AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Merindukan Wajah-Wajah Mulia

Malam terus menjengah larut, membawa sang hamba tenggelam dalam selimut malam buat menghilang lelah setelah seharian berkehidupan. Sedang saya masih tenggelam pada meneliti mutiara-mutiara hikam pada sebuah kitab tua yang sangat menakjubkan. Kitab Durr al-Nafis, tulisan seorang ulamak Banjar yang sangat ‘alim, Maulana al-Allamah al-Fahhamah al-Mursyid al-Syeikh Muhammad Nafis ibn Idris al-Banjari rahimahullahu ta’ala. Kitab berbahasa jawi ini akan menemani saya sepanjang Ramadhan, disamping beberapa kitab lain, Hasyiah Bajuri ‘ala Ibn Qasim, Tuhfatul Murid ‘ala Jauharah al-Tauhid, Syarah Syarqawi ‘ala Hud Hudi dan beberapa kitab berbahasa Arab, Jawi dan melayu yang saya bawa pulang.

Ketika fikiran sarat dengan mutiara hikam pada perbicaraan Tauhid Af’al, saya jadi teringat bumi pengajian. Ternyata belum pun sampai sebulan saya meninggalkan bumi Terengganu, saya kerinduan. Ya, saya merindukan kehidupan sehari-hari di sana sehingga rindu itu terbawa ke dalam tidur. Wajah al-Mukarram dan Syeikh Termizi hadir dalam mimpi.

“Di sana nanti jangan tinggalkan ‘mendengar’...” pesan akhir Syeikh Mizi sebelum saya berangkat pulang.

Sebenarnya saya merindui hari-hari pengajian ilmu di sana.

Mendalami ilmu Tasawuf dan ajaran Tarekat bersama Al-Mukarram Dr Abdul Manam, khalifah Tarekat Qadiriyah Naqsyabandiyah.

Bersama Syeikh Ahmad Tirmizi Taha dan Ustaz Khiral mendalami ilmu Fekah dan Akidah.

Menadah kitab Fathul Mu’in, Iqna’ dan Kifayatul Muhtadi bersama Ustaz Abdul Halim, mantan pemangku Mufti Kerajaan Negeri Terengganu.

Bertalaqqi kitab Mukhtasar Mufid Syarah Jauharah al-Tauhid dengan Ustaz Ku di petang Ahad.

Mendengar bacaan hadis pada kitab Fathul Bari oleh Ustaz Zahid.

Belajar ilmu Perubatan Islam bersama Ustaz Dr Burhanuddin, salah seorang anak murid Tuan Guru Dato’ Harun Din, pengasas Darul Syifa’.

Mengaji kitab Fathul Mu’in dan Tafsir al-Quran bersama Ustaz Ghani dipetang Jumaat.

Saya merindui suara Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan kuliah di pagi Jumaat.

Sangat istimewa apabila bertemu para kekasih Allah...

Bersama Syeikh Fahmi Zam-zam ketika beliau dijemput ke universiti. Diijazahkan zikir, wirid dan hadis-hadis dalam kitab-kitab karangan Imam al-Nawawi.

Begitu juga beberapa kali bersama Syeikh Rohimuddin al-Nawawi al-Banteni sehingga beliau jadi kenal pada saya, malah sempat diijazah kitab Kasyful Hijab karangan Imam al-Sya’rani dan sebuah kitab Tasawuf karangan beliau sendiri.

Daurah kitab Haqaiq al-Tasawuf bersama Syeikh Youssef Rek El-Bakhour al-Hasani di Madrasah al-Hidayah.

Majlis ilmu bersama ulamak Patani, Baba Lie, Sekam Budi. 

Dikunjungi waris Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, al-Sayyid al-Syarif Mohammad Fadhil al-Jilani al-Hasani dalam sambutan Majlis Maulidur Rasul Madrasah Darul Muhajirin 1432H. Istimewanya beliau telah mengijazahkan seluruh karangan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani.

Bumi Terengganu masih subur dengan ilmu dan para ulamaknya.

Merekalah manusia-manusia yang bila dipandang akan bisa mengingatkan siapa saja kepada Allah Ta’ala. Gerak-geri mereka sentiasa membangkitkan ghairah untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Ucapan-ucapan mereka bisa memandu kepada rahmat-Nya. Cahaya mereka menaungi siapa saja yang ada di dekat mereka. Akhlak mereka yang indah akan menular menjadi qudwah. Amal-amal mereka yang hebat membuat nafsu merasa kerdil. Dan yang terutama, berkah mereka akan dapat diraih baik di kehidupan ini mahupun di alam yang akan datang.

Dekat dengan mereka adalah suatu fadhilah besar. Memandang mereka bernilai ibadah. Cinta kepada mereka akan membuahkan keberuntungan. Siapa yang duduk di dekat mereka bakal memetik cahaya kebahagiaan dan meneguk titisan rasa cinta.

Kapan diriku ‘kan bertemu mereka?

Aduhai, kapan mata ini menatap wajah mereka?

Atau telinga ini mendengar khabar tentang mereka?

Saya merindukan wajah-wajah mulia itu...


al-faaqir ilallah!

Dhiya’
Tawau, Sabah
11 Ramadhan 1432H

1 ulasan:

Assalamu'alaikum...mohon ijin baca, terimakasih

Wassalamu'alaikum
abihani
websites
izharulhidayat.com