AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Istiqamah

Cikgu Nasir ada memesan suatu hadis yang saya ingati sampai sekarang ini.
Dari Sufian bin Abdillah r.a. katanya, aku pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w. “wahai Rasulullah, katakanlah kepada saya berkenaan dengan Islam perkataan atau ucapan yang jelas dan yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain’. Sabda Rasulullah s.a.w. “Katakanlah aku beriman kepada Allah kemudian beristiqamah’.
Hadis ini sangat besar maknanya dalam kehidupan, ianya menjadi titik tolak kepada kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat. Mungkin ini sebahagian dari isyarat Minal aideen wal faizeen yang selalu kita sebut-sebutkan tatkala menyambut Syawal yang mulia. Kejayaan dan kemenangan dalam bulan Syawal ini adalah rentetan dari kesungguhan dan istiqamah kita melakukan ubudiyyah pada bulan ramadhan.
Sahabat-sahabat saya selalu menitip pesanan, kata mereka ‘Semoga Istiqamah’. Kalimah-kalimah itu selalu menemani hari-hari saya. Namun saya masih belum bisa menangkap pedoman dibalik perkataan hikmah itu. Lalu Allah menghadiahkan ayat-ayat cinta-Nya;
“Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka (beristiqamah) tetap teguh di atas jalan Yang betul, akan Turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian Yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan Terimalah berita gembira Bahawa kamu akan beroleh syurga Yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu Dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa Yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa Yang kamu cita-citakan mendapatnya.”
(Surah Fusshilat: 30-31)
Inilah kemenangan Agung yang akan diraih oleh orang-orang yang istiqamah. Namun tidak cukup sekadar itu, kerana kita perlu sentiasa berdoa, memohon pertolongan daripada Allah s.w.t. untuk beristiqamah mengikuti yang betul dan beristiqamah dengan tarbiyyah ketika Ramadhan.
Semoga Istiqamah!

1 ulasan:

perlunya MANUSIA KEPADA TUHAN

rintihan jiwa manusia yang keresahan dan ketakutan adalah jalan MENUJU TUHANNYA