‘Zaid, balik Sabah bila?’
Pertanyaan seperti itu sering kali menjenguk saya kebelakangan ini. Soalan dari teman-teman.
Cuti semester!
Bila saya menyelak lipatan masa lalu, saya merasa terlalu kerdil. Cepatnya masa digerakkan Allah SWT. Saya seperti terleka bahawa masa itu sedang berlalu meninggalkan saya. Semester pertama sudah berakhir. Saya masih menghitung-hitung jari. Berkira-kira akan amalan diri. Ilmu yang diperolehi. Budi yang dibaktikan. Waktu saya? saya telah wakafkan untuk apa? Kelak Allah Azza wa Jal akan bertanya, masa itu kamu gunakan untuk apa? Astaghfirullah! Ampunkan saya Tuhan.
Saya teringat bait-bait syair al-Mutanabbi. Katanya;
Jangan biarkan masamu berlalu tanpa pengorbanan, sepanjang roh masih setia menemani jasad
PEPERIKSAAN PERTAMA
Saya baru selesai imtihan akhir bagi semester pertama sesi 2009/2010. Sabtu lalu paper terakhir, madah Tafsir. Ini imtihan pertama saya di sini.
Syukur saya panjatkan kepada Allah Azza wa Jal kerna sudi mempermudahkan setiap langkah perjalanan hambaNya yang naif. Semua ini adalah dengan kudratNya.
‘Alhamdulillah…Alhamdulillah…Alhamdulillah…’
Kalimat itu pantas diangkat tinggi. Selayaknya hanya buat Sang Pemurah. Hebatnya urusan kala disandarkan kepada Penguasa Alam. Segalanya menjadi serba mudah. Sang Penguasa berhak melakukan apa sahaja. Sesulit mana urusan pasti menjadi mudah. Sesukar mana pekerjaan pasti bertukar senang. Seberat mana bebanan tugas pasti Dia sajalah yang akan ringankan. Untuk hambanya. Ya, hanya buat hamba yang sungguh-sungguh mengubudiyahkan diri padaNya.
‘Engkau Yang Maha Pengasih. Engkau Yang Maha Penyayang.’
Bersyukurlah!
***
Berakhirnya sebuah imtihan bukanlah isyarat gembira yang mesti di besar-besarkan. Kerna dihujungnya nanti kita masih tidak tahu. Iaitulah sebuah jawapan. Berjaya atau tidak? Maka saya tidak sudi mengiktiraf ‘kemerdekaan’ selepas peperiksaan. Kerja ini belum selesai. Tugas ini masih panjang. Terlalu cepat untuk kita menabalkan ‘tamat peperiksaan’ sebagai juara. Jangan. Nanti dahulu. Gembiralah, tidak salah. Saya juga gembira. Tapi biar sekadarnya dengan kita iringi rasa syukur, doa dan pengharapan.
Maka saya masih dihujani rasa kerisauan. Mungkin ianya perpanjangan sampai bermulanya kuliah bagi semester akan datang.
***
Saya cuba mengimbas semula musim peperiksaan lalu. Jika anda perasan, anda akan terlihat pelbagai ragam mahasiswa. Ada yang tidak pernah ke Maktabah, di musim periksa asyik muka dia sahaja di dalam maktabah. Ada yang tidak pernah ke surau atau masjid, bila dimusim periksa, bukan main istiqamah ke masjid. bilal tidak sampi lagi, dia dah sampai dulu. Ada wajah yang berkerut seribu. Ada yang senyum dan bercakap seorang diri. Ada yang menangis. Ada yang sanggup untuk tidak tidur malam. Yang tidak makan juga ada. Ada yang terlanggar tiang kerna terlalu khusyuk menatap nota sambil berjalan. Ada yang terjatuh ke dalam longkang. Pendek kata macam-macam ada. Fe’el manusia dimusim imtihan.
Semua hanya kerna secebis kejayaan. Bertuahlah orang-orang yang menyandarlah segala amal kerjanya hanya untuk Allah. Berjaga malam memuraja’ah kitab kerna Allah. Menghafal kernaNya. Menulis kernaNya. Menghadapi peperiksaan akhir hanya kerna. Merekalah orang-orang yang beruntung. Setiap penat lelah mereka akan dihitung. Setiap denyut nadi dan hembusan nafas dikira Allah. Segala usaha ditimbang Allah dengan adil dan saksama. Lalu Allah SWT menyediakan untuk mereka ganjaran berupa nikmat-nikmat yang tidak pernah didengari telinga, dirasai juga dilihat mata.
