Dengan pena kucatat,
kalimat demi kalimat,
dari perasaanku yang dalam,
atas sebuah penghormatan...
-Dhiya'-
Sebagaimana yang kawan telah ketahui. Itulah Nabiku. Sederhana
namun tetap istimewa. Lewat peribadinya, sering membuat orang-orang penasaran, jatuh
cinta. Tak percaya? Marilah aku ceritakan lagi hal yang kuketahui
tentang Nabiku.
Begini. Kenalkah kalian kepada Tsumamah bin Utsal? Beliau
salah seorang pemimpin Bani Hanifah, Penguasa Yamamah yang terkenal dengan
kebenciannya kepada Nabi. Seketika menerima surat seruan dakwah daripada Nabi,
ia menanggapinya dengan penuh kesombongan dan menghinakan. Tsumamah kelihatan
kurang senang. Sering sahaja ia mengintai-intai peluang untuk membunuh Nabi dan
para Sahabat.
Tuhan telah mentakdirkan pertemuan langsung antara Tsumamah
dengan Nabi. Tentera berkuda Islam yang ditugaskan berkawal disempadan telah berjaya
menewaskan dan menawan pasukan Tsumamah. Maka dibawalah mereka ke masjid, dalam
keadaan baik tanpa sedikitpun dikasari, demi menghadap Nabi.
"Tahukah kalian, siapakah para tawanan ini?" Tanya
Nabi. Para sahabat terdiam tak ketahuan.
"Dia adalah Tsumamah bin Utsal al-Hanafi, Pembesar
Yamamah. Layanilah dia dengan baik…!". Titah Nabi.
Mendengarkan itu, para sahabat terkedu. Bukankah Nabi
pernah menghalalkan darah Tsumamah kerna dia adalah musuh yang cuba membunuh, tapi
mengapa tiba-tiba disuruh agar dilayan dengan baik. Mereka terdiam, tak mampu
berbuat apa. Hanya taat dan patuh dengan titah Nabi.
Tsumamah dan tenteranya dilayani dengan baik oleh Nabi dan tentera Islam. Tanpa dikasari, tanpa didera, tidak dimaki atau dicaci cerca. Tidak ada. Itulah akhlak Nabiku. Sungguh mulia sifatnya. Bagindalah adalah rahmat buat seluruh jagatraya. Tak tertandingkan.
Pulang dari Masjid, Nabi menemui isterinya, meminta mereka
menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada Tsumamah dan orang-orangnya. Para sahabat yang
lainnya diminta untuk memerah susu sebagai minuman. Setelah menikmati jamuan, Nabi menemui Tsumamah untuk menanyakan
keadaannya.
“Bagaimana keadaanmu wahai Tsumamah?”
“Aku baik-baik saja, ya Muhammad. Sekiranya kau
membunuhku, kau telah membunuh darah yang berharga. Sekiranya kau melepaskanku,
kau melepaskan orang yang pandai berterima kasih. Sekiranya engkau ingin harta,
mintalah, kami akan memberikan sebanyak apa yang engkau minta."
Nabi tersenyum mendengar jawaban balas seorang Tsumamah,
lantas berlalu pergi, tanpa berkata apa-apa.
Keesokannya Nabi bertemu lagi untuk melihat keadaannya
dan bertanya khabar. Hal yang sama dijawab balas oleh Tsumamah. Begitulah hari
berikutnya Tsumamah tetap teguh dengan apa yang dikatakannya tempoh hari. Ungkapan
musuh itu tidak sedikitpun membekas di hati Nabi, apatah lagi mencetuskan
kemarahan hingga berlaku kasar. Tidak. Nabiku tidak pernah berkasar dengan para
tawanannya. Siapapun mereka.
Maka hari itu genap hari ketiga Tsumamah dalam tawanan, dengan
senang hati Nabi membebaskannya.
“Bebaskanlah Tsumamah!”
Setelah itu, Tsumamah pun pergi. Begitulah cara Nabi
menanggapi musuhnya. Tidak terbayangkan dibenak kita, apatah lagi dipihak
musuh, bahwa ada manusia yang sebegitu baik. Melayani musuh seperti melayan
tetamu. Tidak pernah ditemukan dalam sejarah dunia, ada manusia sebegitu. Nabi
adalah manusia nombor satu dalam menjaga hak asasi manusia. Tidak memaksa. Tidak
menekan, apatah lagi mengasari orang lain, tak kira kawan atau lawan. Manusia
adalah sama-sama makhluk Tuhan, mereka punya hak. Dan hak itulah yang mesti
dihormati. Maka Nabiku adalah juara dunia yang paling menghormati hak
kemanusiaan. Amboi!
