Orang bijak pandai ada berkata-kata:
“Perjalanan (bermusafir) itu menghilangkan kesedihan.”
Salah satu ‘perangai’ saya adalah suka berjalan. Saya tidak tahu bila ‘penyakit’ itu mulai saya hidapi. Maka tidak hairanlah kenapa saya bermusafir jauh keberang laut. Ke negeri orang. Saya juga ada menyimpan hasrat untuk mengelilingi dunia.
“Mengelilingi dunia?” Saya tersenyum sendiri.
Cuti semester saya pulang ke Sabah. Penerbangan melalui Lcct Air Port, KL ke Tawau. Teman-teman saya yang lain ada yang berlepas lebih awal dan ada yang lewat. Mereka menaiki kapal terbang dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Sedang saya pula menaiki bas.
“Kenapa tidak naik kapal terbang je?” tanya seorang kawan.
“Kan mudah kalau naik kapal terbang, tidak payah susah-susah naik bas ke KL.” Cadang teman saya.
Memang benar. Ada cara mudah untuk terus ke Kuala Lumpur. Tidak perlu bersusah menaiki bas yang tentunya memakan masa beberapa jam, dengan keselesaan yang terbatas. Tidur (rehat) pasti tergadai. Terpaksa mengusung beg sambil berjalan kaki, menaiki satu tren ke satu tren yang lain. Dari satu stesen ke satu stesen yang lain. Itukan meletihkan.
Segaja saya memilih untuk tidak menaiki kapal terbang ke KL. Bukan kerna pertimbangan kewangan. Tambangnya juga tidak kurang beza. Jadi bukan alasan duit saya memilih untuk menaiki bas ke KL.
PERJALANAN KE KUALA LUMPUR
Ya, saya akui menaiki bas ke KL benar-benar meletihkan. Apatah lagi jika tidak terbiasa, pastinya memancung kudrat. Perjalanan dari Terengganu ke KL dengan bas memakan masa hampir lapan jam. Saya memilih untuk berjalan malam. Semasa dalam bas saya tidak bisa tidur lena, ditambah dengan kedinginan yang melampau, yang menjamah-jamah tubuh saya. Saya sangat sensitif dengan sejuk. Tapi saya gagahi jua.
Kira-kira dalam pukul lima pagi, saya sampai dan turun di Hentian Putra. Dekat dengan PWTC. Saya solat subuh di surau berdekatan. Saya sangat mengantuk kerna tidak bisa tidur lena semalaman di dalam bas. Usai membaca al-Quran saya terlelap. Tidak lama saya diminta keluar kerna surau hendak dibersihkan.
Rasa mengantuk masih belum hilang. Saya mencari tempat untuk berehat. Tiada tempat untuk berbaring, saya duduk di kerusi tempat menunggu bas. Sekali-sekala mata terlelap kemudian terjaga bila tubuh rebah ke tepi. Saya tidak bisa tidur dengan lena. Jam sudah menuju pukul lapan pagi. Boleh sahaja saya terus ke KL Sentral, mengambil bas dan terus ke airport. Tapi saya tidak mahu. Penerbangan saya lambat lagi, pukul 5.55 petang.
Saya berhajat untuk berkunjung ke kedai buku sekitar KL. Itu sebahagian dari hajat saya dan sebab mengapa saya tidak menaiki kapal terbang ke Lcct Air Port KL. Dalam pukul 10 pagi saya menaiki LRT menuju Masjid Jamek. Melalui lorong jalan Masjid India, ada kerinduan yang datang menyapa tiba-tiba. Rindu pada jejak lalu.
“Asmar!”
Saya teringat dia. Dahulu kami selalu bersama melalui jalan ini. Tidak lain hanya kerna mencari buku-buku. Kegilaan pada buku-buku mungkin sudah menjadi-jadi. Setiap kali ke KL, pasti buah tangan berupa buku yang dibawa pulang. Semasa berada di Pahang dahulu, saban waktu kami berkunjung ke KL jika ada program. Lalu sebahagian waktu, kami wakafkan dengan berkunjung ke kedai-kedai buku sekitar Masjid India dan Pudu.
“Banyakknya enta beli buku. Jangan tidak baca pula.” Kata Asmar.
“Ya. Harap-harap dapat dibaca agar tidak dilaknatnya nanti. Nauzubillah” balas saya.
Dan saat ini. Saya hanya berseorangan. Tapi saya merasa dia ada bersama saya. Kenangan itu.
Hampir tiga jam lebih saya berjalan dari satu kedai ke kedai yang lain, hanya kerna buku!
“Kalau nanti enta punya isteri, dan di bawa berjalan ke KL pasti kalian bergaduh.”
“kenapa pulak?” tanya saya kebingungan.
“Sebab seorang nak pegi kedai buku seorang nak pegi kedai kain.”
“Hehee…” saya gelak kecil.
LATIH DIRIMU DENGAN KESUSAHAN
Ada kata-kata yang menjadi pegangan saya sekian lama.
“Sesiapa yang dibiasakan dengan sesuatu perkara maka dia akan membesar dengannya.”
Saya memilih untuk sedikit kesusahan dan kepayahan. Tujuannya untuk membiasakan diri. Bukan saya menolak kemudahan yang tersedia. Bukankah kesenangan itu sangat dekat dengan kelalaian.
Boleh saja saya menelefon teman-teman dan saudara di KL untuk datang menjemput saya. Tidak perlu berletihan mengusung beg dan berjalan kaki.
Boleh saja saya singgah berehat di Kampung Pandan, rumah pakcik. Tidak perlulah bersusah-susah tidur di surau dan kerusi di kawasan awam.
Boleh saja saya menaiki kapal terbang ke KL tanpa perlu berpayahan menaiki bas berjam-jam lamanya.
Tapi tidak, kerna saya memilih sedikit kesusahan. Saya memilih untuk tidur di surau dan kerusi. Saya memilih untuk menaiki bas. Saya memilih untuk berjalan kaki sambil mengusung beg. Saya memilih untuk tidur tidak cukup. Saya memilih untuk berseorangan.
Ya, Saya telah memilih jalan lain. Jalan yang sedikit susah untuk mengajar diri bukan membinasakan diri. Kesusahan bisa menguatkan jiwa, mematangkan minda, menjadi manusia lebih dewasa dan mengenal erti hidup. Yang lebih utama mengenali erti hidup bertuhan.
Sewaktu saya berjalan keseorangan. Saya tidak punya apa-apa. Saya tiada teman. Yang ada hanya Allah. Hanya kepadanya saya butuhkan pergantungan dan pengharapan. Tiada kuasa yang maha hebat selainNya.
Saya masih ingat pesan seorang pensyarah, katanya: “Kamu perlu biasakan diri untuk berada di zon kurang selesa agar kamu tahu bagaimana rasanya kesusahan.”
Kata orang-orang: “Belajarlah untuk tidak bergantung dengan orang lain. Belajar untuk hidup sendiri.”
Saya mahu melatih dan membiasakan diri agar merasai kesusahan. Itulah sebahagian kebahagian yang saya rasai. Dugaan dan cubaan berupa kesusahan adalah sebahagian dari ketentuan Allah sebagai proses pendewasaan. Lihatlah baginda Nabi SAW sebelum diangkat menjadi Utusan, Allah terlebih dahulu menghamparkan kehidupannya dengan segala macam bentuk kesulitan dan kepayahan. Ujian adalah sebahagian proses pentarbiyahan. Ujilah diri dengan kesusahan. Semoga kita bisa dewasa dengannya.
SINGKIR KESEDIHANMU
Saya memetik kata-kata Dr ‘Aidh al-Qarni:
“Melakukan perjalanan dari satu tempat yang lain dan menyaksikan negara lain akan menyebabkan seseorang meraih kegembiraan dan kebahagiaan.“
“Diantara perkara yang dapat melapangkan dada dan melenyapkan awan kesedihan dan kesusahan, adalah berjalan menjelajahi negeri melihat alam sampai ke pelusuk negeri dan berkelilingi ke segala daerah di bumi yang luas ini.”
“Menjelajahi ke beberapa pelusuk negeri merupakan suatu kenikmatan yang disarankan para doktor terutama kepada mereka yang stees menghadapi sesuatu persoalan dan tekanan yang berat dalam hidupnya.”
“Oleh kerana itu kerana itu marilah sesekali kita berjalan menjelajah pelusuk negeri untuk mencari ketenangan bergembira, berfikir, dan sekali gus menghayati ciptaan Allah yang sangat luas ini.”
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi…”
(Surah al-An’am: 11)
“(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”
(Surah ali-‘Imran: 191)
Jangan biarkan diri anda diselubungi kesedihan berpanjangan. Jika anda ada kesempatan berkunjunglah ke Sabah. Macam-macam ada!
LCCT AIR PORT
Sewaktu saya tiba di Lcct Air Port, jam sudah menunjuk pukul 3.30 petang. Saya lalu segera melaporkan diri. Orang-orang terlalu ramai. Sementara menunggu penerbangan di balai berlepas, saya sempat membaca beberapa muka surat novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck tulisan ulamak tersohor Indonesia, al-Marhum Pak Hamka.
Tengah asyik berkelana menekuni watak Zainuddin dalam novel ini, saya disentak dengan pengumuman daripada pihak Air Asia bahawa penerbangan ke Tawau dilewatkan kerna faktor cuaca.
‘Delay.’ Keluh saya.
***
Pukul tujuh lebih kapal terbang mulai menebarkan sayapnya merentasi kabus dan awan yang bergumpalan di langit. Keadaan cuaca yang kurang baik mengganggu penerbangan. Rasa sejuk terus menyengat segenap tubuh saya. Sekali-sekala berlaku gegaran yang membuatkan para penumpang merasa cuak. Saya berdoa dan terus berdoa. Allah begitu dekat dihati.
Teringat saya kisah Nabi Ibrahim AS. Tatkala baginda diletakkan di atas tungku api, Jibril bertanya kepadanya: “Apakah engkau memerlukan sesuatu (pertolongan) dariku?” Ibrahim menjawab: “Aku tidak memerlukan pertolonganmu. Saya hanya perlu pertolongan Allah.”
Saya tiba di Tawau dalam pukul 10 malam. Melihat wajah ayah dan bonda di pintu balai ketibaan, jiwa saya damai. Rasa letih pun hilang. Bebanan menjadi ringan. Saya seakan melihat semua itu terangkat ke langit oleh ruh yang bertasbih, bersyukur dan bertakbir.
Fatuba lil ghuraba’!
Dhiya’
Tawau, Air Port.
0 ulasan:
Catat Ulasan