AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Bu, Tunggu Ya!








Saya masih menghitung jari, mengira-ngira hari-hari yang masih berbaki di bumi para wali ini, sementara menanti pulang ke bumi sendiri. Saya pandang buku-buku yang masih tersusun atur pada rak dan meja belajar. Berat hati rasanya meninggalkan buku-buku kesayangan itu. Teman sejati yang tidak jemu memberi. Yang sentiasa menenangkan jiwa dan melapangkan dada, yang sentiasa memberikan penghormatan, yang memberikan kenikmatan dan kebahagiaan yang besar.

Buku-buku itu adalah teman pemberi nasihat yang paling agung, pendorong jiwa yang paling besar, penyeru kepada kebaikan yang paling hikmah, membantu fikiran agar lebih tenang dan membuat hati agar lebih terarah.

Jujurnya saya merasa tersentak dengan beberapa faedah yang saya perolehi daripada buku-buku itu. Saya merasa memperolehi kemenangan setiap kali saya menemui apa yang saya perlukan dari buku, sesuatu yang menumbuhkan kebahagiaan yang sejati dalam hati dan menyedarkan diri.

Mungkin inilah yang dirasakan oleh Ibn Jahm lewat ungkapannya: “Apabila aku sedang mencari kebaikan dari sebuah buku dan mengharapkan faedah darinya, aku pasti menemuinya.”

Saya memerhatikan satu persatu buku-buku itu, dari buku yang berbahasa Arab hingga berbahasa Melayu, dari yang bertulis rumi hingga bercetak jawi, ditulisan para ulamak muktabar dan penulis-penulis muda. Fiqh, aqidah, tasawuf, sirah, dakwah, hadis, tafsir, motivasi, biografi para ulamak, dan lain-lain.

Saya pandang, saya perhatikan dan saya renungkan, dalam hati saya berdoa semoga beroleh keberkatan daripada buku-buku ini. Ameen ya Rabb!

Beberapa buku saya ambil dan simpan. Buku-buku ini akan saya bawa bersama untuk menemani, sepanjang perjalanan dan mengisi waktu-waktu cuti yang akan ditumpahkan di bumi kelahiran.

“Usaha khatamkan kitab Tuhfah, Hasyiah Bajuri, Penawar Bagi Hati...” tiba-tiba saya jadi teringat pesan Syeikh Tirmizi.

“Ustaz, ibu saya suruh balik...” ujar saya usai mengaji kitab bersama beliau.

“Tapi saya mahu ke madrasah...”

“Balik, baliklah. Dengar cakap ibu...” pantas Syeikh Mizi menyambut kata-kata saya. Mendengar itu saya akur, terdiam dan tidak bisa berkata apa-apa lagi.

Ibu!

Oh, berdosakah saya pada ibu. Berdosakah saya kerna merasa syak untuk pulang bertemu ibu.

“Pulang ya. Ibu rindu padanya...” bisikan ibu hadir menyapa pada indera dengar, bikin hati luluh, mata menjadi bah. Bukankah melihat wajah ibu dan ayah sudah membuah pahala, mengundang redha Allah Ta’ala. Astaghfirullah!

Oh, sungguh saya tiba-tiba merasa berdosa. Berdosa dengan ibu. Derhakakah saya pada ibu? Saya khuatir derhaka. Hati seorang ibu ibarat kaca. Retak sekali pasti hancur berkecai. Oh Tuhan, saya tidak mahu menjadi anak derhaka. Cukuplah kisah al-Qamah menjadi ibrah, yang tercantum dalam kitab al-Kabaa’ir karangan Imam Al-Zahabi yang sering dibacakan oleh Syeikh Tirmizi di pagi Subuh Jumaat. Meski jalur kisahnya berbeza dengan keadaan saya, tapi natijahnya tetap sama, derhaka seorang anak kepada ibunya. Na’uzubillah min zalik!

Saya istighfar panjang...

Saya juga rindu pada ibu.

"Bu, saya akan pulang. Tunggu ya!"

Al-Faaqir ila Rabbi Al-Qadir


Dhiya’
Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin
Kuala Terengganu
24 Syaaban 1432H