Demikian Tsumamah, orang yang bercita-cita besar membunuh
Nabi, telah dilepaskan bebas. Tanpa disakiti. Adakah hanya begitu cara Islam.
Musuh dibiarkan. Tanpa hukuman. Tidakkah nanti dia akan membalas dendam dan
mencari peluang membunuh Nabi. Akankah Tsumamah datang kembali membuat
perhitungan dengan Nabi?
Nah, mari aku lanjutkan lagi ceritanya. Perhatikan baik-baik.
Tsumamah tiba di suatu tempat yang dipenuhi pohon-pohon
kurma, terdapat padanya mata air, di situ ia beristirehat dan membersihkan
diri. Sambil bermenung. Masih jelas diingatannya perlakuan dan layanan yang
diberikan oleh Nabi beserta para sahabat selama tiga hari dalam tahanan. Sedikitpun
tubuhnya tak disentuh, tak dikasari. Bahkan dilayani sebegitu baik. Ia tertanya
kenapa Nabi tidak membunuhnya atau menyuruh para sahabatnya melakukan itu,
sedangkan dahulu Nabi pernah menghalalkan darahnya. Tidak hanya itu, ia malah
diberikan makanan dan minuman dengan sebaiknya. Ah, sungguh hal itu membuatnya
termenggung memikirkan kejadiaan yang dialaminya. Ia bangkit. Segera ia kembali
menghadap Nabi. Apakah Tsumamah benar-benar ingin meneruskan hasratnya membunuh
Nabi?
Ia kembali ke masjid, di sana para sahabat berkumpul. Dengan
disaksikan sahabat-sahabat Nabi, Tsumamah mengisytiharkan dirinya sebagai
seorang muslim. Tuhan telah menjadi saksi, hatinya tersentuh dengan Islam. Dengan
sendirinya, hidayah pun menyapa. Di hadapan Nabi, Tsumamah bersaksi.
“Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan
Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Wahai Muhammad, demi Allah, selama
ini tidak ada wajah yang paling aku benci kecuali wajahmu. Tetapi hari ini,
wajahmu menjadi wajah yang paling aku cintai daripada wajah-wajah yang lain.
Demi Allah, dahulu tidak ada agama yang paling aku benci kecuali agamamu,
tetapi hari ini, agamamu menjadi agama yang paling aku cintai. Demi Allah, dahulu
tidak ada tempat yang paling aku benci kecuali tempatmu, tetapi hari ini,
tempatmu adalah menjadi tempat yang paling aku cintai."
Nabi gembira. Islamnya Tsumamah adalah anugerah. Nabi
berkenan membebaskan seluruh tawanan tentera Tsumamah. Betapa lembutnya hati
Nabi. Maka para tawanan pun dilepaskan sehingga setiap daripada mereka
mengikuti pemimpin mereka Tsumamah, bersyahadah, memeluk Islam. Tanpa paksaan,
tanpa kekasaran, tanpa pertumpahan darah.
Lihatlah kawan, itulah Nabiku. Tak sama seperti yang
mereka katakan. Kasar, bengis, suka membunuh, merompak, memeras ugut. Sungguh
jauh sangkaan yang mengatakan Nabiku seorang yang gilakan kuasa, harta dan pangkat.
Perhatikanlah pembesar Yamamah itu. Seorang yang berkuasa dan kaya, yang kuat
dan berpengaruh. Perhatikanlah baik-baik apa yang ingin dilakukannya kepada
Nabi. Perhatikan pula apa yang telah dilakukan oleh Nabiku kepada pembesar itu
beserta tawanannya. Tidakkah kalian melihat!
Seandainya Tsumamah, berani menyatakan keIslamannya, kenapa
tidak kalian?
Jika Nabi dan para sahabat, bisa menyantuni musuh-musuh
dengan perilaku dan akhlak islami, sehingga mereka melihat keindahan pada agama
ini, kenapa tidak kita yang mengaku mencintai Nabi, berakhlak dan bertindak
persis Nabi dan para sahabatnya.
Ya Rasulullah, saksikanlah!
Dhiya’
Tawau
04 Dzul Qa’ida 1433H
_______
1 ulasan:
syukran atas info ini...kali pertama kudgr@baca. mohon lbih byk kisah baginda di sini di masa hadapan. ^_^
Catat Ulasan