“..dariNya kita datang dan kepadaNya kita pulang...”
Apabila ajal telah tiba, tidak dicepatkan, tidak juga dilewatkan walau sesaat. Telah tercatat di Lauh al-Mahfuz, hari Jumaat, di pagi bening 26 Ramadhan, saat berjuta-juta tangan sedang menadah ke langit, ada saudara terdekat dijemput Allah. Setelah berbulan-bulan bertarung dengan kesakitan. Malaikat datang membawa titah Tuhan. MATI!
Ruh itu dijemput pulang dengan mulia. Bulan yang terbaik, hari yang terbaik, waktu yang terbaik...Subhanallah!
“Ya Allah, ampunkanlah dirinya, rahmatinya, kurniakan ke’afiatan kepadanya, maafkan segala kesalahannya...”
Andai Ku Tahu
Saya tidak berminat dengan lagu-lagu sekarang ini. Kontang dengan petunjuk. Tapi dicelah-celah gelombang kesesatan dan kelalaiann itu, ada beberapa band musik alternatif yang berani melawan arus. Islamic genre diketengahkan dalam lirik-lirik lagu. Sangat bagus! Saya tertarik dengan lagu ‘Andai Ku Tahu’ dendangan Ungu. Sebuah band alternatif dari Tanah Seberang.
Andai ku tahu
Kapan tiba ajalku
Ku akan memohon
Tuhan tolong panjangkan umurku...
Andai ku tahu
Kapan tiba masaku
Ku akan memohon
Tuhan jangan KAU ambil nyawaku...
Aku takut akan semua dosa-dosaku
Aku takut dosa yang terus membayangiku...
MATI adalah rahsia daripada rahsia-rahsia Allah, guna untuk manusia terus siap menjadi HAMBA. Hamba kepada Allah subhanahu wa ta’ala. Pada setiap waktu dan ketika. Di setiap tempat dan zaman. Pada setiap denyut nadi. Mati..mati..mati..
Ketika anda diberitahu, bahawa seorang raja menjemputmu ke istana. Anda diperintahkan untuk memakai pakaian berwarna putih. Raja itu menghantar seorang petugasnya untuk menjemputmu di rumah. Sementara menanti petugas diraja sampai, apa yang anda lakukan?
Tanpa membuang masa, anda terus bersiap-siap dengan pakaian berwarna putih sebagaimana yang dikehendaki Raja sambil menanti untuk dijemput.
Atau...
Anda buang masa dengan menonton TV, mendengar radio, makan, minum, tidur...sehingga petugas diraja sampai, anda tidak sempat bersiap-siap.
Sebuah Pilihan
Jika bisa dibuat perumpamaan. Situasi di atas ada samanya.
“Setiap yang bernyawa pasti akan mati...”
“Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali...”
Kita telah diberitahu bahawa kita akan dijemput Allah. Kita diperintahkan untuk bersiap dengan pakaian amal soleh (Laa ilaha illallah). PetugasNya iaitu Malaikat Maut, akan datang menjemput kita. Sementara menanti Malaikat Maut datang menjemput, apa yang kita
lakukan?
Tanpa membuang masa, kita terus bersiap-siap dengan amal soleh sebagaimana yang diperintahkan Allah, menanti Malaikat Maut menjemput.
Atau...
Kita buang masa dengan melakukan amalan keji dan munkar, melakukan maksiat, berzina, berjudi, minum arak, lalai, leka dengan hiburan...sehingga Malaikat Maut datang menjemput, kita tidak sempat berbuat apa yang diperintahkan Allah.
Nah, sekarang fikirkan. Samada kita akan MATI dalam keadaan Husnul Khatimah atau MATI dalam keadaan Su’ul Khatimah.
Kita tidak tahu bila kita akan MATI, tapi yang pastinya kita bakal MATI...
MATI sebagai manusia MULIA.
Atau...
Mati sebagai manusia HINA.
You have to choose!
Dhiya’
Bumi Peladang
26 Ramadhan 1432H
0 ulasan:
Catat Ulasan