AD-DHIYA'

Tuhan, Jadikanlah Aku Cahaya!


Mahasiswa: Agent of Change


Usai menunaikan solat jumaat, berduyun-duyun mahasiswa-mahasiswi memenuhi lapangan letak kereta masjid. Kedengaran suara-suara pemuda Islam bertempik.

“Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!”

Pagi itu suasana cukup cerah. Secerah semangat yang ada pada roh dan jiwa pemuda-pemudi Islam. Semangat anak muda yang inginkan kepada tajdid dan perubahan yang beracukan Islam. Anak-anak muda ini berani berdada dengan kemungkaran.


Lewat penganjuran konsert sempena meraihkan rumah terbuka Aidilfiri. Pihak pentadbiran universiti telah meluluskan satu konsert yang akan diadakan di foyer pejabat Kolej Kediaman Universiti.

Bilangan mahasiswa/i yang menyertai perhimpunan aman itu semakin bertambah. Ruangan dataran semakin sesak dengan orang-orang. Tidak bisa terbilang jumlahnya, terlalu ramai. Mungkin separuh daripada mahasiswa universiti.

Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dalam mensyuarat tertingginya telah memutuskan untuk menghantar memorandum bantahan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti. Mesyuarat juga memberi mandat kepada presiden PMI, Ustaz Muhammad Dhiya untuk membuat kenyataan akhbar sebagai menyatakan pendirian mahasiswa Islam umumnya dan PMI khususnya menentang konsert tersebut.

Kelihatan beberapa orang sedang berdiri di atas pentas berucap. Mereka terdiri daripada pimpinan mahasiswa universiti. Saff kepimpinan PMI dan wakil-wakil persatuan mahasiswa. Kamu sedang berbincang sesuatu dengan setiausaha PMI, Saudara Furqan.  Sebelumnya Presiden Persatuan Mahasiswa Syariah, Ustaz Naqib dan Ustaz Zahid, Presiden Persatuan Mahasiswa Usuluddin baru sahaja berucap. Kedengaran Ustaz Wafi, Presiden Persatuan Mahasiswa Dakwah (PERMADA) sedang menyampaikan bicaranya:

“Sesungguhnya kita berkeyakinan Islam adalah sebaik-baik resolusi dalam menyelesaikan masalah umat. Bahkan keyakinan kita ini lebih kukuh dan teguh dari gunung-ganang yang memasak bumi. Lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fahaman melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya. Itulah Islam….”

Selesai sahaja Presiden PERMADA berucapan, suasana bergema dengan laungan takbir. Kemudian Naib Presiden PMI, Ustazah Zahra dijemput untuk memberikan ucapan. Perlahan dan tegas nada suara mujahidah itu meniupkan semangat kepada para mahasiswa/i. Beberapa orang mahasiswa sedang menjulang-julang poster dan banner. Ada yang bertuliskan ‘Universiti bukan tempat konsert”, “hapuskan kemungkaran”.

Kini tiba giliran kamu untuk memberikan ucapan.

“Dijemput al-Fadhil Ustaz Muhammad Dhiya untuk memberikan taujihat beliau. Dipersilakan.”

Kamu bangkit perlahan, gagah dan penuh keyakinan. Dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran pada hafalan di dada. Beserta azam dan tekad yang tertanam teguh. Sambil melangkah menuju ke pentas berucap.

“Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh”

Lalu kamu iringi dengan puji-pujian dan tasbih kepada Allah. Selanjutnya kamu bacakan selawat ke atas baginda SAW, ahli keluarga dan sahabatnya. Dengan nada perlahan tapi tegas kamu memulakan bicara;

“Wahai Ikhwan sekalian, dengarlah baik-baik firman Allah ta’ala;


إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.”
(Surah al-Kahfi: 13)

“Saya pesankan kepada diri dan kalian semua, marilah kita bertaqwa kepada Allah Azza wa Jal. Melakukan setiap perintahNya serta meniggalkan segala laranganNya dengan sungguh-sungguh. Dengan itu mudah-mudahan kita termasuk dikalangan orang-orang yang dirahmati dan diredhaiNya.”

“Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah! Sejarah dunia ini dilakarkan coraknya oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, idealisme untuk merubah dan menjadi agent of change (agen perubah).”

Dengan penuh yakin kamu mengungkapkan kalimat-kalimat semangat. Sekalian yang berhimpun sedang khusyuk meniti bicara kamu.

“Pemuda adalah muara peradaban dalam setiap fasa sejarah. Sejarah Indonesia telah dipahat dengan citra anak muda yang rusuh dan berani menyanggah. Raden Anjeng Kartini, Omar Said Chokroaminoto, Soekarno dan beberapa lagi pemuda telah melatari sejarah perjuangan anak-anak kampus. Pada era reformis 1998, kebobrokan pemerintahan regim Suharto direntap oleh anak-anak kampus daripada jalur ideologi yang pelbagai.”

“Jose rijal yang dibunuh secara tragis, telah menuangkapkan idealismenya lewat karyanya ‘Noli Me Tangere’ (1887) dan ‘El Filibusterismo’ (1891) merupakan ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina. Regim Marcos menjadi berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus dijalan-jalan bandar Manila."

“Di Negara China pula, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao Tu Shiu adalah penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegak Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China.”

“Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas akhirnya menggelongsor ke bumi.”

“Di negara kita yang tercinta, anak-anak kampus al-Azhar seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Kalai menggerakkan arus kesedaran untuk membaiki diri bangsa yang terpuruk dan membebaskan tanah melayu daripada penjajahan. Bapa kemerdekaan Tanah Melayu, al-Marhum Dr Burhanuddin al-Helmi pula semenjak belajar di Universiti Aligarh, India adalah anak muda yang sarat dengan idealisme. Sekembalinya beliau ke tanah air telah melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan.”

“Justeru wahai pelopor perubahan! Marilah kita menciptakan masa depan itu dengan sebuah  peradaban mulia ini dengan tinta emas rabbaniyah kerana disebalik setiap revolusi, pemuda adalah jentera utamanya.”

“Takbir” pekik seorang mahasiswa.

“Allahuakbar!” laung semua hadirin serentak. Semangat mereka semakin melonjak-lonjak mendengar ucapan kamu. Beberapa orang pegawai keselamatan universiti sedang berpusu-pusu, berkawal disekitar kawasan perkarangan masjid.

“Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian.”

“Adalah kalian maklum bahawa tujuan perhimpunan kita hari ini adalah untuk membantah penganjuran konsert yang bakal diadakan nanti. selaku mahasiswa, kita dengan tegas menolak unsure-unsur negatif daripada menyelinap masuk ke dalam universiti. Konsert atau hiburan picisan seperti ini adalah bercanggah dengan orientasi universiti sebagai gedung ilmu.”

“Aktiviti yang seperti ini jelas bercanggah dengan falsafah pendidikan negara yang diterima secara rasminya pada 1988 yang menyatakan: ‘Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.’

“Apakah dengan penganjuran budaya konsert yang seperti ini bisa mencambah keintelektualan mahasiswa?”

“Universiti yang dijolokkan dengan gelaran “the garden of knowledge and virtue” sepatutnya mencambahkan nilai-nilai murni berasaskan falsafah melahirkan modal insan. Caranya tidak lain dengan membentuk dan merialisasikan persekitaran keilmuan serta tradisi keintelektualan.”

“Apakah tidak cukup budaya hidonisme yang berlambakan di luar universiti seperti budaya reality TV seperti Malaysia Idol, Akademi Fantasia, Gangstar, MyStar, Bintang RTM, Bintang Kecil yang menjadi candu baru kepada masyarakat pada hari ini, sehingga ‘budaya sampah’ ini dipanjangkan ke dalam universiti dengan restu pihak pentadbiran universiti sendiri.”

“Sungguh kami tidak memahami mengapa konsert seperti ‘Gegar U’, Tour Link, budaya karaoke, pertandingan nyanyian diizinkan mencemarkan ruang intelektual anak-anak muda kampus seterusnya melalaikan mereka.”

Suasana semakina hangat. Kelihatan mahasiswa yang tadinya duduk, bangkit berdiri. Seolah-olah semangat mereka ditiup naik melonjak-lonjak. Di luar perkarangan masjid beberapa anggota polis sedang berkawal beserta beberapa kenderaan polis seperti trak, lori dan kereta. Sekira-kira bilangan mereka hampir mencecah 100 orang. Ada yang lengkap beruniform, ada yang berpakaian biasa. Mereka lengkap bersenjata.

“Hari ini kita akan menghantar memorandum bantahan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti. Sebentar lagi kita akan berarak menuju ke pejabat pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk menyerahkan memorandum bantahan. Saya pesankan agar kita bersopan dan berakhlak semasa berarak, jangan ada sebarang provokasi. Saya beri amaran sekali lagi, kita menolak sebarang unsur keganasan dan akhlak kurang sopan.”

“Sekali lagi saya tegaskan bahawasanya mahasiswa menentang keras konsert seperti ini kerana ianya mencemarkan imej universiti sebagai gedung ilmu dan tidak memberi saham langsung kea rah meningkatkan keilmuan mahasiswa serta menjatuhkan maruah umat Islam.”

“Allahu Rabbuna! Allahu Ghayatuna! Ar-Rasul Qudwatuna! Al-Quran Dusturuna! Al-Jihad Sabiluna! Al-Maut fi Sabilillah Asma Amanina!

“Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh. Takbir!”

“Allahu akbar” laung para mahasiswa penuh semangat.

Para pimpinan mahasiswa mula turun dari pentas berucap. Kamu bersama presiden persatuan lain dan barisan kepimpinan PMI mengepalai perarakan menuju ke pejabat pentadbiran HEP. Para mahasiswa mula berarak di belakang sambil menjulang poster dan banner. Jalan dibanjiri dengan para demonstran yang terus berarak diiringi dengan laungan takbir dan alunan zikir ‘Asma al-Husna’.




fatuba lil ghuraba'!


Abu Zaid
Kampus Kusza, UDM