AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Kesia-siaan



“Maaf saya tidak bisa.” Tegas kamu.

Kamu menolak permintaannya yang mengajak kamu untuk makan bersama di luar. Dia mentor kamu dalam kelas insentif Bahasa Inggeris. Mahasiswi Bachelor Of English. Wajahnya lembut dan ayu. Kamu sendiri tidak pasti asal dari mana ia bermula, hubungan mentor dan menteenya. Mungkin kerana kamu kerap berhubung dengannya selaku ketua mentee. Maka itu dikira suatu bonus untuk kalian saling kenal dan akrab. Apalagi dengan usia yang dekat, kamu 22 tahun dan dia kurang setahun. 

Hari terus melangkah laju seiring masa. Dan seketika itu juga hubungan kalian bertambah erat. Kemudahan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya. Tiada lagi perbicaraan tentang pelajaran. Tiada sudah panggilan awak dan kamu. Semuanya berubah seedar masa.


Dan kamu, segala kehidupan kamu berubah. Terasa dunia ini milik kamu seorang. Bahagia, ceria, gembira dan suka. Semua kamu rasai. Cinta, kasih,rindu dan sayang hanya pada dirinya seorang. Hanya wajahnya yang tertera dalam setiap nafas. Hanya namanya yang terlekat disanubari. Aliyah!


“Saya nak ajak awak makan. Boleh?” pujuk Aliyah.


Jika dahulu kamu berani berkata ‘tidak’ kepada wanita itu kerana berpegang pada prinsip agama. Namun kini tidak lagi. Kamu sudah tewas dengan bujukan seorang wanita.


Bukankah mula-mula dahulu Sofi ada memberi nasihat.


“Jangan terlalu melayan wanita itu. Nanti lain jadinya.” Nasihat Sofi.


Namun nasihat itu tidak kamu endahkan bahkan kamu membela diri,


“Tujuan saya adalah mahu membimbing dia. Lagipun dia perlukan bimbingan.”
“Ini adalah dakwah.” Tambah kamu lagi.


“Akhi, masih ramai lagi muslimah baik di sini yang bisa membimbingnya. Serahkan sahaja kepada mereka.” Jawab Sofi membuatkan kamu terdiam.
Dakwah yang kamu sebutkan. Membimbing yang kamu hendak lakukan. Kini segalanya sudah tiada. Kamu sudah tewas. Kamu sudah kalah.


Teman akrabmu Sofi, begitu pasti dengan perubahan sikap dan perangainya. Sofi kerap menasihatimu, berulang-ulang tiada henti.


“Jaga diri enta molek.”


Sofi, dia sayang dan cinta pada kamu tapi apa yang bisa dilakukannya, dia tidak bisa berbuat apa.


Akhir-akhir ini emosi kamu berubah, kamu jadi baran, sedikit teguran dari Sofi, kamu lantas melenting.


Suatu hari Sofi datang menziarahi kamu, dia datang dengan membawa hadiah untukmu. Ketika menatap wajahnya dia tersenyum indah. Lama kamu berbual-bual sehinggalah Sofi menasihatimu dan menegurmu secara lembut.


Tapi kau sambut keikhlasannya itu secara kasar. Berani sungguh kamu memukulnya, sehingga menitiskan darah. Kejam sungguh kamu. Semua itu Sofi lakukan kerana cinta dan kasihkan kamu. Tapi kamu?

Di mana kasihmu?
Di mana cintamu?
Di mana itu semua, yang pernah kau lafazkan dulu?


“Sofi saya mencintaimu dan mengasihimu kerana Allah.”


Kamu sudah lupa itu semua. Hanya kerana seorang wanita yang tidak halal bagimu, kamu sanggup mengkhianati teman sendiri.


***


Kamu sudah membuang pakaian agamamu. Kini kamu sudah berubah. Kamu sudah pandai mengenakan Jeans dan baju ketat. Rambut kamu sudah memanjang dan berstail mengikut fesyen sekarang. Semuanya kamu lakukan kerana Aliyah. Cinta kamu.


Sudah hampir setahun hubungan kamu dengan Aliyah. Dan sepanjang usia itu kamu semakin erat dan dekat. Segala perihal diri, semua diketahui. Kamu sudah seperti suami isteri. Bahkan mungkin lebih dari itu. Di Kampus kamu ibarat belangkas, ke hulu ke hilir sentiasa bersama. Makan bersama, ke kuliah bersama, berjalan bersama. Hingga kamu sudah tidak malu kepada khalayak. Kamu sudah berani berbuat demikian. Jika dahulu kamu bisa menjaga diri agar tidak terjebak ke kanca seperti ini, tapi akhirnya kamu sendiri tewas.


Bahkan kamu sudah semakin liar.


“Gugurkan sahaja kandungan itu.” Pujuk kamu kepada Aliyah. Dia sedang mengandungkan anak kamu. Hasil hubungan sulit yang kamu lakukan.
Aliyah tidak bisa berfikir lurus. Dia takut dengan Ibu dan Ayahnya. Dia malu dengan kawan-kawannya. Dia takut dibuang universiti.


Dan kamu begitu juga. Sangat cemas dan tidak tentu fikir.


Yang kamu tahu gugurkan kandungan itu, tapi Aliyah tidak mahu kerana takut.
Pihak universiti dapat menghidu perihal Aliyah yang sedang mengandung. Dan kamu adalah penanggungjawab.


Dia telah digantung belajar.


Dan kamu juga. Telah dibuang universiti.


Di pejuru masjid kamu duduk terdiam. Ditanganmu ada untaian tasbih. Kamu beristighfar berkali-kali sehingga bergenang air mata.


Dosa kepada Allah.


Dosa kepada Ibu dan Ayah kerana tidak menunaikan amanah mereka secara baik


Dosa kepada Ibu dan Ayah Aliyah.


Dosa kepada pensyarah. 


Dosa kepada Sofi. Teman akrab yang tidak jemu memberi bimbingan.


Kamu jadi menyesal sesungguh-sungguhnya. Segala yang kamu cita-citakan sudah musnah. Harapan ibu dan ayah untuk melihat kamu memegang segulung ijazah hancur. Apa yang telah kamu usahakan sedari awal kuliah segalanya sudah menjadi sia-sia. Semuanya hancur menjadi debu. Terbang dibawa angin
Kini segalanya sudah tiada apa-apa lagi. Kamu bakal kembali ke pangkuan ibu dengan membawa sampah busuk. Kamu yang telah mencemarkan nama sendiri juga keluarga.


Ibu dan Ayah Aliyah tiada masalah kerana mereka orang berada yang mampu melakukan apa sahaja. Pihak universiti ibarat keldai tunggangan. Yang amat memeritkan kamu kedua ibubapanya tidak berkenan dengan kamu. Seorang anak petani yang miskin. Aliyah juga hanya mendiam, sekadar menurut kehendak Ibu dan Ayahnya. Dia tidak bisa berbuat apa. Tiada lagi cinta. Tiada lagi kasih. Tiada lagi rindu. Semua sudah lenyap dibawa masa.


Hancur hati kamu. Musnah hidup kamu. Kamu kehilangan segala-galanya.


Pelajaran. Teman. Maruah. Cinta. Aliyah.


Yang tinggal hanya sebuah kesia-siaan.

 


Dhiya’
Kampus KUSZA, UDM

1 ulasan:

sedap cerita ni...sama2 kita jadikan iktibar..