Sufi bukannya kain
Fil Makkah da’im bermain
Ilmunya zahir dan batin
Menyembah Allah terlalu rajin
Dia terjaga ketika mendengar kalimat itu membisik di telinga. Dia ingat itu syair Hamzah Fansuri yang sering dibacakannya hingga hafaz. Dia lalu bingkas mengambil wuduk. Dia mahu bersolat sunat.
Setiap malam dia habiskan dengan berzikir. Zikir aneh, kadang bunyi zahir. Kadang juga menggumam di dalam dada. Sambil memejamkan mata. 100...400...1000 bahkan melebihi hingga tidak terkira.
Afdhalu zikri La ilaha illallah
ingatkan jangan ghaflah
tashdiqkan ujud Allah
Dia tenggelam dengan zikir dan hanya sedar seketika fajar subuh hampir terbit. Dia dapat merasakan lazatnya zikir. Dia merasa dzauk!
Zikrullah jangan kau jemu
maknanya hasil kepada hatimu
Sucikan dahulu makrifat kamu
boleh di sana karam diri kamu
Masanya dipenuhkan dengan berzikir dan merenungi hakikat penciptaan. Dia berusaha meneroka ke dalam diri. Sehelai demi sehelai kitab suci dihafaz dan ditadabburkan. Dia diajar agar selalu bertaubat. Dan dipesan supaya bermujahadah menghindarkan diri daripada penyakit hati.
“Enta jagalah nafsu setiap waktu..” gurunya berpesan.
Dia sedang belajar menyucikan hati. Berusaha menjadikan seberkas cahaya yang terlindung dibalik hati bersinar semula. Dia belajar bersahabat dengan Tuhan.
“Dalam diri enta ada seberkas cahaya, tapi tertutup oleh tirai nafsu dan lalai...” Wajah tua tuan guru dengan janggut putih mencacak dan serban putih digulung rapi hadir jelas. Tuan guru merenung tanpa bersuara.
“Ana hanya memilih orang muda macam enta anakku. Entahlah ahli futuwwah sebenar, anak muda penuh etika. Hanya dengan futuwwah dapat diselamatkan dunia Islam sekarang ini...” bibir tuan guru berkumat kamit.
“Allah menggunakan kalimah Fata untuk merujuk kepada golongan pemuda yang berani memusnahkan berhala. Pemuda itu namanya Ibrahim. Jika Ibrahim alaihissalam menghancurkan berhala. Enta, anakku, menghancurkan berhala yang lain...” tuan gurunya tersenyum.
Gurunya seorang pengamal tarekat yang telah berada di makam yang tinggi. Setiap malam dia ikut berzikir. Kadang berlima, sering juga dalam jemaah yang lebih ramai. Pernah gurunya membingungkan orang kerana naik terbang ke udara dalam satu majlis zikir. Aneh!
“Sudah saatnya anakku enta bersedia. Entahlah pemuda yang ditunggu. Hancurkan berhala moden ini. Maruah umat di tangan enta.”
Tuan guru duduk berhadapan dengannya, lutut bertemu lutut. Dia dibai’ah dengan hati tenteram dan tenang. Dia diberi minum air bercampur garam. Air itu tanda makrifat dan kearifan, sedang garam ialah keadilan. Kemudian disarung sarawal sebagai tanda kesopanan dan warak. Dia lalu dipakaikan tali pinggang sebagai tanda keberanian dan kehormatan.
Dia adalah Fata. Pemuda yang mewarisi futuwwah!
Al-Faqir Ila Rabbi Al-Qadir
Dhiya' Al-Qadiri
Jami’ah Al-Sulthan Zain Al-Abidin
24 RabiulAwal 1432H
Catatan: Dalam bahasa Inggeris disebut mystical youth atau spiritual chivalry, manakala dalam bahasa Parsi dikenali sebagai jawanmardi; atau bermaksud etika atau kesatriaan spiritual dengan ciri-ciri tertentu – ilmu futuwwah atau etika adalah sebahagian daripada cabang ilmu sufi.