AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


‘Jodoh Dari Tuhan’ Naib Johan



Kolej Kediaman Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak telah mengadakan program ‘1 Ramadhan’. Pelbagai aktiviti dan pertandingan yang telah dianjurkan antaranya pertandingan ‘Menulis Cerpen Islami’. Kesempatan itu saya manfaatkan dengan mencalonkan dua cerpen saya yang tersiar dalam blog Ad-Diya’ bertajuk ‘Cinta Demi Tujuh Golongan’ dan ‘Jodoh Dari Tuhan’.

Cerpen ‘Jodoh Dari Tuhan’ telah memenangi tempat kedua pertandingan. Berikut sebahagian daripada sedutan pada cerpen ‘Jodoh Dari Tuhan’.

“Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Saya begitu kagum dengan seorang pemuda. Saya rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dia pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh saya kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh. Persis akhlak Baginda Nabi SAW.”
“Saya tidak pernah menyangka saya jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh saya tidak pernah menyangka perasaan itu dan saya berkali-kali menafikannya. Namun saya tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Saya tewas dengan perasaan sendiri.”
Wajah saya seakan berubah. Saya benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat saya sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Yang sekarang ini menjadi permaisuri di hati. Saya biarkan Zahra dengan bicara dan saya dengar dengan saksama.
“Namun saya masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Saya tidak tertewas dengan bujukan syaitan yang berkali-kali mengajak saya menerobos ke ruang maksiat. Saya masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk saya menanggalkan pakaian mulia itu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah saya bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari saya. Saya tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana saya telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Saya pendamkan rasa cinta saya pada pemuda itu, kerana saya berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya.”
“Saya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Melazimi solat malam yang kian sebati dalam jiwa. Bulat-bulat saya berserah pada Allah perihal jodoh. Saya yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:
“(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia.”
(Surah An-Nuur:26)
“Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Doa saya tidak henti-henti moga saya dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki.”



Dhiya’
Universiti Sultan Zainal Abidin
Kuala Terengganu

2 ulasan:

tahniah,,,cerpen yang baik
mampu mengucapkan kata di sebalik ceramuknya hati yg berbolak-blik,
abjad yg cukup tepat u cerminkan perasaan yg hanya bisu memendam,

bersama memburu lailatul qadr...utk redha Allah

 

boleh siarkan keseluruhan cerpen tu?????