Kehadapan
Anakanda, Zaid
Yang sangat dicintai dan dirindui
Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh
Apa khabarmu nak? Apa khabar imanmu? Bagaimana amalanmu? Bagaimana hubunganmu dengan Allah SWT? Semoga baik-baik saja. Walid dan umi di sini baik-baik sahaja. Jangalah kau khuatiri. Tumpukan sepenuh perhatianmu pada mentelaah ilmu dan pelajaran. Dampingilah orang-orang yang soleh.
Dalam titipan ini ada yang walid dan umi ingin pesankan. Jarak yang jauh bukan penghalang untuk seorang ayah dan ibu mendidik anaknya. Bukankah anak itu adalah amanah Allah. Mendidiknya dengan acuan Islam itukan dituntut agama. Justeru berkisar dari itulah walid dan umi menitipkan pesanan ini.
Wahai anakku dengar dan perhatikan baik-baik pesanan ini.
Jika engkau hendak bersahabat carilah sahabat yang baik akhlak dan peribadinya. Tentu engkau sudah mempelajari hadis Rasulullah SAW yang satu ini.
“Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda: “Seseorang itu adalah menurut agama kekasihnya(sahabatnya). Maka hendaklah seseorang dari kalian itu melihat, meneliti benar-benar orang yang dijadikan kekasihnya itu.”
(Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Tirmizi dengan isnad sahih. Dan Imam Tirmizi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan)
Seorang sahabat itu sangat kuat pengaruhnya. Maka sebab itu Rasulullah SAW menekankan agar kita memilih seorang yang baik untuk dijadikan teman. Kau perhatikanlah baik-baik sabda baginda;
“Dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Bahawasanya perumpamaan sahabat yang baik dan sahabat yang buruk itu bagaikan pembawa misik (kasturi) dan peniup api. Maka pembawa misik adakalanya memberi kepadamu, atau kau membeli padanya, atau kau mendapat bau harum daripadanya. Adapun peniup api, kalau tidak membakar pakaianmu maka kau akan mendapat bau busuk daripadanya.”
(Muttafaq ‘alaih)
Wahai anakku,
Jika seandainya kau bersahabat dengan seorang yang baik akhlaknya. Kuat ibadahnya. Teguh pegangannya. Nescaya kau akan mendapat manfaat daripadanya. Jika temamu itu orang berilmu, kau akan mendapat ilmu daripadanya. Jika temanmu itu baik akhlaknya, kau akan terbiasa dengan akhlak yang mulia. Jika ku berteman dengan orang yang kuat ibadahnya, kau pasti terdorong untuk turut sama beribadah kepada Allah. Jika temanmu itu cintakan majlis ilmu, kau juga pastinya turut mengikutinya. Rasulullah SAW sempat meninggalkan pesanannya:
“Sesiapa yang Alllah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang soleh, jika sekiranya ia terlupa (lalai) ia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnnya.”
Tapi jika kau berteman dengan orang yang jelek akhlaknya. Malas beribadah. Lemah daya juangnya dalam menuntut ilmu. Nescaya kau akan terpengaruh dengan akhlak buruknya. Tidak ada apa-apa yang mendorongmu untuk kuat beribadah. Dan akan luputnya kecintaanmu kepada ilmu. Yang pasti kau berada dijurang kecelakaan. Nauzubillahi min zalik!
Justeru anakku
Perhatikanlah baik-baik siapa yang hendak engkau jadikan sahabat. Sekira-kiranya apa yang disabdakan Rasulullah SAW itu sudah memadai untuk kau renung dan jadikan panduan. Ada pesan daripada Saidina Umar al-Khattab yang perlu kau ingat. Katanya;
“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah dikalangan mereka, kerana mereka itu adalah perhiasan diwaktu senang dan bekalan di waktu kesusahan.”
Bila kau bersahabat kau mestilah ikhlas, jujur, setia, dan sanggup berkorban demi kebaikan. Bajai persahabat itu dengan cinta dan kasih sayang. Dengan itu akan teguh dan kukuhlah ikatan ukhwah. Rasulullah SAW ada bersabda:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan kasih sayang kerana Allah dan juga marah kerana Allah.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Betapa besar ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang bersahabat keranaNya. Maka ikhlaskan dirimu dalam bersahabat. Betulkan niatmu. Cinta dan kasihlah kepada temanmu hanya kerana Allah, semata-mata mencari keredhaanNya. Kelak diakhirat nanti kau akan termasuk dalam golongan manusia yang akan dinaungi oleh arasy Allah SWT dihari perhakiman kelak. Iaitulah orang-orang yang bersahabat dan berkasih-kasihan antara satu sama lain kerana Allah SWT.
Anakku, kau tentu menginginkan bagaimana mengecapi rasa kemanisan iman. Nabi SAW sudah mengajarkan barang siapa yang menyintai seseorang kerana Allah ia dapat merasai kemanisan iman. Sabda baginda:
“ Barangsiapa yang ada padanya tiga syarat ini, ia dapat merasai kemanisan iman. Pertama, jika ia mencintai Allah dan RasulNya mengatasi kasihnya kepada yang lain. Kedua, jika ia menyintai seseorang, tidaklah ia cintai melainkan kerana Allah. Ketiga, jika ia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci untuk memasuki api neraka.”
Wahai anakku,
Akhirnya ambillah peringatan ini baik-baik. Jadikan pegangan dan panduanmu untuk meniti hidup yang singkat di dunia ini. Semoga dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, dihitung oleh Allah SWT sebagai amal ibadah dan diberikan ganjaran yang setimpal di akhirat kelak.
Umi ada menitipkan pesanan buatmu. Kata umi
“Zaid anak Umi, Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain. Ibarat matahari memancarkan cahaya, menerangi kegelapan. Maka berbuat baiklah kepada manusia, nescaya engkau akan dapat menguasai hati-hati mereka.”
Wahai permata hati,
Cukuplah sekadar itu untuk kali ini. Semoga nanti Allah masih sudi memberi kudrat untuk kami menitipkan pesanan untukmu.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, rahmatilah kami, dan masukkanlah kami dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amen.
Fatuba lil ghuraba’!
Wallahu’alam
Dari,
Walidaika
Jumaat. 6 November 2009. 18 Zulkaedah 1430H. 2.58 pagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan