“Tahniah bang…”
Pagi itu saya menerima pesanan ringkas daripada adik di KIPSAS.
“Tahniah kenapa?” saya yang menerima pesanan ringkas itu kebingungan. Saya menyapu birai mata, takut kalau-kalau tersalah baca.
“Abang dapat pujian daripada Naib Presiden..”
Pujian? Saya jadi penasaran.
“Kok bisa...”
Zaman Terbaik
Saya sangat merindui hari-hari yang telah berlalu. Ketika menuntut di Kolej Islam Pahang dahulu. Setiap ketika yang saya lalui punya kenangan yang tidak bisa terlupakan dengan izin Allah subhanahu wa ta’ala. Dan sehinggalah saya meneruskan kembara ilmu ke bumi Terengganu, kenangan itu masih segar.
Ternyata sudah hampir dua tahun saya meninggalkan bumi Pahang. Sedang kisah-kisah hidup saya di sana masih terakam di minda.
“Zaman terbaik di KIPSAS ini, zaman ustaz Ainuddin dan zaman saudara Zaid...” begitu ungkapan daripada Naib Presiden Hal Ehwal Pelajar KIPSAS yang dimaklumkan oleh adik saya pagi itu.
Mendengar itu saya terharu. Saya tidak pernah mengharapkan pengiktirafan sebesar itu. Sungguh tidak layak.
Namun pengiktirafan itu saya sambut dengan rendah hati. Malah saya tidak pernah termimpikan semua itu, baik di zaman berada di KIPSAS mahupun setelah keluar dari sana.
Pengiktirafan itu sangat besar buat saya dan teman-teman yang telah berlelah bekerja demi sebuah perjuangan.
Amirul, Asmar, Kahar, Hisyam, Mukmin, Razali, Firdaus, Mior, Syaaban, Kasim, Nahdia, Farah, Hidayah, Nadzifah, Hasanah dan teman-teman yang lain kerna telah banyak berkorban harta, waktu dan tenaga demi perjuangan Persatuan Mahasiswa Islam (PERMAI)
Tahniah buat semua. Akhirnya perjuangan kita diangkat sebagai ‘Zaman Terbaik’.
Rindu Itu Datang Bertamu
Beberapa hari ini saya sering membelek-belek ‘diari merah’ itu. Diari itu terasa bau. Bukan harum tapi bau rindu. Membaca tulisan-tulisan yang tercatat pada helainya menjadikan saya sebak. Terkadang air mata saya keluar menitis. Rindu itu membasahkan perasaan saya hari ini. Kerna sebahagian kehidupan saya sewaktu di sana saya catatkan di dalamnya.
Ya! Saya rindukan hari-hari di Kolej Islam Pahang dahulu.
Berjalan kaki ke masjid di kala subuh ditemani embun pagi.
Dingin..
Terasa rindu pada mentari yang menyinari birai jendela di awal pagi beserta kicauan beburung yang sering berlagu tika saya mahu bersiap ke medan ilmu.
Rindu mekar pada hidangan nasi putih berlaukkan telur dadar sebagai menu malam kerana hendak berjimat. Rindu pada magie yang menjadi makanan harian tatkala kekurangan wang. Terkadang makan sekali sehari demi berjimat atau kiriman dari ayah belum diterima, atau sekadar makan biskut. Jika tidak berpuasa sahaja.
Saya rindu pada hari-hari itu, mengetuk pintu dari bilik ke bilik demi mengejutkan siswa-siswa bangun bersolat subuh. Meronda kawasan kolej bermula dari kelas-kelas kuliah hingga ke blok-blok asrama pada lewat malam. Ada ketika saya dihubungi fellow asrama meski hari sudah larut malam untuk memantau siswa-siswi yang masih ‘berkeliaran’.
Saya suka berkunjung ke bilik-bilik siswa untuk menziarahi mereka. Dari yang berkopiah sampai yang berseluar pendek. Dari yang kaki masjid mahupun kaki bola. Dari seorang ulat buku kepada seorang perokok. Semua saya temui, saya gauli, saya suka untuk bersama mereka.
Kekadang tidur saya terganggu oleh wajah teman-teman yang pelbagai gelagat dan karenah. Bekerja dan berprogram tanpa mengenal erti lelah dan putus asa. Meski dana kewangan tidak mencukupi, kami berusaha mencarinya. Malah bermesyuarat hampir setiap malam demi membincangkan tentang dakwah.
Ada waktunya saya akan berkunjung ke kampus-kampus sekitar Pahang: UIAM, UMP, POLISAS untuk bertemu teman-teman seperjuangan, sambil bertukar-tukar fikiran tentang dakwah dan tarbiyyah.
Teringat dengan majlis-majlis ilmu, mengaji kitab Munyatul Mushalli, al-Iqna’ dan al-Fawaid di masjid KIPSAS. Menunggu bas awam berjam-jam untuk pergi menadah kitab Bahrul Mazi dan Tafsri Ibn Kathir dengan ustaz Mokhtar Senik di pagi hari minggu. Atau ke rumah Ustaz Shahrul Nizam mengaji kitab Akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah.
Sesekali wajah ‘guru-guru’ saya muncul dalam mimpi. Ustazah Safiah yang sering saya temui demi mendapatkan nasihatnya atau ketika menghadapi masalah. Saya terkenang perbualan bersama Ustaz Mustafa hampir setiap minggu dibiliknya, banyak ilmu yang saya perolehi. Tidak ada seorang pun pensyarah yang tidak pernah saya kunjungi biliknya.
Saya merindui bacaan al-Quran Ustaz Asjad, sangat merdu yang sering membuat saya menangis. Saya rindu tengkingan Ustaz Khairi, setiap kali saya menghadapnya untuk memperdengarkan bacaan al-Quran. Garangnya! Mujur tiada rotan. Malah saya harus menghabiskan berminggu-minggu demi memperbetulkan bacaan al-Fatihah dengan Ustaz Latif, bekas Imam Masjid KIPSAS yang tegas itu. Dan ada kalanya suara Abang Zam melaungkan azan di masjid KIPSAS bergema-gema di celah indera dengar.
Pelik juga, kerana saya bukan sahaja merindui peristiwa berharga itu, malah saya asyik terkenangkan peristiwa ‘pahit’.
Pernah saya hampir dipukul oleh siswa-siswa, sehingga saya dicari sampai ke bilik. Hal kerana salah faham sehingga menimbulkan ketidak berpuas hati terhadap saya. Saya pernah difitnah melakukan perbuatan tidak baik diluar kampus. Sehingga saya dipanggil oleh ‘umi’ (Ketua Jabatan Dakwah), Ustazah Safiah kerana inginkan kepastian dan penjelasan. Meskipun hal itu tidak benar, saya masih bisa terus bersabar.
Saya juga pernah dipanggil oleh Presiden KIPSAS kerna dituduh terlibat dengan parti politik di luar kampus. Saya tetap bersabar dengan kutukan dan sindiran sinis oleh seorang pensyarah ketika dalam kuliahnya kerna tidak menyukai saya, walaupun diburuk-burukkan dihadapan siswa-siswi. Bahkan saya pernah hampir diberhentikan daripada meneruskan kuliah. Mujur ada pensyarah yang membela saya.
Dan ketika saya masih membelek-belek ‘diari merah’ itu, air mata saya keluar menitis. Bukan kerna apa-apa. Tapi kerna rindu itu datang bertamu!
Al-Faaqir Ila Rabbi Al-Qadir
Dhiya’ Al-Qadiry
Jami’ah al-Sulthan Zein al-‘Abidin
19 Rabiulakhir 1432H