MUSIM PEPERIKSAAN selalu seperti ini, memenatkan dan meletihkan. Fikiran dan tenaga digunakan sehabisnya. Makan dan tidur? Usah dikira. Mujur di dewan peperiksaan semua berjalan baik, tenang dan tidak menyulitkan. Empat madah pertama benar-benar menguji.
Tadi, usai madah Falsafah Akhlak aku kecapekan. Empat malam turut-turutan bergadangan. Dan semalaman aku bergadang lagi, menghafal kalimat-kalimat falsafah berbahasa Arab, begitu menyulitkan. Sempat ku ta'bir bahwa peperiksaan sungguh menyeksakan. Ampun!
Malam ini aku mahu menunaikan haknya tubuh. Istirehat. Paper seterusnya akan bersambung Sabtu ini dan berakhir Isnin nanti. Aku masih punya tiga madah; Haqaiq al-Tasawuf, Muqaaranah al-Adyan dan Kemahiran Komunikasi.
Sambil istirehat, menghimpunkan kudrat yang telah tergunakan, sambil menikmati suara ustaz Haji Razdi Kamarul Hailan mengalunan ayat suci al-Quran, kutatap helaian-helaian yang tertulis pada kitab Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abu Madyan, tulisan al-Arifbillah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathoni. Kitab ini merupakan syarah kepada Hikam Abi Madyan yang diterjemahkan Syeikh Daud ke bahasa jawi lama.
Ikhlas kukatakan, mentelaah tulisan-tulisan Syeikh Daud al-Fathoni memang menduga. Kuambil contoh Bughyah al-Thullab dan Furu’ al-Masa’il, perlu tekun dan cermat selain tahu bahasa Arab. Barangkali kerna tona bahasa, meski sulit dimengertikan tapi indah dan mengasyikkan sebenarnya. Syukur juga kerna aku diberi kesempatan bertalaqqi dengan Syeikh Mizi - guru yang sangat aku hormati dan cintai – Kealimannya, sifat waraknya, disiplinnya, rendah hatinya, sungguh benar memikat. Sekurang-kurangnya Allah memberikan kesempatan untuk aku mendalami ilmu. Paling tidak aku bisa merasakan lazatnya ilmu. Kerna antara anugerah besar Allah ta’ala kepada hambanya, diberiNya seseorang kesempatan untuk belajar dan mencari faham agama. Terima kasih Tuhan!
Jujur aku senang berada di sini. Di bumi Terengganu. Lebih-lebih lagi di tanah Kolej Ugama Sulthan Zainal Abidin, KUSZA. Tempat yang telah melahirkan ramai cendiakawan Islam. Tempat yang dahulunya menjadi rujukan kerna khazanah ilmunya yang terjaga baik. Tanah yang pernah dijejak ‘alim ulamak, mendidik anak-anak bangsa. Tempat ini disimbahi keberkatan. Tanah ini berkat kerna telah diwakafkan untuk ilmu. Ya, semata-mata demi ilmu.
Tapi...
Tapi saat ini aku tidak tahu. Apakah masih ada keberkatan dari Tuhan? Apakah tempat ini masih dinaungi malaikat-malaikat penyayang? Memuji-muji dan beristighfar untuk penghuninya yang sedang menuntut ilmu. Masihkah? Atau rahmat dan keberkatan sudah diangkat ke langit. Atau syaitan-syaitan sedang berkeliar di sana sini. Atau barangkali para malaikat sudah tidak tega mendoakan, kerna malu melihat tingkah kita. Atau tanah ini sedang menangis mengenang dosa noda kita. Apakah?
Tuhan, semoga tanah dan tempat ini masih seperti dahulu. Semoga keberkahan masih tetap terus tercurahkan. Semoga para malaikat masih sudi melindungkan sayapnya dan mencurah doa. Semoga tanah ini masih sudi berbakti menabur jasa. Kerna di sini masih ada yang ikhlas. Kerna di sini masih ada yang takutkan Tuhan. Kerna di sini masih ada yang sering menangis ditengah malam. Kerna di sini masih ada yang berzikir-zikir membesarkan Tuhan. Kerna di sini masih ada yang tekun mencari dan mengajarkan ilmu. Kerna di sini adanya pemuda, pemudi dan pendidik yang cintakan agama.
Kerna di sini...
Kerna di sini masih ada kami. Yang mencintaiMu dan mencintai agamaMu.
Peliharalah dan kasihani kami, Tuhan!
Dhiya’
Dewan Peperiksaan UniSZA
12 Safar 1433H
12 Safar 1433H
0 ulasan:
Catat Ulasan