AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Lukis Kehidupan Atas Kertas Waktu



Di luar jendela hujan turun dikit-dikit. Sejak maghrib tadi hingga malam menjengah larut hujan tidak mahu berhenti. Sama seperti aku yang dari awal malam tadi masih terperuk di ruangan bilik bernombor 1-4-2, menghadap komputer kecil, mengedit manuskrip tua berjudul Majmu’ al-Asrar, tidak sedar jam bertukar angka 3.

“Uh, sudah 3 pagi...”

Aku tersenyum kaku. Sedari pukul 9 aku bermain-main dengan keyboard sambil menatap tekun aksara-aksara bertulisan jawi yang ditata rapi di atas kertas, sesekali membetulkan huruf-huruf roman bertaip di muka komputer, sehingga telefon genggam tidak lagi sanggup menemaniku berjaga. Dia memanggilku. Aku tidak hirau. Dengan berani dia merayuku. Aku tewas. Aku bangkit mendapatkan pengecas telefon. Dia menatapku penuh manja, kemudian tersenyum. Charging!

Semula aku menatap kertas bertulisan Arab-Melayu alias jawi. Sebenarnya, diam-diam aku kagum pada penyalinnya. Tulisannya khatnya cantik, tertata rapi dan kemas. Lalu dengan sendirinya membawa aku bermonolog.

Cuba...

Kawan, jika ku berikan kepada kalian setiap seorang sekeping kertas putih, kiranya apa yang kalian lakukan terhadap kertas itu? Jangan jawab dahulu. Biarkan ku kata.

Pasti ada yang mencontengnya sesuka hati, menulis ayat-ayat yang melucukan, melukis gambar Angry Birds, atau ada yang membiarkan sahaja tanpa sedikit goresan atau malah mungkin merobek serta mengoyak-ngoyaknya.

Manakala jika ku berikan kertas putih itu kepada pelukis, pasti dia akan melakarkan sebuah lukisan indah yang memukau pandangan dan menambat hati. Bezakan.

Sehelai kertas putih diberikan kepada orang biasa seperti kita. Pastilah ianya hanya tinggal sebagai kertas putih yang tidak berguna, kerna kita memandangnya hanya sebagai sekeping kertas. Bezanya jika diberikan kepada pelukis. Kertas itu dilihat dengan pandangan seni. Ketika ia mendapatkan kertas itu, dia memutuskan untuk melakukan sesuatu. Kemudian menggunakan kemahirannya sehingga berhasil mengubah kertas putih yang kosong menjadi sebuah karya agung.

Jika waktu bisa ku analogikan seperti sehelai kertas putih.

Tuhan memberikan waktu yang sama banyak kepada semua hamba-Nya. Kepada kita. Bezanya, cara kita memandangkan waktu itu bagaimana? Itu yang tidak sama. Nah, sekarang terpulang kita.

Barangkali selama ini kita tidak pernah menghargai WAKTU. Membiarkan ia berlalu tanpa melakukan apa-apa. Atau melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Menghabiskannya dengan hanya tidur. Atau menodai waktu itu dengan perilaku buruk kita. Maka sudah tiba ketikanya untuk kita mengubah pandangan terhadap waktu yang bukan hanya sekadar jarum-jarum jam atau nombor berangka 1 hingga 12. Tapi memandang waktu itu sebagai amanah dari Allah Azza wa Jall.

Demi Masa!  

Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian –

Kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
(al-Asr : 1-3)

Imam al-Nawawi, di awal usia remajanya menjadikan thalabul ilmi sebagai lukisan hidupnya. Diceritakan bahwa beliau menghadiri 12 halaqah dalam sehari dan beliau begitu rajin menghafal. Pernah beliau berkata, "aku menulis segala yang berhubung dengannya, baik penjelasan kalimat sulit mahupun pemberian harakat pada kata-kata. Dan Allah telah memberikan barakah pada waktuku..." 

Beliau sering tidak tidur malam kerna melakukan ibadat dan menulis. Maka tidak menjadi suatu kehairanan apabila beliau mampu menghasilkan karya-karya agung seperti al-Minhaj (Syarah Shahih Muslim), Al-Majmu', Raudhah al-Thalibin dan beberapa tulisan lain meski usia hidupnya 45 tahun cuma.

Maka marilah kita belajar menjadi seperti pelukis dan menjadikan kertas putih itu sebagai karya yang agung.

Lukislah kehidupan di atas kertas waktu!


Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
19 Jamadil Akhir 1433H