tapi mereka tidak boleh berbuat demikian, tidak biasa katanya. Mungkin kerna saya sudah terbiasa sewaktu diploma dahulu. Lalu ia menjadi ‘penyakit’. Berjaga semalaman tanpa tidur. Kesian pada anggota tubuh yang tidak tertunaikan haknya.
Akhirnya kemuncak kepada perangai saya itu, saya diserang penyakit lama. Sudah lama saya tidak menghidap kesakitan yang semacam ini. Hampir semalam saya berperang dengan kesakitan yang memuncak. Saya sudah tidak ingat lagi apa-apa kecuali Allah. Saya munajat, saya baca doa-doa mathur. Saya rayu sungguh-sungguh pada Tuhan. Sembuhkan Ya Allah! Sembuhkan!
Inilah akibatnya. Mujurlah waktu peperiksaan sudah selesai.
USAHA + TAWAKKAL
Usaha dan tawakkal. Dua perkara berbeza tapi ianya saling bersangkutan, ianya bercantum dalam satu ramuan. Tidak bisa tidak kedua-duanya mesti seiring sejalan. Usaha tidak cukup tanpa tawakkal. Tawakkal tidak menjadi jika tiada usaha. Kata Dr ‘Aidh al-Qarni, usaha yang disertai dengan tawakkal kepada Allah  adalah salah satu punca menuju kebahagiaan.
Seorang sahabat bertanya kepada baginda Nabi SAW: “Apakah saya harus mengikat unta saya, ya Rasulullah, atau harus bertawakkal sahaja?” Rasulullah SAW menjawab: “Ikatlah ia terlebih dahulu, barulah bertawakkal.”
Nah! Itu satu isyarat betapa dalam apa-apa hal, kita mesti terlebih dahulu berusaha lalu diiringi dengan penyerahan kepada Allah Yang Maha Kuasa. Kerna usaha dan bertawakkal adalah prinsip tauhid. Usaha tanpa disandarkan dengan tawakkal kepada Allah adalah kecelaruan dalam memahami tauhid.
Maka perkara penting yang mesti kita perbuatkan setelah berusaha sungguh-sungguh dalam mengharungi detik-detik peperiksaan adalah menyandarkan diri kepada Tuhan, tawakkalnya dan merasa cukup dengan perlindungan, penjagaan dan pengawasanNya.
"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah Yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua Yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan"
(Surah al-A’raf: 196)
DOA DAN TAWAKKAL BEKALAN DIRI
“Berdoalah dan bertawakal kepada Allah.”
Mendengar kalimah itu perasaan saya sedikit kecamuk. Bukan runsing, tetapi saya disapa kerinduan kepada kisah silam yang menyimpan penuh makna. Kalimah itu sering dibekalkan kepada saya. Itulah santapan  rohani buat sang anak yang bepergian jauh disebarang laut. Kalimah itu sering saya dengari terbit dari rahim mulut seorang manusia bernama ‘Ayah’.
‘Ayah…’
Manusia yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Saya rindukan suaranya. Mana tidaknya saya membesar bersama ungkapan ini. Ayat-ayat yang pernah saban waktu menimbulkan keraguan kepada saya dahulunya kerana masih belum bisa berfikir matang. Jahil. Akal saya masih budak, masih tidak tahu apa-apa. Lalu ayat-ayat ini juga yang menyakinkan pada saya erti hidup bertuhan. Hidup bergantung hanya kepada Allah Azza wa Jal.
‘Doa dan tawakkal.’
Saya ingat kata-kata itu lagi.
Maka setelah pelbagai usaha dan pengorbanan yang kita lakukan dan persembahkan untuk peperiksaan ini, pastinya kita merasa terlalu lelah. Alangkah indahnya jika segala jerit payah kita selama ini disandarkan kepada Yang Kuasa, Allah Azza wa Jal.
Ibn Mu’tazz, pernah bersyair:
Demi Allah, alangkah lurusnya jalan hidup orang yang bertawakkal kepada Allah, alangkah cepatnya kembali kesedaran orang yang percaya kepada Allah
Fa izaa ‘azamta fa tawakkal ‘alaAllah!


Fatauba lil ghuraba’!




