AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Takziah KIPSAS

Terlebih dahulu saya ingin merafa’ sembah, menyusun sekalian jari-jemari yang dipinjamkan Tuhan, memohon ampun dan maaf andai tulisan ini mengganggu sang pembaca budiman.

Hari-hari berlalu sering mengganggu fikiran saya. Lewat pembatalan konvokesyen KIPSAS. Puncanya kerana masalah penularan wabak Influenza A (H1N1) atau ‘swine flu’8.

Maka saya ucapkan takziah atas musibah yang dihadapi KIPSAS sehingga memungkinkan pembatalan konvokesyen yang telah pun dirancangan baik. Sungguh kita merancang sesuatu namun TUHAN yang Maha Bijaksana punya perancangan yang tersendiri. Dan sudah tentulah kuasa dan perancangan-Nya lebih adil dan saksama.

Saya menghitung jari, berkira-kira, membilang sebesar mana kerugian yang mesti ditanggung oleh pihak KIPSAS di atas pembatalan konvokesyen ini. Maka saya ucapkan takziah sekali lagi. Juga saya turut merasa peritnya derita teman-teman sekonvokesyen yang telah bersiap meraikan majlis yang penuh bersejarah ini. Ulung kali dalam hidup pastinya.

Ramai yang sudah membeli tiket bus ke KIPSAS, hangus begitu sahaja. Yang paling memberatkan fikiran saya, teman-teman dari seberang laut (MALAYSIA TIMUR). Saya mendengar keluhan seorang teman, beliau sudah menempah tiket kapal terbang pergi dan balik untuk sekeluarga. Jika dihitung kerugian itu pastinya menghampiri ribuan ringgit. Bagaimana pula dengan mereka yang terpaksa meninggalkan kuliah di universiti? Itu juga pengorbanan yang besar. Maka sampai ketika ini saya masih bermuhasabah. Menilik lagi akan musibah kecil yang ditimpahi Tuhan.

“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Surah al-Anbiya:35

Saya memetik kata-kata YH Dato’ Presiden KIPSAS dalam sepucuk surat yang diutus kepada Ibubapa pelajar, “Saya yakin ada kebaikan yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku dan bersama-samalah kita redha akan ketentuan Allah ini. Semoga semua ini akan meningkatkan kesabaran dan keimanan kita di dalam menghadapi cubaan Ilahi dan menjadikan kita insan yang lebih baik.”

Perenggan ini saya baca berulang kali. Bagai tidak puas dengan pujukan dan pedoman ayat itu. Saya tidak mampu menahan sebak, lantas manik-manik putih membasahi celah pipi. Saya cuba menghiburkan hati dengan ayat-ayat cinta dari Allah s.w.t. Maka saya menghukum ini cubaan, ini bala dari Tuhan atas kelakuan mungkar penghuni bumi. Bala itu ditimpa bukan sahaja kepada pelaku mungkar, juga kepada mereka yang mengubudiyyahkan diri kepada Allah dengan mutlak. Semua makhluk turut tertimpa. Bacalah al-Quran pasti anda tersentak dengan amaran Allah swt;

“Dan bukan sedikit negeri-negeri Yang penduduknya menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu Dengan hitungan Yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka Dengan azab Yang tidak pernah dikenal dahsyatnya. Lalu mereka merasai kesan Yang buruk dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah akibat perbuatan mereka satu kerugian Yang besar”. (65:8-9)

Maka saya memujuk diri, menenangkan jiwa yang sedang larat dengan kerisauan, mungkinkah suatu ketika bala itu tertimpa pada diri? Nauzubillah Min Zalik.

Mungkin ini ketikanya kita membaca dengan mata hati atas amaran Allah s.w.t. Yakinlah Allah sedang berbicara kepada manusia setelah kalam-Nya (al-Quran) ditulikan, perintahNya dicacatkan, laranganNya dibutakan. Bicara ini amat dasyat. Bacalah dengan mata hati, ini hukuman Allah pada umat dunia.

Ucapan takziah buat seluruh warga KIPSAS dan teman-teman graduan. Semoga ada iktibar yang bisa kita pelajari dari kejadian ini.

“….Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (2:216)

0 ulasan: