AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Catatan Musafir


Langit gelap gelita, aku cuba mencari-cari bintang yang menyinar malam, namun tak kelihatan. Hu..Keluh ku sedikit hampa!
Aku terus kaku ditempat duduk. Sempit, tidak bisa berbuat apa. Hendak tidur tidak lena.
Merenung ke muka tingkap, tompok-tompok awan kelihatan namun sekejap menghilang. Terlihat wajah di balik pantulan tingkap.
‘Jangan lupa solat, banyakkan bersabar dan selalu ingat pada Allah’ begitu pesan ayah kala di balai berlepas tadi. Ada harapan yang terlukis dibalik wajahnya. Ibu tidak turut menemani kerana masih berada di Filipine.
Tiba-tiba gegaran kecil berlaku. Kapal terbang meredah kabus dan awan. Mujurlah aku sudah biasa menaiki kapal terbang, tidaklah kaget sangat.
Teringat saat mula-mula menaiki kapal terbang dulu, berlaku gegaran yang sama, aku cukup cemas. Ditambah dengan tangisan anak kecil. Lantas doa tidak henti-henti diungkap.
Aku memejamkan mata, namun tidak bias terlelap. Ku paksa jua.
‘Jaga diri baik-baik dan santuni orang lain. Belajar dengan tekun’.
Pesan ayah masih terngiang-ngiang menemani perjalananku. Rasa bosan terubat juga. Nasihat orang tua ternyata cukup besar kesannya. Namun tidak semua yang memahami dan menghargainya, apatah lagi beramal dengannya. Semoga aku tidak termasuk golongan itu, mereka yang lalai.
‘Tuan-tuan dan puan-puan, sebentar lagi kita akan mendarat di lapangan terbang antarabangsa kuala lumpur. Sila pasang tali pinggang dan pastikan anda berada di tempat duduk masing-masing', kapten pesawat memberi arahan.

Tidak sedar aku sudah berada di bumi orang, aku kini terpisah dari kedaerahan sendiri. Terpisah oleh lautan yang meluas. Terpisah jauh dari keluarga dan saudara mara. Kini aku hanya sendiri. Hanya Allah dalam hati, yang sentiasa menemani.
Semoga kembara ini bisa membawaku mengenal-Mu.
1 Julai 2009/ Rabu
LCCT Air Port

0 ulasan: