AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Kamu Tahu Bila Kamu Mati?

“Kamu semua sudah selesai puasa sunat enam Syawal?” Tanya Cikgu Nasir selepas menutup usrah malam itu. Seperti biasa usai sahaja usrah kami pasti akan menghadapi hidangan yang disediakan sendiri oleh ahli-ahli usrah. Sambil bercerita dan berbual-bual.
Pertanyaan tadi merubah suasana menjadi suram. Kami saling berpandangan antara satu sama lain. Kami terdiam belum bisa menjawab. ‘Assukut alamatul redho’ atau ‘Assukut alamatul biskut’ sambil kami mengunyah kuih raya yang dihidangkan.
“Emm..Belum lagi cikgu. Belum mula puasa lagi” saya menjawab.
Malam itu sudah masuk 8 Syawal. Dikalangan kami 9 orang belum ada seorang pun lagi yang berpuasa enam. Ntah alasan apa yang terbaik untuk diajukan, semua masih terdiam. Kami seperti terpinga-pinga menanti kata balas dari naqib kami yang seorang ini.
“Tahun lalu macam tu juga.” Balas cikgu sinis.
“Kami belum habis menziarah rumah kawan-kawan lagi’ jawab seorang teman.
“Tidak apalah cikgu, syawal panjang lagi.” Kata seorang lagi perlahan, antara dengar tak dengar.
Beliau seperti menangkap suara tadi. Dia mengurut-gurut janggut, wajahnya berubah seperti ada perutusan besar yang hendak dikhabarkan. Suasana masih tenteram. Semua terdiam. Bola mata memandang tepat wajahnya, merenung dalam-dalam. Ada cahaya. Ia tidak kelihatan zahirnya. Ia bisa dirasa, cahaya orang-orang yang dekat dengan Allah s.w.t. Menanti kata balas yang bakal terbit dari rahim mulutnya.
“Kamu tahu bila kamu mati?"
Guuurrlp! Kami menelan liur, semua terdiam. Kuih raya terasa pahit. Air sirap terasa tawar. Seperti sebilah pedang sedang terhunus di hujung halkum. Saya tunduk, terasa malu yang sangat; malu pada diri, malu pada beliau, malu pada Tuhan dan Rasul. Memang cikgu sudah khatam puasa enam. Beliau sudah mula berpuasa pada 2 Syawal lagi dan hari ini genap puasa enam Syawal.
Sungguh saya mengira beliau akan bersyarah tentang dalil-dalil puasa enam, mengemukakan kepada kami mana yang lebih afdhal, mana dalil atau hujah yang lebih rajih dan kuat, ataukah mengemukakan pendapat ulamak-ulamak muktabar. Tapi ternyata hanya lima perkataan itu sahaja yang diungkapkan, dan perkataan itulah yang membekas dihati saya sampai hari ini.
PUASA 6 SYAWAL
Tatkala bertemu bulan syawal kita bertembung dengan tuntutan sunat puasa 6 Syawal. Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).
Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya. Manakala ulama mutakhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan. Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :

"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda. Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran."
PUASA ENAM DI TERENGGANU
Hari ini genap 8 Syawal 1430H. Saya berkesempatan beraya ke rumah Bukhari, sahabat sekelas bersama teman-teman (Zulhelmi, Sabri & Lokman). Di sini, puasa enam merupakan suatu keistimewaan yang diraikan sama seperti meraikan hari raya aidilfitri atau menyambut ramadhan atau juga maulud nabi.
“Hari ini kita buat rumah terbuka sempena selesai menunaikan puasa enam’, begitu ujar ayah Bukhari waktu kami sedang menjamu hidangan.
‘Di sini orang-orang mula berpuasa enam pada dua haribulan Syawal. Selepas selesai enam hari, maka kita akan raikan dengan menghidangkan makanan, biasanya Nasi Minyak’.
‘Puasa enam berturut-turut bermula dua syawal sampai genap enam hari itu lebih afdhal.’ terang beliau lagi.
Kami mendengar dengan saksama sambil mengangguk-angguk kepala. Tidak terasa nasi di pinggang sudah habis. Saya tidak pasti benar apakah menjadi amalan masyarakat Terengganu meraikan Syawal semulia ini dengan mengangkat tuntutan puasa enam seperti puasa Ramadhan.
KAMU TAHU BILA KAMU MATI?
Saya bertanya, kenapa tidak hujah di atas yang disebutkan oleh beliau, menerangkan dan menjelaskan kepada kami agar faham dan jelas, agar tidak sesukanya berhujah atau beramal tanpa dalil dan ilmu. Kenapa tidak?
Kenapa kalimah itu yang mesti terbit antara kedua bibirnya. Kamu tahu bila kamu mati? Tidak adakah jawapan yang lebih dekat diterima akal, lebih dekat dengan pertanyaan.
Rupanya kalimah itu lebih akrab dengan persoalan. Ia menjawab segala persoalan. Mencatas segala keluh kesah serta alasan manusiawi. Tidak ada alasan apa lagi yang mampu dilafazkan. Kami akur. Lemahnya kami Tuhan.
“Tapi adakah kita tahu kita akan hidup esok?”
“Jika kita mati esok sempatkah kita berpuasa?”
“Orang yang sentiasa mengingati mati dia akan bersedia dan bersiap-siap untuk menghadapi mati. Dia tidak akan bertangguh-tangguh untuk beramal. Dia akan terhindar dari berangan-angan. Begitu juga kalau kamu sedar dan sentiasa ingat kamu akan mati esok hari, kamu tidak akan bertangguh-tangguh untuk berpuasa enam.”
Hati saya mulai basah. Ego yang meninggi pantas dipancung dengan kalimah keramat itu. Mungkin teman-teman juga begitu.
Waktu saya menulis ini, kalimah itu masih terus membekas. Saya seolah-olah mendengar bicara itu lagi. Rupanya kalimah itu sudah cukup untuk mengubati kelalaian saya.
“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu Yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai Segala Yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Munafiqun: 11)
Kamu tahu bila kamu mati?
Salam Syawal 1430H
Min al-‘Aaideen wa al-Faaizeen
Maaf Zahir & Batin

0 ulasan: