AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Ayat Penawar Rindu


Ramadhan ke empat, saya di Masjed Puteh Kuala Terengganu ditemani Hafez dan Alif. Kami beriftar sekaligus bersolat Terawih di sini.

Terawih itu kami di imami Qari Mesir. Suaranya lunak, ayat-ayat suci yang dibaca terasa ruhnya. Seakan bacaan Syeikh Mahmud Khalil Khusairi. Bacaanya lancar, sebutir-sebutir, makhrajnya, taranumnya, persis benar bacaan Imam Khusairi. Terawih jadi khusyuk.

Kami dibawa menghayati bicara Tuhan pada surah Ali-Imran. Sungguh mengasyikkan. Setiap patah yang dibaca, seperti bicara dari Allah. Suaranya sayu. Ketika sampai ayat 144. Saya menangis. Seakan terdengar suara sedu di belakang turut sama menangis. Saya merasa seakan suasana menjadi sebak, seakan merasai peristiwa saat perpisahan itu.
“Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)” (Ali-Imran: 144)

Longlai tubuh saya semasa mendengar perkhabaran Allah itu. Saya hampir rebah.

“Ada beberapa orang lelaki munafik mendakwa bahawa Rasulullah SAW telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak mati, akan tetapi baginda pergi bertemu Tuhannya sebagaimana Musa bin Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian dia kembali kepada kaumnya setelah orang mengatakan dia telah mati. Demi Allah, Rasulullah SAW akan kembali dan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan baginda telah mati.”

Demikian tegas Umar Al-Khattab ketika berita kematian Rasulullah SAW sampai kepadanya menyebabkan dia hilang pertimbangan.
Abu Bakar yang berjiwa besar berusaha meredakan keadaan Umar. Dengan tenang beliau berbicara,

“Barangsiapa di kalangan kamu yang menyembah Muhammad SAW maka sesungguhnya Muhammad telah mati, tetapi barangsiapa di kalangan kamu yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah hidup dan tidak mati.”

Lalu Abu Bakar membacakan firman Allah,
“Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)” (Ali-Imran: 144)

Lalu semua orang yang mendengar ayat yang dibaca oleh Abu Bakar turut membacakannya. Sedang Umar sebaik sahaja mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu dia menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya beliau rebah ke bumi tatkala mendengar Abu Bakar membacakannya kerana Umar kini yakin bahawa Nabi SAW yang tercinta telah wafat.

Saya terus tenggelam dalam lautan rindu. Bersama derai tangis yang terus bercucuran dan kerinduan yang menghangatkan. Sedih sebak sedu dan sedan dalam ibadah menghadap Tuhan yang satu.



Dhiya’
UNiSZA, Kuala Terengganu

0 ulasan: