AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Jumaat Itu

Jumaat itu saya habiskan sebahagian dari harinya di kebun ayah. Sudah lama agaknya saya tidak berkunjung ke sini. Kesempatan waktu cuti ini saya manfaatkan sebaiknya. Setibanya dikebun saya disambut oleh bau buah kokok. Lalu kerinduan datang menyapa. Rindu waktu kecil-kecil dahulu. Ketika saya teringatkanya. Saya gelak kecil. Nakal sungguh saya rupanya!


“Wah, you sudah besar ma.” sapa pakcik saya. Dia berbangsa cina, berkahwin dengan makcik saya. Jadi tidak sukar untuk dia berbahasa melayu. Sudah agak lama mereka tinggal di sini. Saya pun tidak pasti berapa tahun lamanya.


Dulunya saya selalu berkunjung ke sini. Sebahagian usia kanak-kanak saya tumpahkan di sini. Lalu berkunjung-kunjunglah kerinduan sehingga saya tidak sedar usia saya sudah mencecah dewasa. Sepertinya saya melihat bayangan saya sewaktu kanak-kanak berlarian-larian dan berebut-berebut mengambil buah koko. Ah!


“Lari ada anjing.” Teriak sepupu saya. Saya jadi hilang nafas. Berlari sekuat mungkin kerana takutkan binatang bernama ‘anjing’. Huh!


SOLAT DAN KHUTBAH JUMAAT


“Saya pergi solat jumaat dulu ya” ujar saya kepada Ibu.


“Dekat simpang jalan tu ada masjid, zaid solat di situlah ya.” Kata makcik saya.


Saya hidupkan enjin kereta lalu segera menuju ke masjid. Sekejap sahaja saya sudah tiba. Masjid yang terletak di tepi jalan itu tidaklah terlalu besar dan indah ukirannya. Hanya sebuah masjid yang diperbuat daripada kayu.


Saya tidak berapa ingat nama masjid tersebut.


Azan pertama belum dikumandangkan. Selesai berwuduk saya duduk beriktikaf di masjid tersebut. Tidak ramai lagi tetamu Allah yang hadir, mungkin baru bersiap. Sangkaan saya.


Usai azan kedua khatib naik ke atas mimbar. Saya perhatikan langkahnya. Sewaktu khatib memulakan khutbahnya dengan puji-pujian, hati saya bagai dihujani titisan embun.


“Maha Suci dan Maha Agung Engkau Ya Allah.”


Tetapi ketika khatib tersebut membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Jiwa saya seakan menangis. Menangis kerana mulianya ayat-ayat al-Quran tersebut. Tapi di baca dengan makhraj dan tajwid yang kurang tepat. Saya cuba melapangkan diri dan bersangka baik.


Namun saya terus dibuai kekecewaan dan kehampaan, apabila isi khutbah yang seterusnya khatib tersebut membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan kurang tepat. Sewaktu membaca isi khutbah tersebut seolah-olah khatib tidak punya semangat. Dengan nada yang terlalu perlahan dan lembut, ianya benar-benar membuatkan sidang jumaat ketiduran. Saya semakin kecewa. Saya jadi tertanya, apakah sirah baginda Nabi SAW belum dibaca dan dihayati? Bagaimana baginda berkhutbah? Apakah belum diketahui bagaimana saat Nabi SAW beraksi di mimbar Jumaat? Atau seperti apa tingkah dan perwatakan baginda kala berkhutbah mengingatkan umat manusia? Argh!


Amarah saya jadi besar. Ruh saya seolah-olah bangkit berdiri. Namun saya masih bisa bertenang. Sewaktu solat jumaat didirikan sekali lagi saya dihidang dengan bacaan yang kurang enak didengar halua telinga. Khusyuk saya menjadi hilang. Amarah saya semakin membuak-buak. Kesabaran saya semakin tercabar. Apa ni? Takkan imam tidak ada tauliah? Orang yang bacaannya seteruk ini bisa diangkat menjadi imam?


Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan Iaitu Kitab suci Al-Quran Yang bersamaan isi kandungannya antara satu Dengan Yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, Dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang Yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk Dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya Yang salah), maka tidak ada sesiapa pun Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadaNya.
(Az-Zumar: 23)


USTAZ KHAIRI DAN USTAZ LATIF


Dalam ramai-ramai guru mengaji saya, yang dua orang ini cukup tegas. Ketegasan mereka bukan kepalang. Dua orang imam muda ini cukup tekun perihal al-Quran. Kedua-duanya adalah Imam Masjid Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). Ustaz Khairi, seorang mahasiswa lulusan Institut Pengajian Tinggi Islam Dan Bahasa Arab (Madiwa). Ketegasannya perihal al-Quran bukan kepalang. Bacaan juga mantap. Katanya, Tan Sri Dato’ Syeikh Haji Ismail Muhammad Al-Hafiz, Imam Besar Masjid Negara menjadi idolanya. Seorang lagi, Ustaz Abdul Latif lepasan Maahad Tahfiz Masjid Hidayah, Rantau Panjang Kelantan. Sebelumnya beliau sempat belajar di Darul Quran Kuala Kubu Bharu Selangor. Beliau juga lulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik UiTM.


Saya sekadar sempat bertalaqi bersama keduanya selama hampir setahun. Walaupun begitu, banyak yang saya telah pelajari dari mereka. Saya belajar dengan ketegasan mereka dalam menghadapi hidangan al-Quran.


Pernah saya ditengking dan hampir di dipukul kerana sedikit tersalah menyebut ayat al-Quran. Itu pengalaman saya.


“Saya paling pantang jika salah menyebut al-Quran.” Tegas Ustaz Khairi kepada saya.


IMAM MUDA


Di masjid saya, imamnya cukup muda, kami memanggilnya Imam Razil atau Imam muda. Bacaanya memang tepat. Tajwib, makhraj dan sebagainya. Jangan cuba dipertikaikan. Dia belajar dengan tiga orang guru. Dulu pun saya sempat mengaji dengannya.


‘Imam muda.’ Hal demikian pernah menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat sekitar kampung. Ada yang kurang berpuas hati sehingga tidak mahu solat berjemaah di masjid. Ada yang bercakap belakang. Ada yang pernah berkunjung ke pejabat JAHEINS bagi mengemukakan protes. Pokoknya bermacamlah tingkah orang-orang kampung kerana enggan berimankan orang muda. Pernah sekali saya menjadi Khatib dan imam pada hari jumaat. Beberapa hari selepas itu, terdengarlah desas-desus ketidak puas hatian penduduk kampung. Sedikitpun kami tidak pernah marah dengan tingkah mereka. Biasalah orang tua. Mereka merasa lebih tinggi. Apabila ada orang yang lebih muda dari mereka duduk di atas, ego mereka tercabar.


Saya masih ingat kata-kata Imam Razil.


“Apa guna imam tua kalau bacaan pun tunggang langgang (tidak tepat).” Nampak seperti kurang sopan bukan bicara itu. Tapi itulah yang terlepas dari belahan bibir seorang imam muda apabila dia direndah-rendahkan dan dipandang sinis oleh orang-orang tua.


JAHEINS


Hal demikian bukan sekali saya alami. Ada beberapa masjid yang pernah saya kunjungi, juga imamnya kurang tepat dari sudut bacaan. Mungkinkah kerana faktor usia? Ataukah kurangnya tauliah? Atau tiada pantauan dari pihak yang berwajib. Mungkinkah? Anda sendiri cuba timbang-timbangkan.


Mungikin sudah tiba waktunya pihak Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JAHEINS) mengambil inisiatif yang seimbang bagi mengatasi hal ini. Mungkin ianya dilihat terlalu remeh. Tapi percayalah terkadang kita terlepas pandang perkara kecil walhal ianya amat penting.


Mungkin ada pandangan saya yang bisa digunapakai.


1. Mengadakan kursus bagi memantapkan lagi bacaan imam-imam.
2. Melantik imam muda yang terdiri daripada hafiz al-Quran atau pelajar pengajian Islam.
3. Memantau setiap ketika masjid-masjid yang berada di bawa selian JAHEINS.
4. Perlantikan secara telus dan saksama.


Mungkin juga teman-teman saya ada cadangan dan pandangan tersendiri.


“Ya Allah, rahmati saya dengan al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai imam, cahaya, hidayah dan rahmat. Ya Allah ingatkan saya bila ada ayat (al-Quran) yang saya lupa. Dan ajari saya ayat-ayat yang tidak saya fahami. Kurniakan saya kenikmatan membacanya sepanjang waktu, samada di waktu tegah malam atau diwaktu siang. Jadikan al-Quran ini hujjah bagi saya. Ya Rabbal ‘Alamin.






Dhiya’
Tanjung Batu Laut, Tawau

2 ulasan:

satu cadangan yang mantap, bukan calang2 hamba Allah mampu berdiri menyampaikan amanat khutbah jumaat, moga2 akan muncul pemuda-pemuda islam yang ada sentiviti, doakan bersama