AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Pesan Taqwa Dari Rasulallah

Pukul 5 pagi saya terjaga dari tidur. Saya lalu bangkit membersihkan diri. Saya mahu solat sunat. Teringat pesan guru saya, agar senatiasa melazimkan diri melakukan solat sunat Tahajjud dan Istikharah kerana pada kedua-duanya ada rahsia keistimewaan yang disediakan Allah buat hambaNya.

Dalam keheningan subuh, rasa dingin membalut seluruh tubuh. Suasana tenang, damai dan menenteramkan. Ibadah terasa sangat lazat bersama titis hujan yang jatuh menyembah Tuhan. Selesai munajat saya bingkas menggapai kitab lalu memasukkan ke dalam beg. Subuh ini kuliah kitab Riadhus Sholihin di Surau Muhajirin.

‘Bismillahi tawakkaltu ‘alallah’

Setelah memanaskan enjin saya terus berangkat. Di atas motor saya berzikir-zikir.

‘Isilah waktu kamu dengan zikrullah. Ketika berjalan, duduk, baring, pada setiap ketika.’ Tegas Dr Wan Chik.

Selesai menunaikan solat Subuh. Ustaz Ahmad Tirmizi mengambil tempat dan memulai kuliahnya.

‘Daripada Abu Zar iaitu Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman iaitu Mu'az ibn Jabal, radhiallahu anhuma. Daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.”

“Hadis riwayat al-lmam at-Tirmizi. Beliau berkata: la adalah Hadis Hasan.”
Saya meniti secara khusyuk setiap yang dibicarakan.

“Hadis ini diriwayatkan oleh dua orang sahabat iaitu Abu Zar dan Muaz bin Jabal.” Tegas ustaz Tirmizi lagi.

Abu Zar ialah Jundub bin Junadah, manakala Abu Abdul Rahman itu adalah gelaran pada Muaz bin Jabal. Kedua-dua mereka merupakan sahabat Nabi sallahu alaihi wa sallam. Para sahabat merupakan orang yang sangat dipercayai. Dalam ilmu akidah ada suatu istilah yang disebukan iaitu ‘Kullu shohabah ‘Uduulun’ semua para sahabat adalah adil. Sifat adil merupakan satu ciri yang mesti ada pada perawi dan ianya sangat penting dalam menilai keshahihan sesuatu hadis selain melihat pada matan hadis.

'Hadis ini disebutkan oleh baginda kepada Abu Zar ketika dia masuk Islam. Manakala Rasulallah sallallahu ‘alaihi wa sallam menitipkan pesannya ini kepada Muaz bin Jabal sewaktu dilantik menjadi Mufti di Yaman.'
Sambil mendengar perbicaraan ustaz, tangan saya terus bergerak-gerak mencatat kalimat-kalimat yang diungkapkan.

Bertaqwalah Kepada Allah Walau Di Mana Berada

‘Dalam hadis ini, ada tiga perkara penting yang dipesankan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Pertama, bertaqwa kepada Allah dalam setiap keadaan. Kedua, iringi kejahatan dengan kebaikan dan ketiga, bergaul sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’ Terang beliau lagi.

Taqwa dituntut walaupun di mana seorang mukmin berada, sama ada di khalayak ramai mahupun di ketika keseorangan. lni adalah tanda keikhlasan lman dan Taqwa. Hadis ini menggesa agar berlaku jujur terhadap diri sendiri, samada ketika di hadapan manusia atau dibelakang. lslam menolak sifat berpura-pura dan munafik yang hanya mempamerkan kebaikan di depan orang dan berbuat kejahatan apabila jauh daripada pandangan manusia.

‘Inilah Muraqabah’. Tegas ustaz sambil matanya memandang tepat ke arah hadirin.

Muraqabah bermaksud merasa diri sentiasa diperhatikan Allah. Orang yang tidak merasa muraqatullah dalam dirinya adalah tanda hatinya telah sakit. Sedang taqwa itu terbina dengan adanya muraqabatullah.

‘Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu sentiasa ada keikutsertaan Allah dalam pemeliharaan dirinya. Sebagaimana firman Allah:’
“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa.” Al-Baqarah: 194)

Dalam kitab An-Nashaaih ad-Diniyah wal-Washaaya al-Imaaniyah, Imam Habib Abdullah Haddad ada menjelaskan kebahagian dan kelebihan pada sifat taqwa seperti yang diterangkan dalam Al-Quran. Antaranya kata beliau, taqwa itu sebagai meleraikan kekeliruan dan penebus kesalahan (penyuci dosa-dosa). Orang yang bertaqwa juga akan selamat dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, dikurniakan ia Ilmu Ladunni, hidupnya lapang, dimurahkan rezeki, dan orang yang mempunyai sifat taqwa akan dimuliakan Allah di dunia dan akhirat.

Perkara Yang Baik Memadamkan Yang Jahat

“Point kedua ialah gesaan agar segera melakukan kebaikan apabila sudah terlanjur berbuat kesalahan. Bertaubat kepada Allah dan melakukan amal-amal soleh dengan meninggalkan keburukan apa yang telah dilakukan dahulu.” Sambung ustaz Tirmizi lagi.

Para ulamak berbeda pendapat mana menafsirkan kalimah ‘Hasanah’ dalam hadis tersebut. Setengah daripadanya mengatakan, yang dimaksudkan dengan Hasanah dalam hadis tersebut ialah ‘taubat’. Manakalah jumhur berpendapat apa yang dikehendaki pada hadis itu adalah ‘taubat nasuha’.

“Perlu diingat, orang yang bertaqwa itu tidak terlepas daripada melakukan dosa. Inilah adalah aqidah kita. Kerana mereka tidak maksum. Yang maksum hanya para nabi dan rasul.”

Seseorang yang memiliki sifat taqwa, apabila terlanjur melakukan dosa maka ia akan segera bertaubat kepada Allah. Taubat berasal daripada kalimah ‘taaba’ yang bermaksud kembali. Bertaubat kepada Allah bererti kembali kepadanya dengan melakukan yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar. Melakukan kesalahan adalah tabiat semulajadi manusia. Oleh itu apabila kita melakukan kesilapan, kita dituntut agar mengiringi kejahatan tersebut dengan amal soleh kerana ia boleh menghapuskan kejahatan tersebut.

Bergaul Dengan Manusia Secara Baik

‘Dan sabda baginda lagi, bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’ Kata beliau.

‘Nabi mengucapkan hadis ini secara umum dengan tidak mengkhususkan kepada mana-mana manusia, agama, atau bangsa. Dengan makna bahawa bergaul dengan semua manusia tidak kira dia orang Islam atau kafir.’ Tambahnya lagi.

‘Yang dimaksudkan bergaul secara baik dengan orang kafir ialah dengan berlaku adil terhadap mereka. Menunaikan setiap hak-hak mereka sebagai hamba yang diciptakan Allah. Inilah keindahan ajaran Islam. Islam merupakan agama yang adil dan Islam menyeru umatnya agar sentiasa berlaku adil dalam segala perkara.’

‘Bergaul secara baik dengan manusia adalah dengan mempamerkan akhlak mulia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah.’ Terang ustaz.

Rasulullah merupakan sebaik-baik makhluk. Baginda adalah sebaik-baik Qudwah yang mesti diteladani dan dicontohi oleh orang-orang yang beriman. Baginda bergaul dengan manusia secara baik. Baginda memuliakan para Sahabatnya dan ahli keluarganya. Baginda mencintai umatnya. Baginda menghormati penganut-penganut agama lain. Baginda menunaikan hak-hak setiap kalangan manusia tidak mengira bangsa, keturunan dan agama. Sebab itu Allah mengisytiharkan bahawa baginda adalah ramhat buat seluruh jagatraya.

Mengakhiri kuliah subuh pagi itu Ustaz Tirmizi menyimpulkan.

‘Berdasarkan hadis yang kita bacakan tadi, para ulamak mengistinbatkan hukum. Orang yang soleh ada dua perkara padanya iaitu orang yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah dan hubungan yang baik sesama manusia.’

Usai kuliah serentak para jemaah mengikuti ustaz Tirmizi membaca kalimah,

‘Hasbiallahu laa ilaha illahu ‘alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul arsyil ‘azhim’


Allahumma Faqqihna Fid Dien!


Dhiya’
Surau Al-Muhajirin
Kuala Terengganu

0 ulasan: