AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Hanya Ada Dua Pilihan



19 Rabi'ul Awwal, perlahan-lahan matahari muncul di atas horizon dari arah timur. Mewarnai langit dengan rona kemerahan bersulam jingga. Dan perlahan-lahan daerah ini dibasihi cahaya terang menerang. Oh, pagi Khamis yang cerah dan indah!

Subuh hari ini, suaraku parau. Tekakku terasa perit, kasar dan garau. Dadaku sempit. Aku kebatukan. Maka takzirah setelah solat subuh fajar ini, aku mangkir. 

"Marilah sama-sama kita mendengar tazkirah subuh yang akan disampaikan oleh Ustaz Zaid." Ujar Imam sehabis berdoa. Tahu-tahu aku sudah hilang daripada saff barisan solat. Keluar masjid diam-diam, pulang menanggung derita kehabisan suara. Aku tak tahan!

Di rumah, mahu tidak mahu aku harus memaksakan suaraku untuk dipergunakan. Baca Quran boh!

Juzuk 4 pada mushaf diulang-ulang.  Kadang teringat, kadang terlupa. Ingat-ingat lupa. Ah, begitulah kalau malas mengulang hafalan Quran. Tuhan tidak suka orang yang lupa ayat-ayat-Nya yang sudah dihafal. Ampun!
______________

Memang awal pagi ini cerah dan indah, seperti kataku. Pun begitu, lewat pagi berlalu perasaanku bertukar sayu menjadikan suasana pagi tetap cerah namun rawan. Ayat pada mushaf itu sungguh magis. Merona rasa jiwa.

"Dan sesungguhnya jika kamu mati ataupun terbunuh, kepada Allah-lah kamu akan dikumpulkan." Ali Imran: 158

Mengertikah kawan, apa maksud Tuhan berbicara begitu?

Begini, biarlah aku cerita saja. 

Kita tahu, bahwa kita tidak tahu kapan kita akan mati. Benar? Justeru, boleh jadi kau atau aku mati di atas tilam empuk bercadar hijau, atau mati di katil rumah sakit, atau kerna kemalangan, atau dilanggar orang, atau mati di kelab malam, di rumah urut, di kedai toto, atau kau dan kau mati di medan yang lebih mulia, berjuang menegakkan agama Allah. 

Kau tahu bukan, sekarang ini orang mati bermacam-macam sebab musabab. Tapi yang mati hanya satu sahaja, nyawa. Jasad tubuh menjadi bangkai tanpa nyawa. Busuk dan kembali ke asalnya, tanah. Nyawa itu kembali ke hadrat Tuannya, Allah Ta'ala. Kelak keduanya akan kembali berjodohan di suatu waktu yang ditentukan, iaitu mahkamah Tuhan. Itulah tempat perhitungan. Hari itu hanya ada dua kehidupan. Hidup yang bahagian atau hidup yang sengsara.
_____________

Hanya ada dua pilihan. Mati mulia atau mati terhina.

Orang yang hidupnya sibuk dengan mengumpul harta sehingga melupakan Tuhan, kelak akan mati juga bertemu Tuhan. Orang yang hidup penuh dosa noda tanpa mahu bertaubat, nantinya bakal diragut nyawanya. Orang ingkar suruhan Allah, bakal menjadi jenazah. Sejahat-jahat manusia, pasti akan mati juga.

Orang yang hidupnya taat kepada Tuhan, akan mati. Orang yang gigih berjihad di medan sabilillah, nanti dijemput maut. Yang berjuang, bekerja keras dalam mematuhi perintah Allah meski dicaci dan ditertawa, bila tiba saatnya bakal arwah juga. 

Seperti apa keadaan manusia ketika mati nanti, tergantung bagaimana ia membina tujuan hidupnya di dunia. Mukmin yang benar akan berusaha agar matinya mati yang mulia. Mulia dan berharga. Untuk itu ia memilih hidup berjuang menggapai keredhaan Tuhan.
_______________

Dan pagi 19 Rabiul Awwal, bertepatan waktu Dhuha, ini bermakna kemarin 18 Rabi'ul Awwal. Masih tidak hapus ingatku, lewat pagi rabu itu, sebuah perkhabaran bertiup dari bumi seberang, khabar duka. Seorang yang dahulunya pernah kukenal telah kembali pulang ke pangkuan Tuhan, Allah Azza wa Jal. Aku termangu. 

Dia seorang pendidik, dia seorang pejuang, dia seorang pemimpin, dia seorang suami dan ayah kepada anak-anaknya. Sungguh pemergiaannya mengundang rasa kehilangan. Kepada siapa sahaja, kepada anak-anak didiknya, rakan-rakan gurunya, teman-teman seperjuangan, kekasihnya serta buah hatinya. Namun percayalah pemergiannya adalah sebuah kemuliaan, sang pejuang yang pergi menuju kekasih Yang Abadi.

Dhuha ini, jiwaku kembali tenang dan yakin, bahwa mati itu pasti. Dan di hadapan Tuhan kelak kita bertemu nanti. Ya, mati itu pasti, tapi kita tidak pasti bagaimana kita bakal mati?

Pergilah wahai pejuang, kembalilah ke pangkuan Allah Yang Maha Tinggi. Semoga Tuhan meredhai perjuangamu. Selamat pulang Al-Marhum Cikgu Amir. Matimu adalah sebuah kemuliaan. Mati seorang pejuang.

Selamat pulang!


Dhiya'
Petaling Jaya
20 Rabi'ul Awwal 1434H