Saya baru pulang dari mendengar rapat umum bagi pilihan raya kampus (PRK) Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Tidak banyak yang maklumat yang saya perolehi kerana baru selesai kuliah keusahawanan dan saya telat. Lain, kerana suara yang bergema menyebabkan sukar saya menangkap apa yang diperkatakan.
Mungkin boleh saya katakan, sekarang musim pemilihan kepimpinan di UDM.
Saya dimaklumkan akan berlangsung pemilihan tampuk kepimpinan Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) bagi sesi yang baru. Begitu juga juga dengan persatuan lain, saya kira sedang bergerak ke arah itu. Saya berkeyakinan proses pemilihan yang bakal berjalan nanti memberikan natijah yang positif buat seluruh mahasiswa UDM khasnya dan UDM umumnya.
Saya merasa tidak layak untuk merakamkan fikiran saya dalam tulisan ini.
Namun selaku mahasiswa UDM saya merasa terpanggil untuk melontarkan idea dan buah fikiran yang membenak untuk saya sendiri menilai dan menghadamnya. Sesungguhnya bagi saya, idea dan minda yang termuat di ruang kepala perlu dicerna melalui mata pena, agar saya beringat-ingat. Itu saya.
Namun selaku mahasiswa UDM saya merasa terpanggil untuk melontarkan idea dan buah fikiran yang membenak untuk saya sendiri menilai dan menghadamnya. Sesungguhnya bagi saya, idea dan minda yang termuat di ruang kepala perlu dicerna melalui mata pena, agar saya beringat-ingat. Itu saya.
Sebetulnya tidak banyak yang saya ketahui tentang UDM dan persatuan yang ada di sini. Maka tulisan ini hanya berkisar seputar pengetahuan saya. Terlebih awal saya ucapkan kemaafan.
Majlis Perwakilan Pelajar
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau ada universiti yang menggunakan istilah Majlis Perwakilan Mahasiswa adalah tonggak kepada semua persatuan yang ada di universiti. Ia punya peranan besar dan penting dalam pentas kepimpinan. Di mana-mana universiti pun.
MPP ibarat ibu dan ayah kepada seluruh mahasiswa di universiti. Segala masalah adukan pada mereka. Mereka akan cuba selesaikan. Mereka diamanahkan menjaga kebajikan mahasiswa. MPP meski tahtanya tinggi tapi mereka adalah hamba. Hamba kepada mahasiswa, bekerja dan memberikan khidmat kepada mahasiswa menurut yang diwartakan. Maka mereka tidak boleh duduk bersenang lenang tanpa melakukan kerja. Orang kata, makan gaji buta.
Juga lainya, MPP lebih dekat dengan pihak universiti dan kuasanya adalah lebih veto berbanding lain kumpulan. Sebab itu kita lihat di universiti seluruh Malaysia mahasiswanya berjuang dan berusaha memenangi kerusi MPP. Dan PRK adalah medannya untuk meraih kuasa itu. Pemilihan secara demokrasi di mana rakyat mahasiswa menjadi hakim pembuat keputusan. Bukan gologan atasan yang songsang prinsip mereka sehingga mencemari demokrasi yang berlangsung. Mereka bermain silap mata menipu mahasiswa. Menyalahgunakan kuasa sesukanya. Cukuplah Pilihan Raya Umum (PRU) di lacurkan oleh pemimpin-pemimpin tertentu. Jangan PRK menjadi mangsa pula. Apakah yang ditakuti oleh gologan ini? Mahasiswa tidak perlu ditakuti. Mereka tidak akan merampas kuasa dan kesenangan yang anda miliki sekarang ini.
PRK mesti adil dan bersih. Bersih dari tangan-tangan kotor yang memalit lecak ke muka demokrasi. Maka campur tangan pihak berkenaan tidak diperlukan. Kerna ia akan mencacatkan pemilihan kepimpinan. Biar mahasiswa dengan diri mereka. Mereka punya akal untuk berfikiran. Mereka punya idealisme yang hendak diperjuangankan. Mereka punya cita-cita besar yang hendak di laksanakan. Biarkan mahasiswa dengan aksi-aksi mereka. Bukankah mereka pemimpin masa depan. Maka jangan dihalang. Percayalah jika PRK dijalankan dengan adil dan bersih anda akan lihat bakal pemimpin masa depan. Percayalah!
Namun jika PRK dinodai atau pemilihan tidak di adakan secara telus. Anda akan lihat pemimpin yang kecut. Mereka tidak punya cita-cita. Mereka belum siap membuat gagasan pemikiran yang bakal dijuangkan. Mereka lemah. Mereka hanya tunduk berhadapan dengan pihak universiti. Mereka tidak berani menjulang bendera kebenaran. Yang benar atau yang salah sudah tidak dikira. Jika pihak universiti katakan A maka mereka pun akan kata A. Mereka tidak berani berkata yang lain apatahlagi hendak membantah, jauh sekali. Mereka ibarat lembu yang diikat tali hidungnya.
MPPUDM
PRK UDM bagi memilih kepimpinan MPP yang baru sedang berlangsung. Para calon sekarang ini sedang sibuk berkempen. Saya mendapat maklumat, ini PRK pertama yang diadakan di UDM. Kerna sebelum ini Pemilihan dicacatkan sebahagian fungsinya. Mungkin ini berita gembira bagi saya dan tentunya para mahasiswa UDM. Semoga pemilihan nantinya berjalan dengan lancar tanpa sebarang sabotaj atau permainan kotor dibelakang tabir.
Saya di bujuk teman-teman untuk bertanding tapi saya tolak secara baik.
PRK pertama bagi UDM saya yakini berbeza dengan universiti lain seperti di pantai barat, UTM, UPSI dan lainnya. Di sini biasa-biasa sahaja.
Namun biarpun PRKnya biasa-biasa sahaja saya dan para mahasiswa tentunya mengharapkan MPP yang lebih segar dan bersemangat. Yang punya pemikiran besar selaku pemimpin. Kerana banyak lagi keperluan mahasiswa UDM yang belum dilunaskan oleh pihak universiti. Dan MPP adalah laluan terbaik untuk mahasiswa berbicara secara dekat. Mendengar luahan hati dan harapan mahasiswa dan bertindak semampunya.
MPPUDM jangan menjadi mayat hidup!
Ada seperti tiada.
Wujud tapi tidak terasa.
Tidak perlu saya jelaskan kalimah di atas. Anda pasti bisa menilik maksudnya dan maksud saya.
MPP perlu akrab dengan mahasiswa. Seperti pemimpin negara perlu mesra dan dekat dengan rakyat. Jangan ketika berkempen sahaja kita mesra mahasiswa tapi selepas menang kita tutup muka. Itukan aib namanya sebagai pemimpin. Dekati mahasiswa. Dengar rintihan mereka. Kemudian lakukan kerja dan tugas anda.
Kabinet MPPUDM yang bakal terbina nanti mesti pantas berlari. Anda mujaddid kecil yang diharap-harapkan. Anda mesti memimpin perubahan. Tukarkan pakaian lama yang sudah lusuh dengan yang baru. Gosokkan baju yang dulunya dipakai kusut itu agar nanti kelihatan kemas. Ubah pemikiran. Ubah tindakan. Ubah langkah. Ubah cara lama yang sudah tidak laku. Ianya sudah busuk. Dan mahasiswa sudah tidak tahan menghidunya. Lekas buangkan. Kami mahukan yang baru dan segar. Ya, pemimpin masa depan yang berjiwa mahasiswa.
Lakukan apa yang terbaik untuk mahasiswa dan UDM. Berani untuk berkata benar jika perkara itu benar. Berani untuk berkata salah jika perkara itu salah. Bertindak menurut idealisme yang anda ingin juangkan. Jika anda punya cita-cita benar, lakukanlah untuk dapatkan cita-cita itu. Jika anda mahukan sesuatu yang benar, dapatkannya. Anda mesti berusaha dan bekerja.
Bakal pemimpin. Harapan mahasiswa di tangan anda. Tangan anda mesti bersih dan kuat mengenggam harapan itu. Anda genggamlah seperti mengenggam emas dan permata bukan kaca. Bila anda sudah tiba untuk menunaikan harapan itu. Gunakan sahaja jari-jari anda. Jangan biarkan pihak korup menjadi telunjuk kepada tindakan anda. Nanti semua menjadi sia-sia. Dan bila anda telah berjaya melunaskan harapan itu tersenyumlah bersama kami. Mahasiswa yang bersama anda dan akan membela anda.
Ayuh bakal pemimpin. Pandang jauh kehadapan. Lalu berfikir secara dewasa. Bila anda berjaya di medan ini, tidak mustahil anda bakal pemimpin di pentas yang lebih besar di luar sana. Ini ruang dan peluang anda. Saya mengharapkan anda bertanding bukan kerana saja-saja. Bukan kerana elaun atau kerana sijil. Saya berharap anda lakukan semua ini kerna mahu memberikan sesuatu. Seperti kata-kata saifulislam.com ‘hidup untuk memberi.’ Ayuh berikan kami kebaikan anda atau sesuatu yang bermanfaat untuk kami. Mari berikan sesuatu kepada universiti ini. Tidak mengapa jika pemberian itu tidak berharga asal ia punya kebaikan buat kami dan UDM. Ia punya makna besar. Dan tanamkan benih kebaikan di tanah berpijak ini, tanamkan segala cita-cita anda dan harapan mahasiswa. Nanti bila ia sudah tumbuh dan berbunga indah, anda bisa berbangga dengan diri anda. Lalu katakanlah, ‘Ini hasil tangan saya.’
Akhirnya, mohon agar ampuni silap dan kesalahan saya jika ada sepatah kata yang anda baca merobek hati. Jangan marah pada tulisan ini. Ia tidak salah. Tangan saya dan saya sendiri bertanggungjawab. Saya ini lemah dan banyak salahnya. Tegurlah. Ajarlah. Nasihatkan saya. Semoga kegelapan anda menjadi terang dengan sinar yang saya pancarkan.
Ingat anda bakal disoal tentang kepimpinan anda!
Maa ashoobaka min hasanatin faminaAllah wa maa ashobaka min sayyiatin famin nafsik.
Dhiya
Kampus Kusza, UDM
0 ulasan:
Catat Ulasan