AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!

Musafirku


Malam Yang Terasa Dingin

Malam kian menjengah larut. Seakan memanggil-manggil sang makhluk untuk masuk ke dalam peraduan. Sedang di musim peperiksaan seperti ini, jarang kedapatan mahasiswa yang mahu tidur awal. Kebanyakannya berjaga malam menelaah pelajaran. Dan saya antaranya, meski rasa mengantuk terkadang cuba menggganggu.

Saya hampir habis memuraja’ah muqarrar untuk imtihan esok. Ini peperiksaan akhir semester. Harus dibuat yang terbaik. Saya perlu mengekalkan reputasi CGPA agar terus kekal mendapat biasiswa. Itu syarat yang terpikul dan mesti ditunaikan. Meski pun dalam hati, segalanya itu saya lakukan kerana Allah. Melakukan yang terbaik untuk yang satu ini. Bukankah kita diseru agar melakukan sesuatu perkara itu dengan sehabis baik. Apalagi perkara yang sebesar ini. Namun yang penting, semuanya kerana ilmu. Kewajiban yang terbeban sebagai seorang penuntut. Memahami dan mendalami perihal agama, agar kelak umat manusia bisa diperingatkan.

Teman serumah masih belum tidur, sama seperti saya. Sesekali telinga saya ditamui suara mereka dari bilik yang sedang membaca dan menghafal. Di rumah ini kami duduk berlima. Semuanya mahasiswa pengajian Islam. Saya, Asmar, Hisyam, Sya’ban dan Meor. Kebetulan kami satu jurusan pengajian. Saya dan Asmar sama-sama berasal dari Negeri Di Bawah Bayu. Hisyam, pemuda berasal dari Selangor. Orangnya pendiam. Dia sebaya dengan saya. Sya’ban dan Meor masing-masing berasal dari Johor dan Perak. Yang dua orang ini suka berbicara. Mereka rajin bercerita hal-hal sekitar kampus. Mereka cepat mendapat maklumat. Ntah dari mana mereka dapat, mereka itu sudah seperti perisik kami. Meor suka berguran. Kelucuannya menjadi hiburan buat kami semua. Mungkin kerana dia lebih muda dari kami bertiga, saya Asmar dan Hisyam. Teman-teman sudah saya anggap seperti saudara sendiri. Segala pahit manis, susah senang kami pasti lalui bersama-sama. Saling bahu-membahu. Ibarat aur dengan tebing. Kami sudah seperti satu keluarga.

Sewaktu saya berkelana dengan bacaan, tiba-tiba telefon bimbit saya berdering dibalik pintu loker. Saya biarkan dan meneruskan bacaan. Beberapa ketika ia berbunyi lagi. Tumpuan saya sedikit terganggu. Saya bangkit lalu mengambil telefon. Ada dua mesej diterima. Nombor yang sama. Lalu saya buka.

“Assalamu’alikum.” Namanya tidak tertera. Nombor yang tidak saya kenali. Begitu juga mesej yang satu lagi.


“Wa’alaikum salam?” bisik saya dalam hati. Saya tidak menghiraukan mesej tersebut. Saya perlu menumpukan pada bacaan. Saya kerap menerima mesej dari nombor yang tidak dikenali. Bila ditanya siapa, langsung tiada jawapan. Ada pula yang mahu berteka-teki. Saya sudah mulai muak. Sungguh membuang masa. Saya letakkan semula telefon tanpa membalas mesej yang diterima tadi.

Beberapa minit kemudian telefon bimbit saya ditamui mesej lagi. Sepertinya saya tidak mahu melayani mesej tersebut. Tapi tatkala memikirkan kalau-kalau ada hal yang penting. Hidup berpersatuan memang seperti ini. Terkadang waktu-waktu penting terpaksa digadaikan. Ada ketikanya kita juga mesti bersedia berkorban dan bersabar melayani karenah orang-orang. 

Saya buka inbox. Nombor yang sama. Saya tutup sebentar kitab Usul fiqh. Saya baca mesej tersebut. 

“Enta Presiden Persatuan Mahasiswa Islam, bukan?”

Saya letakkan telefon, mesej itu tidak saya balas. Saya paling tidak suka nombor yang tidak dikenali tiba-tiba terus bertanyakan sesuatu. Alangkah baiknya jika memperkenalkan diri dahulu. Sekurang-kurangnya beritahu nama. Itukan adabnya. 

“Enta Zaid kan.” Mesej nombor itu lagi.

Kenapa waktu-waktu yang seperti ini, orang ini masih bisa mahu menghantar mesej kepada orang. Tidak belajarkah? Atau tidak tahukah sekarang ini orang sedang sarat mengulangkaji pelajaran. Bukankah itu menganggu namanya. Kecualilah bila hal yang perlu dan penting. 

Sudah banyak pengalaman yang saya alami. Pernah suatu ketika saya menerima mesej dari seorang yang sengaja mencetuskan perdebatan. Ada juga yang sengaja bertanya soalan remeh temeh yang sudah diketahui umum jawapannya. Bermacam-macam pengalaman yang saya alami. Saya tidak mahu nombor saya disalah guna. Saya bukan pasif dengan telefon sehingga tidak mahu melayan tetamu yang singgah. Tapi berpadah-padahlah. Jika ianya urusan persatuan atau perkara yang penting, maka itu tanggungjawab saya.

“Walaupun enta tak jawap tapi ana yakin enta Zaid. Mahasiswa ijazah Usuluddin tahun dua. Orang Sabah. Betul bukan?” balasnya penuh yakin.

“Orang ini seperti punya hajat. Mungkin ada yang dia butuhkan.” teka saya. Sebetulnya orang ini memang benar-benar mengenali saya. Mungkin pertanyaan tadi sekadar sengaja memula bicara. Saya mulai bertanya-tanya sendiri. Ah! biar saja.

“Sebenarnya ada yang mahu ana bicarakan dengan enta. Ianya sangat berat dan besar. Ini soal kehidupan dan masa depan.” Katanya.

‘Soal kehidupan dan masa depan?’ Saya tersentak dengan kalimah itu. Orang yang saya tidak kenali. Tiba-tiba mahu berbicara dengan saya soal kehidupan dan masa depan. Apa lagi disaat-saat mendesak seperti ini. Saya semakin keliru dan sangsi dengan orang ini. Saya jadi terfikir, mungkinkah kami saling mengenali. Saya ragu.

“Sebenarnya biar ana berterus terang….”

“Ana ada menyimpan perasaan pada enta. Beri kesempatan untuk ana menjadi suri dalam kehidupan enta.”

Ah! Saya tersentak. Kalimah itu benar-benar membuat saya tidak tentu fikir. Jantung saya berdegup. Terlalu kencang. Saya terdiam. Perasaan saya berkecamuk. Dahi saya terasa basah. Seumur hidup, inilah kali pertama seorang wanita meluahkan rasa hatinya pada saya. Gila!

Saya pandang keluar. Tingkap yang terbuka mengundang embun malam yang membuat tubuh saya terasa semakin dingin. Saya tutupi. Kipas yang berpusing laju saya perlahankan. Ntah bagaimana perasaan saya sekarang ini. Saya cuba lapangkan hati dan tenangkan diri. Saya berzikir-zikir.

Lama saya terdiam, sehingga hati saya kembali tenang. Saya ambil telefon bimbit, saya balasi mesej tadi. 

“Maaf enti ni siapa? Saya tidak kenal. Mungkinkah enti tersalah orang.” 

“Tidak! Saya yakin tidak salah. Saya sahabat seperjuangan enta. Mahasiswi di sini juga. Jika enta lihat ana, enta akan kenallah.”

Saya benar-benar terkejut dengan bicaranya. ‘Sahabat seperjuang’. ‘Saya kenal dia’.

“Bermakna dia sangat dekat dengan saya.” Fikir saya.

Perasaan saya semakin terganggu dengan tingkah orang ini. Kenapa dia tidak berterus-terang sahaja. Saya jadi geram. Saya mulai beremosi. Mujur saya cepat tersedar. Berkali-kali saya beristighfar. Emosi sering sahaja cuba mencantas akal sihat untuk terus bertahta. Saya kembali tenang. Akal sifat membela. Wanita, malunya sangat menebal mengatasi segalanya. Saya menjadi salah menanyakan soalan itu. Pastinya ia tidak berat untuk dijawab. Emosi…emosi…

Saya letakkan semula telefon bimbit di atas meja. Saya sambung semula bacaan saya yang terhenti tadinya. Tiba-tiba pintu bilik saya diketuk. Saya bukakan pintu, memandang Hisyam tercegak di hadapan, saya mengajaknya masuk. Saya hidangkan segelas teh.

“Macam mana study?” tanya saya.

“Alhamdulillah.” Jawabnya ringkas. Saya tenung wajahnya dalam-dalam. Seperti ada yang sedang menganggu fikirannya.

“Zaid, ada yang saya mahu kongsikan pada enta…” bicaranya terhenti. Wajahnya berubah seribu. Tidak tentu. Saya jadi tertanya-tanya.

“Apa dia. Cakaplah.” Bujuk saya. 

Beginilah kehidupan kami sekeluarga. Jika ada masalah atau sesuatu perkara pasti akan dikongsikan sesama kami. Dan saya antara yang selalu menjadi rujukan teman-teman untuk meluah rasa dan berkongsi apa jua. Terkadang juga ada perkara yang kami kongsikan bersama berlima, tanpa perlu berahsia antara satu dengan lain. Hisyam selalu sahaja berkongsi rasa dan kehidupan dengan saya. Saya kenal sangat dengannya. Saya rasa akrab bersamanya mungkin kerana cerita yang selalu dia kongsikan. Hampir semua kehidupannya saya ketahui.

“Zaid. Ibu saya ditahan di wad lagi. Baru tadi saya terima panggilan dari ayah.” Dengan sedu dia berbicara. Saya sedikit terkejut. Saya pandang wajahnya dan memegang bahunya perlahan. Saya membujuknya agar bersabar dengan semua yang berlaku.

“Kata ayah, ibu pengsan pagi tadi dan sampai sekarang masih tidak sedar.”

Saya merenung sayup-sayup matanya. Ada titik jernih bertamu di matanya sekejap jatuh ke lantai. Jarang saya melihat dia menangis. Tapi bila berbicara tentang ibunya dia pasti seperti itu. Saya turut merasai dukanya. Saya mahu menangis bersama tapi saya tahan. Saya tidak mahu dia menjadi lemah melihat saya nanti. Dia mesti kuat.

“Perlukah saya balik malam ni?” soalnya.

Saya cuba menenangkan fikirannya. Dia sedang celaru. Di sini dia dihimpit dengan imtihan, nun jauh di sana sang ibu sedang bertarung dengan kesakitan dan si ayah pula kerisauan. Saya faham perasaannya.

“Doa anak soleh, lebih-lebih lagi yang sedang menuntut ilmu, ia dekat didengar Allah. Ini medan fi sabilillah. Doa enta mustajab, isnyaAllah. Berdoalah.” saya cuba meniupkan semangat kepadanya. Dia hanya terdiam. Mendengar saya berkata-kata padanya.

“Boleh kiranya enta teruskan untuk imtihan ini. Ini paper terakhir.”

“Tapi, bukankah ibu perlu diutamakan. Nabi SAW yang ajarkan kita.” balasnya.

Saya cuba berbicara dekat dengannya. Bukan saya menolak keutamaan seorang ibu. Saya tetap masih berpegang pada ajaran baginda. Situasi ini antara dua kepentingan. Saya terangkan padanya, apa yang dia sedang lakukan adalah amanah ibu dan ayah. Amanah itu wajib dilaksana. Di saat-saat genting seperti ini, peperiksaan itu penentuan atas segala yang telah diusahakan. Jika gagal bukankah itu amat mendukakan ibu dan ayah. Lagi pula dalam keadaan lewat malam seperti ini, mana ada pengangkutan untuk pulang. Selangor itu jauh dari sini.

“Jangan biar mereka kecewa. Hadiahkan mereka dengan kejayaan enta dalam imtihan ini nanti.”

“InsyaAllah selesai imtihan esok kita berangkat pulang. Ana temankan enta.”

Saya pandang Hisyam. Dia tersenyum melihat saya. Hati saya gembira. Itu isyarat bahawa dia menerima syor saya. Fikirannya sudah kembali tenang dan dia merasa lebih bersemangat dan yakin.

“Syukran atas nasihatnya. Asif menganggu waktu enta menelaah.” Kata Hisyam. Selepas menyalami tangan dan memeluk tubuh saya, dia berlalu pergi.

Fikiran saya semakin tidak tentu. Memikirkan mesej tadi. Risau dengan keadaan Hisyam. Semoga dia bisa menghadapi semua ini dengan tabah dan cekal.

“Lapangkan hati saya ya Allah.” Bisik saya dalam hati.

Tidak lama Hisyam keluar, telefon bimbit saya berbunyi lagi. Ringtone Shin Chan. Ada mesej diterima. Saya jadi mahu tidak mahu membaca mesej tersebut. Mesti budak asing itu lagi. Tapi bila memikirkan, kalau-kalau ianya mesej dari orang lain. Yang lebih penting. Saya jadi dua hati. Saya segera bangkit mencapainya. 

Ternyata ianya dari nombor yang sama. Rasa belas tiba-tiba turun mencurah-curah ke segenap tubuh. Saya bacakan mesej tersebut.

“Zaid, ana sudah lama menyimpan perasaan terhadap enta. Ana telah beritahu kepada Ummi dan Walid perihal enta. Mereka yang menyuruh ana menghubungi enta, menyatakan hasrat hati. Ana tidak mahu bertemu atau bersua muka dengan enta kerana mahu memelihara adab.”
 
Saya semakin sesak. Celaru. Seakan saya sedang dihujani ribuan panah dari langit. Saya tidak tahu mengapa saya merasakan yang seperti ini. Sepatutnya ini khabar gembira buat seorang pemuda. Bidadari telah diutus Tuhan sebagai hadiah agung yang tidak terperi. Cinta? Berkali-kali saya beristighfar. Astaghfirullahal ‘azim! Astaghfirullahal ‘azim! Astaghfirullahal ‘azim!

“Walid dan Ummi ada bersebelahan saya. Mereka menjadi saksi setiap bicara kita. Setiap isi mesej Walid dan Ummi ketahui. Ana tidak tahu hendak berbuat apa, hanya ini yang bisa ana lakukan untuk menjaga adab.”

“Enti ini siapa sebenarnya.” Soal saya. Saya masih dalam keadaan kebingungan. Mana tidaknya tiba-tiba saja seorang yang tidak dikenali menyatakan perasaannya. Itukan benar-benar mengundang confuse. Ntah mengapa saya bisa bertanyakan soalan itu lagi. Saya benar-benar merasa terlalu kuat mahu mengenali muslimah ini. 

“Enta memang kenal dengan ana. Tapi sekadar ini, biarlah ianya menjadi rahsia dahulu. InsyaAllah bila di izin Tuhan kita akan bertemu.”

“Maaf membuatkan waktu belajar enta terganggu.”

“Ana tidak perlukan jawapan yang segera. Enta discus dahulu dengan Ibu dan Ayah.”

“Pesan Walid, pintalah pada Allah untuk diberikan petunjuk dan pilihan yang sahih.Perbanyakanllah istikharah. Ana setia menunggu jawapan enta. Sirru ‘ala Barakatillah. Asif jiddan.”

Usai membaca mesej terakhir darinya. Lantas saja saya matikan telefon bimbit kemudian saya letakkannya kembali ke dalam laci locker. Saya perlukan ketenangan dan kedamaian. Sesak yang tadi kunjungnya bertubi-tubi menghilangkan selera saya untuk terus menelaah.

Suasana jadi suram dan sepi. Mungkin teman-teman sudah terlena. 

Saya bangkit melangkah dari bilik ke bilik. Saya perhatikan teman-teman yang sudah tertidur. Wajah mereka yang bercahaya, benar-benar terlukis keletihan. Tiba-tiba saya di kunjungi rasa belas, rasa cinta, kasih dan sayang. Cinta saya pada kalian semua tiada bandingannya. Semoga ianya akan terus kekal.

“Semoga Allah merahmati kalian semua, sahabatku!”

Saya terus ke bilik air mengambil wuduk. Saya ingin solat sunat witir. Teringat sabda nabi SAW.

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah solat witir itu sebagai akhir solatmu di waktu malam."
(Muttafaq 'alaih)
Jam sudah hampir menuju satu. Rasa dingin menggigit-gigit tubuh saya. Saya rebahkan tubuh pada katil dan saya tutupi dengan selimut. Saya mahu tidur sebentar. Sesekali saya diganggu hal tadi menyebabkan saya sukar terlelap. Dalam lena saya seperti terdengar baginda Nabi SAW berkata-kata:

"Wahai pemuda! Barangsiapa di antara kamu telah mampu berkeluarga hendaknya ia kahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barangsiapa belum mampu hendaknya berpuasa, sebab ia dapat mengendalikanmu."
(Daripada Abdullah Ibnu Mas'ud Radliyallaahu 'anhu- Muttafaq Alaihi.)

“Siapakah muslimah itu? Benarkah ini semua?” soal saya dalam hati. Saya masih dirundung seribu pertanyaan.



Dhiya’
Tawau, Sabah

PRK UDM, MPPUDM




Saya baru pulang dari mendengar rapat umum bagi pilihan raya kampus (PRK) Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Tidak banyak yang maklumat yang saya perolehi kerana baru selesai kuliah keusahawanan dan saya telat. Lain, kerana suara yang bergema menyebabkan sukar saya menangkap apa yang diperkatakan.


Mungkin boleh saya katakan, sekarang musim pemilihan kepimpinan di UDM. 

Saya dimaklumkan akan berlangsung pemilihan tampuk kepimpinan Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) bagi sesi yang baru. Begitu juga juga dengan persatuan lain, saya kira sedang bergerak ke arah itu. Saya berkeyakinan proses pemilihan yang bakal berjalan nanti memberikan natijah yang positif buat seluruh mahasiswa UDM khasnya dan UDM umumnya.
Saya merasa tidak layak untuk merakamkan fikiran saya dalam tulisan ini.

Namun selaku mahasiswa UDM saya merasa terpanggil untuk melontarkan idea dan buah fikiran yang membenak untuk saya sendiri menilai dan menghadamnya. Sesungguhnya bagi saya, idea dan minda yang termuat di ruang kepala perlu dicerna melalui mata pena, agar saya beringat-ingat. Itu saya.

Sebetulnya tidak banyak yang saya ketahui tentang UDM dan persatuan yang ada di sini. Maka tulisan ini hanya berkisar seputar pengetahuan saya. Terlebih awal saya ucapkan kemaafan.

Majlis Perwakilan Pelajar

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau ada universiti yang menggunakan istilah Majlis Perwakilan Mahasiswa adalah tonggak kepada semua persatuan yang ada di universiti. Ia punya peranan besar dan penting dalam pentas kepimpinan. Di mana-mana universiti pun.

MPP ibarat ibu dan ayah kepada seluruh mahasiswa di universiti. Segala masalah adukan pada mereka. Mereka akan cuba selesaikan. Mereka diamanahkan menjaga kebajikan mahasiswa. MPP meski tahtanya tinggi tapi mereka adalah hamba. Hamba kepada mahasiswa, bekerja dan memberikan khidmat kepada mahasiswa menurut yang diwartakan. Maka mereka tidak boleh duduk bersenang lenang tanpa melakukan kerja. Orang kata, makan gaji buta. 

Juga lainya, MPP lebih dekat dengan pihak universiti dan kuasanya adalah lebih veto berbanding lain kumpulan. Sebab itu kita lihat di universiti seluruh Malaysia mahasiswanya berjuang dan berusaha memenangi kerusi MPP. Dan PRK adalah medannya untuk meraih kuasa itu. Pemilihan secara demokrasi di mana rakyat mahasiswa menjadi hakim pembuat keputusan. Bukan gologan atasan yang songsang prinsip mereka sehingga mencemari demokrasi yang berlangsung. Mereka bermain silap mata menipu mahasiswa. Menyalahgunakan kuasa sesukanya. Cukuplah Pilihan Raya Umum (PRU) di lacurkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu. Jangan PRK menjadi mangsa pula. Apakah yang ditakuti oleh gologan ini? Mahasiswa tidak perlu ditakuti. Mereka tidak akan merampas kuasa dan kesenangan yang anda miliki sekarang ini.

PRK mesti adil dan bersih. Bersih dari tangan-tangan kotor yang memalit lecak ke muka demokrasi. Maka campur tangan pihak berkenaan tidak diperlukan. Kerna ia akan mencacatkan pemilihan kepimpinan. Biar mahasiswa dengan diri mereka. Mereka punya akal untuk berfikiran. Mereka punya idealisme yang hendak diperjuangankan. Mereka punya cita-cita besar yang hendak di laksanakan. Biarkan mahasiswa dengan aksi-aksi mereka. Bukankah mereka pemimpin masa depan. Maka jangan dihalang. Percayalah jika PRK dijalankan dengan adil dan bersih anda akan lihat bakal pemimpin masa depan. Percayalah! 

Namun jika PRK dinodai atau pemilihan tidak di adakan secara telus. Anda akan lihat pemimpin yang kecut. Mereka tidak punya cita-cita. Mereka belum siap membuat gagasan pemikiran yang bakal dijuangkan. Mereka lemah. Mereka hanya tunduk berhadapan dengan pihak universiti. Mereka tidak berani menjulang bendera kebenaran. Yang benar atau yang salah sudah tidak dikira. Jika pihak universiti katakan A maka mereka pun akan kata A. Mereka tidak berani berkata yang lain apatahlagi hendak membantah, jauh sekali. Mereka ibarat lembu yang diikat tali hidungnya.

MPPUDM


PRK UDM bagi memilih kepimpinan MPP yang baru sedang berlangsung. Para calon sekarang ini sedang sibuk berkempen. Saya mendapat maklumat, ini PRK pertama yang diadakan di UDM. Kerna sebelum ini Pemilihan dicacatkan sebahagian fungsinya. Mungkin ini berita gembira bagi saya dan tentunya para mahasiswa UDM. Semoga pemilihan nantinya berjalan dengan lancar tanpa sebarang sabotaj atau permainan kotor dibelakang tabir.

Saya di bujuk teman-teman untuk bertanding tapi saya tolak secara baik.
PRK pertama bagi UDM saya yakini berbeza dengan universiti lain seperti di pantai barat, UTM, UPSI dan lainnya. Di sini biasa-biasa sahaja.

Namun biarpun PRKnya biasa-biasa sahaja saya dan para mahasiswa tentunya mengharapkan MPP yang lebih segar dan bersemangat. Yang punya pemikiran besar selaku pemimpin. Kerana banyak lagi keperluan mahasiswa UDM yang belum dilunaskan oleh pihak universiti. Dan MPP adalah laluan terbaik untuk mahasiswa berbicara secara dekat. Mendengar luahan hati dan harapan mahasiswa dan bertindak semampunya.

MPPUDM jangan menjadi mayat hidup!

Ada seperti tiada.

Wujud tapi tidak terasa.

Tidak perlu saya jelaskan kalimah di atas. Anda pasti bisa menilik maksudnya dan maksud saya.

MPP perlu akrab dengan mahasiswa. Seperti pemimpin negara perlu mesra dan dekat dengan rakyat. Jangan ketika berkempen sahaja kita mesra mahasiswa tapi selepas menang kita tutup muka. Itukan aib namanya sebagai pemimpin. Dekati mahasiswa. Dengar rintihan mereka. Kemudian lakukan kerja dan tugas anda.

Kabinet MPPUDM yang bakal terbina nanti mesti pantas berlari. Anda mujaddid kecil yang diharap-harapkan. Anda mesti memimpin perubahan. Tukarkan pakaian lama yang sudah lusuh dengan yang baru. Gosokkan baju yang dulunya dipakai kusut itu agar nanti kelihatan kemas. Ubah pemikiran. Ubah tindakan. Ubah langkah. Ubah cara lama yang sudah tidak laku. Ianya sudah busuk. Dan mahasiswa sudah tidak tahan menghidunya. Lekas buangkan. Kami mahukan yang baru dan segar. Ya, pemimpin masa depan yang berjiwa mahasiswa.

Lakukan apa yang terbaik untuk mahasiswa dan UDM. Berani untuk berkata benar jika perkara itu benar. Berani untuk berkata salah jika perkara itu salah. Bertindak menurut idealisme yang anda ingin juangkan. Jika anda punya cita-cita benar, lakukanlah untuk dapatkan cita-cita itu. Jika anda mahukan sesuatu yang benar, dapatkannya. Anda mesti berusaha dan bekerja. 

Bakal pemimpin. Harapan mahasiswa di tangan anda. Tangan anda mesti bersih dan kuat mengenggam harapan itu. Anda genggamlah seperti mengenggam emas dan permata bukan kaca. Bila anda sudah tiba untuk menunaikan harapan itu. Gunakan sahaja jari-jari anda. Jangan biarkan pihak korup menjadi telunjuk kepada tindakan anda. Nanti semua menjadi sia-sia. Dan bila anda telah berjaya melunaskan harapan itu tersenyumlah bersama kami. Mahasiswa yang bersama anda dan akan membela anda.

Ayuh bakal pemimpin. Pandang jauh kehadapan. Lalu berfikir secara dewasa. Bila anda berjaya di medan ini, tidak mustahil anda bakal pemimpin di pentas yang lebih besar di luar sana. Ini ruang dan peluang anda. Saya mengharapkan anda bertanding bukan kerana saja-saja. Bukan kerana elaun atau kerana sijil. Saya berharap anda lakukan semua ini kerna mahu memberikan sesuatu. Seperti kata-kata saifulislam.com ‘hidup untuk memberi.’ Ayuh berikan kami kebaikan anda atau sesuatu yang bermanfaat untuk kami. Mari berikan sesuatu kepada universiti ini. Tidak mengapa jika pemberian itu tidak berharga asal ia punya kebaikan buat kami dan UDM. Ia punya makna besar. Dan tanamkan benih kebaikan di tanah berpijak ini, tanamkan segala cita-cita anda dan harapan mahasiswa. Nanti bila ia sudah tumbuh dan berbunga indah, anda bisa berbangga dengan diri anda. Lalu katakanlah, ‘Ini hasil tangan saya.’

Akhirnya, mohon agar ampuni silap dan kesalahan saya jika ada sepatah kata yang anda baca merobek hati. Jangan marah pada tulisan ini. Ia tidak salah. Tangan saya dan saya sendiri bertanggungjawab. Saya ini lemah dan banyak salahnya. Tegurlah. Ajarlah. Nasihatkan saya. Semoga kegelapan anda menjadi terang dengan sinar yang saya pancarkan.

Ingat anda bakal disoal tentang kepimpinan anda!

Maa ashoobaka min hasanatin faminaAllah wa maa ashobaka min sayyiatin famin nafsik.



Dhiya
Kampus Kusza, UDM

Kau Pergi Dahulu

“Barangsiapa yang dapat menangkapnya akan mendapat hadiah 2000 Pound Sterling.” Hebah pihak Inggeris. Mereka begitu beria-ia mendapatkan kamu. Dosa apa yang telah kamu lakukan sehingga besar nafsu mereka mahu menangkapmu. Apakah kerana keyakinan kamu bahawa Mesir harus dibebaskan dari kebudayaan asing yang negatif dan merosak keperibadian Islam serta ketimuran itu. Ataukah mereka takutkan hasil penamu seperti kitab “Al-’Adalatul Ijtima’iyah Fil Islam” (Keadilan Sosial Dalam Islam) dan kitab berjudul “Ma’allim Fi Thoriq.”


Nasser kejam. Nasser itu pengkhianat agama dan bangsa. Sosialisme Arab yang mendokongi pemerintahannya itu hasil celupan barat. Kerajaan Mesir secara jelas mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain. Dia sudah gilakan kuasa. Jadilah para pejuang dan tokoh agama korban bagi memuaskan nafsu serakah seorang pemimpin diktator.


“Saya berjanji akan bersungguh-sungguh dalam menjalankan risalah ini selama hidupku dan mengorbankan segala yang saya miliki demi terlaksananya misi (risalah) tersebut.” Kata al-Banna. Itu adalah prinsip yang sentiasa beliau pegang teguh dalam dakwahnya. Kamu masih ingat peristiwa itu, pada waktu zohor 12 Februari 1949, ketika beliau keluar dari bangunan Ikhwan Muslimin, beliau ditembak curi. Pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan, dalangnya Nasser si pengkhianat itu.


Hassan al-Banna sudah pergi menemui Sang Kekasihnya. Pemergian beliau menjadi duka bagi umat Islam, namun itu tidak mematahkan semangat kamu dan para ikwan. Kamu terus berjuang dan mengorak langkah lebih laju. Islam mesti ditegakkan. Mesir mesti dibebaskan daripada berhala barat yang menyesatkan.


Ternyata regim Nasser lebih dahulu bertindak kerana khuatir dengan kebangkitan kamu dan para ikhwan. Lalu terjadilah penangkapan besar-besaran terhadap anggota Ikhwanul Muslimin. 10,000 anggota dan seluruhnya ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, termasuk mereka yang berjasa dalam perang melawan Inggeris di Suez. Kata mereka kamu dan para ikhwan mengkhianati negara dan bangsa. Kalian dituduh dan difitnah dengan begitu teruk tanpa ada ruang membela diri. Siapa pengkhianat, regim Nasser atau kalian? Pengkhianatkah namanya jika berjuang untuk menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman? Yang mahu melihat negara mereka merdeka dari belenggu barat dan penjajah, pengkhianatkah namanya? Nasser itu sebenarnya pengkhianat. Agama, bangsa dan negara. Dia bertanggungjawab atas segala kerosakan dan kezaliman yang berlaku di Mesir.


Nasser dan regimnya sudah naik gila. Kalian diseksa dan dianiaya secara teruk sehingga hampir 1000 orang mati terbunuh, enam orang digantung mati dalam tempoh 20 hari penangkapan itu. Kamu juga turut tertangkap bersama Dr. Abdul Qadir Audah dan Muhammad Faraghali. Kalian terus-terusan diseksa sehingga Dr Abdul Qadir Audah menemukan syahidnya.


Beberapa ketika berlalu akhirnya kamu dibebaskan oleh penguasa Mesir atas usaha Presiden lraq, Abdus Salam Aref. Bahkan kamu, selepas dari tahanan itu telah mengeluarkan buku berjudul “Tonggak-tonggak Islam,” sehingga kamu ditangkap dan ditahan lagi bersama 46 000 anggota Ikhwanul Muslimin.


Pemerintah Nasser menyangka sudah bisa duduk selesa dengan tindakan kejamnya. Membunuh saudara seIslamnya tanpa belas kasihan. Bukan seorang dua, ramai yang dibunuhnya. Tidak puas menghirup darah al-Banna, dia semakin ketagih darah-darah ikhwan yang lain. Dia menangkap dan membunuh sesukanya. Dia sudah gila. Benar-benar hilang akal.


Disangkanya dengan menguburkan al-Banna, dakwah dan perjuangan risalah Islam akan turut tertanam di bawah bumi sehingga ia bisa bersenang lenang di atas tahta. Dia salah. Sangkaanya jauh tersasar.


Perjuangan itu terus disambung oleh pendokong al-Banna yang setia. Mereka terus berjuang mengibarkan panji-panji jihad. Jasad mereka telah menjadi tukar ganti. Allah telah menyaksikan segala-galanya. Regim yang ganas itu terus menangkap dan membunuh. Penjara –penjara memakan jasad manusia suci yang ikhlas berjuang. Tirai besi menjadi saksi perbuatan kejam mereka. Mereka sudah membunuh pendokong risalah kebenaran itu. Tapi mereka tidak bisa mematikan risalah kebenaran itu. Mereka tidak mampu membunuh perjuangan itu. Kerana risalah itu, perjuangan itu ibarat air. Cantaslah sejuta kali. Cincanglah seberapa banyak. Ia tidak akan pernah terputus dan terhenti.


Perjuangan itu ibarat suatu rantaian. Bukan kamu yang mulakan tapi kamu adalah mata rantai kepada perjuangan itu. Sudah ramai teman-teman yang terbunuh termasuk adik kamu Muhammad Qutb. Namun kamu tidak pernah merasa kecut dan gentar. Kebatilan mesti dijatuhkan. Kebenaran mesti diangkat.


Sewaktu kamu dibawa ke pengadilan, dengan keyakinan kamu berkata.


“Aku tahu bahawa kali ini yang dikehendaki oleh pemerintah (Nasser) adalah kepalaku. Sama sekali aku tidak menyesali kematianku, sebaliknya aku berbahagia kerana mati demi cinta. Tinggal sejarah yang memutuskan, siapakah yang benar, Ikhwan ataukah regim ini.”


Jiwa kamu benar-benar merdeka dengan kebenaran. Sama seperti para ikhwan yang telah terkorban. Islam agama yang benar. Kamu percaya itu. Pemerintah Naseer jauh daripada Islam. Itu yang kamu juangkan. Meski nyawa menjadi taruhan. Kamu tidak gentar.


Lama kamu ditahan bersama ikhwan lain sampai kamu bisa menulis kitab tafsir al-Quran ‘Fi Zilalil Quran’. Sehinggalah Mahkamah Khas Tentera Mesir bersidang, memutuskan kamu dan teman-teman seperjuangan dijatuhi hukuman gantung hingga mati.


Pada hari Isnin 29 Ogos ditetapkan hari kamu dijatuhi hukuman. Sewaktu melangkah ke tali gantung sedikitpun kamu tidak merasa gentar.


“Mati syahid.” Katamu perlahan dan sempat pula menguntum senyuman kepada mereka yang bertanya tentang hukuman yang akan kamu terima.


Akhirnya kamu terkulai di tali gantung. Dan ruh kamu terbang menemui Sang Kekasih yang dirindui.


Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulang-tulangku
Yang hancur luluh
Nyalakan obor buat umat ini
Dan……………….
Teruskan perjalanan ke gerbang jaya


Saudara!
Kematianku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu
Taman-taman di syurga tuhanku bangga menerimaku
Burung-burungnya berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi


Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan ala mini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya


Janganlah gentar berkelana di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar…….






Assyahid Syed Qutb (1903-1966), salam sejahtera ke atasmu.




Dhiya
Kampus Kusza, UDM


Lemahnya Aku

“Ya Allah bantulah saya.”

Doa itu berkali-kali saya pinta ketika kudrat sudah berada dihujung masa. Seakan menanti malaikat maut tiba menjalankan titah Tuhan Rabbul Jalil. Saya hampir tidak berupaya. Saya letih.

Hari pertama kuliah saya benar-benar memancung kudrat. Walhal sesi pembelajaran tamat sehingga pukul 1.00 petang. Ntah mengapa tubuh saya terasa benar-benar di sapa keletihan. Saya seperti hilang nyawa. Maka tidak henti-henti saya berbisik. ‘Ya Allah bantulah saya agar bisa kuat menjalani kehidupan ini.’

Lalu saya didatangi kerisauan yang membesar. Risau pada hari-hari esok. Bolehkan saya hadapi dengan kudrat yang sekecil ini. Kuliah hari ini hanya separuh hari. Bagaimana kiranya dengan hari lain yang kuliahnya hingga ke petang kemudian disambung kemalam. Lama saya memikirkan hal itu. Sambil merebahkan tubuh yang hampir hilang upayanya dipembaringan. Saya mahu merehatkannya. Biar nanti tenaga bisa bertambah. Sehingga fikiran saya tentang kerisauan itu ikut tidur bersama saya.

Hanya Allah tempat saya bergantung.

Di sini saya tidak punya sapa-sapa selain Allah dalam hati. Dia tempat saya merebahkan tubuh untuk bersandar. KepadaNya tempat saya bergantung. Ketika saya butuhkan sesuatu, Dia yang saya perlukan. Dia teman untuk saya berbicara dan meluah rasa. Dia adalah segala-galanya. Maka ketika saya sarat dengan kesusahan seperti ini. Saya pinta padaNya. Saya merayu, meminta, menagih, menyeru, memuji, memohon. Sehingga saya menitiskan air mata, saya suda tidak kira.

“Ya Allah, jangan tinggalkan saya.”



Dhiya’
Kampus Kusza, UDM


Cuti Sakit

Syukur saya dalam-dalam dengan keadaan kesihatan yang semakin bertambah pulih meski tidak sepenuhnya. Lama benar saya menanti beserta kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, Allah jualah yang menyembuhkan.

Sebulan lamanya saya terhampar di atas pembaringan tidak bisa berbuat apa hanya istighfar dan doa yang tidak lekang dari mulut. Ibu dan ayah dengan penuh kasih dan sayang merawat saya, begitu juga adik-adik. Saya sudah seperti anak kecil.

Sewaktu saya mahu berangkat untuk kembali ke universiti, wajah ibu dan ayah ditumbuhi kerisauan. Risau dengan keadaan saya yang belum sembuh sepenuhnya. Mereka masih belum yakin dengan kesihatan saya. Hendak buka penutup botol air mineral pun saya tidak berupaya. Mujurlah riak mereka seperti itu.
“InsyaAllah, saya boleh.” Saya cuba meyakinkan keduanya.

Saya gagahi diri. Saya tenangkan mereka dengan senyuman. Semoga kegelisahan mereka terubat. Syukur dengan upaya yang masih sedikit ini, saya bisa sampai ke medan jihad ilmu. Meski perjalan itu agak berat, Allah jualah yang permudahkan.

Istighfar dan doa

Sering kali bila kita ditimpa musibah seperti sakit, yang selalu kita lakukan adalah berdoa kepada Allah mohon disembuhkan. Sungguh-sungguh kita minta pada Allah. Terkadang doa itu berulang-ulang kita menyebutnya. Meski pun orang itu tidak pernah solat dan berdoa, tapi tatkala ditimpa kesakitan pasti ia akan ingat Allah dan memohon pertolongannya. Bagi mereka yang beriman sudah tentulah mengerti doa sejata orang mukmin. Maka bersungguh-sungguhlah kita berdoa agar mohon kesembuhan.

Namun terkadang kita terlupa suatu perkara yang juga sama penting dengan doa. Selalu kita dengar orang-orang alim mengatakan, musibah itu adalah kafarah atas dosa-dosa dan kesalahan yang kita lakukan. Bermakna ketika kita ditimpa kesakitan, ianya adalah untuk menghapus dosa-dosa kita. Manusia tidak lekang dari melakukan dosa. Namun sebaik-baiknya adalah mereka yang bertaubat kepada Allah. Ini mengisyaratkan kepada kita agar sentiasa dekat dengan Allah.

Kita ada diajar untuk selalu beristinghfar memohon keampunan Allah SWT. Itu, yang sering kita lakukan seusai solat. Ataupun menjadi wirid harian. Kita digalakkan agar selalu beristighfar. Bahkan baginda Nabi SAW seorang yang maksum yang terpelihara dari dosa-dosa juga sering beristighfar kepada Allah SWT, apatah lagi kita manusia biasa yang dilumpuri dosa noda.

Sewaktu saya bertarung dengan kesakitan, acap kali saya berdoa agar Allah SWT berkenan menyembuh sakit saya. ‘Sembuhkanlah ya Allah.’ Selalu juga saya membaca selawat syifa’. Namun beberapa ketika saya mulai sedar, saya terlupa sesuatu. Saya terlupa untuk beristighfar. Mungkin kesakitan yang ini adalah kerana dosa yang pernah saya lakukan kepadaNya.

“Dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
(Surah Ali-Imran: 135)
Usai solat lama saya beristighfar. Sewaktu berdoa, saya mohon agar Allah SWT ampunkan dosa-dosa saya. Berkali-kali saya menyebutnya. Sehingga saya terlupa memohon kesembuhan. 

“Aku bertaubat kepadaMu ya Allah. Aku kembali kepadaMu. Aku menyesali segala perbuatanku.”

Lalu sering kalilah saya memohon agar Allah sudi mengampunkan dosa-dosa saya dan melimpahkan belasNya ke atas saya. Saya merasa lebih tenang sewaktu mengalun-alunkan istighfar bersama titisan air mata yang turun bersujud menyembah Allah, seakan terlupa yang saya sedang sakit. Hati saya merasa damai. Saya jadi lebih tenteram kerana hanya Allah dalam hati.

Sewaktu menatap kita La Tahzan saya terjumpa kata-kata ini.

Berapa sering kejadian buruk mengintaimu
Allah segaja pilihkan untukmu
Mengapa kau membencinya?




Berdoalah tapi jangan tinggalkan istighfar!


Dhiya’
Kampus Kusza, UDM