Dhiya’
Tawau, Sabah


Yang Tertangguh

Saya sepatutnya memberikan Kuliah Mahgrib hari ini di Kuala Terengganu. Tapi jadual itu terpaksa ditangguhkan. Sewaktu hendak memaklumkannya, hati saya menjadi dua. Hendak meneruskan atau tidak. Saya paling berat untuk hal ini. Menunaikan hajat orang itu kan suatu kemestian. Tapi tatkala memikirkan saya ada iktibar esok, madah Usul Fiqh. Saya perlu menangguh.

Saya masih merasa bersalah, bersalah pada diri.

Semoga Allah masih sudi memberi kesempatan untuk saya berkongsi ilmu nanti. Semoga!

Doakan agar Allah permudahkan urusan saya.

Fatuba lil Ghuraba’!

Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM

Mahasiswa: Agent of Change


Usai menunaikan solat jumaat, berduyun-duyun mahasiswa-mahasiswi memenuhi lapangan letak kereta masjid. Kedengaran suara-suara pemuda Islam bertempik.

“Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!”

Pagi itu suasana cukup cerah. Secerah semangat yang ada pada roh dan jiwa pemuda-pemudi Islam. Semangat anak muda yang inginkan kepada tajdid dan perubahan yang beracukan Islam. Anak-anak muda ini berani berdada dengan kemungkaran.


Lewat penganjuran konsert sempena meraihkan rumah terbuka Aidilfiri. Pihak pentadbiran universiti telah meluluskan satu konsert yang akan diadakan di foyer pejabat Kolej Kediaman Universiti.

Bilangan mahasiswa/i yang menyertai perhimpunan aman itu semakin bertambah. Ruangan dataran semakin sesak dengan orang-orang. Tidak bisa terbilang jumlahnya, terlalu ramai. Mungkin separuh daripada mahasiswa universiti.

Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dalam mensyuarat tertingginya telah memutuskan untuk menghantar memorandum bantahan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti. Mesyuarat juga memberi mandat kepada presiden PMI, Ustaz Muhammad Dhiya untuk membuat kenyataan akhbar sebagai menyatakan pendirian mahasiswa Islam umumnya dan PMI khususnya menentang konsert tersebut.

Kelihatan beberapa orang sedang berdiri di atas pentas berucap. Mereka terdiri daripada pimpinan mahasiswa universiti. Saff kepimpinan PMI dan wakil-wakil persatuan mahasiswa. Kamu sedang berbincang sesuatu dengan setiausaha PMI, Saudara Furqan.  Sebelumnya Presiden Persatuan Mahasiswa Syariah, Ustaz Naqib dan Ustaz Zahid, Presiden Persatuan Mahasiswa Usuluddin baru sahaja berucap. Kedengaran Ustaz Wafi, Presiden Persatuan Mahasiswa Dakwah (PERMADA) sedang menyampaikan bicaranya:

“Sesungguhnya kita berkeyakinan Islam adalah sebaik-baik resolusi dalam menyelesaikan masalah umat. Bahkan keyakinan kita ini lebih kukuh dan teguh dari gunung-ganang yang memasak bumi. Lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fahaman melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya. Itulah Islam….”

Selesai sahaja Presiden PERMADA berucapan, suasana bergema dengan laungan takbir. Kemudian Naib Presiden PMI, Ustazah Zahra dijemput untuk memberikan ucapan. Perlahan dan tegas nada suara mujahidah itu meniupkan semangat kepada para mahasiswa/i. Beberapa orang mahasiswa sedang menjulang-julang poster dan banner. Ada yang bertuliskan ‘Universiti bukan tempat konsert”, “hapuskan kemungkaran”.

Kini tiba giliran kamu untuk memberikan ucapan.

“Dijemput al-Fadhil Ustaz Muhammad Dhiya untuk memberikan taujihat beliau. Dipersilakan.”

Kamu bangkit perlahan, gagah dan penuh keyakinan. Dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran pada hafalan di dada. Beserta azam dan tekad yang tertanam teguh. Sambil melangkah menuju ke pentas berucap.

