Semalam berlansung majlis pengisytiharan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (MPPUniSZA) sesi 2010/2011 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah. Saya kira ini ulung kali ianya dilakukan di dalam universiti dengan disaksikan oleh ‘rakyat mahasiswa’.
Tahniah diucapkan kepada barisan kepimpinan MPPUniSZA.
Mungkin ramai yang bergembira dengan terbentuknya kabinet MPPUniSZA yang baru. Dan kegembiraan itu disertai harapan penuh daripada ‘rakyat mahasiwa’ kepada MPPUniSZA untuk menggalas perjuangan mahasiswa.
Titipan...
MPP adalah laluan terbaik untuk mahasiswa berbicara secara dekat. Mendengar luahan hati dan harapan mahasiswa dan bertindak semampunya. Para mahasiswa tentunya mengharapkan MPP yang lebih segar dan bersemangat. Yang punya pemikiran besar selaku pemimpin.
MPP perlu akrab dengan mahasiswa. Seperti pemimpin negara perlu mesra dan dekat dengan rakyat. Jangan ketika berkempen sahaja kita mesra mahasiswa tapi selepas menang kita tutup muka. Itukan aib namanya sebagai pemimpin. Dekati mahasiswa. Dengar rintihan mereka. Kemudian lakukan kerja dan tugas anda.
Kabinet MPP yang terbina ini mesti pantas berlari. Anda mujaddid kecil yang diharap-harapkan. Anda mesti memimpin perubahan. Tukarkan pakaian lama yang sudah lusuh dengan yang baru. Gosokkan baju yang dulunya dipakai kusut itu agar nanti kelihatan kemas. Ubah pemikiran. Ubah tindakan. Ubah langkah. Ubah cara lama yang sudah tidak laku. Ianya sudah busuk. Dan mahasiswa sudah tidak tahan menghidunya. Lekas buangkan. Kami mahukan yang baru dan segar. Ya, pemimpin masa depan yang berjiwa mahasiswa.
Lakukan apa yang terbaik untuk mahasiswa dan universiti. Berani untuk berkata benar jika perkara itu benar. Berani untuk berkata salah jika perkara itu salah. Bertindak menurut idealisme yang anda ingin juangkan. Jika anda punya cita-cita benar, lakukanlah untuk dapatkan cita-cita itu. Jika anda mahukan sesuatu yang benar, dapatkannya. Anda mesti berusaha dan bekerja.
Bakal pemimpin!
Harapan mahasiswa di tangan anda. Tangan anda mesti bersih dan kuat mengenggam harapan itu. Anda genggamlah seperti mengenggam emas dan permata bukan kaca. Bila anda sudah tiba untuk menunaikan harapan itu. Gunakan sahaja jari-jari anda. Jangan biarkan pihak korup menjadi telunjuk kepada tindakan anda. Nanti semua menjadi sia-sia. Dan bila anda telah berjaya melunaskan harapan itu tersenyumlah bersama kami. Mahasiswa yang bersama anda dan akan membela anda.
Ayuh bakal pemimpin!
Pandang jauh kehadapan. Lalu berfikir secara dewasa. Bila anda berjaya di medan ini, tidak mustahil anda bakal pemimpin di pentas yang lebih besar di luar sana. Ini ruang dan peluang anda. Saya mengharapkan anda bertanding bukan kerana saja-saja. Bukan kerana elaun atau kerana sijil. Saya berharap anda lakukan semua ini kerna mahu memberikan sesuatu. Hidup untuk memberi!
Ayuh berikan kami kebaikan anda atau sesuatu yang bermanfaat untuk kami. Mari berikan sesuatu kepada universiti ini. Tidak mengapa jika pemberian itu tidak berharga asal ia punya kebaikan buat kami dan universiti. Ia punya makna besar. Dan tanamkan benih kebaikan di tanah berpijak ini, bumikan segala cita-cita anda dan harapan mahasiswa. Nanti bila ia sudah tumbuh dan berbunga indah, anda bisa berbangga dengan diri anda. Lalu katakanlah,
‘Ini hasil tangan saya.’
Selamat Memimpin!
Al-Faaqir Ila Rabbi Al-Qadir
Dhiya' Al-Qadiry
Jami’ah Al-Sulthan Zien Al-‘Abidin
14 Rabiulakhir 1432H
0 ulasan:
Catat Ulasan