AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Bukan Siapa-Siapa...

“Enta sampai bila?” soal al-Mukarram bersama senyuman cinta.

“Lama tak jumpa ‘syeikh’. Walimah ke?” canda Syeikh Mizi usai kuliah malam itu. Saya rindukan panggilan itu.

Syukur saya dapat bertemu keduanya dan menatap wajah mereka, sekurang-kurangnya rindu saya terubat.

Minggu pertama kuliah saya sakit-sakitan. Bermula dengan demam panas dan selesema, kemudian bertukar menjadi batuk yang sangat teruk. Kemuncaknya saya diserang sesak nafas yang menggila, tubuh terasa lemah dan tidak berdaya. Nafas berada dihujung nyawa.

Oh, mujur Tuhan Maha Penyayang!

Saya dikelilingi orang-orang yang lembut hatinya. Sabri teman sekuliah segera membawa saya ke klinik universiti. Dan setelah mendapat rawatan, sesak nafas semakin berkurangan. Tapi tubuh masih terasa lemah dan kelemasan. Dan ternyata sewaktu dalam kuliah, teman-teman dapat membaca bahasa tubuh saya.

“Zaid sihat?” tanya mereka berkali-kali.

Mereka Bukan Siapa-Siapa...

Barangkali pada setiap patah yang tertulis ini, tercalit sedikit emosi.

Jujur, apa yang saya rasakan saat ini tidak mampu saya hembuskan melalui bahasa lisan. Atau saya paparkan dengan bahasa badan. Kerna tidak semua yang dirasakan manusia mampu diterjemahkan cara begitu. Cinta saya kepada teman-teman, kasih sayang dan penghormatan saya terhadap mereka, hanya mampu saya contengkan pada tulisan jelek ini, hanya mampu saya goreskan melalui pena yang tumpul ini, hanya itu setakat ini.

Sehingga detik yang berlalu ini saya masih sayangkan mereka.

Mereka bukan siapa-siapa...

Tapi mereka telah pernah menjaga dan merawat saya ketika sakit.

Mereka telah pernah menyuapkan saya makanan ketika tangan tidak mampu bekerja.

Mereka tidak merasa keji memandikan manusia hina ini, ketika tubuh badan lemah tidak berdaya.

Mereka menyediakan makanan dan minuman. Membasuh pakaian. Berulang-alik hingga hari larut malam. Sehingga ada yang demam dan sakit-sakitan kerna kurang tidur. Masa menelaah pelajaran dikorbankan.

Mereka pernah menangis kerna saya. Air mata cinta dan kasih seorang teman kepada teman.

Mereka bukan siapa-siapa...

Mereka tidak pernah difahamkan tentang rukun bai’ah. Mereka bukan orang haraki atau usrahwi. Mereka tidak duduk dalam sistem tarbiyyah, tamrin, mukhayyam etc. Mereka bukan pendakwah seperti mereka yang mengaku-aku ‘daie @da’iyah. Mereka bukan pejuang seperti mereka yang mengaku-aku ‘pejuang agama’. Mereka bukan sufi seperti mereka yang mengaku-aku ‘sufi haraki’. Bukan kaki masjid, bukan si kopiah, bukan si alim dan si wara’ atau ahli ibadah. Mereka bukan siapa-siapa. Mereka biasa-biasa sahaja. Mereka orang biasa yang luar biasa.

Mereka bukan siapa-siapa...

Tapi Allah telah memuliakan mereka. Daripada manusia yang bukan siapa-siapa menjadi SIAPA. “Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu, sehinggalah ia mencintai temannya sama seperti ia mencintai dirinya sendiri...”

Ya, mereka bukan siapa-siapa. Tapi mereka punya cinta.

Cinta seorang teman kepada temannya. Sempurnalah iman mereka!

Tuhan, jika saya salah menulis semua ini. Mohon agar ampunkan khilaf hamba. Hamba bukan mahu berlebih dalam berkata. Tapi hamba mahu meluah rasa. Rasa seorang hamba yang merasa kasih sayang dan belaian ‘tangan’ Mu.

Dalam segala musim, Tuhan selalu penyayang. Itu yang saya rasakan.


Dhiya’
Gong Badak
29 Syawwal 1432H

5 ulasan:

salam...walaupun mungkin kami teman2mu yg tiada tempat dan bukan "siapa2" dlm tulisan ini,lantaran kami tidak pernah memandikanmu,menyuapkan nasi buatmu,menghantarmu ke klinik, menangis berhadapan dgn mu hanya krn kita berjauhan,kerana kami disibukkan dgn usrah dan perjuangan utk membela agama ini...namun percayalah kawan... tidak pernah terlepas dr bibir kami memohon dan berdoa buat teman2 setiap kali kami bertemu dan berbicara dgn Allah Yang Maha Kuasa...walaupun kami juga bukan "siapa2" dlm hati kawan...

 

Allah yang hadirkan mereka(Shbt2), Allah yang menggerakkan hati mereka dalam membantu setiap hamba-Nya.. Mmg kita semua bukan siapa2, hanya makhluk biasa.. Tetapi atas prinsip "Hablumminannas" mereka hulurkan bantuan tanpa dipaksa tapi lillahiTa'ala.. Moga Allah memelihara kita dalam setiap ujian dan Kurniaan-Nya..

 

saLam...sungguh tersentuh hati tatkala diri ini membaca artikal yang telah kamu sampaikan..Moga2 Allah sentiasa menganugerahkan kesihatan yang baik kpd kita untuk Beribadat kpdNYA..Ukhwah fillah...Insyaallah..

 

abg dai..ku harap kau jangan tersinggung dengan tulisan jelekku pada lembaran yang lepas. Sudah ku katakan, tulis itu pasti tercalit emosi. Lalu barangkali orang yang membacanya turut tercalar. Jujur kawan aku dua kali menangis lewat membaca pesananmu. Pertama, menangis terharu dengan doa-doa cinta yang kawan kirimkan. Kedua, menangis kerna khuatir kawan berkecil hati. semoga ucapan maaf uda cukup meredakan jika itu ku lakukan. doamu kawan kan ku balas dengan doa. Doa atas nama teman seperjuangan.

 

ex-pmus:terima kasih atas pesannya