“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”

Lalu kamu iringi dengan puji-pujian dan tasbih kepada Allah. Selanjutnya kamu bacakan selawat ke atas baginda SAW, ahli keluarga dan sahabatnya. Dengan nada perlahan tapi tegas kamu memulakan bicara;

“Wahai Ikhwan sekalian, dengarlah baik-baik firman Allah ta’ala;


إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.”
(Surah al-Kahfi: 13)

“Saya pesankan kepada diri dan kalian semua, marilah kita bertaqwa kepada Allah Azza wa Jal. Melakukan setiap perintahNya serta meniggalkan segala laranganNya dengan sungguh-sungguh. Dengan itu mudah-mudahan kita termasuk dikalangan orang-orang yang dirahmati dan diredhaiNya.”

“Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah! Sejarah dunia ini dilakarkan coraknya oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, idealisme untuk merubah dan menjadi agent of change (agen perubah).”

Dengan penuh yakin kamu mengungkapkan kalimat-kalimat semangat. Sekalian yang berhimpun sedang khusyuk meniti bicara kamu.

“Pemuda adalah muara peradaban dalam setiap fasa sejarah. Sejarah Indonesia telah dipahat dengan citra anak muda yang rusuh dan berani menyanggah. Raden Anjeng Kartini, Omar Said Chokroaminoto, Soekarno dan beberapa lagi pemuda telah melatari sejarah perjuangan anak-anak kampus. Pada era reformis 1998, kebobrokan pemerintahan regim Suharto direntap oleh anak-anak kampus daripada jalur ideologi yang pelbagai.”

“Jose rijal yang dibunuh secara tragis, telah menuangkapkan idealismenya lewat karyanya ‘Noli Me Tangere’ (1887) dan ‘El Filibusterismo’ (1891) merupakan ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina. Regim Marcos menjadi berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus dijalan-jalan bandar Manila."

“Di Negara China pula, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao Tu Shiu adalah penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegak Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China.”

“Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas akhirnya menggelongsor ke bumi.”

“Di negara kita yang tercinta, anak-anak kampus al-Azhar seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Kalai menggerakkan arus kesedaran untuk membaiki diri bangsa yang terpuruk dan membebaskan tanah melayu daripada penjajahan. Bapa kemerdekaan Tanah Melayu, al-Marhum Dr Burhanuddin al-Helmi pula semenjak belajar di Universiti Aligarh, India adalah anak muda yang sarat dengan idealisme. Sekembalinya beliau ke tanah air telah melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan.”

“Justeru wahai pelopor perubahan! Marilah kita menciptakan masa depan itu dengan sebuah  peradaban mulia ini dengan tinta emas rabbaniyah kerana disebalik setiap revolusi, pemuda adalah jentera utamanya.”

“Takbir” pekik seorang mahasiswa.

“Allahuakbar!” laung semua hadirin serentak. Semangat mereka semakin melonjak-lonjak mendengar ucapan kamu. Beberapa orang pegawai keselamatan universiti sedang berpusu-pusu, berkawal disekitar kawasan perkarangan masjid.

“Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian.”

“Adalah kalian maklum bahawa tujuan perhimpunan kita hari ini adalah untuk membantah penganjuran konsert yang bakal diadakan nanti. selaku mahasiswa, kita dengan tegas menolak unsure-unsur negatif daripada menyelinap masuk ke dalam universiti. Konsert atau hiburan picisan seperti ini adalah bercanggah dengan orientasi universiti sebagai gedung ilmu.”

“Aktiviti yang seperti ini jelas bercanggah dengan falsafah pendidikan negara yang diterima secara rasminya pada 1988 yang menyatakan: ‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.’

“Apakah dengan penganjuran budaya konsert yang seperti ini bisa mencambah keintelektualan mahasiswa?”

“Universiti yang dijolokkan dengan gelaran “the garden of knowledge and virtue” sepatutnya mencambahkan nilai-nilai murni berasaskan falsafah melahirkan modal insan. Caranya tidak lain dengan membentuk dan merialisasikan persekitaran keilmuan serta tradisi keintelektualan.”

“Apakah tidak cukup budaya hidonisme yang berlambakan di luar universiti seperti budaya reality TV seperti Malaysia Idol, Akademi Fantasia, Gangstar, MyStar, Bintang RTM, Bintang Kecil yang menjadi candu baru kepada masyarakat pada hari ini, sehingga ‘budaya sampah’ ini dipanjangkan ke dalam universiti dengan restu pihak pentadbiran universiti sendiri.”

