“Sayang, khusyuknya baca buku sampai tak perasaan lipas dekat kaki.” Zahra seakan tersentak mendengar kata-kata saya. Dia terkejut besar. Pantas dia bingkas dari sofa berwarna hijau daun itu, berlari ke arah saya. Wajahnya yang dibanjiri kaget lalu dalam gesa-gesa dia menghamburkan diri pada tubuh saya.
“Abang , mana lipas tu?” Dalam tenaga yang tinggal sisa, bibir manisnya bersoal. Wajahnya tampak sedikit pucat. Ada sisa peluh yang merembes keluar dicelah-celah dahi. Saya sapu lembut manik-manik jernih pada wajahnya. Degupannya masih terasa laju. Wajahnya yang tadi tampak kerisauan berubah segera tatkala melihat tingkah saya. Saya hadiahinya senyuman yang paling indah.
“Owh..Takut lipas ye..Hehe..’ perli saya.
“Abang...!” wajahnya benar-benar berubah. Kemerah-merahan. Kala marah seperti itulah. Dia berpaling muka lalu berjalan ke tempat duduknya tadi. Hati saya mulai disapa resah. Isteri saya benar-benar merajuk. Saya perlu segera memujuknya. Jika tidak tidurnya malam ini pasti bertentangan. Saling membuntuni. Saya mengikuti langkahnya. Saya duduk di lantai berdepanan dengannya. Benar-benar dihadapanya. Dia menundukkan wajanya yang ayu, penuh kemerah-merahan. Saya cuba mencuri-curi pandang wajahnya. Terkadang dia cuba mengelak tanpa berkata sepatah apa pun. Rambutnya yang mengilai sampai ke pinggang sekali sekala menari bersama hembusan angin dari celah jendela seiring tirai berwarna biru laut.
Saya menghulurkan tangan mengenggam setiap jari-jemarinya. Saya usap-usap lembut tangannya. Dia masih menunduk. Saya ciumi tangan isteri tercinta itu penuh takzim.
“Maafkan abang sayang.” Bisik saya.
Zahra tidak juga berganjak meski sejengkal. Dia seolah-olah pepatung yang tetap kaku. Saya menggetap bibir. Geram, kecewa, menyesal, bersalah.. Argh! Segala kini bercantum sehingga saya tidak kenal perasaan sendiri. Saya damaikan jiwa.
Saya cuba selusuri wajah mulusnya. Perlahan saya ajukan jari-jemari ke dagunya. Saya angkat ke atas, dia membiarkan. Lantas kami bertentangan.
“Sayang, pandang muka abang.” Saya ingin suarakan sesuatu. Bola mata saya tepat pada wajahnya yang halus putih. Dia menarik nafas diam. Matanya pantas menyambar pandangan saya. Mata kami bertembung, menyatu dan bercantum. Perasaan dingin menusuk-nusuk pada celah rongga tubuh dalam segenap ruh dan jiwa.
“Ya suamiku?” nada bicaranya benar-benar menyejukkan hati. Dia sememangnya isteri solehah yang mengerti hal agama. Dia wanita misthali, isteri yang taat pada suami.
“Ya Humairah, wajahmu sangat indah, seindah bulan purnama sayang.”
“Abang ne…”
“Iye sayang. Bila merajuk semakin cantik pula.” Tambah saya lagi.
“Dah lah bang. Malu lah.” Wajahnya semakin merah. Malu dengan pujian-pujian saya yang semakin menebar.
“Iyela. Kalau macam ni bolehlah bergurau sokmo dengan sayang kan. Jadi bertambah cantiklah isteri abang. Hehe…” Gurau saya mencetuskan gelak sesama kami. Suasana jadi riuh dengan lagak kami. Bahagia!
“Abang, cuba tengok muka saya, ada yang tidak kena tak?” bisik Zahra perlahan.
Saya dekatkan muka memerhatikan setiap jalur raut wajahnya penuh teliti.
“Tidak ada apa-apa sayang. Molek je.”
“Cuba abang tengok baik-baik.”
“Betul sayang, elok je.” jawab saya dalam keliru.
“Nah!”
Tiba-tiba jari Zahra menggetip hidung saya. Dia ketip dengan kuat, hingga membuatkan saya sesak dalam nafas. Saya cuba berkata-kata, tapi nadanya kedengaran sengau. Zahra semakin galak ketawa. Dia menggilai riang. Setelah dilihatnya keadaan saya yang semakin lemas dia segera melepaskan jarinya. Hidung saya membekas merah. Dia berlari-lari keriangan di ruang tamu. Bersama gelak tawa, dia mengacah-acah supaya saya ikut mengejarinya. Nakal sungguh!
“Abang, nampak handsome tau macam tu…”
“Hidung mancung, kemerah-merahan. Dah macam ‘orang putih’.”
“Lepas ni boleh lah selalu buat macam tu. Hehe…” giliran Zahra pula mengenakan saya.