SAYA DAN IMTIHAN
Sedang saya mungkin seperti itu. Tapi tidaklah sampai terlanggar tiang. Hampir setiap malam saya tidak tidur kerna berjaga memuraja’ah madah untuk imtihan. Saya mengajak teman-teman serumah untuk turut berjaga, tapi mereka tidak boleh berbuat demikian, tidak biasa katanya. Mungkin kerna saya sudah terbiasa sewaktu diploma dahulu. Lalu ia menjadi ‘penyakit’. Berjaga semalaman tanpa tidur. Kesian pada anggota tubuh yang tidak tertunaikan haknya.
Akhirnya kemuncak kepada perangai saya itu, saya diserang penyakit lama. Sudah lama saya tidak menghidap kesakitan yang semacam ini. Hampir semalam saya berperang dengan kesakitan yang memuncak. Saya sudah tidak ingat lagi apa-apa kecuali Allah. Saya munajat, saya baca doa-doa mathur. Saya rayu sungguh-sungguh pada Tuhan. Sembuhkan Ya Allah! Sembuhkan!
Inilah akibatnya. Mujurlah waktu peperiksaan sudah selesai.
USAHA + TAWAKKAL
Usaha dan tawakkal. Dua perkara berbeza tapi ianya saling bersangkutan, ianya bercantum dalam satu ramuan. Tidak bisa tidak kedua-duanya mesti seiring sejalan. Usaha tidak cukup tanpa tawakkal. Tawakkal tidak menjadi jika tiada usaha. Kata Dr ‘Aidh al-Qarni, usaha yang disertai dengan tawakkal kepada Allah adalah salah satu punca menuju kebahagiaan.
Seorang sahabat bertanya kepada baginda Nabi SAW: “Apakah saya harus mengikat unta saya, ya Rasulullah, atau harus bertawakkal sahaja?” Rasulullah SAW menjawab: “Ikatlah ia terlebih dahulu, barulah bertawakkal.”
Nah! Itu satu isyarat betapa dalam apa-apa hal, kita mesti terlebih dahulu berusaha lalu diiringi dengan penyerahan kepada Allah Yang Maha Kuasa. Kerna usaha dan bertawakkal adalah prinsip tauhid. Usaha tanpa disandarkan dengan tawakkal kepada Allah adalah kecelaruan dalam memahami tauhid.
Maka perkara penting yang mesti kita perbuatkan setelah berusaha sungguh-sungguh dalam mengharungi detik-detik peperiksaan adalah menyandarkan diri kepada Tuhan, tawakkalnya dan merasa cukup dengan perlindungan, penjagaan dan pengawasanNya.
"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah Yang telah menurunkan Kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua Yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan"
(Surah al-A’raf: 196)
DOA DAN TAWAKKAL BEKALAN DIRI
“Berdoalah dan bertawakal kepada Allah.”
Mendengar kalimah itu perasaan saya sedikit kecamuk. Bukan runsing, tetapi saya disapa kerinduan kepada kisah silam yang menyimpan penuh makna. Kalimah itu sering dibekalkan kepada saya. Itulah santapan rohani buat sang anak yang bepergian jauh disebarang laut. Kalimah itu sering saya dengari terbit dari rahim mulut seorang manusia bernama ‘Ayah’.
‘Ayah…’
Manusia yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Saya rindukan suaranya. Mana tidaknya saya membesar bersama ungkapan ini. Ayat-ayat yang pernah saban waktu menimbulkan keraguan kepada saya dahulunya kerana masih belum bisa berfikir matang. Jahil. Akal saya masih budak, masih tidak tahu apa-apa. Lalu ayat-ayat ini juga yang menyakinkan pada saya erti hidup bertuhan. Hidup bergantung hanya kepada Allah Azza wa Jal.
‘Doa dan tawakkal.’
Saya ingat kata-kata itu lagi.
Maka setelah pelbagai usaha dan pengorbanan yang kita lakukan dan persembahkan untuk peperiksaan ini, pastinya kita merasa terlalu lelah. Alangkah indahnya jika segala jerit payah kita selama ini disandarkan kepada Yang Kuasa, Allah Azza wa Jal.
Ibn Mu’tazz, pernah bersyair:
Demi Allah, alangkah lurusnya jalan hidup orang yang bertawakkal kepada Allah, alangkah cepatnya kembali kesedaran orang yang percaya kepada Allah
Fa izaa ‘azamta fa tawakkal ‘alaAllah!
Fatauba lil ghuraba’!
Dhiya’
Tawau, Sabah
0 ulasan:
Catat Ulasan