“Sungguh kami tidak memahami mengapa konsert seperti ‘Gegar U’, Tour Link, budaya karaoke, pertandingan nyanyian diizinkan mencemarkan ruang intelektual anak-anak muda kampus seterusnya melalaikan mereka.”

Suasana semakina hangat. Kelihatan mahasiswa yang tadinya duduk, bangkit berdiri. Seolah-olah semangat mereka ditiup naik melonjak-lonjak. Di luar perkarangan masjid beberapa anggota polis sedang berkawal beserta beberapa kenderaan polis seperti trak, lori dan kereta. Sekira-kira bilangan mereka hampir mencecah 100 orang. Ada yang lengkap beruniform, ada yang berpakaian biasa. Mereka lengkap bersenjata.

“Hari ini kita akan menghantar memorandum bantahan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti. Sebentar lagi kita akan berarak menuju ke pejabat pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk menyerahkan memorandum bantahan. Saya pesankan agar kita bersopan dan berakhlak semasa berarak, jangan ada sebarang provokasi. Saya beri amaran sekali lagi, kita menolak sebarang unsur keganasan dan akhlak kurang sopan.”

“Sekali lagi saya tegaskan bahawasanya mahasiswa menentang keras konsert seperti ini kerana ianya mencemarkan imej universiti sebagai gedung ilmu dan tidak memberi saham langsung kea rah meningkatkan keilmuan mahasiswa serta menjatuhkan maruah umat Islam.”

“Allahu Rabbuna! Allahu Ghayatuna! Ar-Rasul Qudwatuna! Al-Quran Dusturuna! Al-Jihad Sabiluna! Al-Maut fi Sabilillah Asma Amanina!

“Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh. Takbir!”

“Allahu akbar” laung para mahasiswa penuh semangat.

Para pimpinan mahasiswa mula turun dari pentas berucap. Kamu bersama presiden persatuan lain dan barisan kepimpinan PMI mengepalai perarakan menuju ke pejabat pentadbiran HEP. Para mahasiswa mula berarak di belakang sambil menjulang poster dan banner. Jalan dibanjiri dengan para demonstran yang terus berarak diiringi dengan laungan takbir dan alunan zikir ‘Asma al-Husna’.




fatuba lil ghuraba'!


Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM

Warkah Walidani


Kehadapan
Anakanda, Zaid
Yang sangat dicintai dan dirindui
Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
Apa khabarmu nak? Apa khabar imanmu? Bagaimana amalanmu? Bagaimana hubunganmu dengan Allah SWT? Semoga baik-baik saja. Walid dan umi di sini baik-baik sahaja. Jangalah kau khuatiri. Tumpukan sepenuh perhatianmu pada mentelaah ilmu dan pelajaran. Dampingilah orang-orang yang soleh.
Dalam titipan ini ada yang walid dan umi ingin pesankan. Jarak yang jauh bukan penghalang untuk seorang ayah dan ibu mendidik anaknya. Bukankah anak itu adalah amanah Allah. Mendidiknya dengan acuan Islam itukan dituntut agama. Justeru berkisar dari itulah walid dan umi menitipkan pesanan ini.
Wahai anakku dengar dan perhatikan baik-baik pesanan ini.
Jika engkau hendak bersahabat carilah sahabat yang baik akhlak dan peribadinya. Tentu engkau sudah mempelajari hadis Rasulullah SAW yang satu ini.
“Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda: “Seseorang itu adalah menurut agama kekasihnya(sahabatnya). Maka hendaklah seseorang dari kalian itu melihat, meneliti benar-benar orang yang dijadikan kekasihnya itu.”
(Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Tirmizi dengan isnad sahih. Dan Imam Tirmizi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan)

Seorang sahabat itu sangat kuat pengaruhnya. Maka sebab itu Rasulullah SAW menekankan agar kita memilih seorang yang baik untuk dijadikan teman. Kau perhatikanlah baik-baik sabda baginda;
“Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Bahawasanya perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang  buruk itu bagaikan pembawa misik (kasturi) dan peniup api. Maka pembawa misik adakalanya memberi kepadamu, atau kau membeli padanya, atau kau mendapat bau harum daripadanya. Adapun peniup api, kalau tidak membakar pakaianmu maka kau akan mendapat bau busuk daripadanya.”
(Muttafaq ‘alaih)

Wahai anakku,
Jika seandainya kau bersahabat dengan seorang yang baik akhlaknya. Kuat ibadahnya. Teguh pegangannya. Nescaya kau akan mendapat manfaat daripadanya. Jika temamu itu orang berilmu, kau akan mendapat ilmu daripadanya. Jika temanmu itu baik akhlaknya, kau akan terbiasa dengan akhlak yang mulia. Jika ku berteman dengan orang yang kuat ibadahnya, kau pasti terdorong untuk turut sama beribadah kepada Allah. Jika temanmu itu cintakan majlis ilmu, kau juga pastinya turut mengikutinya. Rasulullah SAW sempat meninggalkan pesanannya:
“Sesiapa yang Alllah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnnya.”
Tapi jika kau berteman dengan orang yang jelek akhlaknya. Malas beribadah. Lemah daya juangnya dalam menuntut ilmu. Nescaya kau akan terpengaruh dengan akhlak buruknya. Tidak ada apa-apa yang mendorongmu untuk kuat beribadah. Dan akan luputnya kecintaanmu kepada ilmu. Yang pasti kau berada dijurang kecelakaan. Nauzubillahi min zalik!
Justeru anakku
Perhatikanlah baik-baik siapa yang hendak engkau jadikan sahabat. Sekira-kiranya apa yang disabdakan Rasulullah SAW itu sudah memadai untuk kau renung dan jadikan panduan.  Ada pesan daripada Saidina Umar al-Khattab yang perlu kau ingat. Katanya;
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah dikalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan diwaktu senang dan bekalan di waktu kesusahan.”
Bila kau bersahabat kau mestilah ikhlas, jujur, setia, dan sanggup berkorban demi kebaikan. Bajai persahabat itu dengan cinta dan kasih sayang. Dengan itu akan teguh dan kukuhlah ikatan ukhwah. Rasulullah SAW ada bersabda:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan kasih sayang kerana Allah dan juga marah kerana Allah.”
(Riwayat Imam Ahmad)

Betapa besar ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang bersahabat keranaNya. Maka ikhlaskan dirimu dalam bersahabat. Betulkan niatmu. Cinta dan kasihlah kepada temanmu hanya kerana Allah, semata-mata mencari keredhaanNya. Kelak diakhirat nanti kau akan termasuk dalam golongan manusia yang akan dinaungi oleh arasy Allah SWT dihari perhakiman kelak. Iaitulah orang-orang yang bersahabat dan berkasih-kasihan antara satu sama lain kerana Allah SWT.
Anakku, kau tentu menginginkan bagaimana mengecapi rasa kemanisan iman. Nabi SAW sudah mengajarkan barang siapa yang menyintai seseorang kerana Allah ia dapat merasai kemanisan iman. Sabda baginda:
“ Barangsiapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman. Pertama, jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain. Kedua, jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah. Ketiga, jika ia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.”
Wahai anakku,
Akhirnya ambillah peringatan ini baik-baik. Jadikan pegangan dan panduanmu untuk meniti hidup yang singkat di dunia ini. Semoga dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, dihitung oleh Allah SWT sebagai amal ibadah dan diberikan ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.
Umi ada menitipkan pesanan buatmu. Kata umi
“Zaid anak Umi, Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Ibarat matahari memancarkan cahaya, menerangi kegelapan. Maka berbuat baiklah kepada manusia, nescaya engkau akan dapat menguasai hati-hati mereka.”
Wahai permata hati,
Cukuplah sekadar itu untuk kali ini. Semoga nanti Allah masih sudi memberi kudrat untuk kami menitipkan pesanan untukmu.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, rahmatilah kami, dan masukkanlah kami dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amen.
Fatuba lil ghuraba’!
Wallahu’alam
Dari,
Walidaika

Jumaat. 6 November 2009. 18 Zulkaedah 1430H. 2.58 pagi.