***
“Abang belum siap laporannya lagi?” tanya Zahra. Saya sedang menyiapkan laporan program universiti bagi Fakulti Pengajian Islam sepanjang semester lepas dan ianya harus segera diserahkan sebelum hujung minggu ini. Saya hanya tinggal perlu mengedit dan mengemaskini sahaja kemudian selesai.
“Belum lagi sayang. Sikit lagi.”
“Sayang baca apa tadi, khusyuk nampak. Sampai tak perasaan apa pun.” Perli saya.
“Saya tengah baca buku, ‘Tokoh-tokoh wanita disekitar Rasulullah SAW’, karangan Muhammad Ibrahim Salim.” Jawab isteri saya.
“Cerita Ummul Mukminin, Khadijah binti Khuwailid r.ha.”
Mendengar nama wanita mulia itu hati saya jadi basah. Kerinduan tiba-tiba memuncak.
“Ummul Mukmini. Salam sejahtera ke atasmu wahai wanita mulia.”
Tidakkah hati tersentuh, kala nama itu disebutkan. Khadijah! wanita pertama yang beriman kepada Baginda Nabi SAW disaat orang lain memungkarinya. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolongnya dengan jiwa, harta dan keluarga. Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.
Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada risalahnya, dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga. Bukankah semasa ketiadaannya baginda Nabi SAW sering sahaja menyebut-nyebut namanya dan memuji-mujinya. Betapa mulia wanita ini di sisi Rasulullah SAW.
“Abang tahu bukan…” Zahra mahu berbicara. Dia menarik nafas. Teh yang tadinya panas kian menyejuk. Saya teguk sedikit. Ahh! Nikmat.
“Sesungguhnya Khadijah adalah nikmat dan anugerah yang teragung kepada Rasulullah, beliau bersama-sama Rasulullah untuk selama suku abad, mencucuri Baginda dengan belai kasih sayang…”
“Kala Baginda butuh pertolongan, di saat-saat genting dan meruncing, di waktu-waktu kegawatan beliau ada di sisi menyokong dan membantu Baginda, malah beliau menolong Baginda menyebar ajaran dan risalahnya, bersama-sama Rasulullah ke medan jihad suci, berkongsi kemewahan dan kesusahan dengan harta dan keringatnya.”
“Pernah Rasulullah menyebut-nyebut kelebihan Khadijah dengan sabdanya yang bermaksud:
“Beliau beriman denganku ketika manusia kufur dengan ku, membenarkan daku ketika manusia mendustai daku, berkongsikan daku haita-hartanya ketika manusia lain enggan memberi daku, dan Allah mengurniakan darinya anak-anak dan tidak mengumiakan anak dari yang lain.”
(HR. Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118)
“Abang…” wajahnya terlukis dengan jalur-jalur serius. Sesekali angin kipsas yang sedang ligat berputar di atas siling menampar-nampar lembut wajah kami.
“Saya mahu menjadi Ummul Mukmini, Khadijah binti Khuwailid…” bicaranya tersekat. Menarik nafas panjang seakan menyeru semangat kedua untuk berbicara lagi. Saya masih menanti. Saya gengam tangannya.
“Saya mahu menjadi Khadijah, membawa panji dakwah dan jihad bersama abang, berjihad dan bekerja keras. Berkorban harta, jiwa dan raga. Yang tetap berdiri di belakang suami hingga nafas terakhir.” Bicara tersimpan penuh makna. Menembus ruh jihad dalam diri. Pipinya dibasahi air mata yang mengalir perlahan. Saya seka air yang bergenangan. Saya tatap wajahnya dan membalas dengan anggukan. Lantas dia rebahkan ditubuhnya ke arah saya. Saya peluk dia erat-erat. Jiwa, perasaan dan roh kami menjadi satu dalam rasa cinta yang tulus. Cinta demi menjunjung agamanNya.
“Uhibbuki ya habibati.” Bisik saya dalam-dalam. Penuh perasaan.
***
“Abang, nanti di sana jaga diri elok-elok ye.” Dalam sayu Zahra memesan. Sambil tangannya bergerak-gerak melipat pakaian saya dan memasukkan ke dalam beg. Saya akan berangkat ke Palestin bersama rombongan Jamaah bagi menyertai misi menyelamat di sana.
“InsyaAllah sayang.” Jawap saya perlahan. Terkadang pada fikiran saya, kerisauan pada keadaan Zahra semasa ketiadaan saya datang mengacau-ngacau. Jika diikutkan saya teramat berat untuk meninggalkan Zahra sendiri. Dia sedang mengandung. Sudah hampir masuk 7 bulan. Puas saya berbicara dengannya. Tapi dia tetap bertegas menggesa agar saya pergi.
“Ini kali pertama sayang melahirkan. Abang mesti ada di sisi, menjaga dan menemani.” Saya cuba meyakinkan dia.
“Abang pergilah. Jangan dirisaukan, Allah ada sebagai pemelihara.” Bicaranya membuatkan saya patah kata.
“Ini panggilah jihad abang. Membantu saudara seIslam, lebih-lebih lagi di bumi Israk yang diberkati itu. Itu lebih utama. Teruskan abang.”
“Jika saya bisa pergi, saya akan turut pergi bersama abang. Berjihad dibumi para syuhada’ itu.” Alangkah hebatnya wanita ini. Jiwanya benar-benar merdeka. Syukur saya pada Allah dikurniakan mujahidah solehah sepertinya.
“Jihad.” Bisik saya dalam hati. Ini adalah amanah dari Allah, amanah dari pimpinan. Ketaatan kepada arahan pimpinan itukan kewajipan. Jika diikutkan nafsu murahan, duduk dirumah bersama isteri itukan lebih menyenangkan. Atau boleh sahaja saya minta pengecualian dari pucuk pimpinan atas masyaqqah peribadi. Tapi? Jihad! Pengorbanan! Dakwah! Agama! Taat! Jika tidak memikirkan itu semua. Alasan…alasan…
“Abang, inilah pengorbanan. Berjuang itukan berkorban. Bukankah itu yang selalu abang pesankan pada saya.” Kata-kata Zahra benar-benar membakar semangat saya.
Zahra terdiam lama, seperti mengumpul kekuatan bagi menampung kesedihan yang bakal menjengah. Barang-barang sudah siap dimuat ke dalam kereta. Saya perlu berangkat ke markas Jamaah malam ini, kerna ada taklimat terakhir dan persiapan sebelum berangkat keesokan paginya. Sepanjang pemergian, Zahra saya tinggalkan bersama ummi. Itu sekurang-kurangnya mengurangi kebimbangan saya.
“Saya cintakan abang.” Tiba-tiba Zahra menanggkap tubuh saya, dia dakap erat-erat. Sangat erat. Saya rasai degupannya. Dia menangis sedu. Saya jadi sebak. Seakan ingin turut larut bersamanya. Tapi saya cuba gagahi diri. Dia terus teresak-esak. Saya usap rambutnya perlahan-lahan. Jiwa kami menyatu.
“Bukankah Hajar pernah ditinggalkan nabi Allah Ibrahim kerna mentaati titah Rabbul Jalil...” dalam sedan Zahra berbicara. Dia cuba mengingatkan saya tentang kisah agung pengorbanan insan mulia, Hajar dan Ibrahim.
“Di atas lautan pasir dan padang terbuka di mana terik matahari dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang menghembur-hamburkan debu-debu pasir…”
Zahra melepaskan pelukannya. Dia memandang wajah saya. Saya tatap mukanya dengan penuh rasa cinta. Sisa air mata masih merembes keluar. Saya sekat dan sapu pelahan-lahan.
“Menyakini itu semua titah Allah. Hajar redha ditinggalkan Ibrahim.” Saya masih terus mendengar isteri tercinta bermadah dengan penuh perasaan. Bicaranya lembut hingga menyentuh hati saya.
“Inilah pengorbanan, bang. Saya mahu berkorban. Saya redha sama seperti redhanya Hajar.” Saya mengangguk perlahan, melempias senyuman. Tubuh saya terasa damai. Seolah-olah ada titis embun yang menyelinap masuk pada ubun-ubun kepala lalu turun ke setiap pejuru tubuh.
Saya jadi teringat kata-kata Nabi Ibrahim sewaktu meyakinkan Hajar.
‘Bertawakkallah kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah.’
Dalam hati yang terus dibasahi rasa cinta. Saya ciumi isteri. Sambil ruh saya bersyair-syair dengan untaian tasbih, tahmid dan takbir.
“Sayang, abang ada puisi untukmu. Dengar ya! Jangan terlepas meski sepatah pun.” Lirih saya. Zahra tersenyum manja. Dia merebahkan kepalanya ke dada saya. Saya usap rambutnya lalu melantunkan puisi itu.
Wahai isteriku,
Di kala kita berjauhan,
Kau sentiasa di hatiku,
Dalam Doaku,
Perpisahan nan sementara,
Demi perjuangan mencari redhanya,
Mengikat kasih, Kuntuman mesra,
Antara kita di mahligai cinta.
Ku tahu, Kau pun tahu,
Perpisahan itu sepahit hempedu,
Namun kita telan jua,
Kerana penawar disebaliknya.
Allah matlamat kita,
Cinta-Nya atasi segala,
Kita bukan Romeo Juliet,
Bagai belangkas di tepian pantai,
Cinta kita hanya kerana-Nya,
Oh Isteriku…[1]
Salam ‘Eidul Adha
Maaf Zahir & Batin
Dhiya’
Tawau, Sabah
[1] Hasil Nukilan: Rosli Osman, PMRAM